Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Saturday, July 09, 2005

Politiking rendahkan taraf UM--Pensyarah

Politiking rendahkan taraf UM--Pensyarah

Pensyarah Universiti Malaysia, Dr Edmund Terence Gomez terpaksa meletak jawatan apabila permohonannya untuk mendapat cuti tanpa gaji untuk berkhidmat selama dua tahun dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) bersatu ditolak oleh pihak Universiti 8 Mei lalu.

Bagaimana pun, kerajaan melalui Menteri Pendididikan Tinggi meminda keputusan UM tersebut dan meluluskan permohonan cuti Gomez.

Gomez adalah pemegang Ijazah sarjana muda dalam bidang Sastera Bahasa Inggeris dan Sarjana dalam bidang Perniagaan dan politik. Selain menjadi Pensyarah di UM, beliau juga pernah bertugas di Leeds University, England. Beliau juga memegang jawatan sebagai Naib Presiden bagi dalam Persatuan Kakitangan Akademik UM (Perkaum) dan Naib Presiden dan Fello kepada Persatuan Sains Sosial Malaysia.

Antara buku-buku beliau ialah Chinese Business in South East Asia dan Political Business in East Asia.

Ikuti temubual wartawan, Faisal Mustaffa dengan Gomez sebelum beliau bertolak ke PBB awal Jun lepas. Catatan: Temubual ini dibuat sebelum penarikan balik penolakan cuti beliau.


FM: Apakah sebab saudara diketepikan oleh pihak universiti?

Dr Gomez (TG): Pada Januari 2005, saya mendapat tawaran oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menjalankan pengajian selama dua tahun dalam bidang konflik perkauman di negara ini.

Saya memberitahu Naib Chansellor (NC) UM, Prof Datuk Dr Hashim Yaakob mengenai perkara ini dan disambut baik.

Saya meminta pelepasan tanpa gaji selama tempoh tersebut.

Hashim memberitahu tawaran tersebut adalah satu pengiktarafan PBB dan ia adalah penghormatan kepada UM.

Dua bulan kemudiannya, saya mendapat berita yang mengatakan permohonan cuti saya ditolak oleh pihak UM. Pada waktu itu, saya sangka ia disebabkan ketiadaan Lembaga Pengarah untuk membuat keputusan.

(Pengerusi Lembaga, Tan Sri Mohd Khatib mengakhiri tempoh perkhidmatannya pada akhir Februari).

Pada 20 April, saya menerima surat daripada pendaftar universiti, Syed Haron yang menyatakan permohonan saya ditolak. Surat tersebut tidak menyatakan sebab penolakan.

Saya sungguh kecewa kerana pada awalnya permohonan saya disokong oleh NC tetapi kemudiannya ditolak oleh pendaftar. Namun, saya hanya mempunyai dua pilihan; untuk menolak tawaran PBB dan terus berkhidmat dengan UM atau meletak jawatan .

Saya percaya penyisihan saya daripada universiti bukan disebabkan seperti apa yang dinyatakan dalam surat tetapi berpunca daripada beberapa faktor lain.

Salah satu daripadanya ialah pergerakan saya dalam kesatuan.

Seminggu selepas saya berpeluang berbincang dengan NC mengenai penempatan saya ke PBB, kami mengadakan mesyuarat dengan pihak pengurusan universiti. Kami dimaklumkan bahawa e-mel kami melalui jaringan UM dibaca oleh pihak pentadbiran.

Jaringan tersebut terdiri daripada ahli-ahli kesatuan yang membincangkan penilaian pihak pengurusan dalam memberi tingkatan gaji, dan masalah-masalah lain yang dihadapi.

Alasan yang diberikan pihak pentadbiran untuk membacanya ialah untuk menyekat kemasukan gambar-gambar lucah ke dalam e-mel kakitangan universiti.

Saya berpendapat, sekiranya benar pertuduhan tersebut, pihak pengurusan sepatutnya mengambil tindakan terhadap kakitangan yang menghantar gambar-gambar tersebut, bukannya dengan membuka semua e-mel kami.

Selain itu juga, kami membangkitkan kegiatan kakitangan akademik yang menyalahguna kuasa dengan memberi markah yang tidak sepatutnya hanya untuk melepaskan pelajar-pelajar daripada mengulang.

FM: Penulisan anda banyak memberi pendedahan mengenai korupsi yang berlaku dalam Umno dan kerajaan. Penulisan akademik anda itu pula diperkukuhkan dengan fakta-fakta sahih. Dan ianya dibukukan. Adakah anda merasakan faktor-faktor ini sebagai satu ugutan sehingga anda disekat daripada bertugas di PBB?

TG: Dalam kes ini saya kira tidak ada kaitan. Tetapi, semasa saya memohon untuk profesorship pada tahun 2003, saya diberitahu oleh NC bahawa tulisan-tulisan saya terlalu bersifat kontroversi.

Oleh demikian, saya tidak mendapat hak untuk memperolehi profesorship dan secara langsung saya dikeluarkan daripada senarai untuk mendapat kenaikan.


FM: Prof Jeffrey Henderson dari Manchester Bussiness School dan School of Environment and Development ada memberitahu bahawa saudara merupakan salah seorang daripada tiga sosial saintis terkemuka di Malaysia selepas Prof KS Jomo dan Rajah Rasiah. Apa pandangan saudara?

TG: Pihak universiti khususnya NC sendiri mengiktiraf kerja-kerja yang saya lakukan. Semasa saya memohon profesorship melalui NC, beliau mengatakan bahawa daripada senarai yang ada padanya, saya ialah calon terbaik; dari segi kajian, penyelidikan dan buku-buku yang telah diterbitkan.

Alasan untuk tidak diberikan jawatan tersebut ialah kerana sebab-sebab teknikal iaitu beliau mahu saya berkhidmat sebagai Prof Madya lebih lama.

Alasan lain yang diberikan ialah kerana saya membazirkan masa dua tahun di luar negara. Saya memberitahunya, alasan-alasan tersebut tidak ada perkaitan dengan isu pemberian taraf profesor kepada saya.

Kemudian, barulah NC menasihati saya supaya tidak menulis sewenang-wenang, jangan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sepatutnya. Dengan kata lain, beliau menegaskan kepada saya bahawa tulisan saya selama ini terlalu kontroversi dan meminta agar saya tidak terlalu aktif dalam gerakan kesatuan.


FM: Selama 10 tahun berkhidmat di UM, apakah tekanan-tekanan lain yang anda hadapi?TG: Salah satu perkara yang tidak dapat dilupakan ialah keengganan pihak pentadbiran untuk menyerapkan saya dalam bahagian mereka, mahupun jawatan Ketua Jabatan.

UM mewujudkan Institut Kajian China. NC secara langsung mencadangkan agar saya menjadi pengarah bagi isntitut berkenaan. Tetapi, ianya tidak berlaku.

Alasan yang diberikan pihak pentadbiran ialah saya digambarkan sebagai seorang yang tidak setia kepada kerajaan dan oleh itu tidak layak memegang sebarang jawatan tinggi dalam pentadbiran universiti.


FM: Adakah saudara menerima sebarang ancaman?

TG: Buku-buku saya tidak menyenangkan ramai ahli-ahli politik. Buku pertama saya, menyebabkan Daim Zainuddin sungguh marah. Beliau pada mulanya mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap saya.

Buku saya juga menimbulkan kemarahan kepada Menteri Kewangan selepas itu, Anwar Ibrahim. Kemudian.

Menteri Kewangan selepas itu, Mahathir Mohamad juga tidak berpuas hati dengan penulisan saya.


FM: Apa pandangan saudara mengenai peranan Institut Pengajian Tinggi yang sepatutnya berfikiran terbuka untuk menerima sebarang kritikan? Adakah budaya mengkritik kerajaan tidak dibenarkan dalam institusi-institusi ini?

TG: Salah satu masalah besar di universiti ialah kami menerima polisi-polisi daripada pihak-pihak yang dilantik oleh kerajaan. Polisi-polisi yang dikuatkuasa dapati tidak mendatangkan keuntungan kepada pelajar.

Saya sering menyatakan bahawa polisi yang melibatkan pelajar universiti mestilah melibatkan fakta-fakta yang diterima daripada pensyarah; struktur kursus yang ditawarkan, jangkamasa pengajian dan jumlah jam kredit. Kerana jawatan tertinggi dipilih oleh Perdana Menteri, maka arahan NC secara tidak langsung datang dari Perdana Menteri. Ini menyebabkan arahan yang diterima tidak berdasarkan kepada kurikulum pengajian sepatutnya.

Oleh yang demikian, kita tidak mempunyai autonomi.

Pensyarah ialah pihak yang sepatutnya membuat keputusan dari aspek akademik dalam sesebuah institut.

Sebagai contoh, dalam keadaan ekonomi yang tidak baik, pihak universiti membuat keputusan untuk mengurangkan jam kredit dari 120 jam kepada 100. Ini bermakna tujuh subjek dikeluarkan dalam kurikulum pengajian.

Perbezaan 20 jam kredit memberi kesan yang besar kepada persediaan pelajar-pelajar bagi memperlengkapkan diri mereka ketika bekerja kelak.

Oleh itu, NC tidak sepatutnya dilantik dari eksekutif. Mereka sepatutnya dilantik oleh badan bebas berdasarkan latar belakang akademik calon itu.


FM: Sejauh mana budaya mengampu mendapat tempat dalam universiti?

TG: Lewat tahun 1980an, campurtangan kerajaan dalam memilih NC berlaku dengan terang. NC ditugaskan untuk mengawal bukan sahaja kepentingan dari segi ekonomi tetapi juga dari aspek politik. Sekiranya kita mempunyai NC yang tidak layak secara akademiknya yang dilantik dari segi politik, ia mewujudkan pemikiran feudal, iaitu untuk menjawat jawatan tinggi dalam universiti, seseorang itu tidak hanya perlu mempunyai kelayakan dari segi akademik tetapi jawatan-jawatan berkenaan terletak di bawah kuasa pihak tertentu.


FM: Apa akan berlaku sekiranya budaya ini berterusan?

TG: Keadaannya sudah nampak jelas. Taraf UM kian jatuh, angka penerima biasiswa dari luar negara untuk pelajar berkurangan, kualiti buku yang dikeluarkan menurun, kualiti graduan yang tidak mempunyai kecekapan yang sepatutnya.

Graduan lepasan universiti sekarang terpaksa menjalani latihan-latihan lain bagi memperlengkapkan diri mereka untuk menghadapi dunia pekerjaan.

Kerajaan mengetahui masalah-masalah ini. Masalahnya, kita tidak mempunyai kuasa politik untuk mengubahnya.

Kuasa politik dapat menghindarkan ahli-ahli politik daripada mencampuri urusan universiti dan memulangkan kembali kebebasan akademik.


FM: Mengapakan NC dilantik oleh kerajaan?

TG: Alasan mengapa NC dilantik adalah semata-mata untuk mengawasi pergerakan pelajar. Buktinya jelas melalui tindakan-tindakan disiplin yang diambil terhadap pelajar-pelajar. Dalam pilihanraya kampus, pelajar-pelajar yang tidak pro-kerajaan ditekan.

Pelajar-pelajar ini mampu mencabar polisi-polisi kuno yang dibuat oleh pihak pentadbiran.

Di Indonesia, Thailand, Korea dan Taiwan, kerajaan peka kepada kuasa perubahan yang ada pada pelajar.


FM: Apa saudara mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku)?

TG: Auku dan Akujanji dibuat untuk mewujudkan ketakutan di kalangan pelajar dan kakitangan universiti. Ketakutan ini menular ke semua peringkat dalam universiti. Akta ini menyekat suara demokrasi di universiti dan ia mesti dihapuskan.


FM: Bagaimana saudara melihat pilihanraya kampus di UM yang lepas? Ada berita yang melaporkan campurtangan pihak pentadbiran dalam menentukan wakil pelajar ini.

TG: Pilihanraya kampus yang lepas amat menarik. Ia penuh dengan pertuduhan-pertuduhan berlakunya penipuan. Ada pertuduhan yang mengatakan ketua kolej kediaman dipilih oleh NC.

Pegawai-pegawai pilihanraya dipilih dari kalangan mereka yang menyokong Umno dan kerajaan. Mereka mempunyai kuasa untuk memilih siapa yang bakal bertanding dalam pilihanraya serta siapa yang boleh menghantar borang pencalonan.

Ada pertuduhan bahawa pelajar-pelajar yang dinampakkan tidak menyokong kerajaan disekat daripada mengemukakan borang pengundian. Calon-calon yang bertanding juga disekat daripada berkempen.

Parti-parti pemerintah datang untuk menghasut pelajar-pelajar dan ini terbukti. Mereka sepatutnya tahu bahawa cara yang mereka jalankan menimbulkan kemarahan kepada pelbagai pihak. Cara yang mereka jalankan plihanraya menjijikkan.


FM: Apakah bidang tugas di PBB nanti?

TG: Saya akan memulakan satu kajian baru mengenai politik perkauman di negara ini. Saya akan mengkaji 'identiti' bangsa-bangsa di negara ini yang berkaitan dengan evolusi dan hak.

Ia juga melibatkan konflik perkauman yang berada berlaku di sini.

1 Comments:

At 4:55 pm, Anonymous Anonymous said...

off white nike
yeezy
off white shoes
ggdb outlet
bape
air jordan
off white t shirt
supreme clothing
supreme outlet
supreme

 

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com