Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Thursday, June 10, 2010
Jurang Keadilan Melebar
Tidak hairan apabila membaca laporan tahunan badan hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International di dalam ‘The State of the World’s Human Rights’ yang diterbitkan pada 27 Mei 2010 lalu.Laporan tersebut telah mendokumenkan keadaan hak asasi manusia di 159 negara pada 2009, bahawa tidak terdapat pembaharuan yang signifikan terhadap perlindungan kepada hak asasi manusia di Malaysia pada tahun lepas.
Adalah mengecewakan bahawa walaupun dengan menganggotai semula Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia, Malaysia masih belum akur sepenuhnya dengan hak asasi manusia menurut piawaian PBB.
Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia masih lagi belum meratifikasikan konvensyen-konvensyen penting dalam PBB seperti ICCPR, ICESCR, CERD dan CAT. Alasan Menteri Luar Negeri melalui Dewan Negara pada 3 Mei 2010 bahawa kerajaan perlu mengjkaji terdapat keupayaan (prima facie atau on the face of it) berpotensi untuk mencabar dasar-dasar sedia ada serta mengkompromikan keselamatan Negara. Aspek keagamaan juga perlu dititik beratkan dalam memastikan kandungan triti-triti tersebut selars dengan ajaran dan fahaman dan tidak bercanggah dengan mana-mana agama di Malaysia.
Peganiayaan Pekerja Asing Meningkat
Penganiayaan dan sikap tidak endah terhadap pekerja asing dan pelarian berterusan meningkat, dengan keengganan kerajaan untuk mengakui terdapatnya perbezaan antara kumpulan tersebut. Menurut laporna Amnesty, terdapat 45,000 pemohon perlindungan di dalam negara yang masih tidak berdaftar, dengan ketiadaan atau inisiatif yang kecil diambil untuk melindungi atau memberi mereka status perundangan yang sahih. Penghijrah, termasuk pemohon perlindungan dan pelarian, sering ditangkap dan ditahan untuk jangka masa panjang. Ini melanggar Konvensyen Pelarian PBB dan Konvensyen Pekerja Asing PBB yang menyeru penjagaan dan perlindungan yang wajar terhadap mereka.
Sebagai anggota kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan menandatangani Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, deklarasi tersebut menyatakan bahawa ‘Tiada sesiapapun boleh dikenakan penderaan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau mengaibkan’ (Perkara 5).
Walaupun begitu, keadaan di penjara dan pusat tahanan adalah amat tidak memuaskan, dengan makanan dan zat yang tidak mencukupi, tahap kebersihan yang rendah dan penderaan fizikal yang selalunya berakhir dengan kecederaan atau jangkitan yang serius, dan di sesetengah kes menyebabkan kematian.
Statistik Jabatan Penjara menunjukkan semenjak tahun 2002 hingga 1 Jun 2009, sejumlah 2,029 penghuni yang ditahan di penjara, pusat pemulihan akhlak dan depot tahanan PATI (pada 2002 hingga 2007, depot tahanan PATI masih di bawah pengurusan Jabatan Penjara) telah meninggal dunia akibat pelbagai penyakit.
Dua tahanan telah meninggal pada bulan Mei kerana leptospirosis, jangkitan bakteria yang disebabkan air yang telah dicemari oleh air kencing haiwan, di Depoh Imigresen Juru.
Menurut Menteri Dalam Negeri melalui kenyataannya di DewanNegara pada Julai 2009, Berdasarkan laporan koroner, laporan pegawai perubatan serta hasil siasatan, punca utama kematian-kematian tersebut adalah disebabkan oleh penyakit seperti HIV Aids, septicaemia, pulmonary tuberculosis, kanser, sakit jantung, masalah darah dan asma.
Daripada jumlah kes kematian yang dinyatakan di atas sebanyak 98.5% atau 1,999 kematian tersebut berlaku di hospital iaitu semasa penghuni berkenaan sedang menerima rawatan, 0.75% atau 15 kematian berlaku ketika dalam perjalanan ke hospital dan 0.75% lagi atau 15 kematian berlaku di dalam penjara.
Amalan Hukuman Sebatan
Amalan hukuman yang mengaibkan seperti sebatan perlu dimansuhkan segera sekiranya Malaysia telah menerima tanggungjawab untuk menegakkan maruah manusia. 34,923 hukuman sebatan telah dijalankan kerana kesalahan imigresen diantara tahun 2002 dan 2008, dan ribuan yang telah dijatuhkan hukuman tersebut sedang menanti hukuman dijalankan.
Contoh popular berkaitan dengan Kartika Sari Dewi Shukarno pada Julai 2009.
Seterusnya, sebanyak 68 orang telah direkodkan sebagai telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi.
Kerajaan berterusan menunjukkan sikap tidak endah terhadap saranan Perhimpunan Agung PBB yang meminta penangguhan rasmi (moratorium) bagi hukuman mati. Ini adalah kegagalan Negara untuk menghormati piawaian hak asasi manusia.
Kerajaan Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB dalam menguatkuasa Resolusi 62/149 Bangsa Bangsa Bersatu mengenai Moratorium terhadap Hukuman Mati yang telah dikuatkuasakan oleh Perhimpunan PBB pada 18 December 2007 juga telah menetapkan bahawa negara-negara yang masih mengamal hukuman mati diminta untuk menghentikan pengunaan hukuman mati dan mengurangkan jumlah hukuman-hukuman yang membawa hukuman mati secara berperingkat dan melaksanakan moratorium terhadap kesemua hukuman hukuman mati dengan hasrat untuk menghapuskan hukuman ini sama sekali.
Namun, Malaysia masih lagi mengendah-endahkan moratorium tersebut dalam meminda undang-undang yang bercanggah dengan Morotarium tersebut.
Kebebasan Bersuara
Melalui kajian yang dijalankan oleh Freedom House’s Freedom of the Press, Negara ini antara 30% terbawah dalam kebebasan media dunia.
Malaysia semakin terjatuh dari tangga 71st/100 daripada Negara-negar ayang dikaji (2003), 154/193 (2004), 152/194 (2005), 141/194 (2006), 150/195 (2008), 143/195 (2009) dan 142/196 (2010). Malah, jika dibandingkan dengan prestasi Negara-negara ASEAN, Malaysia berada di belakang Tiomor Timur, Filipina, Indonesia, Thailand dan Kemboja – yang scara relatifnya miskin daripada negara ini.
Kebebasan berpendapat dan bersuara, seperti yang tertera dalam Perkara 19 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat juga , terus ditindas. Penahanan berleluasa ke atas penulis blog yang memprotes krisis politik Perak menyebabkan lapan orang dihadapkan ke penjara dan didakwa di bawah Akta Hasutan, manakala lima peguam dan sekurang-kurangnya 15 orang dari parti pembangkang juga telah ditangkap kerana menyuarakan pendapat mereka.
Selain Amnesty International, Suaram (sebagai sebuah badan hak asasi di Negara ini) juga menjalankan kajian pada 2009 yang memberi beberapa contoh kejadian.
Antaranya ialah ketika wartawan Merdeka Review yang dihalang daripada membuat liputan barisan cabinet pada 9 April 2009. Pada September 2009 pula, akhbar maya Malaysiakini disiasat Suruhanjaya Multimedia dan komunikasi Malaysia (MCMC) atas siaran klip video “protes kepala lembu”.
Pada 18 November 2009, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat amaran kepada Tamil Nesan yang melaporkan tembakan anggota polis terhadap lima orang yang cuma disyaki.
Pada 31 Mac 2009 pula Kementerian Dalam Negeri menghalang parti-parti politik membangkitkan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu.
Pada 5 Mei 2009, Wong Chin Huat dari Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) ditahan di bawah Akta Hasutan kerana berkempen berpakaian hitam atas pengambilalihan pentadbiran kerajaan Perak oleh BN. Pada 25 Mei 2009, 19 orang ditahan polis di Ipoh kerana turut serta dalam mogok lapar atas isu yang sama.
Pada 23 Mei 2009, polis merampas kompouter dan beberapa DVD atas rakaman nyalaan lilin yang diadakan pada 21 Mei 2009.
Blogger juga menjadi mangsa dalam kebebasan bersuara apabila Bernard Khoo disoalsiasat polis atas tulisannya pada 8 Ogos 2009 bertajuk “Childish Police Bullying Again”. Raja Petra Kamarudin pula didakwa atas Akta Hasutan atas penulisan-penulisannya berkaitan Perdana Menteri dan isteri beliau atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Secara kesimpulannya, pencapaian Malaysia atas kedudukan hak asasi manusia tidak perlu dibanggakan dan perlu diingatkan bahawa pembangunan Negara selaras dengan perkembangan bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga sosial dan politik.
Edisi sunat di sini.
Labels: Amnesty International
0 Comments:
Post a Comment
<< Home