Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Wednesday, July 21, 2010

Hancur Lulurlah Harapan Satu Malaysia

Barangkali ramai orang sudah mempercayai keupayaan Perdana Menteri Najib Tun Razak menerajui kepimpinan Negara. Sebutan ‘Satu Malaysia’ sering kedengaran di sana sini terutama corong-corong radio dan televisyen. Tidak cukup dengan itu, apa juga dasar baru yang diperkenalkan, masih juga menyematkan perkataan ‘Satu Malaysia’ seperti ‘Klinik Satu Malaysia’ dan sebagainya,

Tetapi, adakah kita pasti Najib sekarang tidur lena? Mungkin agak keterlaluan apabila kita mengatakan dia sekarang mampu untuk tidur lena di tilam empuk di puncak Putrajaya – tetapi igauan-igauan yang datang kini menyebabkan dia langsung tidak mampu untuk tidur langsung. Cerita-cerita yang mengaitkan dia sebagai bersubahat dalam pembunuhan sudah tentu masih muncul dalam mimpi-mimpinya. Manakan tidak? Sekiranya kita tidak bersubahat pun, menjadi saksi kepada satu rancangan pembunuhan juga sudah cukup membawa kegerunan kepada kita semua – sudah tentu kepada aku sendiri.

Ada segelintir pihak yang cuba menyangkal penyelidikan prestasi Najib yang memberangsangkan tidak lama dahulu. Cerita demi cerita, pembongkaran demi pembongkaran. Malah, kisah ini juga cuba dilukiskan secara sinis dalam majalah-majalah kartun yang kemudiannya diharamkan oleh pihak kerajaan (sebut Kementerian Dalam Negeri).

Penyunting kepada portal berita Malaysia-Today. Raja Petra Kamarudin kini berganding bahu dengan salah seorang ahli politik berwibawa dan peguam, Zahid Ibrahim dalam mendedahkan kebobrokan Najib. Melalui pendedahan-pendedahan yang dijalankan, orang ramai mula bertanya-tanya dan menimbulkan ratusan lagi persoalan. Menjurus dari situ, surat akuan sumpah sumpah P.Balasubramaniam memperkuatkan dakwaan yang dilemparkan sehingga contengan dicarik-carik di muka Najib dan Rosmah.

Zaid Ibrahim telah menuduh Najib yang takut kepada Raja Petra dan Bala kerana apa yang mereka tidak mengetahui mengenai pembunuhan Altantuya ialah sebenarnya itulah yang perlu diketahui. Jadi, adakah kita terkejut sekiranya tidak ada usaha dijalankan untuk menyiasat Bala di London? Ya, mungkin SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) juga dipersoalkan mengenai fungsi kebebasan yang konon diakui itu.

Dolak-dalik SPRM di dalam kes ini jelas menjelekkan mata dunia. Pihak polis cawangan khas dikatakan sudah pun memulakan siasatan mereka. Jadi, adakah bermakna SPRM sudah lepas dari tanggungjawab untuk memberi keadilan? Bagaimana SPRM boleh memperbaiki kredibilitinya sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk membenteras kegiatan rasuah dengan dolak-dalik yang diberikan seperti ini? Bagi PDRM (Polis DiRaja Malaysia) pula, lebih baik berdiam sahaja dari mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan.

Khairy Jamaluddin pula dengan ‘semangat Melayu’ berkobar-kobar menyelar pihak polis yang melengah-lengahkan usaha menangkap Raja Petra. Di antara Khairy, Najib dan Raja Petra sudah tentu tiada cinta antara mereka. Masing-masing dengan agenda masing-masing. Sekiranya kesemuanya itu dicantumkan dengan fakta yang ada pada Bala, sudah tentu semuanya akan selesai dan selesai juga karier politik Najib.

Apakah pilihan yang ada pada Najib kini? Walau apa pun terjadi, Najib perlu mempersiapkan dirinya dengan berhadapan dengan mahkamah – tidak di negara ini, di negara asing. Beliau perlu mengemukakan seberapa banyak bukti untuk menyingkirkan pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan, bukannya cuba menutup mulut atau menghalang pendakwaan.

Melalui mahkamah sahajalah Najib boleh membuktikan beliau tidak bersalah. Dengan cara itu, beliau akan lebih disayangi rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama – selaras dengan prinsip ‘Satu Malaysia’. Tetapi, adakah Najib berupaya lakukan sebegitu? Bayangkan Najib dan Rosmah berarak memasuki mahkamah sebagai saksi dan diiringi dengan pengawal-pengawal bengis ke kamar keadilan?

Sekarang, pihak berkuasa Peranchis sudah pun memulakan siasatan terhadap kes ini. Bala sudah mengatakan bahawa beliau akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan dia kotakan apa yang dikatakan.

Melalui kenyataan medianya, Bala memberitahu bahawa dia menceritakan segala apa yang diketahuinya berkenaan dengan pembunuhan Altantuya, pembelian perkakas ketenteraan melalui broker AbdulR azak baginda dan pertaliannya mereka semua dengan Najib.

Bala juga mendedahkan kepada pihak berkuasa Peranchis mengenai bagaimana beliau diugut dan disogokkan dengan wang oleh adik Najib; Nazim dan penjual permaidani Deepak Jaikishan yang mana merupakan teman rapat Rosmah.

Pertemuan Baladi Paris bersama pendakwaraya Peranchis M Ryckewaert pada 12 Julai lalu dijalankan selama tiga jam.
Menurut Bala, apa yang menarik minat pihak berkuasa Peranchis ialah berkaitan dengan pembelian kapal selam Scorpene pada tahun 2002 ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan. Mereka mahu menyiasat sama ada DCNS, sebuah syarikat pertahanan yang berpengkalan di Peranchis ada memberi komisyen di dalam pembelian tersebut. Bagi Peranchis, transaksi sedemikian merupakan satu jenayah.

Di dalam kenyataan medianya, Bala telah menceritakan mengenai syarikat Malaysia, Perimekar yang dipunyai isteri Abdul Razak Baginda dibayar RM570 juta untuk menyelaraskan dan menyediakan perkhidmatan sokongan terhadap Scorpene.

Hancur-lulurlah Rosmah tika mana beliau tidak lagi berpeluang untuk membeli-belah (sebut shopping) sakan di Paris – pusat fesyen dunia.

EDISI SUNAT DI SINI.

Labels:

 

 

Monday, July 12, 2010

BERSIH 2.0 IN THE NEWS




 

 

Wednesday, July 07, 2010

MEMALI BOLEH DIELAKKAN SEKIRANYA.....

Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985 masih tersemat di dalam fikiran kebanyakan orang terutama masyarakat Baling terutama sekali ahli keluarga 14 orang yang korban.

Menurut Kementerian Dalam Negeri melalui jawapan Dewan Negara pada 26 April 2010, spekulasi yang mendakwa Tun Musa Hitam memberi arahan untuk menembak dua orang penduduk kampung semasa peristiwa berdarah Memali pada tahun 1985 adalah tidak benar.


Menurut keterangan Kementerian, pihak polis telah menjalankan operasi untuk menangkap Ibrahim Mahmud dan 35 orang pengikutnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana disyaki terlibat dalam kegiatan yang menggugat keselamatan negara.

Semasa operasi tersebut, pihak polis telah diserang oleh pengikut-pengikut Ibrahim Mahmud dengan bersenjatakan senjata api, parang, pedang dan buluh runcing. Pihak polis telah menyeru kepada penyokong-penyokong Ibrahim Mahmud supaya meletakkan senjata dan menyerah diri secara aman. Demi mempertahankan diri dan mematahkan serangan tersebut, pihka polis terpaksa menggunakan senajta api dan melepaskan tembakan.

Peristiwa tersebut telah mengorbankan 4 orang anggota polsi dan 14 orang awam termasuk Ibrahim Mahmud manakala 23 anggota polis dan 14 orang awam mengalami kecederaan.

Saya mengambil inisiatif untuk bertemu dan mewawancara dengan salah seorang penting di belakang peristiwa ini; Senator Yusof Husin (56) di Bangunan Parlimen pada April lalu bagi mengetahui sendiri (mengikut perspektif beliau) mengenai peristiwa tersebut.


Yusof Husin dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dari Jun 1985 hingga 19 November 1985 selama enam bulan dan Oktober 1987 hingga awal tahun 1989 selama dua tahun.



Faisal: Boleh Pak Yusof terangkan sedikit dahulu secara umum perisitiwa Memali.


Yusof: Peristiwa Baling adalah kerana ISA. Kerana kerajaan pada ketika itu untuk menangkap Ibrahim Libya di bawah ISA.

Sebelum itu biarlah saya jelaskan siapakah Ibrahim Libya.

Ibrahim Libya ini merupakan seorang ulama tempatan yang sebelum itu belajar di sekolah rendah di sekolah pondok, di kawasan Baling, madrasah di Kepala Batas, Pulau Pinang. Selepas itu dia melanjutkan pelajaran ke Nilam Puri, Kelantan. Kemudian India dan selepas itu menyambung pelajaran ke Libya.

Sebab itulah dia dikenali sebagai Ibrahim Libya atas kursus dakwah yang diambilnya di sana.

Dia kembali ke tanahair pada awal 70an dan dia bekerja di Jabatan Perdana Menteri, di Pusat Islam. Sehinggalah akhir pada akhir tahun 1976 dia meletakkan jawatan dan dia bekerja dengan kedutaan Libya sebagai seorang pendakwah. Dan disitulah dia mula dikenali sebagai pendakwah bebas.

Pda tahun 1978, dia menyertai PAS dan menjadi calon di DUN Bayu dan selepas itulah dia aktif di dalam PAS menyampaikan ceramah di merata tempat dan ceramah-ceramahnya amat diminati.

Ceramah-ceramahnya di sekitar Kedah dan di utara Perak pada ketika itu.

Sehinggalah pada 2 September 1984, lebih kurang pada pukul 2 pagi, dia dikepung oleh lebih 100 orang anggota polis untuk menangkap beliau di bawah ISA.

Dan pada ketika itu orang kampong keluar beramai-ramai menghalang pasukan polis daripada menahan beliau di bawah ISA.

Percubaan pasukan polis untuk menangkap beliau pada 2 September 1984 menemui kegagalan.

Kalau tak silap saya, pada tarikh yang masa, Haji Mat Sabu, Suhaimi Shaib dan Ustaz Abu Bakar Chik berjaya ditahan di bawah ISA.

Anak murid Ustaz Ibrahim Libya di Memali yang kebetulan merupakan tenaga pengajar utama mendidik masyarakat Memali yang sebelum itu masyarakat Memali amat terkenal dengan masyarakat yang tidak mempedulikan hal-ehwal keagamaan dan sebagainya.

Dan apabila dididik oleh Ibrahim Libya ini maka masyarakat kembali taat setia sehinggakan kita mendapati 100 peratus penduduk Memali menyertai PAS.

Apabila dia gagal ditangkap di bawah ISA, maka dia menyembunyikan diri suatu tempat di Baling dan kami sebagai anak muridnya ketika itu bermesyuarat apakah kesudahan bila seorang Tok Guru tidak dapat menyampaikan ilmu. Kami membuat keputusan untuk membawa balik ke Memali.

Di mana kami meletakkan setiap masa mempunyai lebih kurang 5-20 orang untuk mengawal. Kegiatannya ialah kuliah Subuh setiap pagi di rumahnya sendiri, dan kuliah Maghrib di Madrasah Memali dalam proses pembinaan.

Semua secara sukarela. Kami mula menghidupkan kembali Madrasah Memali.

Pada 13 Oktober 1985 kami mula membuka Madrasah Memali sebagai sebuah sekolah rendah dengan pengajian penuh dan pelajar pada ketika itu 23 orang sahaja.

Jadi, dalam suasana berkawal itu ada berbagai-bagai cubaan yang dilakukan oleh pihak pemerintah untuk menahannya tetapi semuanya gagal.

Pada 22 Oktober 1985, tamrin dan ceramah pada malamnya yang dihadiri oleh seorang tokoh dari Terengganu di mana pada malam itulah berlakunya suatu peristiwa. ….Apabila ceramah tersebut diadakan, sekatan jalan diadakan di jalan masuk dan keluar Memali. Maknanya dari Baling satu hala, dan dari Sik satu hala.

Pihak polis mengadakan kedua-dua sekatan menyebabkan orang ramai di kampung yang kebanyakannya tidak mempunyai cukai jalan, insurans motosikal dan sebagainya tidak dapat hadir. Lalu kami menyediakan sebuah van untuk mengangkut peserta-peserta tamrin untuk hadir di ceramah tersebut.

Di mana akhirnya van ditahan oleh pasukan polis di lokasi lebih kurang 2 km dari Madrasah Memali jalan dari Sik….

…Ditahan maka riuhlah suasana di tempat program di Memali itu dia telah ditahan ditahan oleh polis . Dan pada ketika itu juga lalu sebuah kereta peronda polis yang mana kereta peronda polis itu di dalamnya terdapat Tuan OCPD Baling, Tunku Muzaffar.

Di mana lebih kurang 200-300 orang mengepungi kereta polis itu dan ada yang bertindak meletakkan senjata di tengkok Ketua Polis Daerah Baling dan pada ketika itu saya muncul untuk menenangkan keadaan, dengan ringkasnya menyelamatkan Ketua Polis Daerah Baling itu dan dialah orang yang saya bertemu kembali di Parlimen baru-baru ini.

Terdapat tiga orang sahaja di dalam kereta peronda tersebut. Dia di depan, di belakang seorang, dan pemandu.




Tunku Muzaffar ada niat untuk membuat tangkapan?


Kebetulan dia lalu di situ. Suasana tegang berlaku ketika itu kerana keadaan jam hari ditahan.

Sebahagian besarnya penuntut madrasahsedang mengikuti program. Tetapi kalau mahu dikira lebih kurang seribu orang.

Jadi peristiwa malam itu selesai. Dan sejak itu polis berbagai-bagai cubaan tetapi rundingan dengan kami secara langsung tidak ada tetapi cuma ada beberapa cubaan meminta supaya Ustaz Ibrahim Libya menyerah diri kepada polis dan dia berkali-kali menegaskan bahawa dia tidak akan menyerah diri kerana dia hendak ditahan di bawah ISA.

Akta yang zalim, yang menahan seseorang tanpa perbicaraan dan dia akan menentang dengan jiwa raganya.

Adakah alasan dia sebagai pendakwah menjadi alasan dia dikehendaki oleh kerajaan?

Selalunya ISA ini memberitahu alasan ditahan sebab apa ditahan. Jadi, dia belum ditahan dia belum ditahan.

Tetapi kita merasakan dia seorang yang lantang suaranya dalam menyampaikan ceramah-ceramah, mengkritik kerajaan dan sebagainya. Itu di antara sebabnya.

Dia diberitahu untuk menyerahkan diri kerana didakwa mempunyai senapang patah kepunyaan dia sendiri. Saya sendiri dan adiknya, Allahyarham Ustaz Ismail pergi serah ke balai polis Baling kepada OCPD Baling, Tunku Muzaffar. Saya sendiri pergi serahkan sendiri senjata-senjata itu.

Keadaan agak panas dan kita tahu bahawa dalam Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun 1985, wakil Kedah yang berucap dalam Persidangan Agung meminta kerajaan terutamanya Menteri Dalam Negeri bertindak tegas untuk menangkap Ibrahim Libya yang kononnya di Memali itu sudah menjadi sarang subversif yang menghimpun senjata-senjata untuk menjatuhkan kerajaan secara kekerasan.



Pembekalan ke penduduk kampong? Siapa yang membekal?



Sebenarnya tiada. Dan apabila berlaku peristiwa itu, kami tidak menyangkakan bahawa pihak polis sampai ke peringkat pembunuhan, sehingga sanggup membunuh. Tetapi apabila berlaku peristiwa itu pada 19 September 1985, awal subuh, kami dimaklumkan lebih 4000 anggota polis, dari polis hutannya, UTK, FRU dan semua unit polis yang dihantar seramai 4000 yang dihantar untuk mengepung rumah ustaz Ibrahim Libya.



Penduduk di situ kalau kata Kg Memali ingat lebih 500 orang. Dan itu pun, bukan semuanya yang terlibat.

Pagi-pagi itu lebih kurang 8 pagi, pasukan yang lengkap kereta perisai membuat sekatan di kedua-dua hala untuk menyerah diri dan pada ketika itu saya sendiri, yang dilantik oleh penduduk, anak murid Ibrahim Libya sebagai wakil mereka.

Jadi kita berunding dengan Ustaz Ibrahim dan beliau memberitahu bahawa sudah sampai masanya dia membuktikan bahawa dia tidak akan tunduk kepada ISA iaitu penentangan kepada suatu akta yang dia tidak boleh terima sama sekali. Itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibrahim Libya.

Jadi, pihak polis pada ketika itu mula menembak gas pemedih mata pada jam 8 pagi ke kawasan rumahnya.

DI kawasan rumahnya seramai 160 orang kami berkumpul. Aapabila gas pemedih mata itu dilepaskan, dengan tidak diduga, salah satu daripada tiub terkena Ketua Mujahiddin.

Terdapat seorang kanak-kanak anak kepada Mat Jah Hassan yang jatuh dan pengsan.

Pada ketika itu umurnya bawah 10 tahun.

Pada ketika itu, salah seorang daripada kami, iaitu Cikgu Shafie Abdullah. Apabila beliau melihat kanak-kanak itu jatuh, dia menyangkakan kanak-kanak tersebut sudah mati.

Saya memberi arahan bahawa tidak ada seorang pun boleh keluar dari kawasan rumah. Pintu pagar kami ikat supaya tidak ada seorang pun boleh keluar masuk dari rumah.

Ustaz Ibrahim tidak mahu kita yang menyerang pihak polis biarlah kita di kawasan rumah kita dan kawasan rumah kita dan membiarkan takdir menentukan.

Dan dia tidak mahu menyerah diri sama sekali.

Dan apabila Cikgu Shafie melihat keadaan itu, maka dia keluar dari kawasan rumah dan meluru ke unit pasukan polis yang sedang melepaskan tembakan gas.

Dia bergerak 50 meter dari tempat persembunyiannya lalu dia ditembak dan dia mati di situ juga. Bukan dia sahaja yang keluar tetapi terdapat 3-4 orang yang meluru keluar mengikutnya dengan tujuan untuk menahannya kepada pergi ke unit yang melepaskan tembakan.

Dia membawa parang bersamanya lalu ditembak. Dan 3-4 orang berpatah balik masuk ke kawasan rumah.

Apabila tempoh Ustaz Ibrahim mati, keadaan menjadi semakin tegang suasana pemedih mata yang dahsyat, anak Ustaz Ibrahim, Nurul Syuhada yang berumur tidak sampai setahun pengsan dibawa keluar oleh ahli keluarganya. Mereka melalui jalan kampong. Pasukan polis mendapat simpati yang berkawal di belakang memberi laluan supaya anak bongsu Ustaz Ibrahim ini dibawa.

Ringkas ceritanya, pada ketika itu ada pengumuman pihak polis meminta Ustaz Ibrahim Libya menyerah diri dengan menyebut diri beberapa orang lagi iaitu Ahmad Hassan dan saya sendiri supaya menyerah diri.

Ustaz Ibrahim tetap tegas bahawa dia tidak akan menyerah diri.

Hampir jam 12 malam setiap sudut dari depan belakang, rusuk kiri kanan, pasukan polis yang diketuai oleh UTK yang memikirkan pada ketika itu kami semua sudah tidak bermaya kerana berada di dalam kawasan dipenuhi gas yang lebih dari tiga jam.

Banyak yang memberi kesan terutama kanak-kanak yang pengsan, golongan wanita yang lebih kurang 20 orang lebih termasuk anak isteri Ustaz Ibrahim Libya.

Dan pada ketika itu sebahagian daripada kami yang berada di situ melaungkan takbir.

Senjata yang kami ada pada ketika itu semuanya senjata tradisional iaitu seperti parang panjang, pedang, buluh runcing; senjata tradisional, senjata kampong.

Selepas Cikgu Shafie ini ditembak oleh anggota polis maka di dalam kebetulan salah seorang ahli kumpulan kami mempunyai senapang patah kepunyaan RELA, senjata kepunyaan kerajaan ahli RELA dengan senapang itulah menembak balas anggota polis itu dan tidak pasti sama ada mengena atau pun tidak anggota polis.

Selepas itu berlakulah serangan.

Ada 14 orang terbunuh termasuk tertembak di dadanya dan empat orang polis terbunuh itu pun saya tahu kemudian harinya.

Saya tidak cedera. Cuma cedera kecil sahaja. Saya terus dibawa ke balai polis.

Pergelutan itu berlaku apabila ada di antara orang kampong yang keluar ke hadapan. Ada di antara anggota polis sudah masuk ke kawasan. Saya tidak pasti empat orang anggota polis itu terkena dengan parang atau pun peluru buta dari peluru rakan senjata mereka.

Jadi, apabila serangan itu berlaku, keadaan menjadi kelam-kabut dan mereka dengan banyaknya masuk.

Sebahagiannya dibawa ke UKK dan saya seorang terus dibawa ke Alor Setar, mereka dibawa ke situ dan kemudiannya baru diagihkan ke balai polis di seluruh negeri Kedah, Tetapi saya dibawa berasingan dan tidak dibenarkan bersama yang lain. Di tempat tahanan pun tidak dibenarkan bersama yang lain.



Bagaimana tembakan tersebut diletupkan; adakah sekali atau secara berterusan?



Secara berterusan, mula-mula berwarna putih dan akhirnya berwarna kuning yang mempunyai kemikal yang lebih kuat.



Ramai ditangkap dan ada yang lain-lain pun ditahan; termasuk ibu, bapa dia, anak dia, isterinya - semuanya tak silap saya seramai 160 yang ditahan ke banyak balai polis akhirnya semuanya dibebas kecuali 36 orang ditahan di Kamunting di bawah ISA, termasuklah saya.

Apabila saya dibebaskan, kami bersama peguam-peguam membawa kembali kes ini semuanya dapat dibawa balik kes. Cuma dapat dibawa balik kes balu di mana suami-suami mereka dibunuh seramai 14 bawa balik. Yang itu boleh, yang itu jalan. Perbicaraan demi perbicaraan berlaku. Pihak kami dan pihak kerajaan menghadapi masalah sebab kebanyakan saksi-saksi sudah meninggal dunia dan baki-baki saksi.

Kes ini diselesaikan di pihak mahkamah di mana kerajaan Malaysia membayar pampasan RM20,000 seorang kepada waris 14 orang yang dibunuh di dalam peristiwa ini dan lain-lain kes tahanan itu luput begitu sahaja.

Semasa saya dalam tahanan, banyak pegawai polis pun menyebut bahawa sepatutnya peristiwa ini tidak sepatutnya berlaku. Kalau dilihat ucapan saya di dalam handsard parlimen, saya berucap panjang di mana kerajaan tidak sepatutnya membunuh ulama terkenal, kita nak wujudkan seorang ulama dan dibunuh begitu sahaja hanya hanya kerana melaksanakan ISA.

Sebenarnya perkara ini boleh dielakkan sekiranya ada cara yang kena.

Jadi, mereka itu tetap berkeras untuk melaksanakan serangan itu, maka terjadilah peristiwa itu pun berlaku.

Kalau diikutkan sejarah yang ditulis menimbulkan mahasiswa, petani turun ramai…apakah isu? Adakah faktor inflasi yang teruk sehingga kaum mahasiswa dan petani tidak berpuas hati selain cara-cara pidato Ibrahim Libya.

Demonstrasi berlaku pada tahun 1974 yang menyebabkan Anwar Ibrahim ditahan. Pada ketika itu, Ustaz Ibrahim Libya masih menjawat jawatan….

Peristiwa Memali berlaku tahun 1985. Maknanya 11 tahun daripada tarikh itu. Keadaan kehidupan pada ketika berlaku peristiwa Memali agak berbeza walaupun ada tahap hidup ramai orang kampong di mana ramai anak-anak orang kampong yang bekerja di luar yang memberi sokongan kepada keluarga mereka. Keadaan tidak seperti tahun 1974 tetapi sokongan yang diberikan kerana keikhlasan yang ditunjukkan oleh Ustaz Ibrahim Libya dan ketegasannya menentang ISA.

Dan dia telah mengotakan apa yang disebut.


Maknanya, tidak ada sebarang rundingan?


Secara serius dengan saya sendiri tidak ada rundingan. Cuma secara tidak langsung dengan pihak polis yang melalui seorang, dua yang saya sendiri tidak mengingati nama mereka…

Tidak serah diri. Itu merupakan arahan. Mesti ada alternatifnya. Mesti ada mekanisme yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak tetapi apa yang ada supaya dia menyerah diri di bawah ISA. Dan itu menjadi satu benda yang menjadi tentangan dia dan dia menekankan termasuk kepada Allahyarham Ustaz Fadzil Nor, Presiden PAS pada ketika itu bahawa dia hendak melawan ISA jiwa raga supaya ia merupakan sejarah dalam Negara supaya orang boleh melihat bagaimana kerajaan UMNO dan Barisan Nasional sanggup membunuh bangsa sendiri kerana melaksanakan ISA.

Situasi di mana orang kampong sendiri memberhentikan OCPD dan dua orang lagi yang sedang melalui sebagai permulaan kepada ketegangan.



Sekiranya YB tiada di tempat itu dan memberhentikan, adakah OCPD itu akan dibunuh?

Oleh kerana suasana pada ketika itu bagi saya berada dalam keadaan yang tegang. Tunku Muzaffar sendiri barangkali boleh menceritakan pegawai polis, lagi dia faham. Apabila tiga orang dikepung 300 orang. Walaupun ada senjata pistol, machine gun dan sebagainya tetapi parang sudah berada di lehernya.

Ya machine gun di dalam kereta. Tetapi seorang lagi nampak lah. Tetapi dia tidak bertindak. Apabila saya sampai itu, senjatanya terletak dan dipegang di bawah jadi tidak diacu kepada siapa-siapa kalau perkiraan saya bukan kerana saya.

Dia kebetulan mejadi pemimpin di situ. Walaupun sebahagian besar daripada orang yang mengerumuni polis orang kampong itu, tetapi ramai juga dari kalangan daerah persekitaran. Mereka semua dapat ditenangkan sehingga OCPD dibebaskan. Kalaulah barangkali sekiranya saya tiada atau sesiapa yang berkemampuan menenangkan suasana yang tegang, sudah tentu sesuatu perkara yang buruk boleh berlaku.

Manusia ini apabila tidak dapat mengawal perasaan, dalam keadaan suasana yang tegang, sudah tentulah sesuatu perkara yang buruk boleh berlaku.

Tetapi alhamdulillah memang kita tidak ada niat pun , tidak pernah menjadi polis itu sebagai musuh. Apa yang saya tekankan di dalam ucapan saya pun mengharapkan polis lebih professional sebagai pegawai penguatkuasa.

Memang arahan untuk menyerahkan diri itu sebelum lagi.




Insiden itu satu permulaan kepada serangan dan kepungan untuk menangkap Ustaz Ibrahim Libya?


Usaha untuk menangkap Ustaz Ibrahim Libya dilakukan sepanjang masa bermula dari 2 September 1984 sehingga beliau ditangkap. Saya tidak tahu usaha itu setakat mana.

Tetapi kejadian itu 22 Oktober. Bila berlakunya peristwa 22 Oktober itu, kita lihat mungkin di situlah puncanya pihak polis atau pihak kerajaan menggunakan peristiwa itu untuk melakukan serangan atau pembunuhan.

Pegawai polis ketika itu langsung tidak diberi pertimbangan dan penghargaan kecualilah OCPD Baling itu barulah dia sendiri memberikan.

Langsung tidak memberi sebarang pertimbangan mahupun penghargaan.

Kecualilah bekas OCPD Baling bila dia jumpa saya beri penghargaan secara peribadi.

Kerajaan dan pihak polis sendiri langsung tidak memberi penghargaan.

EDISI SUNAT BAHAGIAN 1

EDISI SUNAT BAHAGIAN 2

 

 

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com