Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Monday, January 14, 2008
Pameran lukisan Behind the Wall: Imaginasi, dinding dan kebebasan berekspresi
STUDIO Dikala Jinggga yang ditubuhkan pada tahun 2000 mengorak satu lgi langkah dengan menganjurkan pamerannya bertajuk "Behind the Wall" yang mendapat sokongan oleh Jabatan Rekacipta dan Inovasi Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Pameran yang diadakan di Galeri Budaya USM ini diusahakan oleh lapan artis muda yang terdiri dari bekas graduan Sarjana Muda Seni Halus Uitm Shah Alam.
Berbeza dengan pameran-pameran lukisan yang lain, Behind The Wall memberi mesej DINDING yang membahaskan isu kebebasan, namun persoalannya apakah 'suara-suara' dalam karya-karya ini boleh melepasi 'dinding-dinding' yang terus-terusan dibina yang sering menjadi batasan dan halangan untuk didengari oleh 'penghuni' dibelakangnya?. Dan begitu juga sebaliknya.
Dalam pameran ini , pelukis cuba menampilkan gaya dan persembahan mengikut kefahaman masing-masing dalam karya mereka.
Setiap pelukis membawa persoalan yang bereza-beza. Pelukis Nurazmal Md Yusoff cuba membawa persoalan Konflik dalam karya abstrak beliau "Conflict Siries", dilema dalam membuat pilihan yang umumnya dialami setiap manusia. Lukisan tersebut juga pernah dimuatkan dalam buku "Melangkaui Sempadan" KONFLIKTING" hasil susunan Faisal Mustaffa yang diterbitkan bulan lalu.
Zulkiflee Zainul Abidin pula cuba melihat naluri manusia yang sentiasa mahu berasa 'bernasib baik' dalam kehidupan dalam siri " ...and Good Luck" beliau. Bagaimana manusia memperjudikan hidup dengan mencipta harapan-harapan baru.
Bagi pelukis Samsuddin Lappo, mengenengahkan rasa bangga dengan asal-usul bangsanya; Bugis. yang memang terkenal dengan keberanian dan kebijaksanaan menguasai lautan. Beliau percaya setiap manusia akhirnya harus bersedia untuk kembali kepada akar bangsanya sendiri.
Menjadikan 'Batu' sebagai subjek utama siri catan "Cheritera: SAKSI ", pelukis Haris Ahmad Hamsani berpandangan bahawa batu adalah saksi nyata setiap peradaban manusia sejak dulu hingga kini selain unsur bumi yang lain.
Catan " Joy Ride" yang dihasilkan oleh satu-satunya pelukis wanita dalam pameran ini, Nurhayati Md Yusoff, memaparkan imej penarik beca dalam gaya Pointelisme seakan-akan digital pixel,mewakili suara golongan marhain yang semakin dipinggirkan oleh kemajuan teknologi.
Satu-satunya pengarca dalam pameran ini, Saudara Nizam Abdullah menzahirkan subjek yang begitu popular dalam masyarakat Malaysia iaitu 'Ayam' dalam bentuk arca. Arca bertajuk " Rebut Cacing" siri " Sabong" dilihat lebih dekat dengan isu perebutan kuasa, ketamakan, survival dan persoalan intergrasi yang sering diperdebatkan masa kini.
Siri "Hujan" diinspirasi dari fenomena alam yang memberi pelbagai interpritasi dalam kehidupan sama ada baik ataupun buruk. Mohd Kizal Mohd Saad menjelmakan hujan dalam catannya dalam ekspresinya sendiri Shahrul Anuar Saari membahaskan isu asas/struktur dalam kehidupan lewat karya catan "Going out from the Box" dizahirkan dalam komposisi garisan dan warna yang menarik.
Yang pasti, untuk mencapai kebebasan bukan percuma. Ada harga yang harus dibayar. Ada jiwa yang menjadi korban. 'Behind The Wall' adalah gabungan suara-rasa -jiwa lapan anak muda yang sedia menghargai ruang dan peluang yang masih terbatas.
Mereka sangat yakin dan percaya untuk terus berbicara lewat karya seni, seterusnya karya terus dihargai dan diletakkan ditempat yang sewajarnya. Usaha kumpulan seni Studio Dikalajingga 'mengatur sendiri' acara ini tidak mahu dilihat sekadar mengisi jadual tahunan ruang pameran, atau sekadar memenuhi jemputan, tetapi memberi rasa kesedaran yang berterusan. tentang pentingnya 'kebebasan berekspresi'.
Datang dengan kesedaran tentang; masih banyak ruang yang perlu diisi, ada jarak yang perlu dikurangkan, ada suara yang masih sepi dan ada luka yang perlu diubati.
*Pameran di Galeri USM sehingga 15 Januari. *Artikel ini disiarkan di KLPOS
Labels: Behind The Wall, Galeri Budaya USM, Jabatan Rekacipta dan Inovasi Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Studio di Kala Jingga
0 Comments:
Post a Comment
<< Home