Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile

Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!

~ faisal mustaffa online ~

Tuesday, August 31, 2010

Pemilihan keADILan: Rebutan Kuasa dan Pengaruh

Oleh Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh

Parti Keadilan Rakyat (keADILan) baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka bakal menjadi parti politik pertama di Malaysia untuk menjalankan pemilihan langsung untuk memilih barisan kepimpinan mereka. Pucuk pimpinan tertinggi parti itu akan dipilih secara terus pada 17 September hingga 3 Oktober 2010. Semua jawatan di peringkat cabang serta di peringkat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT), termasuk jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota MPT akan dipilih terus oleh ahli-ahli parti.

Antara beberapa desas-desus yang menjadi perbualan hangat di warong-warong kopi di Bangsar dan Petaling Jaya adalah berhubung dengan pengenalan amalan demokrasi yang lebih mendalam ini di Malaysia. Kebanyakan keputusan pun dibuat sambil minum teh tarik di warong kopi. Banyak persoalan yang tercetus apabila keADILan mengambil tindakan ini, antaranya amalan ini akan mempengaruhi pemilihan PAS dan DAP, sama ada amalan ini akan mempengaruhi mana-mana parti komponen Barisan Nasional, khususnya UMNO, dan mungkinkah amalan ini digunapakai untuk pemilihan barisan Kabinet suatu hari nanti?

Selain itu, isu pencalonan juga menjadi topik hangat di kalangan anggota parti dan penyokong mereka. Ada pihak yang mengatakan bahawa Nurul Izzah (ahli parlimen Lembah Pantai) tidak akan bertanding apa-apa jawatan kerana khuatir parti terus dilabel sebagai parti anak-beranak jika menang. Isu yang lebih hebat daripada itu berkaitan isu pencalonan bagi jawatan Ketua Angkatan Muda, yang dijangka akan melihat pertandingan empat penjuru. Isu ini menjadi modal sindiran hangat dalam twitter dan facebook beberapa nama besar dalam sayap pemuda itu.

Ada juga yang mendakwa barisan kepimpinan baru sudah pun diatur dan pemilihan yang bakal berlangsung hanya sekadar kelaziman untuk legitimasi. Nama-nama yang menjadi sebutan ramai adalah Anggota MPT, saudara Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard; seorang intelek muda, Saudara Rafizi Ramli; Ketua Angkatan Muda sekarang iaitu saudara Shamsul Iskandar Md Akin; dan penulis ucapan untuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Cabang Parti Sulong Johor, saudara Hasmi Hashim yang lebih dikenali sebagai Buddhi Hekayat penulis lirik lagu Ajaib yang dipopularkan oleh kugiran rock Spider.

Daripada nama-nama pemuda tersebut, hanya Badrul Hisham dan Hasmi Hashim sahaja yang boleh dikatakan popular di kalangan orang muda, sungguh pun bagi sebab-sebab yang berlainan. Jika Chegubard dikenali dengan gaya streetfighter (pahlawan jalanraya) dalam berkonfrontasi dengan pihak dari parti lawan dalam arena politik, Buddhi Hekayat pula popular sebagai penulis lirik dan penyajak. Persamaan kedua-duanya pula adalah semangat idealisme orang muda yang membara-bara, dan sikap rebel terhadap pucuk pimpinan parti.

Sebilangan ahli parti mendakwa saudara Rafizi adalah orang pilihan pucuk pimpinan parti, manakala Chegubard dan Hasmi pula adalah penghalang yang enggan mengikut telunjuk. Yang jelasnya orang muda lebih cenderung menyokong Chegubard dan Hasmi Hashim, kerana mereka sering terlibat secara terus dengan orang muda, lantas lebih memahami kehendak dan keperluan generasi muda. Ramai yang memandang enteng akan Hasmi Hashim dan menjangkakan pertandingan sengit di antara Chegubard dan Rafizi, sementara Shamsul Iskandar pula kurang menjadi tumpuan.

Keserasian Chegubard dan Hasmi yang cuba mendekatkan diri orang muda dilihat sebagai kekuatan utama mereka dalam parti. Jika Chegubard popular di kalangan anak muda, Hasmi pula lebih mesra dengan pimpinan-pimpnan mahasiswa dari universiti tempatan. Barangkali gandingan kedua-dua pemuda ini adalah yang terbaik bagi kepentingan parti, namun pihak atasan parti lebih gemar akan Rafizi Ramli yang jarang dikenali orang muda. Sementara Chegu Bard diramal untuk memenangi jawatan tersebut, Hasmi pula dijangka melakukan kejutan atau keajaiban dalam pemilihan nanti.

Chegubard dari Negeri Sembilan dan Hasmi di Johor. Mereka sama-sama mempunyai jentera setia masing-masing, sungguhpun kadangkala puak berkepentingan akan sekali-sekala mengugut keluar parti dan masuk parti lawan.

Chegubard pernah menerajui kempen Black 14 (2004) yang menjelajah seluruh Negara berkempen untuk pemulihan system Negara dengan mengambil isu Anwar Ibrahim sebagai subjek utamanya. Hasmi pula bergerak di belakang Institut Kajian Dasar dan Komunite Jalan Telawi melalui program seni Apuke sekitar masa yang sama. Hasmi juga petah dengan pendekatan politik gimiknya sebelum ini seperti manifesto Angkat Semangat Zaman dan sebelum itu Pencerahan.

Selain daripada itu Sabah juga menjadi tumpuan pemilihan kali ini kerana persaigan sengit dijangkakan bagi semua jawatan di 26 cabang. Khabar angin hangat mengatakan terdapat dua kumpulan utama dalam keADILan Sabah, iaitu kumpulan yang pro-Jeffrey Kitingan dan kumpulan yang pro-Ansari Abdullah. Cabang Kota Belud diura-urakan akan melihat pertandingan tiga pejuru oleh saudara Saidil Simoil, saudara Jalumin Bayogo dan saudara Shukor Momin. Jeffrey pula dijangka akan meninggalkan Cabang Keningau dan bertanding Cabang Pensiang menentang Danny Andipai.

Ansari yang merupakan Ketua Cabang Tuaran akan ditentang oleh Edward Linggu bekas Adun Temparuli. Mozes Iking bapa kepada model Daphne Iking, yang menentang Joseph Pairin Kitingan di Tambunan dalam pilihan raya umum lalu pula dijangka bertanding di Cabang Keningau yang juga menjadi perhatian John Jinus Sibin. Nampaknya cuaca politik Sabah jauh berbeza daripada di Semenanjung, mungkin kerana pucuk pimpinan pusat tidak dapat mengatur caturan mereka di negeri di bawah bayu itu.

Amalan demokrasi yang menjadi tunjang kepada keADILan telah melahirkan ramai penentang-penentang di dalam partinya. Selain daripada pelbagai aliran pemikiran yang kritis, keADILan juga melihat pertembungan idea-idea tua dan muda. Secara keseluruhanya ini adalah suatu perkembangan yang baik dari segi amalan demokrasi. Sama ada ini adalah petanda yang baik kepada politik nasional, masih menjadi tanda soal dan hanya masa akan menentukannya.

Edisi sunat di sini.

Thursday, August 26, 2010

Terkongkong di hari Merdeka

Oleh Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh

Seminggu sahaja lagi kita akan menyambut kemerdekaan tanah air kita yang ke-53. Lalu berkumandanglah lagu-lagu patriotik di saluran radio dan televisyen milik kerajaan dan juga “sedikit” bantuan daripada media-media aliran utama yang dimiliki oleh gabungan parti-parti politik pemerintah. Rakaman video bersejarah peristiwa penurunan Union Jack dan laungan kemerdekaan oleh Tunku, dan iklan-iklan menarik beberapa syarikat yang ditubuhkan kerajaan diulangtayangkan seolah-olah ada pesanan subliminal yang hendak ditanam dalam minda rakyat.

Bendera Malaysia yang dikenali sebagai Jalur Gemilang yang ‘kebetulan’ menyerupai bendera Amerika Syarikat yang dikenali antara lainya sebagai “The Stars and Stripes”, anehnya nama bendera pun lebih kurang maksudnya. Jika difikirkan nama Negara pun lebih kurang juga, cuba bandingkan The United States of America dengan The Federation of Malaysia. Sejak minggu lepas lagi sudah kelihatan Jalur Gemilang dikibarkan dipremis-premis perniagaan, dan bangunan-bangunan kerajaan dan korporat besar. Jalur Gemilang kita “sebenarnya” berasaskan bendera Malaya yang diluluskan oleh King George VI pada 19 May 1950.

Namun entah mengapa beberapa tahun kebelakangan ini semakin kurang bilangan Jalur Gemilang yang dikibarkan, semakin kurang perayaan Kemerdekaan diadakan, dan yang diadakan pun kurang mendapat sambutan berbanding zaman-zaman Tun Dr Mahathir Mohammed memegang tompok pimpinan. Sebaliknya semakin banyak tunjuk perasaan dan demonstrasi yang membantah tindakan-tindakan kerajaan. Kerajaan pula terus mengambil tindakan keras terhadap perkara-perkara seremeh komik. Pada bulan Jun yang lalu, Kementerian Dalam Negeri telah mengharamkan buku terbitan Malaysiakini oleh kartunis popular Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Di dalam sebuah ‘negara merdeka’ ini, kita masih terkongkong dengan Akta Hasutan, Akta Penerbitan, Akta Polis, Akta Fitnah, Akta Keselamatan Dalam Negeri. Kesemua akta ini (antaranya) secara terang menyekat kebebasan manusia dan bercanggah dengan hak asasi manusia.

Rakyat juga sudah kreatif dalam melahirkan ketidakpuasan mereka. Ramai yang memblog akan ketidakpuasan mereka, ada yang mengubah lagu melahirkan ketidakpuasan mereka, ada pula yang berkomedi, tidak kurang yang membuat pementasan theater, ada yang membuat filem, ada yang membuat dokumentari, ada pula melukis Namun semua ini tidak diparwahkan oleh pihak pemerintah, hanya protes jalanan yang nampaknya berkesan memperoleh reaksi mereka. Rasanya rakyat Malaysia tidak akan memilih jalan raya jika Kerajaan peka dengan tuntutan rakyat yang dibuat melalui memorandum dan sebagainya, malangnya tidak ada satu pun dokumen yang diserahkan oleh mana-mana persatuan sivil kepada Kerajaan berjaya untuk mencetuskan apa-apa perubahan.

Sudah mula wujud sebilangan besar rakyat yang tidak puas hati dengan polisi-polisi kerajaan. Polis mendakwa mereka adalah ancaman kepada keselamatan negara. Masyarakat India telah melahirkan kekecewaan dengan Kerajaan pusat melalui perhimpunan HINDRAF. Perhimpunan BERSIH pula menontonkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum menuntut pilihan raya yang lebih adil, telus dan transparen. Tidak lupa juga dengan kekecohan yang berlaku di Ipoh, Perak. Golongan mahasiswa pun telah mula menyengat kerajaan dengan menuntut supaya penglibatan politik tidak dijenayahkan di bawah AUKU. Malah ahli-ahli Majlis Peguam Malaysia pun telah turun ke jalan raya untuk menuntut siasatan keatas badan kehakiman Negara.

Persoalanya, mengapakah rakyat memilih jalan raya sebagai wadah? Layanan pihak polis dalam usaha meleraikan perhimpunan-perhimpunan itu pula begitu ganas sekali seolah-olah mereka adalah pihak penjajah dan kita adalah yang dijajah. Barangkali semangat Merdeka itu sudah layu? Barangkali rakyat sudah mula rasa tertindas? Barangkali kebebasan itu sudah menjadi satu ilusi? Adakah pihak berkuasa lupa akan kata-kata Tunku ketika permasyuran kemerdekaan?

…dengan limpah rahmat Allah subnahu wa ta’ala akan kekal menjadi sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.

Anehnya empat perkara itulah yang menjadi punca utama kekecohan yang belaku di dalam Negara kita. Pihak-pihak demonstran berpekik-pekik dan meraung kononya kebebasan dan keadilan Negara telah dinoda politikus-politikus yang rakus dan korup. Pihak penguatkuasa pula berulang kali menggunakan alasan remeh “mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya” untuk memberkas dan meyiksa rakyat dengan gas pemedih mata dan baton-baton FRU yang libasanya teramat sakit. Jika permasyuran kemerdekaan itu layak dijadikan satu penunjuk aras, rasanya Malaysia sudah kehilangan semangat kemerdekaanya.

Bagaimana hendak Merdeka tatkala Negara menjadi sebuah negara polis, rakyat menderita disisihkan, dan penunjuk perasaan dibelasah, ditangkap dan dilayan seperti hamba abdi, barangkali lebih teruk lagi. Mengapa pihak berkuasa gagal menghayati semangat kemerdekaan sepertimana yang dimasyurkan oleh Tunku itu? Barangkali apa yang dilakukan oleh rakyat dengan berprotes dan berdemonstrasi di jalanan adalah disebabkan rasa cinta kepada Negara? Mungkinkah ini manifestasi sifat patriotisme yang melawan segala bentuk kuasa yang menindas rakyat?

Disebalik acara-acara gilang-gemilang yang dianjurkan Kerajaan untuk kononya mengambarkan nilai kemerdekaan dan menggalakkan perpaduan, wujudnya semangat kemerdekaan yang amat kuat dikalangan rakyat. Semangat yang jelasnya lebih menggerunkan Kerajaan daripada perairan Negara yang dicerobohi tentera laut China. Rupanya semangat perjuangan bangsa Malaysia itu masih segar dan masih kuat dalam diri mereka yang turun ke jalanraya untuk melawan kuasa yang menindas.

Patrotisme dan semangat nasionalisme bukan dinilai dari bilangan Jalur Gemilang yang dikibarkan mahupun iklan-iklan menyentuh perasaan di televisyen, tetapi dinilai daripada kesanggupan rakyat untuk menyelar dan melawan penguas yang zalim dan menindas rakyat. Tiada lagi gambaran perpaduan yang lebih bererti ketika melihat anak-anak muda berbilang bangsa bersatu bertempur dengan FRU. Mungkin mereka mencari kemerdekaan, mungkin mereka cuba mempertahankan Negara daripada dasar-dasar yang menyeleweng dan menekan rakyat.

Kami hanya berharap ketegangan di antara rakyat dan pihak penguasa ini tidak bertukar menjadi angka-angka berdarah. Di mata rakyat pula, perjuangan ini telah pun meragut beberapa nyawa yang kini menjadi pembakar semangat dan asas solidariti mereka. Keadaan ekonomi yang gawat dan isu-isu perkauman yang terus dimainkan oleh politikus-politikus pemerintah sangat jelas kelihatan dan amat membimbangkan. Kemana agaknya kita sebagai satu bangsa, menjelang hari ulangtahun kemerdekaan? Hanya masa yang bakal merungkainya, sehingga itu kami mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menghayati Kemerdekaan dan Selamat Meyambut Hari Raya Aidilfithri kepada semua.

Edisi sunat dan disiarkan juga di sini.

Friday, August 20, 2010

Kes Helen Ang: Politik perkauman Perkasa-Umno amat berbahaya

Di dalam keghairahan mendapat perhatian di dalam media dan sokongan masyarakat umum yang berada di atas pagar dan mereka yang benar-benar tidak mendapat maklumat sebenar, Perkasa telah menggunakan kaedah menjadikan seorang mangsa sebagai kambing hitam.

Persoalannya siapakah yang benar-benar layak di kambing-hitamkan? Akhirnya, individu yang ‘bertuah’ tersebut ialah Helen Ang, seorang wanita berbangsa Tionghua dan penulis rencana yang agak moderate tetapi kadang-kadang menyengat.

Rencana-rencana tulisannya disiarkan di dalam media sesawang Malaysiakini dan Centre for Policy Initiatives.

Perkasa mencadangkan agar Helen disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Di dalam laporan polis yang dikemukakan, mereka mendakwa Helen “dengan angkuhnya” memburuk-burukkan Yang Di-Pertuan Agung Tuanku Mizan dengan mempertikaikan kuasa baginda.

Media propaganda Umno, Utusan Malaysia pula melemparkan tuduhan liar melaporkan, ‘Perkasa minta polis siasat Helen Ang pertikai hak Melayu, Islam’ dan ‘Perkasa lapor portal pertikai Islam’.

Rencana beliau yang agak menimbulkan kemarahan Perkasa ialah melalui artikelnya bertajuk ‘Enforcing NEP on minority religions’ yang disiarkan pada Ogos 4 di CPI.

Perkenalan kami

Aku mula mengenali Helen Ang ini selepas beliau mengajak aku bersama-sama menyumbang di laman CPI. Kemudiannya, aku dijemput sebagai speaker forum di BUM2009 pada Mei 16, 2009 di mana beliau sebagai moderator sesi perbincangan yang diadakan dalam Bahasa Melayu. Ahli-ahli panel lain terdiri daripada Fathi Aris Omar (pengarang Malaysiakini), Fahri Azzat (laman Loyar Burok) dan A.Kadir Jasin (mantan pengarang kumpulan NSTP).

Di kebanyakan waktu aku berjumpa dengannya, Helen berbaju kurung ringkas dan kami berbahasan Melayu – seolah-olah aku sedang berbicara dengan seorang wanita Melayu terakhir.

Beliau berwajah riang, bersuara lembut dan berwatak feminin.

Sekiranya kita melihat definisi Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan, seorang Melayu ialah individu yang memenuhi tiga criteria; 1) mengamal adat Melayu 2) berbahasa Melayu 3) beragama Islam.

Ya, Helen sudah memenuhi dua kriteria yang boleh menjadikan dia ‘Melayu’. Sehingga ada Melayu sendiri yang tidak memenuhi ketiga-tiga criteria tersebut dan masih mengakui mereka Melayu – sekiranya kita mengenakan syarat ‘keMelayuan’ yang agak cerewet – misalannya berpakaian pyjamas dan bukan sarung ketika tidur, makan dengan sudu garfu, berbahasa Inggeris di rumah dan tidak sembahyang.

Di dalam kelembutannya itu, ada juga ketegasan yang dipaparkan. Pada Mei 7, 2009, Helen bersama-sama 35 orang yang lain ditahan semasa berhimpun dan berpakaian hitam sewaktu punahnya demokrasi di Perak.

Aku bertanya sendiri, “manakan pula wanita yang aku kenali sebegini sanggup untuk menggugat kepentingan Melayu?”

Aku membaca dua kali lalu rencana yang dituliskannya itu dan tidak satu pun perkataan yang merujuk kepada Tuanku Mizan atau pun YDP Agong.

Sanggup mereka ini melontar tohmahan sebegini.

Momokan supaya ditanam kebencian

Senjata sebegini sudah tentu akan memberi peluang kepada pihak berkuasa untuk bertindak – tanpa usul periksa. Lihat apa yang berlaku kepada Teresa Kok melalui laporan berita isu makanan anjing dan pakaian di luar masjid sengaja diperbesarkan oleh akhbar berbahasa Melayu itu bagi menanam kebencian orang Melayu terhadapnya.

Teresa menuduh isu perkauman dan agama dibangkitkan oleh sesetengah pemimpin Umno Selangor. Di Selangor terdapat 55 peratus penduduk Melayu, 30 peratus Cina dan 14 peratus India. BN menyedari bahawa semasa pilihan raya umum lalu, pengundi Melayu mengundi calon Pakatan Rakyat. Ini adalah penting bagi Umno untuk menarik kembali pengundi Melayu di Selangor. Jadi, Utusan Malaysia dan TV3 menjadi saluran mereka.

Melalui perkara yang berlaku terhadap Teresa ini, diharap rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu sedar bahawa politik perkauman yang dimainkan oleh Umno amat berbahaya bagi kita semua. Namun, sekarang Perkasa cuba mempermainkannya pula.

Teresa bukan seorang yang tidak memahami budaya Melayu dan Islam. Teresa mendapat gred A bagi mata pelajaran Tamadun Islam dalam pengajian universitinya. Baginya, banyak persamaan baik di antara Kristian dan Islam. Beliau mampu menghayatinya terutama dari segi nilai dan pandangan terhadap dunia.

Begitu juga Helen bukan seorang yang tidak memahami budaya Melayu. Pada bulan Mac tahun lepas, beliau telah menyertai demo jalanan bagi mempertahankan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita.

Beliau telah menceritakan tentang pengalamannya ketika terlibat dalam protes tersebut: “Perjuangan [bagi memansuhkan PPSMI] didokong masyarakat pelbagai bangsa yang bersatupadu dan berhimpun seramai lebih kurang 8,000 orang di perkarangan Masjid Negara petang Sabtu lalu. Kami telah dijemput oleh seorang [wakil yang] menggunakan pembesar suara supaya memasuki halaman masjid untuk menggelakkan diri [daripada terkena semburan meriam air (‘water cannon’) dan gas pemedih mata]”.

[Solidarity for the cause clearly cut across ethnic lines last Saturday afternoon when a crowd of about 8,000 collected in the vicinity of Masjid Negara. Someone on a loudhailer invited all of us, irregardless of religion, to enter the mosque premises for sanctuary.]

Rencananya yang menyokong agar matapelajaran Sains dan Metamatik diajar dalam Bahasa Malaysia ataupun bahasa ibunda [baca ‘Math and Science: The case for BM’] jelas menunjukkan keprihatinan beliau terhadap nasib para pelajar di kawasan luar bandar – kebanyakannya budak Melayu kampung – yang ketinggalan dalam kedua-dua matapelajaran tersebut angkara dasar bahasa pengantar dialihkan kepada Bahasa Inggeris.

Penahanan Teresa di bawah ISA dan mencadangkan agar Helen ditahan di bawah ISA juga adalah suatu saya menganggap sebagai jalan terakhir bagi Umno dan Perkasa ini.

Bagaimana orang Melayu dan penganut Islam boleh dihormati sekiranya bersikap sedemikian? Orang Melayu Islam sepatutnya lebih mesra dengan bangsa-bangsa lain dan penganut agama lain bagi menarik perhatian mereka mengenali dan memahami budaya. Inilah yang terpenting.

Edisi ini telah disiarkan di sini.

Thursday, August 12, 2010

Sebuah Lagi Akta Beri Kuasa Penuh ke Menteri

Selepas Rang Undang-undang Pemerdagangan Strategik 2010 diluluskan oleh parlimen sebelum ini, sebuah lagi rang undang-undang yang kal ini memberi kuasa mutlak kepada menteri dalam membuat keputusan.

Rang Undang-undang Anti Pemerdagangan ini diberi kuasa untuk memberi arahan kepada Majli Anti Pemerdagangan Orang.

Terdapat beberapa frasa di dalam rang undang-undang ini yang merujuk kepada menteri dalam membuat keputusan.

Di dalam Seksyen 57, rang undang-undang ini menyebut tentang kuasa menteri untuk memindahkan orang yang diperdagangkan dari satu tempat perlindungan ke tempat perlindungan yang lain;
Seksyen 66 menyebut mengenai hak kuasa kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri untuk membuat peraturan-peraturan yang perlu atau suai manfaat untuk memberikan kuat kuasa penuh, atau bagi menjalankan peruntukan Akta ini;
Seksyen 67 pula memberi kuasa kepada Menteri untuk membuat ubah suaian kepada mana-mana peruntukan akta ini dalam masa dua tahun permulaan kuat kuasanya.

Akta ini membenarkan pembentukan sebuah Majlis Antipemerdagangan Orang. Mengapakah kuasa sebegini tidak diberikan kepada Majlis untuk membuat keputusan?
Ada ketika Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Dalam Negeri. Sekiranya situasi ini berulang, maka kita akan mendapati Perdana Menteri diberi kuasa autonomi di dalam isu berkaitan dengan pemerdagangan orang.

Fungsi Majlis Antipemerdagangan Orang

Komposisi Majlis Antipemerdagangan Orang sepatutnya mengambil satu pendekatan yang memberi lebih penekanan kepada perlindungan daripada keselamatan. Ini bermaksud jawatan pengerusi Majlis ini seharusnya dipegang oleh Menteri ataupun pegawai kanan daripada jabatan ataupun kementerian yang bertanggungjawab pada undang-undang ataupun keadilan, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dijadikan Naib Pengerusi. Komposisi sebegini sudah memberikan satu syak wasangka. Apa yang akan berlaku sekiranya kedua-dua menteri ini, yang satu daripadanya dilantik melalui pintu belakang Dewan Negara bertindak sebagai orang kedua terpenting di dalam membuat keputusan.

Selain itu, majlis ini juga merangkumi ketua setiausaha ataupun wakil daripada kementerian yang tiada kaitan dengan isu pemerdagangan orang. Misalnya, apa tujuan untuk memasukkan wakil daripada Kementerian Pengangkutan dan Penerangan dalam Majlis ini? Kedua-dua kementerian sepatutnya hanya melaksanakan cadangan dan perintah yang dikeluarkan oleh Majlis Antipemerdangan Orang dan mereka tidak perlu berada dalam Majlis ini.

Rang undang-undang ini hanya memberi tiga kerusi kepada wakil daripada NGO yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran tentang isu pemerdagangan orang.

Di dalam sebuah Negara demokrasi, keadaan sebegini tidak sepatutnya berlaku dan ianya digubal menjadi sebuah akta kelak. Mengapakah kuasa yang begitu besar diberi kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri tetapi bukannya kepada Majlis Antipemerdagangan Orang? Kementerian Keselamatan Dalam Negeri merupakan satu kementerian yang penting. Jawatan Menteri ini pernah dipegang oleh Perdana Menteri dalam 20 tahun yang lepas. Jadi, kenapakah kita memberi kuasa yang begitu besar kepada Menteri berkenaan tetapi bukan kepada Majlis Antipemerdagangan Orang yang terdiri daripada wakil daripada kementerian-kementerian dan NGO yang berkaitan?

Sebelum ini, Rang Undang-undang Perdagangan Strategik 2010 dibentangkan di parlimen. Mengikut perincian tersebut juga didapati bahawa terma “pegawai diberi kuasa” yang terbabit di dalam Rang Undang-undang ini. Menurut rang undang-undang ini, pegawai kastam, pegawai polis dan lain-lain jabatan yang bertindak secara langsung diberi kuasa mendapat kuasa mutlak.

Pegawai yang dinyatakan akan diberi kuasa boleh menggeledah dan menyita
tanpa waran, boleh masuk ke mana sahaja tempat atau premis untuk menjalankan siasatan, mengakses data dalam computer serta menggeledah pengangkutan.

Pegawai yang diberi kuasa termasuk pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia diberikan kuasa menggunakan kekerasan munasabah dalam melaksanakan urusannya.

Malah, mereka juga diberi kuasa boleh menangkap tanpa waran.

Berbalik kepada anti pemerdagangan, Seksyen 52(3) dalam rang undang-undang ini memberi kuasa kepada Majistret untuk merakamkan keterangan orang yang diperdagangkan dan menyelesaikan perakaman dalam masa tujuh hari dari tarikh pengemukaan orang yang diperdagangkan itu ke hadapannya.

Seksyen ini tidak sehaluan dengan pindaan Kanun Tatacara Jenayah Pindaan 2004 yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada tahun lepas. Parlimen yang besidang pada waktu itu bersetuju bahawa perakaman keterangan yang dilakukan oleh Majistret dilupuskan.

Jawatankuasa Pilihan Khas membuat keputusan ini selepas mengambil kira cadangan daripada Peguam Negara sendiri, iaitu Majistret haruslah dibebaskan daripada urusan membuat rakaman keterangan saksi supaya majistret tidak dibabitkan dalam pergaduhan tentang kejituan sesuatu keterangan dan boleh dielakkan daripada hadir dalam perbicaraan Mahkamah Tinggi.

Maka, persoalan penting ialah apakah rasional nya kuasa diberikan kepada Majistret untuk merakamkan keterangan daripada mangsa pemerdagangan orang?

Seperti yang kita sedia maklum, penyalahgunaan kuasa peringkat tertinggi sering berlaku di Negara ini dan pendakwaan sering menemui kegagalan. Menurut sejarah penyiasatan agensi membasmi rasuah, bukti sukar untuk diperolehi. Sesebuah kes yang disiasat oleh badan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mengambil masa bertahun-tahun. Apabila keputusan dibuat, pihak yang terlibat sudah meninggal dunia atau tidak berada di jawatan di mana rasuah menular-nular.

Jadi,bagi mengatasi masalah sedemikian, Jabatan peguam Negara yang mendrafkan rang undang-undang perlu peka kepada keadaan sebegini. Pemberian kuasa keterlaluan sebegini akan memberi penganiayaan kepada rakyat dan seluruh umat manusia.

Tuesday, August 10, 2010

Kajian Merdeka Centre: Rakyat Mahu Malaysia Menjadi Negara Demokratik

Melalui Rancangan Malaysia ke 10 baru-baru ini, rakyat Malaysia masih juga belum diyakini bahawa kerajaan tidak dapat memulihkan kesulitan ekonomi di negara ini.

Menerusi Kajian Merdeka Centre yang dijalankan dari Januari hingga April 2010 lalu, di dalam memperbaiki keadaan yang ada sekarang, majoriti responden (27%) berpendapat bahawa Malaysia perlu menjadi sebuah negara yang lebih demokratik dan 20% berpendapat agar sistem pendidikan negara kita bertahap dunia.

Seramai 91% daripada responden tidak berpuas hati dengan tahap ekonomi yang ada sekarang dan 76% mereka ini amat yakin bahawa tahap ekonomi ini tidak munkin dipulihkan.

77% bersetuju bahawa program-program yang dilaksanakan kerajaan hanya akan memberi pulangan kepada yang kaum tertentu dan mempunyai hubungan politik.

Namun, menerusi sokongan-sokongan kewangan yang disediakan oleh kerajaan, 33% bersetuju bantuan tesebut tidak membantu kaum Melayu / Bumiputera dalam jangka panjang bagi menjadikan mereka lebih independent.

Antara faktor-faktor yang dikaji menjadi punca rakyat Malaysia berpecah ialah keadaan politik yang tidak stabil berlaku di antara ahli-ahli politik dan parti-parti politik (13%) dan isu-isu kaum (9%).

Responden (59%) yang ditanya jgua bersependapat bahawa Melayu dan kaum Bumiputera patut dibantu dan diberi hak keistimewaan.

Rasuah Faktor kegagalan Ekonomi Negara

Antara faktor penyebab ketidakyakinan 3,141 responden yang diambil dari seluruh negara ini, 87% berpendapat bahawa rasuah menjadi faktor utama kegagalan ekonomi negara. Apa yang lebih menarik lagi, mereka bersetuju bahawa rasuah ini berpunca daripada pemimpin-pemimpin kerajaan. Daripada jumlah ini, 37% daripadanya adalah dari kalangan golongan ‘atas pagar’

Sungguhpun mereka kecewa dengan tahap rasuah sekarang, 69% daripada mereka masih menganggap perkara ini dapat diatasi manakala 26% berpendapat bahawa keadaan rasuah negara ini amat teruk sehingga ianya sudah menular ke darah daging di negara ini dan tidak dapat dibendung lagi.

Fahaman 1 Malaysia

Kita mungkin merasakan bahawa konsep 1 Malaysia ialah satu fahaman yang memupuk semangat perpaduan antara kaum di dalam negara ini. Tetapi, berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Merdeka Centre ini; dari kalangan responden bukan-Bumiputera 46% tidak meyakini akan konsep tersebut dan percaya bahawa ia hanya satu gimik politik bagi memenangi kepercayaan pengundi bukan-Melayu. Namun, 39% daripada responden yang terdiri daripada 58% dari Bandar dan 42% Bandar ini berpendapat ianya satu usaha murni dan 16% tidak mahu berbicara mengenai konsep yang banyak menimbulkan kontroversi atas konsultansi APCO Worldwide yang mana sebelum ini merangka konsep yang sama kepada Israel.

Konsep ini juga tidak diyakini dapat memperbaiki keadaan dan reputasi kerajaan yang ada sekarang. 66% daripada responden berpendapat kerajaan tidak berupaya dan tidak mempunyai sumber untuk berbuat demikian.

Apa yang menarik mengenai kajian ini ialah kesimpulan mengenai gelagat rakyat Malaysia yang ternyata dibahagi kepada tujuh kluster:

1. Golongan Setia dan Percaya (True Believers)

Terdapat sekelompok responden yang bersifat konservatif dan berpegang teguh kepada agama masing-masing. Bagi penganut agama Islam, mereka bersetuju agar undang-undang Hudud dilaksanakan di negara ini sungguhpun mengetahui negara ini terdiri daripada pelbagai kaum.

Selain daripada peka kepada situasi politik yang berlaku, mereka juga agak kritikal kepada kerajaan yang mentadbir sekarang. Bagi kaum Melayu / Bumiputera yang ebrada di dalam kluster ini, mereka bersetuju Melayu perlu bersatu di bawah naungan UMNO tetapi perlu emberi ruang kepada parti-parti yang lain.

2. Golongan Kelas Bekerja

Seperti Golongan Setia dan Percaya , golongan ini juga bersifat konservatif dan merasakan agama penting bagi memupuk nilai-nilai moral. Mereka membangkang pasangan yang bukan muhrim belum bernikah tinggal sebumbung.

Golongan ini percaya kepada Konsep 1 Malaysia – konsep yang dapat memupuk perpaduan di Malaysia . Sungguhpun mereka tidak berminat dengan kegiatan politik semasa, namun mereka berpendapat kaum minoriti tidak sepatutnya menuntut pelbagai keistimewaan.

3. Golongan Kolar Putih

Seperti Golongan Setia dan Percaya, mereka ini tidak berapa bersetuju dengan pentadbiran kerajaan sekarang. Dengan sifat liberal yang ada dengan mereka, mereka tidak bersetuju dengan ekonomi negara dan tidak yakin bahawa keadaan ekonomi di tahap ini dapat dipulihkan dalam tempoh jangka setahun.

4. Golongan Bawahan

Bagi golongan ini, keraguan yang mereka alami ialah sekiranya kaum bukan-Bumiputera / Cina / India yang cuba untuk menawan negara ini. Mereka merasakan gusar apabila sesetengah kaum itu terlalu meminta-minta sehingga menggugat kestabilan.

Mereka ini tidak berpendapatan tinggi dan tidak berpendidikan tinggi. Justeru itu, mereka berpendapat, walau parti politik mana pun yang berkuasa, ia tidak membawa apa-apa perubahan.

5. Golongan Kelas Bekerja Pro-Kerajaan

Mereka ini juga berpegang kepada agama. Mereka ini juga memberi keyakinan penuh kepada kerajaan pentadbir sekarang dalam menyelesaikan masalah negara sungguhpun separuh daripada responden ini mengakui ekonomi negara buat masa ini tidak memberangsangkan. Kesetiaan kepada bangsa sendiri juga amat penting dan berpegang kepada perjuangan hak istimewa bangsa Melayu.

6. Golongan Kelas Bawahan Partisan

Golongan ini tidak langsung mengambil endah mengenai perjuangan bangsa tertentu, berpendapatan rendah tetapi yakin akan peranan kerajaan yang mentadbir sekarang untuk memperbaiki keadaan ekonomi negara.

Sungguhpun golongan ini tidak merasakan kerajaan masa kini tidak mampu untuk memperbaiki keadaan, namun 59% daripada mereka merasakan negara ini semakin bersatu.

7. Golongan Atas Pagar yang Dipinggirkan (Disenchanted Bystanders)

Sama seperti Golongan Kolar Putih, mereka menganggap mereka ini tidak dilayan dengan adil dan tidak menyokong kerajaan yang ada sekarang. Mereka ini tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politik dan juga tidak berminat untuk mengetahui keadaan politik yang berlaku sekarang. Mereka merasakan, mana-mana parti politik yang memerintah, keadaan akan tetap tidak berubah.

Rencana selepas sunat di sini.

Labels:

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com