Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Wednesday, June 30, 2010

Tarik Pingat Dia!

Sehingga kini pihak istana tidak memberi sebarang alasan mengapa darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada mantan Menteri Kesihatan kepada Datuk Seri Chua Jui Meng ditarik balik. Chua tidak muncul di dalam filem pornografi (sungguhpun aku merasakan penglibatan pornografi seseorang ialah hak peribadi individu), tidak didakwa atas jenayah rasuah, tidak melesapkan wang rakyat dan sebagainya yang boleh mengakibatkan ‘arang diconteng ke atas muka raja’.

Chua Jui Meng dikurniakan anugerah Datuk Seri Paduka Mahkota Johor dan Datuk Paduka Mahkota Johor pada 8 Jun lalu. Darjah kebesaran itu diberikan oleh al-marhum Sultan Johor dan ditarik balik oleh Sultan Johor sekarang.

Alasan menarik balik pingat darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk bukanlah suatu yang rahsia dan termaktub di bawah Akta Rahsia Rasmi. Sudah tentu sebab musabab penarikan tersebut mahu diketahui umum. Sikap telus dan akauntabel menjadi harapan rakyat. Itulah juga menjadi matlamat Perdana Menteri Satu Malaysia agar pentadbiran kerajaan perlulah berdasarkan ketelusan dan akauntabel.

Sekiranya pihak istana boleh menyatakan alasan sesebuah pingat itu dianugerahkan, pihak istana juga boleh menyatakan mengapa pingat yang dihadiahkan itu ditarik balik.

Di sebalik mempersalahkan Sultan Johor yang menarik balik pingat yang diterimanya, Chua Jui Meng menyalahkan UMNO dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.

Pada satu ketika dahulu, ketika Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, ada cadangan dari parti yang beliau tinggalkan; UMNO agar gelaran Datuk Seri yang ada dengan Anwar Ibrahim ditarik balik.
Di dalam sistem kerajaan semi-feudal ini, raja boleh memberi kurnia dan juga boleh menarik balik anugerah mengikut keperluan. Dengan kuasa terhad yang ada pada raja sekarang, inilah sahaja bidang kuasanya, yakni menarik balik apa yang dikurniakan. Ada juga dakwaan pingat-pingat yang membawa gelaran Datuk tersebut boleh ‘dibeli’. Kebenaran dakwaan ini, aku kurang pasti.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dalam sidang parlimen Mac lalu mendedahkan di Dewan Rakyat sepucuk surat yang ditulis oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim agar gelaran ‘Datuk Seri’ diberikan kepadanya pada majlis keputeraan Tuan Yang Terutama Pulau Pinang. Zahrain, walau bagaimanapun, tidak menafikan surat tersebut.

Menurut teori Maslow, hirarki keperluan manusia di tahap tertinggi ialah untuk mendapat anugerah, gelaran dan penghormatan apabila peringkat fisiologi, keselamatan, disayangi, harga diri dikecapi.

Penganugerahan gelaran ‘datuk’ juga menular kepada golongan artis hiburan dan juga individu-individu di pertengahan 20an atas ‘pencapaian’ yang diberikan dalam mengharumkan nama Negara di pesada dunia. Sekarang, gelaran sedemikian juga diberikan kepada artis-artis hiburan luar Negara. Mungkin atas pandangan raja, mereka telah mengharumkan nama Negara ini.

Hilang Identiti

Sekiranya terdapat kelapangan dari segi jadual, aku kadangkala dibayar untuk mempengerusikan majlis-majlis korporat dan keraian. Dalam merangka skrip ucapan aluan, aku akan meneliti senarai dif-dif kehormat, dari segi pangkat serta senioriti dalam menyebut nama mereka satu-persatu.

Baru-baru ini, aku ditugaskan untuk mempengerusikan satu majlis makan malam di Pulau Pinang yang dihadiri oleh mereka-mereka yang diberi gelaran YB. Sebagai amalan protokol, aku akan melihat sekeliling dan terpaksa menyebut nama mereka satu-persatu dan pastikan gelaran yang yang mereka ada. Tujuannya ialah bagi mengelak dari sesiapa berasa kecil hati kerana gelaran mereka tidak disebut. Aku pernah ditegur oleh pihak penganjur kerana menggelarkan seorang VIP dengan gelaran Datuk sedangkan VIP tersebut baru sahaja dianugerahkan dengan gelaran Tan Sri.

Lantas, apabila aku memanggil Senator Dr Syed Husin Ali dengan gelaran Yang Berhormat ke atas pentas, ucapan yang awal yang diberikan ialah dengan menegur aku kerana memanggil beliau dengan gelaran tersebut. Gelaran YB tersebut seolah-olah ‘pantang’ baginya sehinggakan, secara menyeloroh, memberitahu rakan-rakan ‘YB’ yang duduk semeja dengannya akan ‘putus pertalian sahabat’ sekiranya ada di antara mereka di meja tersebut memanggil beliau dengan gelaran YB.

Menurut Dr Syed, ‘ucapan teguran’nya menyatakan bahawa gelaran YB melenyapkan identiti seseorang individu itu.

Aku sememangnya mengenali Dr Syed (yang aku memanggilnya Pak Syed sahaja sejak aku mula mengenalinya secara rapat hampir sedekad yang lalu) yang sering mempunyai sikap rendah diri, sederhana dalam apa juga situasi. Tetapi, di dalam majlis berkenaan, aku berada dalam keadaan tersepit dan silap yang aku lakukan ialah tidak merujuk kepada beliau terlebih dahulu samada perlu menyebut gelaran YB sebelum namanya terlebih dahulu dan mengabaikan kehendak pihak peganjur.

Namun, aku tidak berasa malu sedikit pun, kerana itulah tradisi Negara ini; “dibuang mati mak, ditelan mati anak”.


Edisi sunat di pautan ini.

Labels:

 

 

Wednesday, June 23, 2010

Pilihan Raya Tempatan – Tunggu Apa Lagi?

Nampaknya, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh badan bebas, Merdeka Centre yang dikeluarkan pada 16 Jun lalu, ia menunjukkan majoriti responden mahukan pilihan raya kerajaan tempatan.

Berdasarkan kajian tersebut, 71 peratus daripada keseluruhan responden seramai 1028, 54 peratus daripada mereka tidak mengetahui siapakah wakil ahli majlis tempatan di kawasan mereka.

Pilihan raya kerajaan tempatan kali pertama diadakan pada 1951 tetapi dihentikan pada 1965 ketika Konfrontasi dengan Indonesia.

Perdana Menteri, Datu Seri Najib Razak yang baru-baru ini bangga dengan prestasi hasil kajian 8 Jun 2010 yang dijalankan Merdeka Centre mendapat 72 peratus responden berpuashati dengan prestasinya sepanjang pentadbiran di Kerajaan Pusat mengulas, “pilihan raya kerajaan tempatan sudah lama dimansuhkan, jadi ia tidak perlu diadakan semula.”

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika menjawab soalan Dewan Rakyat 12 April 2010 yang dibawa oleh Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya], di bawah seksyen 15 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), pilihan raya Kerajaan Tempatan hendaklah dihentikan. Undang-undang Kerajaan Tempatan di Sabah dan Sarawak juga tidak mempunyai peruntukan tentang pilihanraya Kerajaan Tempatan.

Menurut penjelasan Menteri di Kementerian berkenaan, Akta 171 Seksyen 10 memperuntukkan bahawa sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengandungi Datuk Bandar atau Yang Dipertua serta tidak kurang daripada lapan (8) dan tidak lebih daripada 24 orang Ahli Majlis yang dilantik daripada kalangan mereka yang mempunyai pengalaman luas mengenai PBT yang mereka dialami atau mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing.
Oleh yang demikian, kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan semula pilihan raya kerajaan tempatan kerana tiada undang-undang yang membolehkan ianya diadakan kecuali undang-undang tersebut dipinda.

Menurut penjelasan Menteri lagi, pilihan raya kerajaan tempatan boleh menjejaskan tumpuan PBT selaku agensi barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat kerana tumpuannya akan lebih menjurus kepada hal-hal yang berkaitan dengan urusan pilihan raya.
Kerajaan juga berpendapat bahawa urusan pilihan raya bukan sahaja melibatkan masa dan kos malah tenaga kerja di samping kemungkinan wujudnya unsur-unsur kurang sihat oleh pihak-pihak tertentu yang berteraskan kepentingan politik masing-masing.

Kerajaan di peringkat negeri; Selangor dan Pulau Pinang pernah mengusulkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan pada April lalu tetapi seperti yang dijangkakan, alasan yang diberikan ialah kekangan undang-undang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusoff juga berkata, urusan pilihan raya tempatan tidak tertakluk bawah bidang kuasa badan itu, tetapi sepenuhnya di bawah kerajaan negeri.
Bagaimanapun, tambahanya, pindaan dan perubahan dasar bagi menjalankan semula pilihan raya tempatan hanya boleh dilakukan melalui Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT), satu badan di bawah Kementerian Perumahana dan Kerajaan Tempatan.

Malah, ketika ,mengulas mengenai permintaan Selangor dan Pulau Pinang supaya menjalankan kajian mengenai mengenai pentingnya pilihan raya kerajaan tempatan di sebuah Negara demokrasi, Abdul Aziz juga memberitahu bahawa SPR tidak dapat menjalankan kajian bagi mana-mana kerajaan negeri kerana ia bertentangan dengan fungsi SPR di bawah perlembagaan persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958.

Justeru, Pulau Pinang telah memulakan kaji selidik secara rawa melalui portal rasmi mereka dan sememangnya, rakyat Pulau Pinang berkehendakkan supaya ahli-ahli majlis mereka dibiarkan mereka sendiri yang memilih.

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Cawangan Pulau Pinang juga telah menjalankan usaha dalam menjalankan satu kajian soal selidik pada 20-21 Mac 2010. Keputusan soal selidik menunjukkan sebanyak 92.7% balasan daripada 506 orang rakyat Pulau Pinang menyokong untuk pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan.


Sekiranya Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dijalankan tanpa SPR?


Selepas SPR dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ‘tidak berminat’ dan tidak menunjukkan sebarang usaha untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976, jadi adakah ianya masih boleh dijalankan dan pemilihan tersebut sah?

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan masih boleh dijalankan melalui Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 yang mana akta tersebut masih boleh diguna pakai dan belum dimansuhkan. Sungguhpun demikian, ianya tertakluk kepada kuasa yang ada di tangan kerajaan negeri yang mentadbir.

Jadi, sekarang menjadi tugas pemerintah negeri melalui Dewan Undang Negeri menggubal sebuah akta bagi melaksanakan Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 ini. Dengan penggubal akta melalui pentadbiran negeri, negeri tersebut juga boleh mengadakan proses pemilihan dengan apa cara berlandaskan lunas-lunas demokrasi yang ada. Sudah tentu, penggunaan dakwat kekal, tidak melibatkan pengundi pos bagi anggota tentera dan polis, senarai pemilih yang sah dan gerrymandering (sebut; persempadanan yang tidak masuk akal) dijalankan dengan cara yang bersih.

Oleh kerana SPR tidak menunjukkan minat mentadbir proses ini, kerajaan negeri, melalui akta negerinya boleh memberi kuasa kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi mengendalikan proses tersebut.
Keperihatinan Rakyat

Menurut kajian Merdeka Centre lagi, seramai 54 peratus daripada respondennya yang berpuratakan berusia 41-50 tahun mengakui bahawa mereka tidak faham apabila orang memperkatakan mengenai pilihan raya kerajaan tempatan. Responden dari kumpulan usia 21-30 tahun mempuyai peratusan tertinggi (37 peratus) yang tidak memahami apakah sebenarmya pilihan raya kerajaan tempatan.

Namun, para responden sedar bahawa masalah jalan di kawasan perumahan mereka (46 peratus), pembekalan air (21 peratus) dan pengangkutan awam di kawasan persekitaran mereka (27 peratus) , menjadi tanggunjawab kerajaan tempatan.

Dengan adanya ahli-ahli majlis yang dipilih dan dikenali penduduk di kawasan tertentu, ahli-ahli dewan undangan negeri (ADUN) mahupun ahli-ahli parlimen tidak lagi menjadi wakil rakyat yang menjaga longkang-longkah pengundi mereka.

Dengan adanya ahli-ahli majlis yang efektif, sudah tentu ADUN boleh memfokuskan kepada tugas pentadbiran negeri dan ahli-ahjli parlimen boleh memperincikan mengenai isu-isu yang lebih melibatkan kerajaan pusat, penggubalan akta-akta yang berpatutan dan mewujudkan sebuah budaya perdebatan yang lebih memfokuskan kepada pembangunan.

Edisi sunat di
sini
.

Labels: , ,

 

 

Tuesday, June 22, 2010

BERSIH kembali ke jalan raya?


Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) telah melalui satu momentum yang amat besar suatu ketika (sebut Perhimpunan Aman BERSIH 7 November 2007).

Pada waktu itu, selepas mesyuarat demi mesyuarat dan perbincangan demi perbincangan, BERSIH yang pada waktu itu mempunyai 71 pertubuhan sebagai anggota gabungan mempersetujui bahawa kepincangan pilihan raya di Malaysia boleh mengalami reformasinya dengan lima tuntutan segera; pembersihan senarai pemilih, penggunaan dakwat kekal, pemansuhan undi pos untuk anggota polis dan tentera, akses media yang adil dan waktu kempen yang cukup.

Sungguhpun satu pun tuntutan segera itu tidak dipenuhi, namun kesannya dan tahap kesedaran rakyat menjadi bertambah baik.

Dengan bergantinya Pengerusinya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diuji dengan Batang Ai, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu, Bukit Selambau, Manek Urai dan Kuala Terengganu.

Pelik rasanya apabila SPR sendiri yang memohon ke mahkamah untuk menangguhkan Kota Seputeh kosong tanpa wakil rakyat sungguhpun mahkamah mendapati ketidakhadiran ADUNnya menjadikan gugur dari tanggungjawabnya sebagai ADUN. SPR sepatutnya menggalakkan pendemokrasian bukan menyekat pilihan raya kecil berlaku.

Sekarang, atas desakan keadaan dan masyarakat sivil, BERSIH kembali dengan diterajui aktivis-aktivis masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan yang perihatin dengan perkembangan. Kepincangan berterusan berlaku sehingga barangkali satu lagi perhimpunan gergasi agar reformasi pilihan raya dapat berlaku.


Malapportionment (kegagalan pengagihan)


Malapportionment merujuk kepada saiz kawasan pilihan raya yang berbeza, yang mana ianya mungkin berdasarkan kepada manipulasi kepartian. Ia mungkin berlaku akibat daripada kekangan redelineation yang tidak berlandaskan kepada penutralan pentadbiran (administrative neutrality).
Malapportionment dikenalpasti sebagai satu jenayah pilihan raya di dalam persempadanan kawasan pilihan raya. Keadaan menjadi lebih serius di antara satu negeri dengan negeri yang lain berbanding dengan antara negeri.

Secara tradisinya, malapportionment banyak melibatkan kaum Melayu tetapi ianya berlaku sebaliknya.

Gerrymandering (ubah sempadan)

Gerrymandering bermakna menjalankan manipulasi dalam meletakkan persempadanan kawasan pilihan raya bagi membolehkan pihak-pihak tertentu bagi membolehkan perpecahan undi.

Tidak seperti malapportionment, kes ini lebih jelas. Sebagai contoh, syarat ketat di dalam pembahagian samarata mungkin mengakibatkan bentuk kawasan yang agak pelik. Salah satu kriteria ialah sempadan geografi daripada landskap, infrastruktur, aktiviti-aktiviti ekonomi dan corak penempatan.

Tuntutan untuk menghormati persempadanan pentadbiran dan geografi juga boleh dilihat secara holistik dengan meneliti keperluan pengundi di satu-satu kawasan itu mempunyai kesamaan dalam minat tertentu dan tidak perlu mengambilkira aspek etno-agama.

Secara inklusifnya, kesamaan dalam minat mungkin merujuk kepada komuniti politik yang kecil yang berkongsi sosio-ekonomi mereka, etno-agama, fizikal, infrastuktural atau pertalian-pertalian signikan.

Bagi mengenalpasti gerrymandering berlaku atau mengelak daripada ianya berlaku, salah satu caranya ialah dengan mengkaji sistem sosio-ekonomi yang berkait dengan daerah-daerah yang berbeza.
Kes di Selangor

Kita perlu sedar bahawa di Selangor, pilihan raya di sana tidak berlaku di ‘padang yang rata’.

Kawasan DUN N29 Seri Serdang bukan hanya dua kali ganda dari segi demografiknya malah sama saiz keluasannya dengan DUN N30 Kinrara. Seri Serdang mempunyai keluasan saiz geografi tiga kali ganda berbanding Kinrara.

Malapportionment agak jelas berlaku di Selangor di mana 17 daripada 56 kawasan DUN mempunyai saiz pengundi yang melampaui kawasan parlimen yang terkecil.

Di Sabak Bernam dan Tanjung Karang, malapportionment akan menjurus kepada gerrymandering atas alasan persempadanan yang berlaku.

Bagaimana sesebuah sempadan itu dibuat apabila sembilan kawasan parlimen dan 13 DUN di Selangor merangkumi beberapa kerajaan tempatan di bawahnya. Daripada jumlah tersebut, lima kawasan parlimen dan dua kawasan DUN mempunyai tiga kerajaan tempatan terletak di bawah pentadbiran mereka.



Kerahsiaan undi

Di antara faktor bagi pengundi untuk pengundi tidak keluar mengundi ialah apabila seseorang, terutamanya pihak berkuasa termasuk majikan mereka mengetahui siapa menjadi pilihan mereka di dalam sesebuah pilihan raya.

Mereka perlu diberitahu bahawa Peraturan Pilihan Raya 1981 yang dipinda pada Mei 2006 melindungi kerahsiaan pengundi. Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 juga melindungi perkara yang sama di mana Seksyen 4 dan 5 boleh membawa seseorang itu sehingga ke peringkat penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000.

Ketakutan mereka mungkin dibayangi dengan cara perjalanan pilihan raya sebelum 2006 di mana kertas undi mempunyai nombor yang boleh mengenalpasti pemilik sesuatu kertas undi itu.

Borang Daftar Undi tidak cukup


Salah atu faktor yang mengecewakan pengundi-pengundi baru ialah apabila mengetahui bahawa borang pendaftaran pengundi kehabisan.

Kenyataan SPR sedemikian amat mengecewakan terutama sekali kepada parti-parti politik yang berkempen giat untuk mendaftarkan pengundi-pengundi baru terutamanya yang menjejak 21 tahun (umur layak mengundi).

Angkatan Muda keADILan mendakwa SPR bersikap sabotaj yang sepatutnya menggalakkan lagi dan berkempen untk menarik pengundi baru tetapi bersikap dingin.

Angkatan Muda keADILan juga menuduh SPR membekukan pendftaran penolong-penolong pendaftar baru dari parti politik.

Menerusi Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 yang diluluskan di Parlimen, kerajaan memperuntukkan RM1.5 juta bagi menguruskan program pendaftaran pemilih. Di dalam butiran yang sama dalam Perbelanjaan Tambahan 2010, kerajaan memperuntukkan lagi RM3 juta bagi tujuan yang sama.

SPR sebagai badan bebas yang memastikan proses pilihan raya bersih dan adil, mereka sepatutnya mencadangkan Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dipinda agar membenaran pendaftaran automatik dapat dijalankan. Cara ini lebih menampakkan jumlah tersebut dapat diatasi dan disalurkan kepada perkara-perkara yang lebih berfaedah dalam pendemokrasian.

Pemantau


Mengikut Butiran yang sama, kerajaan melalui Kementerian di Jabatan Perdana Menteri juga menyebut mengenai pemantauan tetapi tidak diberikan penjelasan yang terperinci sama ada peruntukan tambahan tersebut merangkumi pemantau-pemantau antarabangsa untuk memantau pilihan raya yang diadakan di Negara ini?

SPR dilihatkan banyak mengadakan lawatan ke luar Negara bagi memantau perjalanan pilihan raya. Tetapi bagi Negara sendiri, kita tidak membenarkan pemantau-pemantau antarabangsa melihat sendiri ketelusan SPR. Saya kira dengan pengalaman yang ada pada pegawai-pegawai SPR yang memantau keadaan di luar Negara, sudah tiba masanya peruntukan tersebut dialihkan kepada memanggil pemantau-pemantau antarabangsa ke Negara ini.

Jadi, tidak mustahil sekiranya apabila tahap kepercayaan SPR merudum dengan kepincangan sebegini bakal berlaku, rakyat akan sekali lagi berusaha untuk memprotes SPR.

BERSIH yang kini dipimpin badan-badan sivil tidak mustahil akan memulakan mobilisasi mereka agar reformasi pilihan raya dijalankan – seperti apa yang berlaku 10 November 2007.

Edis sunat di sini.

Labels:

 

 

Monday, June 21, 2010

FORUM EO/DDA

Labels:

 

 

Thursday, June 10, 2010

Jurang Keadilan Melebar

Tidak hairan apabila membaca laporan tahunan badan hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International di dalam ‘The State of the World’s Human Rights’ yang diterbitkan pada 27 Mei 2010 lalu.

Laporan tersebut telah mendokumenkan keadaan hak asasi manusia di 159 negara pada 2009, bahawa tidak terdapat pembaharuan yang signifikan terhadap perlindungan kepada hak asasi manusia di Malaysia pada tahun lepas.

Adalah mengecewakan bahawa walaupun dengan menganggotai semula Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia, Malaysia masih belum akur sepenuhnya dengan hak asasi manusia menurut piawaian PBB.

Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia masih lagi belum meratifikasikan konvensyen-konvensyen penting dalam PBB seperti ICCPR, ICESCR, CERD dan CAT. Alasan Menteri Luar Negeri melalui Dewan Negara pada 3 Mei 2010 bahawa kerajaan perlu mengjkaji terdapat keupayaan (prima facie atau on the face of it) berpotensi untuk mencabar dasar-dasar sedia ada serta mengkompromikan keselamatan Negara. Aspek keagamaan juga perlu dititik beratkan dalam memastikan kandungan triti-triti tersebut selars dengan ajaran dan fahaman dan tidak bercanggah dengan mana-mana agama di Malaysia.


Peganiayaan Pekerja Asing Meningkat

Penganiayaan dan sikap tidak endah terhadap pekerja asing dan pelarian berterusan meningkat, dengan keengganan kerajaan untuk mengakui terdapatnya perbezaan antara kumpulan tersebut. Menurut laporna Amnesty, terdapat 45,000 pemohon perlindungan di dalam negara yang masih tidak berdaftar, dengan ketiadaan atau inisiatif yang kecil diambil untuk melindungi atau memberi mereka status perundangan yang sahih. Penghijrah, termasuk pemohon perlindungan dan pelarian, sering ditangkap dan ditahan untuk jangka masa panjang. Ini melanggar Konvensyen Pelarian PBB dan Konvensyen Pekerja Asing PBB yang menyeru penjagaan dan perlindungan yang wajar terhadap mereka.

Sebagai anggota kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan menandatangani Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, deklarasi tersebut menyatakan bahawa ‘Tiada sesiapapun boleh dikenakan penderaan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau mengaibkan’ (Perkara 5).

Walaupun begitu, keadaan di penjara dan pusat tahanan adalah amat tidak memuaskan, dengan makanan dan zat yang tidak mencukupi, tahap kebersihan yang rendah dan penderaan fizikal yang selalunya berakhir dengan kecederaan atau jangkitan yang serius, dan di sesetengah kes menyebabkan kematian.

Statistik Jabatan Penjara menunjukkan semenjak tahun 2002 hingga 1 Jun 2009, sejumlah 2,029 penghuni yang ditahan di penjara, pusat pemulihan akhlak dan depot tahanan PATI (pada 2002 hingga 2007, depot tahanan PATI masih di bawah pengurusan Jabatan Penjara) telah meninggal dunia akibat pelbagai penyakit.

Dua tahanan telah meninggal pada bulan Mei kerana leptospirosis, jangkitan bakteria yang disebabkan air yang telah dicemari oleh air kencing haiwan, di Depoh Imigresen Juru.

Menurut Menteri Dalam Negeri melalui kenyataannya di DewanNegara pada Julai 2009, Berdasarkan laporan koroner, laporan pegawai perubatan serta hasil siasatan, punca utama kematian-kematian tersebut adalah disebabkan oleh penyakit seperti HIV Aids, septicaemia, pulmonary tuberculosis, kanser, sakit jantung, masalah darah dan asma.

Daripada jumlah kes kematian yang dinyatakan di atas sebanyak 98.5% atau 1,999 kematian tersebut berlaku di hospital iaitu semasa penghuni berkenaan sedang menerima rawatan, 0.75% atau 15 kematian berlaku ketika dalam perjalanan ke hospital dan 0.75% lagi atau 15 kematian berlaku di dalam penjara.


Amalan Hukuman Sebatan

Amalan hukuman yang mengaibkan seperti sebatan perlu dimansuhkan segera sekiranya Malaysia telah menerima tanggungjawab untuk menegakkan maruah manusia. 34,923 hukuman sebatan telah dijalankan kerana kesalahan imigresen diantara tahun 2002 dan 2008, dan ribuan yang telah dijatuhkan hukuman tersebut sedang menanti hukuman dijalankan.

Contoh popular berkaitan dengan Kartika Sari Dewi Shukarno pada Julai 2009.

Seterusnya, sebanyak 68 orang telah direkodkan sebagai telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi.

Kerajaan berterusan menunjukkan sikap tidak endah terhadap saranan Perhimpunan Agung PBB yang meminta penangguhan rasmi (moratorium) bagi hukuman mati. Ini adalah kegagalan Negara untuk menghormati piawaian hak asasi manusia.

Kerajaan Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB dalam menguatkuasa Resolusi 62/149 Bangsa Bangsa Bersatu mengenai Moratorium terhadap Hukuman Mati yang telah dikuatkuasakan oleh Perhimpunan PBB pada 18 December 2007 juga telah menetapkan bahawa negara-negara yang masih mengamal hukuman mati diminta untuk menghentikan pengunaan hukuman mati dan mengurangkan jumlah hukuman-hukuman yang membawa hukuman mati secara berperingkat dan melaksanakan moratorium terhadap kesemua hukuman hukuman mati dengan hasrat untuk menghapuskan hukuman ini sama sekali.

Namun, Malaysia masih lagi mengendah-endahkan moratorium tersebut dalam meminda undang-undang yang bercanggah dengan Morotarium tersebut.


Kebebasan Bersuara

Melalui kajian yang dijalankan oleh Freedom House’s Freedom of the Press, Negara ini antara 30% terbawah dalam kebebasan media dunia.

Malaysia semakin terjatuh dari tangga 71st/100 daripada Negara-negar ayang dikaji (2003), 154/193 (2004), 152/194 (2005), 141/194 (2006), 150/195 (2008), 143/195 (2009) dan 142/196 (2010). Malah, jika dibandingkan dengan prestasi Negara-negara ASEAN, Malaysia berada di belakang Tiomor Timur, Filipina, Indonesia, Thailand dan Kemboja – yang scara relatifnya miskin daripada negara ini.

Kebebasan berpendapat dan bersuara, seperti yang tertera dalam Perkara 19 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat juga , terus ditindas. Penahanan berleluasa ke atas penulis blog yang memprotes krisis politik Perak menyebabkan lapan orang dihadapkan ke penjara dan didakwa di bawah Akta Hasutan, manakala lima peguam dan sekurang-kurangnya 15 orang dari parti pembangkang juga telah ditangkap kerana menyuarakan pendapat mereka.

Selain Amnesty International, Suaram (sebagai sebuah badan hak asasi di Negara ini) juga menjalankan kajian pada 2009 yang memberi beberapa contoh kejadian.

Antaranya ialah ketika wartawan Merdeka Review yang dihalang daripada membuat liputan barisan cabinet pada 9 April 2009. Pada September 2009 pula, akhbar maya Malaysiakini disiasat Suruhanjaya Multimedia dan komunikasi Malaysia (MCMC) atas siaran klip video “protes kepala lembu”.

Pada 18 November 2009, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat amaran kepada Tamil Nesan yang melaporkan tembakan anggota polis terhadap lima orang yang cuma disyaki.

Pada 31 Mac 2009 pula Kementerian Dalam Negeri menghalang parti-parti politik membangkitkan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu.

Pada 5 Mei 2009, Wong Chin Huat dari Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) ditahan di bawah Akta Hasutan kerana berkempen berpakaian hitam atas pengambilalihan pentadbiran kerajaan Perak oleh BN. Pada 25 Mei 2009, 19 orang ditahan polis di Ipoh kerana turut serta dalam mogok lapar atas isu yang sama.

Pada 23 Mei 2009, polis merampas kompouter dan beberapa DVD atas rakaman nyalaan lilin yang diadakan pada 21 Mei 2009.

Blogger juga menjadi mangsa dalam kebebasan bersuara apabila Bernard Khoo disoalsiasat polis atas tulisannya pada 8 Ogos 2009 bertajuk “Childish Police Bullying Again”. Raja Petra Kamarudin pula didakwa atas Akta Hasutan atas penulisan-penulisannya berkaitan Perdana Menteri dan isteri beliau atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Secara kesimpulannya, pencapaian Malaysia atas kedudukan hak asasi manusia tidak perlu dibanggakan dan perlu diingatkan bahawa pembangunan Negara selaras dengan perkembangan bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga sosial dan politik.

Edisi sunat di sini.

Labels:

 

 

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com