Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Wednesday, June 30, 2010
Tarik Pingat Dia!
Sehingga kini pihak istana tidak memberi sebarang alasan mengapa darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada mantan Menteri Kesihatan kepada Datuk Seri Chua Jui Meng ditarik balik. Chua tidak muncul di dalam filem pornografi (sungguhpun aku merasakan penglibatan pornografi seseorang ialah hak peribadi individu), tidak didakwa atas jenayah rasuah, tidak melesapkan wang rakyat dan sebagainya yang boleh mengakibatkan ‘arang diconteng ke atas muka raja’.Chua Jui Meng dikurniakan anugerah Datuk Seri Paduka Mahkota Johor dan Datuk Paduka Mahkota Johor pada 8 Jun lalu. Darjah kebesaran itu diberikan oleh al-marhum Sultan Johor dan ditarik balik oleh Sultan Johor sekarang.
Alasan menarik balik pingat darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk bukanlah suatu yang rahsia dan termaktub di bawah Akta Rahsia Rasmi. Sudah tentu sebab musabab penarikan tersebut mahu diketahui umum. Sikap telus dan akauntabel menjadi harapan rakyat. Itulah juga menjadi matlamat Perdana Menteri Satu Malaysia agar pentadbiran kerajaan perlulah berdasarkan ketelusan dan akauntabel.
Sekiranya pihak istana boleh menyatakan alasan sesebuah pingat itu dianugerahkan, pihak istana juga boleh menyatakan mengapa pingat yang dihadiahkan itu ditarik balik.
Di sebalik mempersalahkan Sultan Johor yang menarik balik pingat yang diterimanya, Chua Jui Meng menyalahkan UMNO dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.
Pada satu ketika dahulu, ketika Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, ada cadangan dari parti yang beliau tinggalkan; UMNO agar gelaran Datuk Seri yang ada dengan Anwar Ibrahim ditarik balik.
Di dalam sistem kerajaan semi-feudal ini, raja boleh memberi kurnia dan juga boleh menarik balik anugerah mengikut keperluan. Dengan kuasa terhad yang ada pada raja sekarang, inilah sahaja bidang kuasanya, yakni menarik balik apa yang dikurniakan. Ada juga dakwaan pingat-pingat yang membawa gelaran Datuk tersebut boleh ‘dibeli’. Kebenaran dakwaan ini, aku kurang pasti.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dalam sidang parlimen Mac lalu mendedahkan di Dewan Rakyat sepucuk surat yang ditulis oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim agar gelaran ‘Datuk Seri’ diberikan kepadanya pada majlis keputeraan Tuan Yang Terutama Pulau Pinang. Zahrain, walau bagaimanapun, tidak menafikan surat tersebut.
Menurut teori Maslow, hirarki keperluan manusia di tahap tertinggi ialah untuk mendapat anugerah, gelaran dan penghormatan apabila peringkat fisiologi, keselamatan, disayangi, harga diri dikecapi.
Penganugerahan gelaran ‘datuk’ juga menular kepada golongan artis hiburan dan juga individu-individu di pertengahan 20an atas ‘pencapaian’ yang diberikan dalam mengharumkan nama Negara di pesada dunia. Sekarang, gelaran sedemikian juga diberikan kepada artis-artis hiburan luar Negara. Mungkin atas pandangan raja, mereka telah mengharumkan nama Negara ini.
Hilang Identiti
Sekiranya terdapat kelapangan dari segi jadual, aku kadangkala dibayar untuk mempengerusikan majlis-majlis korporat dan keraian. Dalam merangka skrip ucapan aluan, aku akan meneliti senarai dif-dif kehormat, dari segi pangkat serta senioriti dalam menyebut nama mereka satu-persatu.
Baru-baru ini, aku ditugaskan untuk mempengerusikan satu majlis makan malam di Pulau Pinang yang dihadiri oleh mereka-mereka yang diberi gelaran YB. Sebagai amalan protokol, aku akan melihat sekeliling dan terpaksa menyebut nama mereka satu-persatu dan pastikan gelaran yang yang mereka ada. Tujuannya ialah bagi mengelak dari sesiapa berasa kecil hati kerana gelaran mereka tidak disebut. Aku pernah ditegur oleh pihak penganjur kerana menggelarkan seorang VIP dengan gelaran Datuk sedangkan VIP tersebut baru sahaja dianugerahkan dengan gelaran Tan Sri.
Lantas, apabila aku memanggil Senator Dr Syed Husin Ali dengan gelaran Yang Berhormat ke atas pentas, ucapan yang awal yang diberikan ialah dengan menegur aku kerana memanggil beliau dengan gelaran tersebut. Gelaran YB tersebut seolah-olah ‘pantang’ baginya sehinggakan, secara menyeloroh, memberitahu rakan-rakan ‘YB’ yang duduk semeja dengannya akan ‘putus pertalian sahabat’ sekiranya ada di antara mereka di meja tersebut memanggil beliau dengan gelaran YB.
Menurut Dr Syed, ‘ucapan teguran’nya menyatakan bahawa gelaran YB melenyapkan identiti seseorang individu itu.
Aku sememangnya mengenali Dr Syed (yang aku memanggilnya Pak Syed sahaja sejak aku mula mengenalinya secara rapat hampir sedekad yang lalu) yang sering mempunyai sikap rendah diri, sederhana dalam apa juga situasi. Tetapi, di dalam majlis berkenaan, aku berada dalam keadaan tersepit dan silap yang aku lakukan ialah tidak merujuk kepada beliau terlebih dahulu samada perlu menyebut gelaran YB sebelum namanya terlebih dahulu dan mengabaikan kehendak pihak peganjur.
Namun, aku tidak berasa malu sedikit pun, kerana itulah tradisi Negara ini; “dibuang mati mak, ditelan mati anak”.
Edisi sunat di pautan ini.
Labels: Dr Syed Husin Ali
0 Comments:
Post a Comment
<< Home