Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Wednesday, July 23, 2008
Singgah ke USM Hadir Pameran Lukisan
Pada 22 Julai, aku mengambil time-off dari Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membosankan untuk pergi melihat pameran lukisan di USM bertajuk 'Dari Kuala Kangsar ke…' . Aku menerima jemputan dari Pengarah RA Fine Arts, Raja Ahmad Aminullah (Pak Engku) yang memberitahu bahawa beliau akan mengadakan pameran lukisan dengan kerjasama Pusat Pengajian Seni, USM.Sebetulnya, dalam perjalanan aku ke Pulau Pinang (20 Julai), aku singgah di Kuala Kangsar untuk melawat anak saudara aku, Amir Iskandar yang sedang belajar di Tingkatan 1, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Kami makan tengahari bersama-sama, membeli barangan keperluan di The Store dan menemani aku memeriksa keadaan kereta sebelum menyambung perjalanan ke Pulau Pinang.
Menara jam lama, pemandangan tasik semulajadi, sungai Kangsar, bangunan kolonial lama memang menyayukan.
Sedih bila Amir menceritakan jadual hariannya bermula 5.30 pagi setiap hari dan tidur jam 10 malam. Amir nampak gembira kehadiran aku dan kami berborak, tak panjang tapi dapat setakat melepas rindu. Dia tanya juga keadaan keluarga di Petaling Jaya dan akan pulang bercuti semasa cuti penggal Ogos depan.
Tak sempat aku merakamkan beberapa gambar ketika kami di Kuala Kangsar kerana aku mengejar masa dan cuaca pada waktu itu hujan.
Pameran Lukisan Dari Kuala Kangsar ke…: Rakaman Memori Kuala Kangsar dalam Visual
Selepas berjaya menganjurkan pameran lukisan yang menukilkan beberapa pengalaman peribadi dalam lukisan visual, RA Fine Arts sekali lagi mengadakan pameran serupa, tetapi kali ini diadakan di bahagian utara semenanjung, Pulau Pinang.
Pameran bertajuk ‘Dari Kuala Kangsar ke…’ memperlihatkan sosok kreatif melalui karya seni dari mereka yang pernah berada di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Antaranya ialah DYMM Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Almarhum Sultan Idris Afifullah, YAM Raja Shah ‘Bugs’ Idris, Dato’ Mustapha Mahmud, Dato’ Mahsun Haji Taib, Hishamuddin Rais, Abdul Razak Ali, Sham Kamaruddin, Dzulkifly Mohd Zain, Kamal Zakaria, Shaharun Harun, Nik Ariff Nik Ahmad, Syed Bakar Syed Salim, Zainuddin Jamil, Kamal Mustaffa dan Zainol Abidin Ahmad Shariff.
Turut dipamerkan ialah hasil seni fotografi yang bernuansa artistik daripada Azli Jamil, Hasnul Hassan, Raja Ahmad Aminullah, (Prof) Zulfigar Yassin dan Munzir Fauzi.
Tarikan utama menjadi pilihan pengunjung ialah nilai-nilai sentimental yang ditinggalkan semasa persekolahan mereka di MCKK. Sudah tentu, pelanggan yang mendapat tarikan pameran ini ialah murid-murid tua, bekas pelajar, guru-guru dan juga perantau dari Kuala Kangsar yang menyanjung kehidupan mereka di bandar tersebut yang merupakan kampong
Antara yang menarik ialah karya Syed Jaafar Syed Salim (kanan) yang juga merupakan pelukis tamu di mana pameran ini diadakan; Galeri Budaya Rekacipta dan Inovasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Syed Jaafar, bekas guru seni di MCKK memberitahu pada sidang media 22 Julai bahawa pengalamannya di Kuala Kangsar cukup manis dan Kuala Kangsar merupakan Bandar yang unik dari aspek social dan struktur pembangunannya.
Banjir pada tahun 1966 dinukilkan di dalam lukisannya, The Flood 1966. Karya-karya lain beliau mengenai Kuala Kangsar ialah A Beautiful Day, The Roll Call, Bukit Berapit, Malay College Teacher’s Qurters dan Kedai Pa’Kassim.
Selain itu, pameran itu juga turut memaparkan buku-buku yang ditulis oleh para alumni dan guru MCKK. Antaranya ialahIshak Haji Muhammad (Pak Sako) – ‘Anak Mat Lela Gila’, ‘Putra Gunung Tahan’, ‘Mustika Embun’, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh – ‘Aksara Usia’, The Mind of The Malay Author’, Qasim Ahmad – ‘Eropah Moden: Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan’, Rehman Rashid – ‘A Malaysian Journey’, Raja Ahmad Aminullah – ‘Menyarung Jiwa/Soulship’, Dato’ SirMahmud bin Mat – ‘Tinggal kenangan: The Memoirs of Dato’ Sir Mahmud bin Mat’, Mohd Nazari Ismail – ‘The Globalization Debate: A Case of Barking up The Wrong Tree’, Aznir Malek – ‘Fishing Foray: An Angler’s Travels in Malaysia’, M.Bakri Musa – ‘Seeing Malaysia My Way’, an Sri Abdullah Ahmad – ‘On The Record’, Dato amaruddin Jaafar- ‘Dr Burhanuddin al-Helmy’, dan Neil J.Ryan – ‘The Last Expatriate: Reminiscences of an Educationalist in Malaysia’.
Juga dipamerkan karya-karya bekas guru seperti Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba) – ‘Pelita Bahasa Penggal II’, Anthony Burgess – ‘The Malayan Trilogy’, Sharon Bakar dan (Allahyarham) Muzaffar Tate – ‘Projek Lebuhraya Utara-Selatan (The Anatomy of An Expressway)’.
Pameran ini dibuka pada umum dari 22 Julai hingga 22 Ogos 2008. Majlis perasmian serta pelancaran akan diadakan pada 6 Ogos 2008, jam 3 petang oleh Prof Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor USM. Kurator pameran ini ialah Zabas (Zainol Abidin bin Ahmad Shariff, bekas Pengarah Galeri Seni Petronas dan Galeri Bank Negara
Lukisan pilihan blog ini:
1. Celebration in Red oleh Mahsun Hj Taib
2. Omdurman Woman 2 oleh Kamal Mustaffa
3. Malay College Teacher's Qurters oleh Syed Bakar Syed Salim
Fotografi pilihan blog ini:
1. The Heart is a Lonely Hunter, 5/10 oleh Raja Ahmad Aminullah
2. KTM Berhad Headquarters oleh Hasnul Hassan
3. Fun oleh Azli Jamil
Buku pilihan blog ini:
1. Aksara Usia oleh Muhammad Haji Salleh
2. Anak Mat Lela Gila oleh Pak Sako
3. A Malaysian Journey oleh Rehman Rashid
Labels: Galeri Budaya USM, hishamuddin rais, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, ra fine arts, Raja Ahmad Aminullah, syed jaafar syed salim
 
Monday, January 14, 2008
Pameran lukisan Behind the Wall: Imaginasi, dinding dan kebebasan berekspresi
STUDIO Dikala Jinggga yang ditubuhkan pada tahun 2000 mengorak satu lgi langkah dengan menganjurkan pamerannya bertajuk "Behind the Wall" yang mendapat sokongan oleh Jabatan Rekacipta dan Inovasi Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Pameran yang diadakan di Galeri Budaya USM ini diusahakan oleh lapan artis muda yang terdiri dari bekas graduan Sarjana Muda Seni Halus Uitm Shah Alam.
Berbeza dengan pameran-pameran lukisan yang lain, Behind The Wall memberi mesej DINDING yang membahaskan isu kebebasan, namun persoalannya apakah 'suara-suara' dalam karya-karya ini boleh melepasi 'dinding-dinding' yang terus-terusan dibina yang sering menjadi batasan dan halangan untuk didengari oleh 'penghuni' dibelakangnya?. Dan begitu juga sebaliknya.
Dalam pameran ini , pelukis cuba menampilkan gaya dan persembahan mengikut kefahaman masing-masing dalam karya mereka.
Setiap pelukis membawa persoalan yang bereza-beza. Pelukis Nurazmal Md Yusoff cuba membawa persoalan Konflik dalam karya abstrak beliau "Conflict Siries", dilema dalam membuat pilihan yang umumnya dialami setiap manusia. Lukisan tersebut juga pernah dimuatkan dalam buku "Melangkaui Sempadan" KONFLIKTING" hasil susunan Faisal Mustaffa yang diterbitkan bulan lalu.
Zulkiflee Zainul Abidin pula cuba melihat naluri manusia yang sentiasa mahu berasa 'bernasib baik' dalam kehidupan dalam siri " ...and Good Luck" beliau. Bagaimana manusia memperjudikan hidup dengan mencipta harapan-harapan baru.
Bagi pelukis Samsuddin Lappo, mengenengahkan rasa bangga dengan asal-usul bangsanya; Bugis. yang memang terkenal dengan keberanian dan kebijaksanaan menguasai lautan. Beliau percaya setiap manusia akhirnya harus bersedia untuk kembali kepada akar bangsanya sendiri.
Menjadikan 'Batu' sebagai subjek utama siri catan "Cheritera: SAKSI ", pelukis Haris Ahmad Hamsani berpandangan bahawa batu adalah saksi nyata setiap peradaban manusia sejak dulu hingga kini selain unsur bumi yang lain.
Catan " Joy Ride" yang dihasilkan oleh satu-satunya pelukis wanita dalam pameran ini, Nurhayati Md Yusoff, memaparkan imej penarik beca dalam gaya Pointelisme seakan-akan digital pixel,mewakili suara golongan marhain yang semakin dipinggirkan oleh kemajuan teknologi.
Satu-satunya pengarca dalam pameran ini, Saudara Nizam Abdullah menzahirkan subjek yang begitu popular dalam masyarakat Malaysia iaitu 'Ayam' dalam bentuk arca. Arca bertajuk " Rebut Cacing" siri " Sabong" dilihat lebih dekat dengan isu perebutan kuasa, ketamakan, survival dan persoalan intergrasi yang sering diperdebatkan masa kini.
Siri "Hujan" diinspirasi dari fenomena alam yang memberi pelbagai interpritasi dalam kehidupan sama ada baik ataupun buruk. Mohd Kizal Mohd Saad menjelmakan hujan dalam catannya dalam ekspresinya sendiri Shahrul Anuar Saari membahaskan isu asas/struktur dalam kehidupan lewat karya catan "Going out from the Box" dizahirkan dalam komposisi garisan dan warna yang menarik.
Yang pasti, untuk mencapai kebebasan bukan percuma. Ada harga yang harus dibayar. Ada jiwa yang menjadi korban. 'Behind The Wall' adalah gabungan suara-rasa -jiwa lapan anak muda yang sedia menghargai ruang dan peluang yang masih terbatas.
Mereka sangat yakin dan percaya untuk terus berbicara lewat karya seni, seterusnya karya terus dihargai dan diletakkan ditempat yang sewajarnya. Usaha kumpulan seni Studio Dikalajingga 'mengatur sendiri' acara ini tidak mahu dilihat sekadar mengisi jadual tahunan ruang pameran, atau sekadar memenuhi jemputan, tetapi memberi rasa kesedaran yang berterusan. tentang pentingnya 'kebebasan berekspresi'.
Datang dengan kesedaran tentang; masih banyak ruang yang perlu diisi, ada jarak yang perlu dikurangkan, ada suara yang masih sepi dan ada luka yang perlu diubati.
*Pameran di Galeri USM sehingga 15 Januari. *Artikel ini disiarkan di KLPOS
Labels: Behind The Wall, Galeri Budaya USM, Jabatan Rekacipta dan Inovasi Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Studio di Kala Jingga