Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Monday, December 28, 2009

Penghargaan Buat Seniman Muda





Untuk lihat siarannya, sila klik kepada pautan ini.

Seringkali galeri-galeri ternama sering memanggil artis-artis yang bernama untuk menghiasi galeri mereka. Dengan adanya nama-nama besar sebegini, harga-harganya juga sudah tentu mahal.

Artis-artis muda pula tidak diberikan banyak peluang untuk mempamerkan hasil-hasil mereka. Alasan yang diterima oleh pengusaha-pengusaha galeri - "mereka ni siapa?"

Jadi, bagaimanakah artis-artis muda ini dapat bertapak sekiranya tidak diberi peluang langsung? Adakah penggemar-penggemar lukisan hanya mahu mengumpul lukisan artis-artis bernama sahaja?

Nilai sebuah lukisan itu amat subjektif. Seseorang itu mungkin tidak dapat menghargai sesebuah lukisan itu tetapi dianggap sesuatu yang amat bernilai bagi orang yang lain. Terpulang kepada sesebuah galeri itu meletakkan harga kepada sesebuah hasil seni itu.

Dalam aspek mualmalat, sesebuah kontrak itu termaktub apabila ada akad; maknanya kedua pihak, penjual dan pembeli setuju dengan harga yang diletakkan. Sekiranya tidak, kontrak tidak akan termaktub dan urusan jual-beli tidak berlaku.

Dari segi ekonomi pula, sesebuah permintaan (demand) itu wujud sekiranya ada tawaran (supply). Bagaimana pembeli mahu mendapatkan sesebuah lukisan atau sekurang-kurangnya diberi peluang untuk menilai sekiranya pengusaha galeri itu sendiri yang tidak memberi peluang?

Pemasalahan sebeginilah menjadi cabaran kepada pemilik RA Fine Arts Gallery, Raja Ahmad Aminullah untuk mengumpul seramai 42 pelukis muda yang rata-ratanya tidak ada nama di dalam industri seni tampak dan mengumpulkannya dalam satu pameran; "Seni Muda / Young Art".

Pameran yang dirasmikan oleh peguam hak asasi manusia muda, Amer Hamzah Arshad itu akan berlangsung di galeri tersebut di Jalan Tun Razak bermula 24 Disember 2009 sehingga 5 Januari 2010.

Amer yang menyambut baik usaha yang dibuat RA Fine Arts juga merupakan pertama kali merasmikan sesebuah pameran lukisan sungguhpun tidak menyangkal sebagai salah seorang pengumpul pelbagai hasil seni termasuk lukisan.

Di dalam ucapannya, Amer menegaskan mengenai lukisan sebagai salah satu platform untuk berekspressi dan merupakan hak asasi setiap insan.




Seni sebagai cabang Hak Asasi

Seni ialah sebahagian daripada hak asasi manusia tidak mengira latarbelakang; kepercayaan, bangsa, keturunan dan budaya.

Menurut Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, setiap daripada kita bebas untuk berfikir mengenai apa yang kita fikirkan patut untuk diketengahkan. Tidak ada sesiapa boleh menghalangnya. Setiap daripada kita juga bebas untuk berkongsi ide-ide tersebut dengan yang lain sungguhpun mereka itu daripada Negara asing (artikel 19).

Di Malaysia, kebebasan untuk bersuara dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 10 (1) (a) yang mana menjadi kitab utama alam perundangan Negara. Namun, hak tersebut bukannya hak mutlak di mana ia diperuntukkan seperti yang dinyatakan di dalam Artikel 10(2) dan (4) dalam Perlembagaan yang sama.

Di Negara ini, sungguhpun Perlembagaan memberi kebebasan kepada setiap rakyatnya untuk bersuara, tetapi terdapat beberapa akta yang bercanggah dengan kebebasan tersebut seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hasutan 1948, Akta Penerbitan dan Percetakan 1984 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Sungguhpun hak untuk kebebasan bersuara kekal sebagai suatu yang imperatif, ia menjadi suatu yang sama penting yang perlu diambilkira terutama sekali dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya.

Lukisan dan arca adalah sebahagian daripada cabang seni yang secara nalurinya juga memberi lapangan kepada artis untuk meluahkan isi hati mereka.

Seni melingkungi pemikiran, tubuh, nyawa, kapasiti intelek, emosi gerak hati; yang mana keseluruhannya penting sebelum sesebuah hasil kerja disiapkan – pemikiran menjadi faktor kritikal yang mempengaruhi potensi.

Namun kita berada di dalam keadaan kemungkiran mental di mana ia mengganggu artis dalam menggunakan pemikiran, tubuh dan nyawa lantas gagal untuk untuk menterjemahkannya melalui kapasiti yang ada.

Selain itu, sektor perbadanan di mana wang dan ekonomi menjadi keutamaan, atau kerajaan yang mengongkong interpretasi budaya. Terdapat juga pihak ketiga; galeri, pengurus, penerbit, broker atau promoter yang bertindak bagi pihak artis, agen penjual bahan-bahan seni serta menyediakan tempat untuk "bersuara".

Selain lukisan, "Seni Muda / Young Art" juga mempamerkan skulptur dan instalasi artis-artis muda. Di antaranya ialah Lisa Suriani, Abdul Hanif, Anisa Abdullah, Mia Farizza dan Noriza Arzain.

Kesemua lukisan-lukisan yang dipamerkan dijual pada harga tidak melebihi RM1000 tidak kira saiz lukisan. Itu yang menjadikan setiap daripada kita mampu untuk memiliki lukisan dan menjadikan seni itu bukan sebuah aset eksklusif.

Labels: ,

 

 

Friday, April 17, 2009

Mimpi Pasca Gotik:

Sebuah pameran seni solo Khairul Azmi Shuib (Meme) 2001-2009.

Dipamerkan di R A Fine Arts; No 6, Jalan Aman, off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.











Labels: ,

 

 

Thursday, April 16, 2009

RA Fine Arts Teroka Pasaran Eropah

raffle-sia (after g.f. joseph),acrylic, inkjet print and uv

RA Fine Arts yang baru masuk usia dua tahun kini mula diterima oleh masyarakat dunia dengan melangkah jauh ke pasaran Eropah.

Dengan memilih artis Amir Zainorin yang kini menetap dan berkeluarga di Copenhagen, sudah tentu RA Fine Arts melalui peneraju utamanya, Raja Ahmad Aminullah mampu untuk menarik minat pencinta seni tampak di United Kingdom.



Meskipun kita berada di dalam dunia pasca-moden, persoalan tentang identiti masih boleh menggugah perasaan marah di kalangan masyarakat. Tetapi di antara mereka yang terlibat dalam bidang seni, penulisan dan dunia kreatif amnya, sudah mula kelihatan suatu perbincangan yang beralih daripada wacana bersifat perbalahan kepada bentuk ekspresi yang lebih bersifat menghuraikan atau mengupas letakduduk sesuatu persoalan.
Pameran bertajuk Mad(e) in Malaysia diadakan di Brick Lane Gallery, London dari 17 hingga 30 Mac 2009 lalu.

Menurut Raja Ahmad, karya-karya Amir meluahkan sensitivitinya terhadap dunia sekelilingnya, berdasarkan apa yang dia lihat sendiri. Kuasa yang terselindung tetapi begitu berpengaruh yang dimainkan oleh media atau “the fourth estate” adalah suatu perkara yang Amir, dan ramai daripada penghuni dunia yang telah dicerahkan mahupun belum, dapat memahami atau sekurang-kurangnya merasai.


Amir sering menggunakan peristiwa-peristiwa kekejaman yang berlaku di seluruh pelusuk dunia sebagai motif lukisannya. Kini, melalui catan Amir, ianya semua dapat didedahkan dan disebarkan ke khalayak yang lebih luas. Apa yang berlaku di Chechnya atau di Afghanistan tidak lagi disaksikan atau difahami hanya oleh penduduk tempatan sahaja.


Terdapat banyak rujukan kepada media yang dapat dijumpai dalam karya-karya Amir: “The Star”, sebuah surat khabar berbahasa Inggeris di Malaysia, “The Citizen”, sebuah jurnal, dan juga “The Daily Mirror” serta “ABC”. Seperti yang ditulis oleh Badrolhisham, kurator tamu pameran ini, di dalam eseinya, karya-karya Amir telah membangkitkan persoalan tentang isu tempat dan tanggapan identiti, terutamanya dalam dunia yang sedang mengorak langkah melangkaui nasionalisme.

Bagi kuratornya, Badrolhisham Mohamad Tahir, Mad(e) in Malaysia merupakan sebuah pameran yang menayangkan bagaimana proses identifikasi membentuk identiti seni.

“Amir sering mewujudkan kerja-kerjanya berdasarkan kepada kerja orang lai yang diikuti dan berharap dia akan mengenalpasti dirinya sebagai seorang yang bebas, aktif dan independen.”, jelas Badrolhisham.


Konsep globalisasi telah membawa kerja-kerja seni kontemporarinya sehingga ke Eropah. Dengan merapatkan jurang geografi, globalisasi mungkin mendatangkan perbezaan dari segi budaya. Namun, factor-faktor tersebut yang menjadikan nukilannya menjadi unik.

win win (free-all together now),acrylic, inkjet print and uv


Maka, dengan itu, pameran Mad(e) in Malaysia telah menjadi sebuah pameran seni antarabangsa kontemporari buat masyarakat Eropah bagi memahami isu-isu identiti yang dibangkitkan oleh Amir sebagai modelnya.

Pada umumnya, Amir mendapat inspirasinya daripada pendekatan seni– sebuah fenomena dalam seni di mana ianya mula diperkenalkan pada pertengahan -1950an melalui kelahiran konsep “apa pun boleh” oleh para dada di awal kurun ke 20.

Oleh yang demikian, apabila terdapat evaluasi diadakan terhadap identiti, proses-proses memilih, memfokus, mempertikaikan bergantung kepada kesan-kesan dinamika sosial seperti kelas, bangsa, ethnik, gener dan agama. Amir mampu berbangga kerana beliau tidak perlu menyatakan bahawa dirinya berbangsa Melayu, beragama Islam, dilahirkan di Johor.

Melalui seni popnya, beliau dapat menyatakan dirinya membesar dengan siaran televisyen 60an dan 70an, seperti “The Lone Ranger”, “The Six Million Dollar Man”, “The Bionic Woman”, “The Ultraman”, mendengar lagu-lagu Abba, Bee Gees, Elton John, Teresa Carpio, juga kugiran rock seperti “Iron Maiden”, “Black Sabbath”, “Rainbow” dan “Dire Straits”. Lukisannya juga tidak perlu menyatakan bahawa dia bukannya berasal dari Denmark.

Selain itu, Mad(e) in Malaysia juga menjelaskan ‘kegilaan’ seseorang yang sama berfikiran sepertinya.

daily triumph (after michael angelo),acrylic, inkjet print a

Amir Zainorin

Born in Johor, Malaysia.
b. September 1, 1963.
He has worked in advertising and public relations company,bank, diving school, hotel
and restaurant. He now lives and work in Copenhagen.
education
2007-2008 VUC Rødovre, Denmark-Digital Art
2004 Copenhagen Media School, Denmark
1995-1998 Apprenticeship to popartist Ahmad Azhari, Kuala Lumpur, Malaysia
1988-1990 University of Missouri, Kansas City, US (Business Administration)
1986-1988 University of Central Arkansas, US (Business Administration)
1980-1983 Business Studies Certificate from Polytechnic Ungku Omar, Malaysia
artist residentship
2000-2001 Resident artist at ‘Jaguar Studio’ , Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur
1998 Resident artist at the International Cultural Center, Oostelbier, The
Netherlands
Solo exhibition
2009 ‘Mad(e) in Malaysia’, Bricklane Gallery, London
2008 ‘Paradice Now’, Gallery Shambala, Global House and Albertslund
Bibliotek Copenhagen
2007 ‘The Opening’, Gallery Pelita Hati, Kuala Lumpur, Malaysia
2004 ‘Breathe’ Embassy of Malaysia, Stockholm, Sweden
2004 ‘Art is ...’ Roedovre Biblioteket, Denmark


Group exhbition
2008 Pop Fiction, R A Fine Arts, Kuala Lumpur
2008 Diesel Wall Finalist Show*, Diesel Denim Gallery Store, Soho, New
York City
2008 Grafik, Gallery Alstrup, Denmark
2008 ‘Aspect of Malaysian Art, R A Fine Arts, Kuala Lumpur
2007 ‘Resilience in Adversity’,R A Fine Arts, Kuala Lumpur,
2006 ‘Salute’ - tribute to Jeri Azhari at National Art Gallery, Kuala Lumpur’
2006 ‘Juleudstilling’ at Gallery Shambala, Copenhagen

Labels: ,

 

 

Thursday, January 29, 2009

Pameran Solo Catan Kartika Affandi - Pembuka Mata Karyawan Malaysia



Seniman tersohor Indonesia, Kartika Affandi, 73 memukau rakyat Malaysia menerusi lukisan-lukisan yang dibawanya untuk pameran solonya yang diadakan di Kuala Lumpur sehingga 9 Februari ini.

Lukisan-lukisan yang pernah dihasilkan sejak 1977 dipamerkan dalam Pameran Solo Catan Kartika Affandi di Galeri RA Fine Arts dan dikuratorkan oleh Dr Zakaria Ali, seorang pensyarah di sebuah institusi seni di negara ini.

Sesungguhnya, kemasyuran Kartika bukannya dari bapanya, Affandi yang merupakan lagenda kepada Indonesia. yang sering menimbulkan kontroversi terutamanya sewaktu menunggangi gelombang kebebasan yang dibawa percikan revolusi sebelum kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945.

Affandi pada waktu itu menubuhkan “Seniman Masyarakat”, kemudian “Seniman Indonesia Muda”, dan kemudian”Seniman Indonesia Muda”, Pelukis Rakyat” dan “Gabungan Pelukis Indonesia”, bertujuan membebaskan diri daripada kongkongan dikenakan oleh orang Belanda yang memandang rendah kaum peribumi pada waktu itu.

Betapa mendalamnya kasih kepada Affandi, Kartika menukilkan dalam “Tiga Muka/ 25 Mata Affandi” (2007). Ibu Kartika menangkap Affandi dalam tiga keadaan: puas hati (atas), kesakitan (kiri) kegugupan (kanan). Ketiga-tiga keadaan ini menjadi lebih jelas dalam 25 buah mata, yang sentiasa memerhatikan dia, membimbing, memarahi, menenangkan.


Meyorot kembali sejarah perjuangan Ibu Kartika, ketika berusia 23 tahun, beliau melukis sebuah potret diri yang membuktikan kemahirannya sebagai pelukis. Bagi Ibu Kartika, sebidang kanvas kosong diangap sebagai sejenis penghinaan yang mesti dilipat-balas.

Salah satu hasil lukisannya ialah “Kelahiran Semula” (1981). Di dalam lukisan tersebut, beliau dirinya dilahirkan dilahirkan semula sebagai watak yang tersiksa, dengan wajah yang lebih tua daripada usia bayi yang sepatutnya luhur. Tanpa keajaiba tersebut maka kini dia dibebani masalah yang skar dibereskan. Kepalanya dilingkari merah, dia tetap berazam untuk memulihkan dirinya daripada kusta-kusta silam.

Selanjutnya, dalam “Potret Diri dan Kambing” (1989), dia sekali lagi ditekan oleh beratnya rasa benci dii, menyayangi seekor kambing untuk mendapatkan perhatian. Dengan berbuat demikian, dia mengakui wataknya setaraf dengan binatang, menidakkan kebolehannya untuk memilih menyuburkan benih-benih manusiawi, yakni suatu kebolehan yang tiada pada haiwan. Namun, dengan lingkaran geap pada matanya, kambing itu muncul menarik sekali. Sebaliknya, watak manusia itu kebingungan, berambut kusut, keliru, mencari-cari peangan yang patah, tanda-tanda petunjuk yang hilang.

Ibu Kartika mempunyai sikap yang ambivalent terhadap binatang seperti yang dijelaskan dalam adegan “Angsa Hitam” (2003). Pasangan angsa ini kelihatan seperti sedang menari, berlagak, atau berlawan? Kepak-kepak mereka mengembang, leher melengkuk, kaki terkangkang, berpendirian agresif dan kelihata bersedia untuk menyerang. Manakala seekor angsa kepaknya lunjun merah: menggambarkan syawat atau darah? Adakah ini bermakna tibanya musim mengawan bila sang jantan berlagak garang?

Naluri tersebut turut dimiliki manusia. Memasuki “Warung Kopi di Lingga, Sumatera Utara” (1977), Ibu Kartika, suku Jawa yang berpendirian terbuka, merah marah sebab pelanggan semuanya lelaki, yang sembang-sembang, sesudah penat bekerja di lading. Kaum ibu pun turut bekerja tapi tidak digalakkan masuk. Untuk membetulkan ketidakadilan ini, Ibu Kartika telah mendirikan eselnya di dalam warung tersebut lantas melukis gambar pelanggan lelaki, sebagai cara membalas dendam. Ibu Kartika lantas memasukkan dirinya dengan duduk di hujung meja, betul-betul di tengah gambar disamping kaum ibu yang lain sedang mendukung anak: begitu bengang Ibu Kartika.

Kartika Affandi pernah mengadakan pameran di seluruh dunia termasuk Indonesia, Itali, Pranchis, Australia, Brazil, China, Hungary dan Amerika Syarikat.

Hasil-hasil seni Kartika juga banyak dibincangkan di dalam banyak penerbitan antarabangsa seperti Soul, Spirit and the Mountain, Preoccupations of Contemporary Indonesian Painters (Oxford University Press, 1994) dan di majalah seperti Art in America.

Sebagai seorang penggiat seni, Kartika juga banyak menerima jemputan bersyarah di Sydney Opera House Australia, Regent Hotel, Hong Kong dan Mills College Oakland, California.

Semasa berada di Kuala Lumpur, Kartika mengambil kesempatan untuk melukis keadaan di Kampung Baru, kampung tertua di ibukota. Berceritakan pengalamannya, beliau gembira sekali melihat anak-anak penduduk di Kampung Baru mengerumuninya melihat dia melukis. Dia secara tidak langsung membuat demonstrasi secara plein-air.

Kartika juga sering menyumbangkan karya-karyanya untuk tujuan kebajikan seperti pemuliharaan bangunan warisan dan mangsa tragedi tsunami di Acheh.



Labels: ,

 

 

Tuesday, January 20, 2009

Kartika Affandi Pembuka Diari Galeri RA Fine Arts





Galeri RA Fine Arts yang sebelum ini banyak mempamerkan kerja-kerja seni tempatan dan antarabanga membuka tirai 2009 dengan menjemput artis tersohor di nusantara, Kartika Affandi bagi mengadakan pamean solonya.

Kartika Affandi yang merupakan anak perempuan pelukis terkenal Indonesia, Affandi pernah mengadakan pameran di seluruh dunia termasuk Indonesia, Itali, Pranchis, Australia, Brazil, China, Hungary dan Amerika Syarikat.




Hasil-hasil seni Kartika juga banyak dibincangkan di dalam banyak penerbitan antarabangsa seperti Soul, Spirit and the Mountain, Preoccupations of Contemporary Indonesian Painters (Oxford University Press, 1994) dan di majalah seperti Art in America.

Sebagai seorang penggiat seni, Kartika juga banyak menerima jemputan bersyarah di Sydney Opera House Australia, Regent Hotel, Hong Kong dan Mills College Oakland, California.



Kartika juga sering menyumbangkan karya-karyanya untuk tujuan kebajikan seperti pemuliharaan bangunan warisan dan mangsa tragedi tsunami di Acheh.

Pameran berlangsung dari 15 Januari hingga 9 Februari 2009 di Galeri RA Fine Arts.

Labels: ,

 

 

Saturday, January 17, 2009

Pameran Solo Catan Kartika Affandi











'Solo Exhibition The Paintings of
Kartika Affandi'
Pameran Solo Catan Kartika Affandi

Which will be launched by
Yang akan dirasmikan oleh

Tuan Yang Terutama Tan Sri Da'i Bachtiar Ambassador of the Republic of Indonesia to Malaysia

On Tuesday, 20 January 2009 at 8pm
Pada hari Selasa, 20 Januari 2009, jam 8mlm

(The exhibition runs from 15 January 2009 to 9 February 2009)
(Pameran berlangsung dari 15 January 2009 sehingga 9 February 2009)

Labels: ,

 

 

Monday, January 05, 2009

F**K YOU ISRAEL !

'Untitled H' (2007)
By Amir Zainorin
Digital Colour Print
27 x 35 cm


Petition to the UN Security Council, the European Union, the Arab League and the USA:

We urge you to act immediately to ensure a comprehensive ceasefire in the Gaza Strip, to protect civilians on all sides, and to address the growing humanitarian crisis. Only through robust international action and oversight can the bloodshed be stopped, the Gaza crossings safely re-opened and real progress made toward a wider peace in 2009.

http://www.avaaz.org/en/gaza_time_for_peace/?cl=164343675&v=2624


One of the drawing by Palestinans children



Kenyataan Media 20 November 2007

Tabah Dalam Derita - Suara Generasi Dari Kem Pelarian

Deir Yassin 1948... Sabra dan Shatilla 1982... Nahr al-Bared 2007... Nama-nama yang menjadi penanda dalam rentetan peristiwa yang bermula dari pengusiran suatu bangsa dari tanahairnya sendiri. Tragedi-tragedi ‘kecil’ yang menggarisbawahi tragedi besar zaman kita.

Demikianlah terusirnya sebuah bangsa untuk membenarkan wujudnya sebuah negara baru dalam peta Timur Tengah. Dengan sekelip mata surat-surat (ini zaman pra-handphone dan email) yang dikirim dari wilayah tersebut kini menggunakan setem negara baru Israel menggantikan setem Palestin.

Bahawa kezaliman besar yang berlaku di Eropah sebelum dan sewaktu Perang Dunia Kedua yang mengakibatkan penindasan kepada orang-orang Yahudi dilakukan oleh orang-orang Eropah tidak lagi menjadi perkiraan. Bahawa pembunuhan terhadap orang-orang Yahudi berlaku di Eropah terutamanya oleh golongan Nazi di Jerman, di Poland dan lain-lain tidak lagi menjadi perhitungan.

Sebaliknya dosa yang dilakukan oleh bangsa-bangsa Eropah seolah-olah harus dipikul oleh kelompok manusia nun jauh dari wilayah Eropah. Kini tanggungjawab tersebut dipindahkan kepada orang-orang yang menghuni sudut bumi Tuhan yang bernama Palestin. Lain kelompok yang melakukan keganasan, tetapi kelompok lain pula yang menjadi mangsa keganasan yang baru; kerana kini giliran orang-orang Palestin pula menerima nasib buruk pengusiran bangsa mereka dari tanah kelahiran di Haifa, Jaffa, Baitul Muqaddis (Jerusalem) dan lain-lain.

Sebenarnya dari saat Perisytiharan Balfour pelbagai perbincangan terbuka dan sulit di kalangan kuasa-kuasa besar telah mengakibatkan bumi Palestin hilang kewujudan sebagai negara Palestin. Pameran kita pada kali ini memperingatkan kita pada penderitaan yang ditanggung oleh beberapa generasi yang berasal daripada mereka yang terusir dari negara Palestin.

Ombak pertama pelarian tersebut telah tersebar ke pelbagai negara jiran termasuk di Mesir, di Jordan, di Lubnan, Syria, Arab Saudi, Iraq dan Negara-negara Teluk (The Gulf States). Sebahagian dari mereka kemudiannya mengungsi atau menjadi pelarian di kemkem pelarian di selatan dan pertengahan Lubnan.

Kini mereka dan anak cucu mereka telah menjadi penghuni di dalam kem-kem pelarian tersebut untuk selama beberapa dekad. Kem-kem perlarian ini pula sering menjadi target atau sasaran bedilan dan pengeboman daripada darat dan udara oleh bala tentera Israel dan sekutunya.
Setiap kali bedilan berlaku puluhan malah ratusan jiwa yang terkorban.

Dalam tahun 1982 pengeboman yang disusuli oleh serangan tentera darat Israel merentasi gunung-ganang Selatan Lubnan telah mengakibatkan beribu-ribu kematian di kalangan penghuni-penghuni kem pelarian Palestin di Sabra dan Shatilla. The siege of west Beirut is indelibly etched in the collective memory of Palestinian refugees as well as those of us who read or viewed the contemporaneous reports.

Penyair Mahmoud Darwish telah menulis puisi-puisi yang melukiskan perjalanan panjang para pelarian Palestin. Malahan dalam tahun 1982, beliau telah menghasilkan sebuah buku bertajuk Memory For Forgetfulness – August, Beirut, 1982. Ia merupakan suatu koleksi dalam bentuk puisi prosa - suara dan visi sebuah bandaraya yang sedang berada dalam kepungan sewaktu serangan Israel dalam tahun itu. ‘With fighter jets screaming overhead, the author sets out on a journey on August 6 (Hiroshima Day) through the war-ravaged streets of Beirut in search, not so
much of a “right answer” as of a “right question”.’

Di samping itu tulisan-tulisan ahli akademik dan intelektual Edward Said banyak mengkisahkan tragedi bangsa tersebut. Salah sebuah bukunya After the Last Sky, yang mengandungi fotografi oleh jurufoto Jean Behr begitu kuat dan intense sekali melakarkan dalam teks dan foto penderitaan pengungsi atau pelarian Palestin.

Sebahagian dari mereka sepertimana Edward Said sendiri hidup dalam eksil namun terus aktif mengingatkan masyarakat dunia tentang tragedi bangsa mereka. Tajuk buku Edward Said tersebut ‘After The Last Sky’ juga merupakan suatu bait daripada puisi Mahmoud Darwish;
‘Where do the birds fly, After the last sky.’

Puisi tersebut begitu poignant sekali merakam perasaan para pelarian yang seolaholah sudah sampai ke puncak hampir putus harapan. Kemana lagikah akan mereka merayu, merentasi lapisan-lapisan langit? Ini kerana dunia pada umumnya tidak lagi mempedulikan nasib dan keadaan mereka. Malah sejak sekian tahun perbincangan menganai Road Map, Proses Damai, Peace Accord, Oslo Summit dan lain-lain namun nasib para pelarian seolah-olah tetap tidak terbela. Malah hancurnya Nahr al-Bared beberapa bulan yang lalu seolah-olah tidak menarik minat dunia. Kita telah menjadi blasé, terbiasa dengan penghancuran ruang penginapan mereka sehingga hilang deria sensitivity kita.

Kini kita berpeluang menyaksikan lukisan-lukisan oleh salah seorang masyarakat pelarian tersebut. Beliau seorang penghuni Nahr al-Bared (Cold River) yang juga mengajar seni pada anak-anak di kem tersebut. Rouhaifa Qassim telah melakarkan peristiwaperistiwa yang disaksinya. Ada lukisan tersebut menggambarkan kejadian-kejadian nyata sementara sebahagian yang lain pula menggambarkan cita-cita dan harapan para penghuni tersebut. Ada lukisan yang mengandungi teks serta tulisan samada dalam bahasa Arab atau bahasa Inggeris. Beberapa perkataan seringkali berulang. Antaranya ialah hope, freedom, force, prison, nightmare dan perkataan yang seumpamanya.

Tetapi perkataan yang seringkali berulang ialah perkataan peace atau pun damai. Ini kerana
seperti mana yang pernah ditulis oleh Usman Awang dalam sebuah puisinya Merpati
Putih Jelajahilah Dunia, kedamaian menjadi objektif atau tujuan utama bagi mereka yang
hidup dalam keadaan yang sering berlaku konflik, pertelingkahan, perang, keganasan
serta pemusnahan nyawa dan harta benda. The children of the camps are no exception.
They yearn and hunger for peace so that they can play with their dolls or toys or what ever
it is that kids of their generation play with today.

Di samping nilai-nilai keseniannnya lukisan-lukisan ini juga mempunyai nilai yang tersendiri
kerana ia merupakan catitan-catitan sejarah. Ia merakamkan persitiwa-persitiwa yang berlaku antara Jun hingga September 2007. Penyair tersohor Palestin, Mahmoud Darwish yang disebut awal tadi sentiasa menulis mengenai memory against forgetting, yakni memori melawan lupa. Kita boleh saja memaafkan tetapi kita tidak harus lupa akan ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku. Tindakan memaafkan adalah sesuatu yang wajar dan sesuai dengan cita-cita menegakkan kebenaran anjuran agung Ilahi; sementara melupakan peristiwa-peristiwa tersebut bererti kita tidak mengambil iktibar dan kurang berusaha untuk mengelak daripada persitiwa buruk seperti itu berulang lagi. Malahan Teks Agung penuh dengan peringatan-peringatan daripada sejarah masa lampau. Asas memory against forgetting ini juga menjadi dasar pada penulis-penulis besar dunia seperti Milan Kundera dan lain-lain.

Lihatlah lukisan-lukisan Rouhaifa yang menggambarkan ketakberdayaan undang-undang antarabangsa serta agensi-agensi berdepan dengan isu-isu Palestin. Ramai ahli undangundang
antarabangsa seperti Henry Cattan dan Richard Falk telah menulis mengenai pelanggaran-pelanggaran antarabangsa dalam isu Palestin. Namun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
kelihatan tidak berupaya untuk melakukan apa-apa tindakan dalam hal ini meskipun pelbagai resolusi telah diluluskan sejak empat dekad yang lalu di General Assembly PBB.

Adalah suatu realiti bahawa hidup mereka dalam eksil dipenuhi dengan kesusahan dan kepayahan serta dihimpit dengan pelbagai kesempitan dalam hal-hal asas seperti mencari
nafkah serta tempat tinggal. Kesemua ini dapat kita saksikan dengan imej berbaringan dalam tin sardin.

Namun begitu meskipun ditekan dan dalam kesempitan, minda mereka tidak pernah
terpasung atau terpenjara. Kita melihat wajah tiga orang perempuan yang bekerja keras
dengan menanggung bebanan berat sementara hasrat mereka terpasung untuk sementara
waktu. Bagaimanapun ini tidak bererti bahawa minda mereka terus terpenjara.

Meskipun kini Nahr al-Bared telah musnah ataupun gone with the wind, namun ingatan
penghuninya terhadap zaman silam dan masa kini masih kuat. Beliau melukis mengenai
missed childhood dan lain-lain. Namun sebuah lukisannya dengan penuh azam mengatakan we won’t forget sesuai dengan anjuran Mahmoud Darwish.

Itulah imej yang menjadi bahan lukisan anak-anak pelarian yang dibimbing oleh Rouhaifa.
Meskipun beberapa lukisan tersebut menunjukkan wajah anak-anak dengan air mata
mengalir, ada juga lukisan yang menunjukkan mereka bermain dan ceria di tengahtengah
suasana perang dan tidak tenteram tersebut. Malahan ada sebuah lukisan yang
memperlihatkan air mata mengalir namun, pada masa yang sama terserlah daripada
wajah-wajah mereka suatu semangat untuk tidak tunduk pada penderitaan.


Pada waktu yang sama kami mengucapkan syukur dan terima kasih kerana pelukis-pelukis Malaysia dalam kadar waktu yang terbatas telah sanggup memenuhi undangan untuk mengikutsertakan lukisan-lukisan mereka dalam pameran ini. Ada yang membuat lukisan yang baru sebagai respons sementara sebahagian pula telah memberikan lukisan-lukisan lama yang berada dalam simpanan mereka.

Mereka lintas generasi, daripada Syed Ahmad Jamal, Long Thien Shieh, hinggalah Ahmad
Fuad Osman, Hamir Soib, Partick Lasak, Tan Sei Hon dan Rahmat Haron. Malahan seniman tersebut melintasi latar belakang kepercayaan atau keyakinan, warna kulit, pengalaman, umur dan gender. Kesanggupan kesemua mereka menunjukkan bahawa isu Palestin terus mendapat empati ataupun dokongan daripada seniman Malaysia.

Semua ini menunjukkan bahawa dalam hal-hal yang menyangkut kemanusiaan, rasa pedih, derita dan kehilangan (loss), mangsa-mangsa kekejaman tidak mengenal batasan-batasan warna kulit, gender, umur, sempadan, ideologi, hatta apa-apa pertimbangan sekalipun. Pertimbangan yang utama adalah pertimbangan kemanusiaan bukan soal-soal yang lain.


Nahr al-Bared telah musnah, hancur keseluruhannya tetapi lukisan-lukisan Rouhaifa Said Qassim menjadi saksi penting akan semangat yang tumbuh daripada kezaliman yang dilakukan ke atas mereka. Daripada kancah dan puing-puing kemusnahan kini berdiri megah saksi nyata suatu semangat yang mewakili zeitgeist para pelarian serta bangsa Palestin yang tidak akan terkalahkan. Daripada penderitaan, yang lahir bukannya kemurungan atau sikap mengalah – sebaliknya yang lahir adalah semangat seperti burung phoenix yang bangun daripada abu-abu kebakaran, Yang kita lihat adalah suatu sikap yang tabah berasaskan suatu pengalaman sejarah yang panjang. Out of oppression, and misery, comes resilience.

raja ahmad aminullah
Director, R A FINE ARTS

Labels: , , ,

 

 

Wednesday, July 23, 2008

Singgah ke USM Hadir Pameran Lukisan

Pada 22 Julai, aku mengambil time-off dari Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membosankan untuk pergi melihat pameran lukisan di USM bertajuk 'Dari Kuala Kangsar ke…' . Aku menerima jemputan dari Pengarah RA Fine Arts, Raja Ahmad Aminullah (Pak Engku) yang memberitahu bahawa beliau akan mengadakan pameran lukisan dengan kerjasama Pusat Pengajian Seni, USM.

Sebetulnya, dalam perjalanan aku ke Pulau Pinang (20 Julai), aku singgah di Kuala Kangsar untuk melawat anak saudara aku, Amir Iskandar yang sedang belajar di Tingkatan 1, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Kami makan tengahari bersama-sama, membeli barangan keperluan di The Store dan menemani aku memeriksa keadaan kereta sebelum menyambung perjalanan ke Pulau Pinang.

Menara jam lama, pemandangan tasik semulajadi, sungai Kangsar, bangunan kolonial lama memang menyayukan.

Sedih bila Amir menceritakan jadual hariannya bermula 5.30 pagi setiap hari dan tidur jam 10 malam. Amir nampak gembira kehadiran aku dan kami berborak, tak panjang tapi dapat setakat melepas rindu. Dia tanya juga keadaan keluarga di Petaling Jaya dan akan pulang bercuti semasa cuti penggal Ogos depan.

Tak sempat aku merakamkan beberapa gambar ketika kami di Kuala Kangsar kerana aku mengejar masa dan cuaca pada waktu itu hujan.

Pameran Lukisan Dari Kuala Kangsar ke…: Rakaman Memori Kuala Kangsar dalam Visual

Selepas berjaya menganjurkan pameran lukisan yang menukilkan beberapa pengalaman peribadi dalam lukisan visual, RA Fine Arts sekali lagi mengadakan pameran serupa, tetapi kali ini diadakan di bahagian utara semenanjung, Pulau Pinang.

Pameran bertajuk ‘Dari Kuala Kangsar ke…’ memperlihatkan sosok kreatif melalui karya seni dari mereka yang pernah berada di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Antaranya ialah DYMM Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Almarhum Sultan Idris Afifullah, YAM Raja Shah ‘Bugs’ Idris, Dato’ Mustapha Mahmud, Dato’ Mahsun Haji Taib, Hishamuddin Rais, Abdul Razak Ali, Sham Kamaruddin, Dzulkifly Mohd Zain, Kamal Zakaria, Shaharun Harun, Nik Ariff Nik Ahmad, Syed Bakar Syed Salim, Zainuddin Jamil, Kamal Mustaffa dan Zainol Abidin Ahmad Shariff.

Turut dipamerkan ialah hasil seni fotografi yang bernuansa artistik daripada Azli Jamil, Hasnul Hassan, Raja Ahmad Aminullah, (Prof) Zulfigar Yassin dan Munzir Fauzi.

Tarikan utama menjadi pilihan pengunjung ialah nilai-nilai sentimental yang ditinggalkan semasa persekolahan mereka di MCKK. Sudah tentu, pelanggan yang mendapat tarikan pameran ini ialah murid-murid tua, bekas pelajar, guru-guru dan juga perantau dari Kuala Kangsar yang menyanjung kehidupan mereka di bandar tersebut yang merupakan kampong halaman mereka.

Antara yang menarik ialah karya Syed Jaafar Syed Salim (kanan) yang juga merupakan pelukis tamu di mana pameran ini diadakan; Galeri Budaya Rekacipta dan Inovasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Syed Jaafar, bekas guru seni di MCKK memberitahu pada sidang media 22 Julai bahawa pengalamannya di Kuala Kangsar cukup manis dan Kuala Kangsar merupakan Bandar yang unik dari aspek social dan struktur pembangunannya.

Banjir pada tahun 1966 dinukilkan di dalam lukisannya, The Flood 1966. Karya-karya lain beliau mengenai Kuala Kangsar ialah A Beautiful Day, The Roll Call, Bukit Berapit, Malay College Teacher’s Qurters dan Kedai Pa’Kassim.



Selain itu, pameran itu juga turut memaparkan buku-buku yang ditulis oleh para alumni dan guru MCKK. Antaranya ialahIshak Haji Muhammad (Pak Sako) – ‘Anak Mat Lela Gila’, ‘Putra Gunung Tahan’, ‘Mustika Embun’, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh – ‘Aksara Usia’, The Mind of The Malay Author’, Qasim Ahmad – ‘Eropah Moden: Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan’, Rehman Rashid – ‘A Malaysian Journey’, Raja Ahmad Aminullah – ‘Menyarung Jiwa/Soulship’, Dato’ SirMahmud bin Mat – ‘Tinggal kenangan: The Memoirs of Dato’ Sir Mahmud bin Mat’, Mohd Nazari Ismail – ‘The Globalization Debate: A Case of Barking up The Wrong Tree’, Aznir Malek – ‘Fishing Foray: An Angler’s Travels in Malaysia’, M.Bakri Musa – ‘Seeing Malaysia My Way’, an Sri Abdullah Ahmad – ‘On The Record’, Dato amaruddin Jaafar- ‘Dr Burhanuddin al-Helmy’, dan Neil J.Ryan – ‘The Last Expatriate: Reminiscences of an Educationalist in Malaysia’.

Juga dipamerkan karya-karya bekas guru seperti Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba) – ‘Pelita Bahasa Penggal II’, Anthony Burgess – ‘The Malayan Trilogy’, Sharon Bakar dan (Allahyarham) Muzaffar Tate – ‘Projek Lebuhraya Utara-Selatan (The Anatomy of An Expressway)’.

Pameran ini dibuka pada umum dari 22 Julai hingga 22 Ogos 2008. Majlis perasmian serta pelancaran akan diadakan pada 6 Ogos 2008, jam 3 petang oleh Prof Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor USM. Kurator pameran ini ialah Zabas (Zainol Abidin bin Ahmad Shariff, bekas Pengarah Galeri Seni Petronas dan Galeri Bank Negara) manakala penasihat kuratorial ialah Syed Bakar Syed Salim.



Lukisan pilihan blog ini:

1. Celebration in Red oleh Mahsun Hj Taib
2. Omdurman Woman 2 oleh Kamal Mustaffa
3. Malay College Teacher's Qurters oleh Syed Bakar Syed Salim


Fotografi pilihan blog ini:

1. The Heart is a Lonely Hunter, 5/10 oleh Raja Ahmad Aminullah
2. KTM Berhad Headquarters oleh Hasnul Hassan
3. Fun oleh Azli Jamil



Buku pilihan blog ini:

1. Aksara Usia oleh Muhammad Haji Salleh
2. Anak Mat Lela Gila oleh Pak Sako
3. A Malaysian Journey oleh Rehman Rashid

Labels: , , , , ,

 

 

Wednesday, July 09, 2008

Pameran Lukisan Pemandangan Malaysia: Mantan Penjawat Awam Meriahkan Seni Lukisan

Bersama lukisan Bhanu Achan, Source Nature Series 32, watercolor on paper, 50cm x 65cm



Atas usaha RA Fine Arts di bawah pengarahnya, Raja Ahmad Aminullah, sembilan mantan penjawat awam bersatu dalam pameran lukisan yang bertemakan pemandangan Malaysia dan bermotifkan cat air.

Di kalangan mereka, ada yang pernah menjadi pendidik, pegawai polis dan pegawai tinggi perkhidmatan awam Negara. Tali yang menghubungkan mereka adalah kecintaan yang dalam pada dunia seni terutamanya lukisan. Apa sekalipun latar belakang pekerjaan mereka dalam perkhidmatan awam, yang nyaa adalah kesungguhan mereka dalam menghasilkan lukisan-lukisan itu. Malahan ada di antara mereka yang telah melukis selama lebih daripada 30 tahun.

Selain daripada pelukis Bhanu Achan, kesemua daripadanya sudahpun menempah nama dengan hasil-hasil lukisan meeka sebelum ini.

Hj Mohd Sani Md Dom, bekas Pegawai Perhubungan Awam mempersembahkan lukisn “Rumah Rakit”, “Rumah Rakit I (Kuala Lipis)” dan “Pantai Berserah” mengambil mood sungai dan laut sebagai pemandangan pilihannya di mana beliau banyak menghabiskan masa semasa lampau.

Sani Md Dom-Rumah Rakit II (Temerloh), 38cm x 54cm, 1003

Pelukis yang sememangnya sudah terkenal dalam lukisan cat air, Hj Mansor Ghazalli, mantan guru seni menukar pemerhatiannya daripada alam sekitar kepada senibina. Jambatan Sultan Abdul Jalil di Kuala Kangsar memberi beliau cabaran yang sungguh mengujakan. Beliau menggunakan garisan lukisan seminima mungkin

Sementara itu, Dato Haji Mahsun Hj Taib banyak memfokuskan kepada lukisan abstrak dan menamakan siri lukisannya itu “Lakshmi”.

Dr Wong Seng-Tong, mantan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia pula menggunakan kepakarannya dalam menghayun kayu berus kepada lukisan- kayu tunjang, penyelak yang menyokong bagan nelayan di persisiran laut. Besama deruan angin, terasa lukisan Seng-Tong sungguh nyaman.
Dr Wong Seng Tong,A fisherman’s hut, watercolour, 56x76cm, 2008

Bagi Dato’ Tengku Alaudin Tengku Abdul Majid, subjeknya terus kepada pemandangan gigi sungai dan aktiviti kerbau bergelumang di dalam lumpur.

Daripada kebanyakan lukisan perhatian orang ramai ialah kepada lukisan daripada Dato’ Mohd Yusoff Jaafar yang menggunakan imaginasinya kepada lukisan. Motif lukisannya masih memfokus kepada daun-daunan yang digubah seperti lukisan batik.

Disebalik Rimbunan II (2008)
Artis: Dato' Hj Mohd Yusoff Jaafar
76cm x 56cm


Majlis perasmiannya diadakan pada 5 Julai yang lalu oleh seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal . Di dalam ucapannya, Syed Ahmad berkata bahawa lukisan-lukisan yang dipamerkan itu adalah sebagai gambaran kepada jiwa Negara.

“Ia adalah sebuah perasaan cinta terhadap negeri,” ucapnya.

Dari kiri: Datuk Syed Ahmad Jamal, Raja Ahmad Aminullah dan Tengku Ahmad Aminullah


Pameran Pemandangan Malaysia berlangsung dari 12 Jun hingga 11 Julai 2008 di No.6 Jalan Aman Off Jalan Tun Razak 55000 Kuala Lumpur.

Labels: , , ,

 

 

Wednesday, November 21, 2007

Tabah Dalam Derita - Suara Generasi Dari Kem Pelarian


Malam ini aku mengambil keputusan untuk hadir dalam satu acara pembukaan pameran lukisan Palestin berjudul “Tabah Dalam Derita”. Ia dianjurkan oleh RA Fine Arts. Aku sendiri mendapat jemputan daripada kuratornya sendiri, Pak Engku (Raja Ahmad Aminullah) ketika beliau mengunjungi aku di Arts for Grabs tidak berapa lama dahulu.

Kami dihidangkan dengan makanan Palestin serta alunan muzik Arab. Selain daripada rakan-rakan artis, tetamu-tetamu yang lain yang turut hadir termasuk Datuk Syed Ahmad Jamal, Yusri Mohamed (Presiden ABIM) dan Datuk A.Samad Said.

Pengunjung-pengunjung juga dihiburkan dengan bacaan-bacaan puisi oleh artis-artis tempatan.
Sejarah penderitaan dan perjuangan rakyat Palestin dalam mengekalkan tanahair mereka bukan dinukilkan dalam bentuk seni dan dibawa ke Negara ini bagi ita sama-sama memahami dan mendapat iktibar daripada isu yang melanda tanahair Palestin.

Pameran berjudul “Tabah Dalam Derita” itu dibawa oleh R A Fine Arts di ibukota. Pameran itu memaparkan suatu himpunan karya seni lukisan serta luahan hati oleh guru lukisan, Rouhaifa Said Qassim dan kanak-kanak di kem pelarian paestin di Nahr el- Bared.

Di samping itu, pameran itu juga mempamerkan karya lukisan seniman Malaysia termasuk Syed Ahmad Jamal, Long Thien Shih, Tuan Syed Bakar, Mahsun Haji Taib, Amir Zainorin, Hamir Soib, Nur Hanim Khairuddin, Ahmad Fuad Osman, Tan Sei Hon, Haslin Ismail, Rahmat Haron, Patric Lasak, Munzir Fauzi, Mustapha Haji Ibrahim, Kamal Zakaria, Azmin Hussein, Masnoor Ramli, Maslin Md Ramly, Ramlan Abdullah, Samsudin Mohamad dan Zazi. Turut terlibat ialah artis jemputan dari Indonesia, Kartika Affandi.

Sebenarnya, dari saat Perisytiharan Balfour, pelbagai perbincangan terbuka dan sulit di kalangan kuasa-kuasa besar telah mengakibatkan bumi Palestin hilang kewujudan sebagai Negara Palestin. Pameran yang diadakan itu memperingatkan pengunjung penderitaan yang ditanggung oleh beberapa generasi yang berasal daripada mereka yang terusir dari Palestin.



Kanan: Lukisan oleh Alaa Sharma, Nermin Waked & Nuhan Waked (kanak-kanak pelarian Palestin di kem Nahr al-Bared)

Ombak pertama pelarian tersebut telah tersebar ke pelbagai Negara jiran termasuk di Mesir, Jordan, Lubnan, Syria, Arab Saudi, Iraq dan Negara-negara Teluk. Sebahagian dari mereka kemudiannya mengungsi atau menjadi pelaria di kem-kem pelarian di selatan dan pertengahan Lubnan.

Kem-kem pelarian itu pula sering menjadi sasaran bedilan dan pengeboman dariapada darat dan udara oleh bala tentera Israel dan sekutunya.

Setiap kali bedilan berlaku, puluhan malah ratusan jiwa terkorban. Dalam tahun 1982, pengeboman yang disusuli oleh serangan tentera darat Israel merentasi gunung-ganang Selatan Lubnan telah mengakibatkan beribu-ribu kematian di kalangan penghuni-penghuni kem pelarian Palestin di Sabra dan Shatila.

Rouhaifa (Said) Qassim
Rouhaifa telah melakarkan peristiwa-peristiwa yang disaksinya. Ada lukisan tersebut menggambarkan cita-cita dan harapan para penghun tersebut. Ada lukisan yang mengandungi teks serta tulisan sama ada dalam bahasa Arab atau Bahasa Inggeris. Beberapa perkataan seringkali berulang. Antaranya ialah hope, freedom, force, prison, nightmare dan perkataan yang seumpamanya. Namun, perkataan yang ternyata banyak dipaparkan dalam lukisan beliau ialah peace (damai).

Lukisan-lukisan Rouhaifa merupakan kesaksian utama dari perempuan awal 30an. Sebagai penghuni Nahr al-Bared, beliau menyaksikan secara rutin kesan-kesan bedilan, aksi keganasan serta serangan yang dilakukan ke atas tempat penginapan mereka selepas orang-orang tua mereka diusir dari kampong halaman mereka di Palestin pada tahun 1948.

Meskipun Nahr al-Bared telah musnah, namun ingatan penghuninya terhadap zaman silam dan masa kini masih kuat. Rouhaifa melukis mengenai zaman kanak-kanaknya dan mengatakan ‘we won’t forget’ sesuai dengan anjuran Mahmoud Darwish. Darwish ialah penyair terkenal Arab yang banyak menulis sajak-sajak pedas dan editor akhbar Ittihad dan pernah dipenjarakan.
Oleh Rahmat Haron bertajuk "Potret Seorang Perdana Menteri Sebagai Pengganti Berhias". Dilukis dengan arkilik di atas kanvas. 2007

Meskipun beberapa lukisan kanak-kanak Palestin yang dipamerkan menunjukkan wawjah anak-anak dengan air mata mengalir, ada juga lukisan yang menunjukkan mereka bermain dan ceria di tengah-tengah suasana perang dan tidak tenteram tersebut. Malahan ada sebuah lukisan yang memperlihatkan air mata mengalir, namun, pada masa yang sama terserlah daripada wajah-wajah mereka suati semangat untuk tidak tunduk pada penderitaan.

Begitu juga lukisan anak-anak Palestin dari Nahr al-Bared menggambarkan harapan, keyakinan, aspirasi serta cita-cita mereka di tengah kehidupan yang keras, kehilangan tanah air dan karta-benda serta usaha-usaha memadamkan budaya dan memori mereka.

Oleh Syed Ahmad Jamal berjudul "? Palestine". Lukisan berasaskan bendera Palestin dengan bentuk tumpal di bahagian tengah yang sekaligus menggambarkan darah rakyat Palestin turun melimpah ke bumi di mana digambarkan lubang-lubang bekas tembakan peluru di tembok. Di bahagian bawah kelihatan liang-liang lahad mangsa tembakan....Di bahagian atas melambangkan roh mereka yang telah menyabung nyawa untuk negara. Di kawasan kiri dan kanan tumpal kelihatan khemah-khemah semasa perang dan aman.


Melalui lukisan-lukisan itu, mereka juga menunjukkan sikap mereka yang tidak mudah mengalah dengan keadaan yang dipaksakan kepada mereka malah mereka tetap defiant kerana mereka merupakan anak-anak kecil yang tidak mengerti permainan orang-orang tua.

Dalam kenyataan pelukis Kartika, untuk lukisannya Menatap Hari Esok, beliau telah menyatakan;

“Orang tua-tua sering berkelahi,
Bagaimana situasi akan datang.”


Lukisan daripada Kartika merupakan lukisan yang dihasilkan sempena kunjungannya ke Malaysia selama seminggu sebagai tamu R A Fine Arts.

Artis-arti yang menyumbang dalam pameran itu mennjukkan bahawa dalam hal-hal yang menyangkut kemanusiaan, rasa pedih, derita dan kehilangan, mangsa-mangsa kekejaman tidak mengenal batasan-batasan warna kulit, gender, umur, sempadan, ideologi, hatta apa-apa pertimbangan sekalipun. Pertimbangan utama yang dipaparkan adalah pertimbangan kemanusiaan bukan soal-soal lain.

Pameran “Palestin: Tabah dalam Derita” itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Penerangan, YB Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan berlangsung dari 17-24 November dan terbuka kepada khalayak umum.

R A Fine Arts Gallery bertempat di No 6, Jalan Aman, off Jalan Tun Razak, 55000 Kuala Lumpur.


Malam ini aku mengambil keputusan untuk hadir dalam satu acara pembukaan pameran lukisan Palestin berjudul “Tabah Dalam Derita”. Ia dianjurkan oleh RA Fine Arts. Aku sendiri mendapat jemputan daripada kuratornya sendiri, Pak Engku (Raja Ahmad Aminullah) ketika beliau mengunjungi aku di Arts for Grabs tidak berapa lama dahulu.

Labels: , , , , , , , ,

 

 

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com