Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Saturday, July 02, 2005

Wakil DAP terus mahu undi ketiga dimartabatkan

Penggantungan pilihan raya kerajaan tempatan jika diteruskan adalah merupakan satu janji yang tidak dikotakan oleh kerajaan dan ini merupakan satu pengkhianatan terhadap rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Cheras (DAP), Tan Kok Wai, pada 1 Mac 1965, pilihan raya kerajaan tempatan telah digantung melalui satu pengisytiharan oleh bekas Perdana Menteri, Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj yang semasa mengumumkan penggantungan itu berkata bahawa sebaik sahaja konfrontasi Indonesia tamat, keamanan dan ketenteraman wujud kembali ke negara kita.

Pada waktu itu, Perdana Menteri berkata, “ingin memberi jaminan kepada Dewan ini bahawa kerajaan akan mengadakan semula dengan segera pilihan raya kerajaan tempatan”.

Tan menghujahkan perkara ini ketika mengutarakan usul di Dewan Rakyat pada sidang yang berlangsung pada 4 April yang lalu.

"Dalam kes Wilayah Persekutuan pula, amat malang sekali kerana tiadanya perwakilan negeri, tiada sebab mengapa pilihan raya tidak boleh diadakan di peringkat tempatan sekiranya ia boleh diadakan di peringkat Parlimen dan negeri," kata Tan.

Tan menambah, negara ini sudah terlalu lama kerajaan tempatan ditentukan melalui
pelantikan dan rakyat terpaksa mengalami akibatnya seperti perkhidmatan dan
kemudahan asas yang tidak memuaskan, pengurusan yang korup dan reputasi buruk
serta pentadbiran yang tidak cekap dan tidak berkesan.

"Ahli-ahli Majlis yang dilantik nampaknya lebih berminat menikmati manfaat jawatan mereka seperti melancong ke luar negeri dengan menggunakan wang rakyat daripada berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Selain daripada itu, Tan berkata, semua negara demokratik membenarkan pemilihan Ahli Majlis Tempatan dan Datuk Bandar termasuk jiran-jiran serantau seperti Indonesia, Filipina, negara Thai dan Kemboja.

Di negara bersistem diktator seperti China, Arab Saudi juga telah pun memperkenalkan sistem sedemikian seawal tahun 1978.

"Sekiranya sebuah negara komunis seperti China membenarkan pemilihan ketua kampung, Malaysia mesti membenarkan demokrasi akarumbi di bandar, daerah dan kampung di negara kita, terutamanya apabila Suruhanjaya Siasatan Diraja 1965 yang diketuai oleh Senator Datuk Athi Nahappan telah mengemukakan satu laporan pada Disember 1968, yang mencadangkan supaya pemilihan kerajaan tempatan itu dipulihkan," katanya lagi.

Tan mencadangkan agar:

(i) setiap ibu negeri hendaklah ditadbirkan oleh sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang mempunyai anggota perwakilan yang dipilih oleh rakyat. Prinsip yang sama hendaklah diperluaskan kepada semua Majlis Tempatan di luar ibu negeri;

(ii) hendaklah diwujudkan satu undang-undang tunggal yang diguna pakai di seluruh negara untuk meliputi dan berkait dengan Pihak Berkuasa Tempatan dan setiap negeri hendaklah menerima dan menguatkuasakan undang-undang tersebut dalam tempoh enam bulan setelah ia diluluskan oleh Parlimen;

(iii) sebuah Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah dipencarkan dan hendaklah menjadi Badan yang berautonomi dari segi kewangan dan pentadbiran mengandungi ahli-ahli Majlis yang dipilih dengan tertakluk kepada kawalan kerajaan negeri atas perkara-perkara kepentingan dan faedah nasional;

(iv) parti-parti politik hendaklah dibenarkan terus bertanding meskipun terdapat aspek yang baik dan buruknya dan calon-calon hendaklah terus diberi hak untuk berdiri sebagai calon bebas;

(v) sebuah tribunal kerajaan tempatan hendaklah ditubuhkan bagi pihak berkuasa negeri untuk setiap Pihak Berkuasa Tempatan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com