Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Saturday, July 09, 2005

Politiking rendahkan taraf UM--Pensyarah

Politiking rendahkan taraf UM--Pensyarah

Pensyarah Universiti Malaysia, Dr Edmund Terence Gomez terpaksa meletak jawatan apabila permohonannya untuk mendapat cuti tanpa gaji untuk berkhidmat selama dua tahun dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) bersatu ditolak oleh pihak Universiti 8 Mei lalu.

Bagaimana pun, kerajaan melalui Menteri Pendididikan Tinggi meminda keputusan UM tersebut dan meluluskan permohonan cuti Gomez.

Gomez adalah pemegang Ijazah sarjana muda dalam bidang Sastera Bahasa Inggeris dan Sarjana dalam bidang Perniagaan dan politik. Selain menjadi Pensyarah di UM, beliau juga pernah bertugas di Leeds University, England. Beliau juga memegang jawatan sebagai Naib Presiden bagi dalam Persatuan Kakitangan Akademik UM (Perkaum) dan Naib Presiden dan Fello kepada Persatuan Sains Sosial Malaysia.

Antara buku-buku beliau ialah Chinese Business in South East Asia dan Political Business in East Asia.

Ikuti temubual wartawan, Faisal Mustaffa dengan Gomez sebelum beliau bertolak ke PBB awal Jun lepas. Catatan: Temubual ini dibuat sebelum penarikan balik penolakan cuti beliau.


FM: Apakah sebab saudara diketepikan oleh pihak universiti?

Dr Gomez (TG): Pada Januari 2005, saya mendapat tawaran oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menjalankan pengajian selama dua tahun dalam bidang konflik perkauman di negara ini.

Saya memberitahu Naib Chansellor (NC) UM, Prof Datuk Dr Hashim Yaakob mengenai perkara ini dan disambut baik.

Saya meminta pelepasan tanpa gaji selama tempoh tersebut.

Hashim memberitahu tawaran tersebut adalah satu pengiktarafan PBB dan ia adalah penghormatan kepada UM.

Dua bulan kemudiannya, saya mendapat berita yang mengatakan permohonan cuti saya ditolak oleh pihak UM. Pada waktu itu, saya sangka ia disebabkan ketiadaan Lembaga Pengarah untuk membuat keputusan.

(Pengerusi Lembaga, Tan Sri Mohd Khatib mengakhiri tempoh perkhidmatannya pada akhir Februari).

Pada 20 April, saya menerima surat daripada pendaftar universiti, Syed Haron yang menyatakan permohonan saya ditolak. Surat tersebut tidak menyatakan sebab penolakan.

Saya sungguh kecewa kerana pada awalnya permohonan saya disokong oleh NC tetapi kemudiannya ditolak oleh pendaftar. Namun, saya hanya mempunyai dua pilihan; untuk menolak tawaran PBB dan terus berkhidmat dengan UM atau meletak jawatan .

Saya percaya penyisihan saya daripada universiti bukan disebabkan seperti apa yang dinyatakan dalam surat tetapi berpunca daripada beberapa faktor lain.

Salah satu daripadanya ialah pergerakan saya dalam kesatuan.

Seminggu selepas saya berpeluang berbincang dengan NC mengenai penempatan saya ke PBB, kami mengadakan mesyuarat dengan pihak pengurusan universiti. Kami dimaklumkan bahawa e-mel kami melalui jaringan UM dibaca oleh pihak pentadbiran.

Jaringan tersebut terdiri daripada ahli-ahli kesatuan yang membincangkan penilaian pihak pengurusan dalam memberi tingkatan gaji, dan masalah-masalah lain yang dihadapi.

Alasan yang diberikan pihak pentadbiran untuk membacanya ialah untuk menyekat kemasukan gambar-gambar lucah ke dalam e-mel kakitangan universiti.

Saya berpendapat, sekiranya benar pertuduhan tersebut, pihak pengurusan sepatutnya mengambil tindakan terhadap kakitangan yang menghantar gambar-gambar tersebut, bukannya dengan membuka semua e-mel kami.

Selain itu juga, kami membangkitkan kegiatan kakitangan akademik yang menyalahguna kuasa dengan memberi markah yang tidak sepatutnya hanya untuk melepaskan pelajar-pelajar daripada mengulang.

FM: Penulisan anda banyak memberi pendedahan mengenai korupsi yang berlaku dalam Umno dan kerajaan. Penulisan akademik anda itu pula diperkukuhkan dengan fakta-fakta sahih. Dan ianya dibukukan. Adakah anda merasakan faktor-faktor ini sebagai satu ugutan sehingga anda disekat daripada bertugas di PBB?

TG: Dalam kes ini saya kira tidak ada kaitan. Tetapi, semasa saya memohon untuk profesorship pada tahun 2003, saya diberitahu oleh NC bahawa tulisan-tulisan saya terlalu bersifat kontroversi.

Oleh demikian, saya tidak mendapat hak untuk memperolehi profesorship dan secara langsung saya dikeluarkan daripada senarai untuk mendapat kenaikan.


FM: Prof Jeffrey Henderson dari Manchester Bussiness School dan School of Environment and Development ada memberitahu bahawa saudara merupakan salah seorang daripada tiga sosial saintis terkemuka di Malaysia selepas Prof KS Jomo dan Rajah Rasiah. Apa pandangan saudara?

TG: Pihak universiti khususnya NC sendiri mengiktiraf kerja-kerja yang saya lakukan. Semasa saya memohon profesorship melalui NC, beliau mengatakan bahawa daripada senarai yang ada padanya, saya ialah calon terbaik; dari segi kajian, penyelidikan dan buku-buku yang telah diterbitkan.

Alasan untuk tidak diberikan jawatan tersebut ialah kerana sebab-sebab teknikal iaitu beliau mahu saya berkhidmat sebagai Prof Madya lebih lama.

Alasan lain yang diberikan ialah kerana saya membazirkan masa dua tahun di luar negara. Saya memberitahunya, alasan-alasan tersebut tidak ada perkaitan dengan isu pemberian taraf profesor kepada saya.

Kemudian, barulah NC menasihati saya supaya tidak menulis sewenang-wenang, jangan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sepatutnya. Dengan kata lain, beliau menegaskan kepada saya bahawa tulisan saya selama ini terlalu kontroversi dan meminta agar saya tidak terlalu aktif dalam gerakan kesatuan.


FM: Selama 10 tahun berkhidmat di UM, apakah tekanan-tekanan lain yang anda hadapi?TG: Salah satu perkara yang tidak dapat dilupakan ialah keengganan pihak pentadbiran untuk menyerapkan saya dalam bahagian mereka, mahupun jawatan Ketua Jabatan.

UM mewujudkan Institut Kajian China. NC secara langsung mencadangkan agar saya menjadi pengarah bagi isntitut berkenaan. Tetapi, ianya tidak berlaku.

Alasan yang diberikan pihak pentadbiran ialah saya digambarkan sebagai seorang yang tidak setia kepada kerajaan dan oleh itu tidak layak memegang sebarang jawatan tinggi dalam pentadbiran universiti.


FM: Adakah saudara menerima sebarang ancaman?

TG: Buku-buku saya tidak menyenangkan ramai ahli-ahli politik. Buku pertama saya, menyebabkan Daim Zainuddin sungguh marah. Beliau pada mulanya mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap saya.

Buku saya juga menimbulkan kemarahan kepada Menteri Kewangan selepas itu, Anwar Ibrahim. Kemudian.

Menteri Kewangan selepas itu, Mahathir Mohamad juga tidak berpuas hati dengan penulisan saya.


FM: Apa pandangan saudara mengenai peranan Institut Pengajian Tinggi yang sepatutnya berfikiran terbuka untuk menerima sebarang kritikan? Adakah budaya mengkritik kerajaan tidak dibenarkan dalam institusi-institusi ini?

TG: Salah satu masalah besar di universiti ialah kami menerima polisi-polisi daripada pihak-pihak yang dilantik oleh kerajaan. Polisi-polisi yang dikuatkuasa dapati tidak mendatangkan keuntungan kepada pelajar.

Saya sering menyatakan bahawa polisi yang melibatkan pelajar universiti mestilah melibatkan fakta-fakta yang diterima daripada pensyarah; struktur kursus yang ditawarkan, jangkamasa pengajian dan jumlah jam kredit. Kerana jawatan tertinggi dipilih oleh Perdana Menteri, maka arahan NC secara tidak langsung datang dari Perdana Menteri. Ini menyebabkan arahan yang diterima tidak berdasarkan kepada kurikulum pengajian sepatutnya.

Oleh yang demikian, kita tidak mempunyai autonomi.

Pensyarah ialah pihak yang sepatutnya membuat keputusan dari aspek akademik dalam sesebuah institut.

Sebagai contoh, dalam keadaan ekonomi yang tidak baik, pihak universiti membuat keputusan untuk mengurangkan jam kredit dari 120 jam kepada 100. Ini bermakna tujuh subjek dikeluarkan dalam kurikulum pengajian.

Perbezaan 20 jam kredit memberi kesan yang besar kepada persediaan pelajar-pelajar bagi memperlengkapkan diri mereka ketika bekerja kelak.

Oleh itu, NC tidak sepatutnya dilantik dari eksekutif. Mereka sepatutnya dilantik oleh badan bebas berdasarkan latar belakang akademik calon itu.


FM: Sejauh mana budaya mengampu mendapat tempat dalam universiti?

TG: Lewat tahun 1980an, campurtangan kerajaan dalam memilih NC berlaku dengan terang. NC ditugaskan untuk mengawal bukan sahaja kepentingan dari segi ekonomi tetapi juga dari aspek politik. Sekiranya kita mempunyai NC yang tidak layak secara akademiknya yang dilantik dari segi politik, ia mewujudkan pemikiran feudal, iaitu untuk menjawat jawatan tinggi dalam universiti, seseorang itu tidak hanya perlu mempunyai kelayakan dari segi akademik tetapi jawatan-jawatan berkenaan terletak di bawah kuasa pihak tertentu.


FM: Apa akan berlaku sekiranya budaya ini berterusan?

TG: Keadaannya sudah nampak jelas. Taraf UM kian jatuh, angka penerima biasiswa dari luar negara untuk pelajar berkurangan, kualiti buku yang dikeluarkan menurun, kualiti graduan yang tidak mempunyai kecekapan yang sepatutnya.

Graduan lepasan universiti sekarang terpaksa menjalani latihan-latihan lain bagi memperlengkapkan diri mereka untuk menghadapi dunia pekerjaan.

Kerajaan mengetahui masalah-masalah ini. Masalahnya, kita tidak mempunyai kuasa politik untuk mengubahnya.

Kuasa politik dapat menghindarkan ahli-ahli politik daripada mencampuri urusan universiti dan memulangkan kembali kebebasan akademik.


FM: Mengapakan NC dilantik oleh kerajaan?

TG: Alasan mengapa NC dilantik adalah semata-mata untuk mengawasi pergerakan pelajar. Buktinya jelas melalui tindakan-tindakan disiplin yang diambil terhadap pelajar-pelajar. Dalam pilihanraya kampus, pelajar-pelajar yang tidak pro-kerajaan ditekan.

Pelajar-pelajar ini mampu mencabar polisi-polisi kuno yang dibuat oleh pihak pentadbiran.

Di Indonesia, Thailand, Korea dan Taiwan, kerajaan peka kepada kuasa perubahan yang ada pada pelajar.


FM: Apa saudara mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku)?

TG: Auku dan Akujanji dibuat untuk mewujudkan ketakutan di kalangan pelajar dan kakitangan universiti. Ketakutan ini menular ke semua peringkat dalam universiti. Akta ini menyekat suara demokrasi di universiti dan ia mesti dihapuskan.


FM: Bagaimana saudara melihat pilihanraya kampus di UM yang lepas? Ada berita yang melaporkan campurtangan pihak pentadbiran dalam menentukan wakil pelajar ini.

TG: Pilihanraya kampus yang lepas amat menarik. Ia penuh dengan pertuduhan-pertuduhan berlakunya penipuan. Ada pertuduhan yang mengatakan ketua kolej kediaman dipilih oleh NC.

Pegawai-pegawai pilihanraya dipilih dari kalangan mereka yang menyokong Umno dan kerajaan. Mereka mempunyai kuasa untuk memilih siapa yang bakal bertanding dalam pilihanraya serta siapa yang boleh menghantar borang pencalonan.

Ada pertuduhan bahawa pelajar-pelajar yang dinampakkan tidak menyokong kerajaan disekat daripada mengemukakan borang pengundian. Calon-calon yang bertanding juga disekat daripada berkempen.

Parti-parti pemerintah datang untuk menghasut pelajar-pelajar dan ini terbukti. Mereka sepatutnya tahu bahawa cara yang mereka jalankan menimbulkan kemarahan kepada pelbagai pihak. Cara yang mereka jalankan plihanraya menjijikkan.


FM: Apakah bidang tugas di PBB nanti?

TG: Saya akan memulakan satu kajian baru mengenai politik perkauman di negara ini. Saya akan mengkaji 'identiti' bangsa-bangsa di negara ini yang berkaitan dengan evolusi dan hak.

Ia juga melibatkan konflik perkauman yang berada berlaku di sini.

 

 

Saturday, July 02, 2005

Suaram desak PM tandatangan Konvensyen Membantah Penyiksaan

KUALA LUMPUR - Sepanjang tahun 2004, kes-kes yang didapati melanggari hak asasi manusia di Malaysia ialah berkaitan dengan penyiksaan dalam tahanan dan penyalahgunaan kuasa oleh polis.

Menurut Laporan Hak Asasi 2004 yang diterbitkan oleh Suara Rakyat Malaysia, kes-kes penyalahgunaan kuasa seperti kejadian yang dialami oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipukul teruk oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang boleh membawa maut.

Kejadian-kejadian lain termasuk penyiksaan ala-Abu Ghraib yang dialami oleh Munawar Anees, Joshua Jamaluddin yang sehingga kini tidak dinyatakan pihak yang menjalankan penyiksaan sedemikian dan tidak diambil tindakan.

Buku 'Malaysia: Human Rights Report 2004 - civil and political rights' dilancarkan oleh Pengarah Suaram, Dr Kua Kia Soong pada 25 Jun lalu di Dewan Perhimpunan Cina Selangor.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Prof Hamdan Adnan diundang sebagai jemputan khas.

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ialah Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah; Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim Syed Noh; Presiden JIM, Zaid Kamarudin; wakil dari Sisters in Islam, Zaitun Kasim dan peguam hak asasi, Edmond Bon.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kua, tahun 2004 memperlihatkan tahun pertama Abdullah Badawi memegang jawatan Perdana Menteri dan Laporan Hak Asasi 2004 yang diterbitkan oleh Suaram menjadi kayu ukur kepada pentadbiran Abdullah dalam menangani pencabulan hak asasi di negara ini.

Dalam kenyataan akhbanya, Kua mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengiktiraf dan mempersetujui Konvesnyen Membantah Penyiksaan.

"Sekiranya beliau (Abdullah Badawi) serius untuk membasmi penyiksaan di negara ini, beliau sepatutnya menyertai Konvensyen tersebut. Kegagalan beliau untuk berbuat demikian, membuktikan beliau hanya melontarkan janji-janji kosong," kata Kua.

Kua juga mengambil kesempatan untuk mengutuk pegawai-pegawai cawangan khas (SB) yang terlibat secara langsung dan tidak langsunga dalam membuat penyiksaan terhadap manusia yang melanggar hak asasi.

Laporan itu melaprokan penyalahgunaan kuasa SB dalam menjalankan tugas mereka terhadap tahanan-tahanan yang ditahan di bawah AKta Keselamatan Dalam negeri (ISA).

"SB diberi kuasa oleh undang-undang selepas kemerdekaan. Namun, Suruhanjaya tidak ada kuasa untuk berbuat demikian," kata Kua yang juga pernah ditahan dibawah ISA pada 1987 - 1989 ketika Kerajaan menjalankan Operasi Lalang.

Dalam ucapan Hamdan pula, beliau merujuk kepada kes yang dilaporkan oleh keluarga S Manimaran dari Rembau.

Mainimaran a/l Selvaraj, 33, diberitahu meninggal dunia hanya selepas isterinya datang ke Balai Polis Rembau untuk bertemu dengan suaminya yang ditahan kerana dituduh terlibat dalam kes kecurian.

S Manimaran dikatakan ditahan di Balai Polis Rembau pada 1:30 pagi dan didapati mati pada 7:30 pagi hari yang sama.

Selepas mayat tersebut dituntut, didapati terdapat kesan-kesan lebam dan luka pada keseluruhan badan S.Manimaran. Kesan lebam tersebut dipercayai berpunca daripada cucukan kuasa elektrik ke badan mangsa.

Hamdan melawat Balai Polis berkenaan dan menyoal siasat pegawai-pegawai yang bertugas pada hari tersebut tetapi gagal untuk mendapat maklumat yang cukup.

Lawatan Hamdan ke balai polis berkenaan hanya terhad untuk melawat sel lokap di mana Manimaran didapati mati.

Polis melaporkan Manimaran mati akibat serangan penyakit beri-beri tetapi bedah siasat mendapati mayat Manimaran mempunyai kesan lecuran di bahagian lehernya.

Polis melaporkan Manimaran mati akibat serangan penyakit beri-beri tetapi bedah siasat mendapati mayat Manimaran mempunyai kesan lecuran di bahagian lehernya.

Kesan tersebut dipercayai dicucuh oleh punca kuasa elektrik sehingga menyebabkan kematian.

Laporan Hak Asasi Manusia 2004 juga menyentuh kes-kes yang berkaitan dengan kebebasan Bersuara dan Berkumpul, Kebebasan Beragama, Pembersihan Mora (Moral Policing), Pelarian dan Pekerja Asing dan Pilihanraya Umum.

Buku setebal 199 muka itu berharga RM 25 dan boleh didapati di pejabat Suaram Petaling Jaya. Sebarang pesanan boleh menghubungi 03-77843525

 

 

Wakil DAP terus mahu undi ketiga dimartabatkan

Penggantungan pilihan raya kerajaan tempatan jika diteruskan adalah merupakan satu janji yang tidak dikotakan oleh kerajaan dan ini merupakan satu pengkhianatan terhadap rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Cheras (DAP), Tan Kok Wai, pada 1 Mac 1965, pilihan raya kerajaan tempatan telah digantung melalui satu pengisytiharan oleh bekas Perdana Menteri, Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj yang semasa mengumumkan penggantungan itu berkata bahawa sebaik sahaja konfrontasi Indonesia tamat, keamanan dan ketenteraman wujud kembali ke negara kita.

Pada waktu itu, Perdana Menteri berkata, “ingin memberi jaminan kepada Dewan ini bahawa kerajaan akan mengadakan semula dengan segera pilihan raya kerajaan tempatan”.

Tan menghujahkan perkara ini ketika mengutarakan usul di Dewan Rakyat pada sidang yang berlangsung pada 4 April yang lalu.

"Dalam kes Wilayah Persekutuan pula, amat malang sekali kerana tiadanya perwakilan negeri, tiada sebab mengapa pilihan raya tidak boleh diadakan di peringkat tempatan sekiranya ia boleh diadakan di peringkat Parlimen dan negeri," kata Tan.

Tan menambah, negara ini sudah terlalu lama kerajaan tempatan ditentukan melalui
pelantikan dan rakyat terpaksa mengalami akibatnya seperti perkhidmatan dan
kemudahan asas yang tidak memuaskan, pengurusan yang korup dan reputasi buruk
serta pentadbiran yang tidak cekap dan tidak berkesan.

"Ahli-ahli Majlis yang dilantik nampaknya lebih berminat menikmati manfaat jawatan mereka seperti melancong ke luar negeri dengan menggunakan wang rakyat daripada berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Selain daripada itu, Tan berkata, semua negara demokratik membenarkan pemilihan Ahli Majlis Tempatan dan Datuk Bandar termasuk jiran-jiran serantau seperti Indonesia, Filipina, negara Thai dan Kemboja.

Di negara bersistem diktator seperti China, Arab Saudi juga telah pun memperkenalkan sistem sedemikian seawal tahun 1978.

"Sekiranya sebuah negara komunis seperti China membenarkan pemilihan ketua kampung, Malaysia mesti membenarkan demokrasi akarumbi di bandar, daerah dan kampung di negara kita, terutamanya apabila Suruhanjaya Siasatan Diraja 1965 yang diketuai oleh Senator Datuk Athi Nahappan telah mengemukakan satu laporan pada Disember 1968, yang mencadangkan supaya pemilihan kerajaan tempatan itu dipulihkan," katanya lagi.

Tan mencadangkan agar:

(i) setiap ibu negeri hendaklah ditadbirkan oleh sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang mempunyai anggota perwakilan yang dipilih oleh rakyat. Prinsip yang sama hendaklah diperluaskan kepada semua Majlis Tempatan di luar ibu negeri;

(ii) hendaklah diwujudkan satu undang-undang tunggal yang diguna pakai di seluruh negara untuk meliputi dan berkait dengan Pihak Berkuasa Tempatan dan setiap negeri hendaklah menerima dan menguatkuasakan undang-undang tersebut dalam tempoh enam bulan setelah ia diluluskan oleh Parlimen;

(iii) sebuah Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah dipencarkan dan hendaklah menjadi Badan yang berautonomi dari segi kewangan dan pentadbiran mengandungi ahli-ahli Majlis yang dipilih dengan tertakluk kepada kawalan kerajaan negeri atas perkara-perkara kepentingan dan faedah nasional;

(iv) parti-parti politik hendaklah dibenarkan terus bertanding meskipun terdapat aspek yang baik dan buruknya dan calon-calon hendaklah terus diberi hak untuk berdiri sebagai calon bebas;

(v) sebuah tribunal kerajaan tempatan hendaklah ditubuhkan bagi pihak berkuasa negeri untuk setiap Pihak Berkuasa Tempatan.

 

 

Friday, July 01, 2005

Penagih dadah tidak akan diletak di pulau

Kementerian Keselatkan penagih-penagih dadah di suatu tempat yang berasingan seperti pulau-pulau kerana langkah ini tidak selaras dengan matlamat program rawatan dan pemulihan yang dijalankan dan usaha untuk mengintegrasikan semula mereka ke dalam masyarakat.

Ketika menjawab soalan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Mohamed Razali bin Che Mamat, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Chia Kwang Chye berkata, penagih-penagih bermasalah tidak akan dipisahkan penempatan mereka ke tempat lain seperti di pulau-pulau.

Kwang Cheye memberitahu di Dewan Rakyat pada sidang parlimen 4 April dahulu, pada tahun 2001 kerajaan telah mengambil langkah yang lebih keras dengan mewujudkan sebuah Pusat Pemulihan Dadah Penjara Kajang untuk menempatkan penagih tegar yang sering menimbulkan masalah di pusat serenti berulang kali keluar masuk pusat serenti serta mempunyai rekod jenayah.

"Pusat pemulihan ini boleh menempatkan 300 orang penagih pada satusatu masa dan jumlah penagih dadah yang sedang menjalani program rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Penjara Kajang sehingga Mei 2004 ialah seramai 260 orang," tambah Kwang Chye.

Menurut Kwang Chye lagi, tindakan yang lebih keras ke atas penagih tegar telah diambil dengan pindaan Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan) 2002 di mana penagih-penagih yang dikesan kali ketiga selepas menjalani program rawatan pemulihan sebanyak dua kali di pusat serenti akan dipenjarakan bagi tempoh yang lebih lama iaitu daripada lima hingga tujuh tahun dan disebat dengan rotan tidak lebih daripada tiga sebatan diikuti dengan hukuman penjara dari tujuh hingga 13 tahun dan sebatan tiga hingga enam kali bagi kesalahan kali yang keempat.

Undang-undang yang mula berkuat kuasa pada 1 November 2002 ini menyebut bahawa penagih dadah yang diperintahkan untuk menjalani program rawatan dan pemulihan di pusat serenti selepas tarikh tersebut akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan yang baru ini.

Hukuman penjara yang lebih lama ini, menurut Kwang Chye bertujuan untuk menjadikan deterrent, dan juga bagi mengasingkan penagih tegar daripada masyarakat.

 

 

Betulkah Islam Hadhari tiada kaitan dengan gejala sosial?

Konsep Islam Hadhari yang diutarakan oleh Perdana Menteri sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan baik dan yang tidak baik.

Menurut Dato' Dr. Abdullah bin Md. Zin, kalau kita ianya dikaitkan, katakan Islam Hadhari adalah suatu prinsip yang baik kemudian gejala-gejala sosial sebagaimana yang dibincangkan ini benda yang tidak baik.

“Apabila kita hendak menjalankan perkara-perkara yang baik bukan semestinya benda yang tidak baik itu terus dihapuskan, dua keadaan yang berbeza,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan ahli parlimen Tumpat, Dato' Kamarudin bin Jaffar yang menyentuh mengenai hubungan hubungan di antara Islam Hadhari dengan gejala sosial di kalangan para belia.

Dalam persidangan Dewan Rakyat 4 April, Kamarudin memberitahu bahawa JAWI telah menyerbu sebuah majlis berdansa dan minuman keras dalam kelab malam di Kuala Lumpur.

Menurut Kamarudin, tidak ada lagi pendakwaan terhadap 100 orang itu dan tidak lagi boleh dilakukan serbuan kecuali ada syarat-syarat tertentu.

Kamarudin memperoalkan tindakan awal JAWI menyerbu, menahan dan berusaha untuk mendakwa atau keputusan akhir Kabinet tidak ada lagi serbuan kecuali dengan syarat-syarat tertentu.

Dalam menjawab pertanyaan itu, Abdullah menambah, gejala-gejala sosial berlaku di mana-mana.

“Gejala sosial atau pun dari segi kriminal berlaku dan telah saya jelaskan dahulu menurut angka yang diberi oleh Ketua Polis Negara dalam satu taklimat kepada Menteri-menteri katanya Malaysia masih terkawal. Cuma mungkin timbulnya diriuh-rendahkan, terlalu bising sangat. Berlaku sedikit pun bising soalnya oleh media dan sebagainya. Kalau pada masa dahulu pun sebagai contoh sumbang muhrim pun berlaku sejak lama dalam sejarah tetapi kerana media elektronik, media cetak dan sebagainya agaknya tidak berkembang baik, maka tidak disebarluaskan. Bukannya saya hendak mengatakan ia tidak berlaku,” kata Abdullah.

Tambahnya, Islam Hadhari adalah satu niat yang baik oleh kerajaan.

“Kalau ada gejala-gejala sosial dan sebagainya, kita sama-sama berkewajipan untuk membasmi dan menghapuskannya dan mengurangkannya. Bagi saya tidaklah apabila suatu hasrat yang baik itu terus dikaitkan dengan benda-benda yang tidak baik. Ini pertarungan di antara hak dan batil sentiasa berlaku dalam dunia, tambahan pula dalam era globalisasi dan sebagainya ini,” katanya lagi.

 

 

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com