Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Monday, May 31, 2010
LAGENDA BUDAK SETAN: Akasyah Gagal Menjadi Gay
Tanpa membaca novel cinta 25 tahun yang lalu, aku cuba mengagak pengakhiran filem Laganda Budak Setan. Novel tulisan Ahadiat Akashah 25 tahun lalu merupakan gilaan remaja sekolah pada waktu itu.
Kisah bermula dengan Kasyah (lakonan Farid Kamil); seorang pelajar Universiti yang nakal dan sering membuli rakan sekuliah dan pelopor kumpulan anti perempuan, akhirnya terjerat dengan seorang pelajar perempuan yang baru masuk ke kolejnya. Sebelum ini, dialah paling lantang melaungkan slogan anti perempuan dan mentertawakan teman-temannya yang mudah jatuh hati kepada perempuan. Pada masa yang sama, Kasyah mempunyai geng lelaki yang rapat dengan beliau – dan gengnya tidak kurang kacaknya. Geng-gengnya dilakonkan oleh Nubhan, Syed Nabil dan Zoey Rahman. Sapi, Man dan Cin Cai, Kasyah menubuhkan kumpulan anti perempuan.
Kasyah mempunyai sejarah sewaktu kecil yang diingat sehingga dewasa yang menjadikan beliau fobia terhadap perempuan. Gurauan budak-budak menjadikan jiran sebaya dengannya (pada waktu beliau di sekolah rendah) menangis sehinggakan ibu jiran perempuan itu melaporkan kepada ibunya. Sebagai hukuman, ibu Akasyah melumurkan cili ke alat kelamin Akasyah. Sejak itu, Akasyah berjanji untuk membenci perempuan.
Di dalam pengajiannya di universiti, Ayu (lakonan Lisa Sirihani) berjaya mencuri hati Kasyah berbelah bahagi sedangkan dia memasuki dan memilih Universiti tersebut pun, adalah kerana mengubat hatinya yang luka, lantaran Azmi; teman lelakinya yang playboy suka bertukar teman wanita.
Sungguhpun Akasyah mengetahui Ayu tidak lagi suci, perkara itu tidak menjadi persoalan. Keadaan ini selalunya menjadi faktor pemilihan teman hidup – dara atau pun tidak.
Ayu – Isteri Tak Setia
Ayu seorang gadis yang punyai aura dan ciri- ciri melayu sejati sungguhpun pernah ditiduri teman lelakinya Azmi (lakonan Que Haidar) yang kemudiannya menjadi suaminya atas paksaan ibu Ayu yang sedang nazak.
Kehadiran Azmi menggugat cintanya pada Akasyah.
Sungguhpun bergelar isteri kepada Azmi, Ayu masih lagi menaruh rasa cintanya dengan Akasyah. Gambar-gambar hasil fotografi Akasyah disimpannya dan sering dibelek-belek ketika ketiadaan suaminya.
Di dalam skrip, Ayu berkata kepada suaminya Azmi, “ saya mahu menjeadi isteri yang baik”, yang pada masa yang sama majalah fotografi Akasyah dipeluknya.
Sewaktu malam ketika Azmi dan Ayu bergaduh hebat, tanpa meminta izin suaminya Ayu menemui kemalangan dahsyat. Mujur nyawanya masih panjang tetapi seluruh wajahnya telah hancur.
Setelah memakan masa yang panjang dan wajahnya pulih, setelah difikirkan semasak-masaknya Ayu menuntut cerai tak mahu lagi kembali ke pangkuan suaminya dan Azmi terpaksa akur. Dengan wang pampasan perceraian yang diterimanya, Ayu memulakan hidup baru dengan wajah baru serta nama barunya yang dikenali Emilia.
Emilia pula membina perniagaan baru dan kemudiannya memburu kembali Akasyah.
Metroseksualiti Akasyah
Kasyah mendapat dana Universiti dan berpeluang membuat kajian bagi menamatkan pengajiannya. Dengan rambut rasta (bukan dreadlock seperti yang doilaporkan Harian Metro) dan fesyen-fesyen yang agak bukan biasa di kalangan rakan-rakan universitinya. Malah, ketika dalam misinya ke pulau mengkaji hasil kraftangan, beliau lengkap dengan fesyennya tersendiri sehinggakan orang kampong di situ menganggapnya bukan orang tempatan.
Masa berlalu namun Emilia (lakonan Shiqin Kamal) atau Ayu, tak dapat menahan hati sewaktu Kasyah menceritakan kekecewaannya dipermainkan Ayu. Akhirnya Kasyah dapat juga mengesan identiti sebenar Emilia dan cintanya yang satu waktu dulu pernah dikongsi bersama Ayu masih tak berubah, malah sanggup menerima Ayu semula. Ayu yang rasa bersalah dan tak mahu Kasyah menerima janda seperti dirinya berhasrat untuk berhijrah ke New Zealand, tapi akhirnya akur cintanya masih utuh lalu kembali semula kepada Kasyah.
Di sinilah keindahan hakiki mula berputik dan sesungguhnya cinta yang suci itu dicampakkan ke api menjadi seri, dicampak ke laut menjadi ikan. Bagaikan tiada apa yang berlaku sebelumnya, mereka meraih cinta sebagaimana pasangan bahagia yang lainnya.
Kehidupan diteruskan dan di sinilah Kasyah dipertemukan dengan Katerina (Nur Fazura) yang juga bosnya lalu berputik cinta. Dan sewaktu segalanya hampir ke penghujung dan Katerina telah menaruh harapan terhadap Kasyah, sesuatu yang tak disangka-sangka telah terjadi.
Katerina, pada masa yag sama berada di dalam konflik keretakan bersama teman lelakinya yang kacak kerana mengetahui bahawa teman lelakinya mempunyai seorang ‘teman lelaki’ lain.
Tidak dapat dinafikan hasil kerja pengarah Sharad Sharan, penerbit eksekutifnya yang juga isterinya yang dari India dan pengarah fotografinya berpengalaman luas, Mike Muschamp.
Cuma agak menjadi kemusykilan sama ada filem ini boleh dikategorikan sebagai filem tempatan kerana selain Sharad Sharan dan Mike Muschamp , lagu dan muzik filem ini pula dicipta oleh W. Benyamin, dari Indonesia. Lagu tema filem ini dinyanyikan oleh Gio dan Fili. Lirik dihasilkan oleh Gio dan Benyamin sendiri, berdasarkan plot dan perwatakan cerita. Sememangnya, lagunya diadun, selaras dengan emosi dan gejolak wataknya.
Lagenda Budak Setan diterbitkan dengan perbelanjaan sekitar RM 1.6 juta, termasuk promosi dan pemasaran. File mini hasil keluaran Nusantara Filem, sebagai sebuah anak syarikat Astro Shaw, yang bekerjasama dengan Tarantella Pictures. Ianya bakal menemui pawagam pada 3 Jun 2010
0 Comments:
Post a Comment
<< Home