Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Thursday, February 26, 2009

Tiba Masa Untuk Penjenamaan Semula



Jenice Lee Ying Ha, 28 bukan nama baru dalam DAP. Kali pertama bertanding dalam Pilihan Raya Umum 12 Mac tahun lalu menjadikannya antara wakil rakyat wanita termuda. Beliau juga mencipta sejarah apabila berjaya dipilih sebagai Timbalan Ketua Dapsy.

Sebagai graduan yang berlatarbelakang pengiklanan, Jenice mempunyai perancangan untuk penjenamaan semula (re-branding) Dapsy sebagai sebuah gerakan anak muda yang ulung, dinamik dan progresif selaras dengan perjuangan Parti.

Aku berkesempatan menemuramah beliau:

Berapa lama sdri sudah berkecimpung dalam politik?

Saya mula aktif dalam politik sejak 1998. Sejak menuntut lagi saya sudah menjadi pemimpin kesatuan pelajar, berkempen untuk keadilan sosial. Pada waktu itu, isu yang paling ketara kita sertai ialah berkaitan dengan isu Nipah serta ketidakadilan terhadap (Lim) Guan Eng dan Anwar Ibrahim.

Saya mula menjadi ahli DAP (Parti Tindakan Demokratik) sejak 2001. Pada waktu itu saya baru berusia 20 tahun. Saya memilih DAP kerana prinsipal yang dipegang oleh Parti selaras dengan perjuangan saya iaitu demokratik sosial, peluang samarata.

Saya mula terlibat diri secara aktif dalam sayap muda dalam DAP yang dipanggil DAPSY (DAP Socialist Youth) dan menjadi jawatankuasa liason di bahagian Bukit Bintang dan kemudiannya dipilih sebagai setiausaha.

Sungguhpun baru pertama kali bertanding dalam pilihan raya, saya sudah terlibat diri dalam kempen pilihan raya sejak 1999 di DUN Bukit Gasing, pada waktu itu membantu calon Hew Kuan Yew. Kemudiannya, saya diminta membantu Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun.

Sudah tentu, sebagai pembangkang pada waktu itu banyak halangan yang kami hadapi terutama dari segi kewangan dan jentera yang tidak berpengalaman. Kami hanya berharap dari sumbangan orang ramai. Media juga tidak berpihak dengan kami. Oleh itu, kami perlu mencari jalan lain. Internet ialah sumber utama bagi kami untuk menyebarkan mesej. Saya perlu berterima kasih kepada blogger yang selama ini menjadi penyokong kuat saya dan banyak membantu dalam kempen-kempen saya.

Boleh sdri nyatakan latarbelakang pendidikan dan profesion sebelum menjadi ahli politik sepenuh masa?

Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya memasuki Kolej New Era di peringkat diploma perniagaan. Saya kemudian mengambil program Amerika dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dan kemudiannya ke Unversiti Curtin di bidang ekonomi. Saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Sydney pengkhususan dalam Politik, Ekonomi dan Hubungan Antarabangsa. Sejurus selepas kembali ke tanahair, saya membuka perniagaan pengiklanan bersama rakan niaga saya.

Sdri telah dipilih sebagai Timbalan Ketua DAPSY dalam pemilihan baru-baru ini. Apa perancangan anda sebaik sahaja dipilih?

Sebagai wakil dari golongan muda di dalam parti, kami mahu bergerak ke arah kehidupan yang lebih baik. Orang muda mahukan peluang yang samrata diberikan dan keadilan untuk masyarakat terbanyak.

Sebagai orang kedua di dalam sayap muda, saya perlu bekerjasama erat dengan Ketua. Dapsy sepatutunya menjadi tiang kepada parti, dinamik dan progresif. Sebagai sayap muda, kita berpeluang untuk melakukan kesilapan, dan kita menjadi ujian kepada parti dalam sesuatu hal.

Dalam hal aktiviti sukarelawan di peringkat kampus, semua ini mula disekat di zaman kuku besi (Tun) Mahathir ketika memegang jawatan Perdana Menteri. Mahasiswa tidak dibenarkan berbincang isu politik di kampus. Oleh itu, mereka tidak faham. Politik ialah sebahagian daripada kehidupan.

Semasa saya menuntut di luar negara, semua parti politik boleh menjalankan aktiviti mereka di kampus. Golongan liberal, komunis, sosialis- semuanya dibenarkan menganjurkan program di dalam kampus. Mahasiswa kita ketinggalan jauh di belakang. Mereka tidak tahu makna kuasa, cita-cita dan kaedah berkempen.

Parti sudah berusia 42 tahun. Tapi Dapsy tidak bergerak selaras dengan perkembangan usia. Apa komen sdri?

Saya sudah berada di dalam Parti selama sembilan tahun. Saya sertai sejak usia 20 tahun dan pada waktu itu saya wakil termuda. Selepas beberapa tahun, saya masih memegang rekod tersebut. Kita sukar mendapatkan golongan pelapis. Saya kira, Dapsy perlu penstrukturan semula. Sekaranglah masanya. Dapsy adalah ruang untuk golongan muda untuk meluaskan pengetahuan dalam politik. Mereka perlu faham bahawa mereka sertai parti politik bukan kerana pemimpin yang ada di dalamnya tetapi setuju dengan ideologi yang dibawa.

Pada waktu kami mengalami kesukaran untuk mendapatkan anggota baru, kami menubuhkan sebuah gerakan di bawah nama Red Rose. Gerakan ini adalah untuk mereka yang tidak senang bergerak di bawah payung Parti sungguhpun ianya sebahagian daripada Dapsy. Red Rose menjadi pelantar kepada mereka untuk mempelajari dan mengenal erti politik secara umum.


Bagaimana anda menggunakan pengetahuan anda dalam perniagaan dalam aktiviti politik?

Dalam perniagaan, kita mempelajari elemen pengiklanan (advertising). Pengiklanan penting untuk menyatakan propaganda dan apa yang penting ialah menjadi kreatif dalam menarik pengundi-pengundi baru. Kita sebatikan dalam bentuk yang berlainan. Sebagai contoh, kita perlu sedar tidak semua dari kita suka berpakaian kemeja dan bertali leher. Ada di antara kita yang senang berkemeja leher bulat sahaja.

Pengiklanan juga terdapat penjenamaan semula (re-branding). Itulah yang perlu kita perlu lakukan. Sebelum ini, pemimpin Dapsy merupakan ahli Jawatankuasa Pusat (CEC). Mereka sering membawa nama CEC berbanding Dapsy. Oleh itu, kita sukar untuk ‘menjual’ nama kita. Kita juga kurang focus dalam aktiviti golongan muda. Dalam penjenamaan semula juga, anggota Dapsy perlu komited dalam identiti yang mereka bawa. Slogan juga penting bagi menjana gerakan ini.

Pembungkusan (packaging) juga perlu betul. Dapsy perlu pek produk yang kita ada dalam cara yang berlainan. Semasa kita lancarkan Malaysian Malaysia, Dapsy terjemahkan dalam terma ‘Kita Anak Malaysia’. Bukankah lebih sesuai untuk golongan muda untuk memahaminya?

Sebagai ADUN Teratai apakah aktiviti dan masalah penduduk?

Sungguh banyak aktiviti dan sambutan bergantung kepada bentuk aktiviti yang saya anjurkan. Aktiviti seperti Hari Keluarga mungkin dapat menarik semua golongan. Aktiviti seperti seminar, sukan banyak menarik golongan muda. Bagi golongan veteran, mereka lebih senang hadir di dalam program perayaan.

Teratai ialah kawasan hasil daripada persempadanan baru. Penduduk di sini mempunyai pelbagai karenah. Bagi golongan muda, mereka lebih peka kepada maklumat di dalam internet. Oleh itu, maklumat dan komunikasi banyak berlaku secara maya dan saya senang dengan cara itu. Bagi golongan yang berusia 45 tahun ke atas, mereka akan sedaya upaya mendapatkan nombor telefon saya dan memanggil saya untuk menceritakan pemasalahan mereka. Mereka seboleh-bolehnya mahu saya datang sendiri untuk bersemuka dan bercerita masalah mereka.

Dalam siri penerangan saya, saya sering memberitahu rangka kerja Ahli Parlimen, ADUN dan ahli majlis. Mereka perlu tahu pihak yang mereka perlu hubungi bergantung kepada masalah yang mereka sedang hadapi. Sungguhpun masalah longkang tersumbat juga masalah saya, mereka perlu faham bahawa ahli majlis lebih sesuai untuk mendengar masalah sedemikian.

Di kawasan Pandan, perkara utama yang menjadi masalah ialah urusan pengumpulan sampah, sehingga ahli-ahli Majlis juga tidak dapat menyelesaikannya. Masalah tikus dan serangga perosak juga menjadi masalah di sini. Oleh sebab itulah, saya terpaksa mengadakan perjumpaan seberapa kerap dengan YDP (Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, MPAJ) untuk berbincang masalah-masalah ini.



Bagaimana persepsi kaum Melayu terhadap sdri?

Bagi golongan muda, seperti yang saya nyatakan, mereka lebih bersikap terbuka. Bagi mereka yang selama ini menyokong parti perkauman, memberi sedikit pemasalahan buat saya. Adakalanya, mereka bertindak liar sehingga ada yang sanggup meninggikan suara semasa sessi perbincangan.

Ada ketika sewaktu saya ingin memberi penerangan mengenai dewan orang ramai yang saya kira patut dikembalikan kepada MPAJ, mereka marah dan ada yang cuba membaling kerusi. Dengan cara yang sombong, salah seorang berkata bahawa beliau mempunyai banyak wang dan tidak takutkan saya. Mereka juga katakan bahawa pendapatan mereka lebih banyak berbanding saya. Apakah maknyanya ini?

Namun, saya kira ini menjadi cabaran untuk saya bekerja dengan lebih kuat. Ia tidak mustahil. Kebanyakan daripada peruntukan yang saya terima disalurkan kepada golongan Melayu. Merekalah sebenarnya yang tertindas. Saya tidak mahu tahu mereka undi saya atau pun tidak (semasa pilihan raya lepas). Apa yang penting, mereka lebih memerlukan.

Melihat kepada golongan wanita Melayu, mereka memerlukan pengetahuan mengenai hak mereka. Hal mengenai syariah, penceraian dan sebagainya, mereka tidak faham. Kita lihat sendiri media yang mereka baca hari-hari. Utusan Malaysia, Berita Harian semuanya tidak membuka minda mereka.

Apa pula isu yang anda utarakan semasa sessi dewan sejak bergelar ADUN?

Sejak Mac lalu, saya melalui dua sessi selama 10 hari persidangan. Antara isu yang saya telah bentangkan ialah projek pemuliharaan alam sekitar. Selangor tidak jalankan denagan betul. Pendidikan dan kempen kesedaran perlu dijalankan dengan lebih proaktif.

Keduanya, mengenai peluang pekerjaan. Saya mencadangkan agar kontraktor yang mendapat kontrak daripada kerajaan negeri perlu menghadkan hanya 30% daripada kakitangannya kepada warga asing. Sekiranya mereka gagal, mereka perlu disenaraihitamkan daripada diteruskan kontrak mereka. Sebagai contoh, dalam kontrak pengumpulan sampah, MPAJ peruntukkan ratusan ribu sebulan kepada Alam Flora bagi tujuan ini. Apa salahnya upah dinaikkan untuk menarik pekerja tempatan? Dengan mengambil pekerja asing, mereka hanya perlu menggunakan RM20,000 daripada jumlah RM100,000 untuk pembayaran upah. Jangan beritahu saya mereka menggunakan RM80,000 untuk membeli penyapu?

Ketiga ialah mengenai penyertaan golongan wanita. Saya menyeru agar 10% daripada pihak pembuat keputusan terdiri daripada golongan wanita. Sekiranya golongan wanita tidak mencapai tahap minima, mereka boleh mengemukakan aduan. Tetapi, menurut kajian, golongan wanita lebih terserlah daripada lelaki sungguhpun selepas bercuti panjang kerana melahirkan anak. Di Eropah Utara, mereka mahukan 60% daripada proses membuat keputusan diberikan kepada wanita. Saya hanya meminta 10% sahaja.

Mengenai isu kebebasan Teresa Kok yang saudari jemput di masjid di kawasan saudari. Apa komen anda?

Masalahnya, pihak yang menggembar-gemburkan cerita mengenai Teresa berskirt pendek di masjid sebenarnya mereka tidak ada di majlis tersebut. Orang ramai yang hadir di majlis yang saya anjurkan di perkarangan masjid langsung tidak membuat sebarang aduan kepada saya, ahli jawatankuasa masjid mahupun Mohd Sabu yang juga dijemput di majlis tersebut.

Sentimen ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) di kawasan saya sememangnya kuat. Mereka faham sekiranya perkara ini berlaku kepada Teresa, ISA juga boleh diambil terhadap diri kita, tidak mengira warna kulit atau fahaman agama. Ahli jawatankuasa masjid tersebut juga mengadakan solat hajat untuk pembebasan Teresa.




Bagaimana dengan sikap pembangkang BN semasa perbahasan?

Amat pasif. Saya diberitahu di Perak dan Pulau Pinang, pembangkang lebih agresif. Mereka sepatutnya menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan negeri. Backbenchers kelihatan lebih terserlah mengkritik exco dan Menteri Besar. Ketika sidang bermula jam 10 pagi, wakil-wakil Umno masuk ke dewan 15 hingga 30 minit lewat. Kebanyakan mereka hanya berada pada sidang pagi dan hilang di sebelah petang. Mereka juga enggan untuk makan tengahari bersama kami.

Apakah azam anda dalam kerjaya anda dalam politik untuk 2009?

Di dalam Dapsy, saya dapat melihat semangat yang membara di kalangan anggotanya. Saya bersama rakan-rakan saya perlu gerakkan mereka ini ke arah mencapai matlamat kami. Kita perlu tanamkan pendidikan politik dan cara yang betul dalam menganjurkan program-program kemasyarakatan.

Pengambilan seramai mungkin anggota-anggota baru ke dalam Dapsy juga menjadi matlamat saya. Itulah sebabnya jawatankuasa perlu bekerja keras untuk memperkasakan Dapsy di setiap bahagian. Di Selangor, kita tidak mempunyai jawatankuasa, sungguhpun negeri di Johor sudah ada jawatankuasa peringkat negeri. Dapsy hanya aktif di tahun 60an dan 70an sahaja.

Labels: , , , , , , , , , ,

 

 

Sunday, August 03, 2008

Pulau Pinang: Tempat Makan 1


Pada 22 Julai 2008, aku dibawa di sebuah tempat ekslusif di Jalan Sultan Ahmad.
Nama restoran itu juga unik bersempena dengan tapak lot di situ iaitu Thirty Two, At The Mansion. Restoran ini pernah dianugerah sebagai Restoran Terbaik 2007. Bersama Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, kami bersantai dan berborak mengenai tugas-tugas yang perlu disiapkan seraya menyelit tentang kisah-kisah kelakar yang membuat meja makan ceria.

Chin Tong memberitahu, tempat ii menjadi tempat dia bersendirian apabila mengalami tekanan dan tidak mempunyai program-program di waktu malam.

Aku diperkenalkan dengan Cheong Yin Fan, setiausaha akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang. Beliau mengatakan banyak mendapat maklumat mengenai aku….. risau juga. Kami juga saling mengkagumi satu sama lain. Aku dapat tahu yang Yin Fan pernah bertugas ebagai wartawan akhbar cina da

Tempat yang diperkenalkan kepada kami sugguh romantik dan menyajikan makanan-makanan Barat. Tempatnya pun didirikan di sebuah bangunan kolonial lama yang diubahsuai dan berhampiran dengan pantai di jeti.

Salah seorang eksekutif yang bekerja, Azizul Mohd amat peramah dan bertanya aku banyak soalan mengenai politik di peringkat nasional; terutama sekali Anwar Ibrahim.

Oleh kerana kami pelanggan pertama sampai, (kami tiba 6.30 malam dan restoran tersebut sepatutnya mula beroperasi pada 7 malam), kami tetap disambut. Mungkin kerana mereka mengenali ahli parlimen yang ada. Dari appetizer, main course sehingga desert, kami berborak.

Tempat tersebut merangkumi tiga bahagian; bar di mana terdapat sofa-sofa malas dan bar untuk minuman alkohol, ruang makan utama di bawah chandelier antic dan bbq pit di luar dengan pemandangan pantai. Pantai tersebut tidak ditambak menjadikan kami boleh terus mencecah kaki ke gigi laut.









Labels:

 

 

Thursday, July 24, 2008

Sidang Media Abdul Malik


Pulau Pinang Serahkan Akhbar Rasmi kepada Suara Rakyat

PULAU PINANG 24 Julai – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini akan membuka tender kepada orang ramai berhubung dengan pengeluaran akhbar rasmi Kerajaan Negeri, Suara Rakyat Pulau Pinang.

Sebelum ini, akhbar rasmi Kerajaan Negeri dipanggil Wawasan Rakyat Pulau Pinang sepenuhnya dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Negeri.

Suara Rakyat Pulau Pinang pertama kali dikeluarkan pada 23 Julai 2008.
Pengumuman tersebut dikeluarkan sendiri oleh exco Perdagangan Tempatan dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim bagi keluaran akan datang yang dicadangkan dapat diterbitkan pada September akan datang.

Menurut Abdul Malik, tender terbuka dibuka selaras dengan pentadbiran kerajaan baru yang diamalkan iaitu Keupayaan, Akauntabiliti dan Ketelusan (CAT).

Dengan tender terbuka ini, Abdul Malik berharap ianya akan menjadi sebuah akhbar yang dimiliki rakyat dengan membenarkan kumpulan rakyat sivil untuk menyumbang dan mengambil bahagian dalam pengisian penerbitan ini nanti.

“Ia akan menjadi pelantar penting bagi rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka kepada pihak Kerajaan khususnya Ketua Menteri“, jelas Abdul Malik dalam sidang media yang diadakan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Berkaitan dengan isu penerbitan, pihak Kerajaan Negeri akan memohon lesen penerbitan. Namun, Abdul Malik juga menyeru kepada pihak-pihak yang berminat untuk memohon lesen yang sama dengan sendiri bagi urusan penerbitan tidak dihalang oleh pengeluaran lesen penerbitan.

Buat masa ini, peruntukan yang diasingkan untuk penerbitan ini ialah RM276 ribu untuk empat keluaran. Dalam keluaran sulung, kerajaan Negeri membelanjakan RM85 ribu yang dicetak sebanyak 20,000 naskah.

Sungguhpun keluaran sulung diterbitkan dalam bentuk majalah, Abdul Malik memberitahu ianya tidak mustahil bagi keluaran akan datang berbentuk tabloid atau dalam apa juga bentuk.

“Semuanya bergantung kepada cadangan-cadangan dalam tender terbuka yang berkuatkuasa serta-merta.”

Memandangkan penerbitan akan datang diharapkan dapat mewakili rakyat, Kerajaan juga berhasrat untuk melibatkan jawatankuasa sidang pengarang nanti dari kalangan para pengarang akhbar, media serta badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam keadaan lain, terdapat beberapa pihak yang merasakan projek penerbitan seperti Suara Rakyat Pulau Pinang satu pembaziran serta memfokuskan majalah seperti In-Penang.

Abdul Malik tidak menafikan kepentingan In-Penang sebagai mewakili kerajaan dalam menyatakan aktiviti-aktiviti yang berlaku di sekitar negeri ini tetapi Suara Rakyat Pulau Pinang akan memfokuskan kepada suara rakyat sendiri mengenai isu dan harapan mereka terhadap kerajaan negeri.

“Kita juga tidak menambah sebarang peruntukan, ianya tetap RM276 ribu sejak ianya mula diperkenalkan pada tahun 1999”, tambah Abdul Malik lagi.

“Mengapa pihak-pihak ini tidak membangkitkan perkara ini sebelum pilihanraya?”

“Malah, ini projek cadangan mereka dan memandangkan kerajaan ini kerajaan rakyat, maka kebebasan diberikan kepada rakyat demi kepentingan mereka,” tambah Abdul Malik.

Labels: ,

 

 

Temuramah Bersama Exco Pelancongan Pulau Pinang

Pada 23 Julai 2008, aku berpeluang untuk menemuramah ahli Exco Pelancongan Pulau Pinang yang baru dilantik, Law Heng Kiang bagi membincangkan perancangan beliau di dalam industri pelancongan Pulau Pinang.


Tumpuan Kerajaan Pulau Pinang dalam Pembangunan Industri Pelancongan:

1. Membentuk rangka organisasi pelan tindakan pelancongan Negeri Pulau Pinang yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan untuk merancang, menyelaras dan memantau pembangunan pelancongan Negeri Pulau Pinaang.

2. Memelihara dan menjaga persekitaran fizikal dan warisan yang merupakan produk pelancongan utama.

3. Menumpukan pembangunan pelancongan kepada empat zon utama iaitu zon warisan sejarah, zon pantai peranginan, zon pelancongan eko dan zon pelancongan agro.

4. Mengenal pasti produk dan pengurusan pelancongan terpilih untuk mendapatkan pengesahan dan pentauliahan antarabangsa seperti green flags international.

5. Mewujud dan menggalakkan photo quality management untuk pengurusan dan pembangunan produk pelancongan.

6. Membangun dan mempertingkatkan lagi produk pelancongan pantai dengan meningkatkan tahap kebersihan serta kualiti air marin dan memastikan kegunaan kemudahan sokongan pelancong di kawasan pantai sentiasa diselenggara dengan baik.

7. Membangun dan mempromosikan produk pelancongan warisan dengan menjadikan produk pelancongan warisan sebagai satu keunikan utama Negeri Pulau Pinang, menonjolkan kepentingan sejarah dan warisan seni bina Negeri Pulau Pinang melalui pemeliharaan bangunan-bangunan dan kawasan-kawasan warisan yang dikenalpasti dan menyediakan katalog comprehensive yang merekodkan bangunan-bangunan yang penting bersejarah dan bernilai warisan.

8. Membangun dan mempelbagaikan produk pelancongan eko dan agro dengan mengenal pasti kawasan-kawasan yang berpotensi dan mempromosi Negeri Pulau Pinang sebagai destinasi yang menawarkan produk eko dan agro pelancongan.

9. Mempromosikan Negeri Pulau Pinang sebagai destinasi yang menawarkan produk-produk pelbagai dan mengutamakan value for money.

10. Menyediakan kepentingan kraf tangan tradisional Negeri Pulau Pinang dengan menyediakan dokumentasi yang jelas dalam pelbagai bahasa.

11. Mempromosikan Negeri Pulau Pinang sebagai destinasi terpilih untuk mereka yang menyertai program Malaysia My Second Home (MM2H).

12. Mempertingkatkan kemudahan-kemudahan untuk accessbility secara langsung yang lebih baik melalui perhubungan udara laut dan darat ke Negeri Pulau Pinang.

13. Menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai world class tourism destination dengan memastikan semua kawasan tarikan pelancongan utama dengan lengkap dan kemudahan sokongan yang berkualiti sentiasa diselenggara dan mempunyai kemudahan yang cukup dan selesa, mewujudkan pusat informasi pelancongan Pulau Pinang, menaik taraf dan mengindahkan semua pintu masuk utama ke Negeri Pulau Pinang termasuk, feri, pelabuhan, Jambatan Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa, penyediaan kemudahan pengangkutan yang cekap dan akhir sekali penyediaan kemudahan penginapan yang mencukupi dan selesa dengan harga yang berpatutan.

Labels:

 

 

Wednesday, July 23, 2008

Sidang DUN Pulau Pinang 23 Julai 2008: Bumbung Runtuh

















Apabila Parlimen digemparkan dengan atap bocor, di Pulau Pinang pula (secara tidak sengaja) berlaku insiden bumbung bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) bocor.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 11.30 pagi sebelum tanggu untuk makan tengahari. Bumbung bocor berlaku di bahagian lobi utama Dewan di mana orang ramai bersama para wartawan menyaksikan persidangan melalui peti televisyen yang diletakkan di situ.

Persidangan DUN diadakan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di Lebuh Light di dalam bangunan lama kolonial yang diubahsuai.

Sejurus kejadian berlaku, Speaker DUN, YB Abdul Halim bin Hussain diiringi oleh Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng dan Anggota Exco YB Abdul Malik Abul Kassim keluar dewan untuk melihat sendiri keadaannya.

Ketika ditanya wartawan, Guan Eng menjawab, "masalah kerajaan lalu tapi kita akan selesaikan".

Labels: ,

 

 

Sidang ADUN Pulau Pinang: ADUN Plagiat Soalan Mohon Maaf


Sidang ADUN Pulau Pinang 23 Julai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Koid Teng Guan hari ini memohon maaf atas soalan yang dikirimnya sebenarnya merupakan soalan yang telah dikemukakan oleh ADUN lalu sewaktu Persidangan ADUN 19 November 2007 lalu.

Bekas ADUN Datuk Keramat, Ong Thean Lye dalam sidang akhbarnya semalam memberitahu media bahawa beliau terkejut apabila mendapati soalan yang pernah dikemukakan semasa beliau menjadi ADUN tahun lalu diplagiat oleh ADUN Pakaan Rakyat yang kini membentuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Adun itu nampaknya meniru ayat yang sama dengan soalan saya itu. Jika ada yang berbeza pun hanya pada kata sambung 'dan' yang digantikan dengan noktah,” jelasnya.

Soalan Plagiat

Soalan yang dibangkitan oleh Ong Thean Lye pada 19 November 2007:

“Apakah perkembangan terkini mengenai Projek Monorel Negeri Pulau Pinang. Adakah jajaran itu telah dikenalpasti dan bilakah projek itu akan menjadi satu kenyataan.”

Bilakah setesen NGV (Natural Gas Vehicle Pumping Station) akan diadakan di kawasan pulau dan di manakah ia akan diadakan.”

“Sila nyatakan jumlah peruntukan yang telah diluluskan kepada Tabungan Amanah Sukan setiap tahun. Daripada peruntukan ini apakah dan dimanakah aktiviti-aktiviti sukan telah dianjurkan untuk tiga tahun kebelakangan ini.”

Soalan yang dibangkitkan Koid Teng Guan:

“Apakah perkembangan terkini mengenai Projek Monorel Negeri Pulau Pinang. Adakah jajaran itu telah dikenalpasti dan bilakah projek itu akan menjadi satu kenyataan?”

Bilakah setesen NGV (Natural Gas Vehicle Pumping Station) akan diadakan di kawasan pulau dan di manakah ia akan diadakan. Berapakah jumlah stesennya?”

“Sila nyatakan jumlah peruntukan yang telah diluluskan kepada Tabungan Amanah Sukan setiap tahun. Daripada peruntukan ini apakah dan dimanakah aktiviti-aktiviti sukan telah dianjurkan untuk tiga tahun kebelakangan ini?”

Soalan Rasmi selepas disusun semula ada 21 Julai 2008:

“Apakah perkembangan terkini mengenai Projek Monorel Negeri Pulau Pinang. Adakah jajaran itu telah dikenalpasti dan bilakah projek itu akan menjadi satu kenyataan.”


Bilakah setesen NGV (Natural Gas Vehicle Pumping Station) akan diadakan di kawasan pulau. Di manakah ia akan diadakan. Berapakah jumlah stesen tersebut?”

“Nyatakan jumlah peruntukan yang telah diluluskan kepada Tabungan Amanah Sukan setiap tahun. Melalui peruntukan ini apakah dan dimanakah aktiviti-aktiviti sukan telah dianjurkan untuk tiga tahun kebelakangan ini.”


Teng Guan memberitahu bahawa soalan-soalan tersebut disediakan oleh pembantu sukarelanya dan di luar pengetahuannya.

Amaran Whip

Perkara tersebut kemudiannya mendapat perhatian Ketua Whip Kerajaan, Prof P.Ramasamy yang berjanji akan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk bagaimana soalan tersebut bocor ke pengetahuan Parti Gerakan Rakyat sebelum ianya diedarkan umum.

Dalam sidang media yang dijalankan bersama Timbalan Ketua Menteri II, Prof Ramasamy merangkap Ketua Whip dan ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh, beliau memohon maaf kepada semua pucuk pimpinan DAP dan Kerajaan Negeri atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

“Saya perlu mengakui terdapat kecuaian pada pihak saya, tidak kira kecuaian ini dilakukan sengaja atau tidak,” katanya kepada media.

“Saya berharap insiden sedemikian tidak akan mencemari nama baik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sedang mengamalkan prinsip-prinsip Keupayaan, Akauntabiliti dan ketelusan (CAT) dalam urustadbir kita,” tambahnya lagi.

Ramasamy memberitahu bahawa plagiat ialah satu kesalahan yang serius.

“Saya berkhidmat di pusat pengajian tinggi (dalam dan luar negara) selama 25 tahun dan mengambil perkara plagiat secara serius,” jelasnya.

“Memandangkan perkara ini berlaku pertama kali, saya memberi amaran pertama dan terakhir kepada semua ADUN supaya menjaga tataetika semasa bersidang,” terangnya.

Beliau berharap agar media tidak memperbesarkan perkara ini lagi.

Labels: , , , , ,

 

 

Monday, July 21, 2008

Laporan Dari Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang 21 Julai 2008




TYT Pulau Pinang mahu Kerajaan Negeri Utamakan Bidang Pendidikan


Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Abas menasihati Kerajaan baru Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat menumpukan kepada bidang pendidikan sebagai keutamaan dalam pembangunan negeri.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Yang Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di Lebuh Light pagi ini.

Menurut beliau, dalam era ledakkan ilmu pengatahuan, pembangunan modal insan amat dititikberatkan dan anjakan minda serta pemikiran warga merupakan antara cabaran terbesar.

“Sekiranya kita ingin melangkah ke era ekonomi berpaksikan pengetahuan menjadi negeri maju dan kekal pada tahap tersebut, pembangunan modal insan harus diutamakan”, ucap Tuan Yang Terutama.

Beliau percaya tumpuan harus diberikan kepada golongan remaja dan belia yang merupakan golongan pelapis yang bakal menyumbang kepada pembangunan negeri. Tumpuan juga perlu diberikan kepada golongan remaja dan belia yang tidak dapat meneruskan persekolahan dengan memberikan mereka peluang untuk menambah kemahiran khususnya dalam bidang teknikal.

“Di sinilah peranan yang dapat dimainkan oleh institusi seperti Pusat Giat MARA, Institut Kemahiran Belia Negara dan Kolej-kolej Komuniti yang menawarkan peluang kepada mereka yang berminat dan berkeinginan untuk memajukan diri,” ucapnya lagi.

Sungguhpun pendidikan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Tuan Yang Terutama berkata kerajaan Negeri juga tetap mempunyai peranan terutamanya dalam menyokong dan membantu pelbagai program pendidikan di peringkat pendidikan menengah, rendah dan pra-sekolah serta pembangunan sumber manusia di semua peringkat.

Selain daripada menyeru kerajaan Negeri meneruskan program pembinaan atau pembesaran pelbagai jenis sekolah oleh Kementerian Pelajaran atau Lembaga Pengurusan Sekolah, TYT juga berharap agar Kerajaan Negeri mengkaji bantuan kewangan bagi meningkatkan kualiti pendidikan sekolah-sekolah bantuan modal seperti Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Missionary.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap agar Kerajaan Negeri menarik lebih banyak sekolah antarabangsa bertapak di negeri ini.

Dalam ucapannya, TYT percaya melalui pimpinan Ketua Menteri baru, Tuan Lim Guan Eng, perlantikan Prof P.Ramasamy yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, negeri ini dapat mencerminkan keazaman kerajaan baru bagi memajukan sektor pendidikan.

Persidangan tersebut dimulakan dengan upacara penuh adat istiadat dengan memeriksa perbarisan yang disaksikan oleh ADUN-ADUN dan ahli-ahli parlimen dari Pulau Pinang. Persidangan ini akan berlangsung sehingga 24 Julai.



Pembangkang Gagal Pecah-belahkan Pakatan Rakyat Pulau Pinang

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Sharif Shah Omar Shah gagal dalam percubaan memecah-belahkan ahli-ahli exco dalam Pakatan Rakyat dengan pertikaikan perlantikan Ketua Staf di Pejabat Ketua Menteri mengenai jawatan tersebut semasa menajwab soalan lisan persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Sharif memetik laporan akhbar yang melaporkan temuramah Jeff Ooi yang memberi kenyataan mengenai pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang seolah-olah melangkaui kuasa Ketua Menteri.

Daripada soalan tambahan beliau, perlantikan tersebut tidak dibawa berbincang dan mendapat persetujuan daripada anggota- exco negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semasa menjawab soalan tersebut terus bertanyakan ke semua anggota exco pada masa yang sama di dalam dewan dan tiada sesiapa pun membangkang malah bersetuju dengan perlantikan tersebut.

Menurut Ketua Menteri, jawatan Ketua Staf kepada Ketua Menteri bertanggungjawab ke atas pengendalian dan penyelarasan tugas-tugas yang dijalankan, memberikan input berkaitan strategi dan dasar yang dapat merealisasikan wawasan kerajaan Negeri menjadi sebuah Bandaraya Antarabangsa menerusi sistem Keupayaan, Akauntabiliti dan Ketelusan (CAT).

Guan Eng juga memberitahu bahawa jawatan tersebut menjadi pemudahcara di antara beliau dan kumpulan-kumpulan pakar dalam bidang ekonomi, pelancongan, perubatan dan engkomputeran yang boleh membantu pembangunan ekonomi negeri.

Jeff Ooi yang juga Ahli Parlimen Jelutong berkhidmat secara sukarela tanpa menerima sebarang gaji atau ganjaran.

Guan Eng juga memperli Arif Shah yang sengaja melaga-lagakan ADUN dari Pakatan Rakyat dan menasihati Arif untuk membahaskan isu yang berdasarkan fakta.



CAT Menjadi Isu Hangat Persidangan ADUN Pulau Pinang

Konsep Keupayaan, Akauntabiliti dan Ketelusan (CAT) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri yang baru menjadi isu perdebatan di dalam persidangan DUN yang mula besidang pada 21 Julai 2008.

Ahli-ahli pembangkang DUN kebanyakannya membangkitkan konsep tersebut yang didakwa tidak difahami oleh anggota Adun kerajaan sendiri. Di antaranya ialah Datuk Arif Shah Omar Shah [BN- Seberang Jaya]. Soalan berkaitan dengan ini juga ditanya oleh ahli DUN Pakatan Rakyat sendiri iaitu dari Jagdeep Singh [DAP- Datok Keramat].

Jagdeep mempersoalkan usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan konsep berkenaan dan keberkesanannya dalam membangunkan sector pelancongan.

Dalam menjawab soalan tersebut, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberitahu kecekapan atau keupayaan ahli pentadbir merupakan tunjang keberkesanan sesebuah kerajaan.
“Itulah sebabnya saya berkali-kali menegaskan bahawa kerajaan negeri berkehendakkan sati paradigm politik baru dengan memilih mereka yang paling berkelayakan tanpa mengira kaum, jantina, agama atau pun fahaman politik,” kata Ketua Menteri.

Guan Eng juga menambah dengan memberitahu konsep akauntabiliti yang penting demi memenuhi aspirasi dan budaya demokrasi manakala mahu memastikan sebuah kerajaan yang telus dan bersih supaya menjadi lebih makmur daripada kerajaan berasuah.

Konsep kemakmuran ini juga diharap dapat mengkikiskan tanggapan pihak tertentu bahawa pembangunan hanya terjamin sekiranya disusuli dengan rasuah.

“Ini membawa maksud Kerajaan Negeri tidak akan mengamalkan diskriminasi dalam menguruskan pemasalahan rakyat,” tambah Guan Eng.

Mengenai konsep daya saing, Guan Eng memberitahu di dalam konsep CAT, ia menjadi satu prinsip yang penting dan menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada factor penentu daya saing ekonomi sesebuah Negara iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan kelengkapan infrastruktur. Prinsip tersebut menurutnya bleh dilaksanakan melalui sostem penyampaian Kerajaan Negeri yang lebih cekap.

“Melalui CAT, Kerajaan Negeri dapat memantapkan kecekapan sistem penyampaian dengan menangani isu-isu yang dilihat oleh pelabur sebagai karenah birokrasi dan ketidaktelusan yang sering kali dikaitkan dengan integriti,” jelasnya lagi.

Tambhanya lagi, sistem penyampaian yang cekap akan meningkatkan daya saing dan mampu memberi keyakinan kepada pelabur untuk memilih Pulau Pinang berbanding dengan Negara-negara lain.

Guan Eng juga melaporkan sungguhpun prinsip CAT yang diamalkan masih baru, Kerajaan Negeri telah berjaya menarik banyak pelaburan ke negeri ini.

Dalam menjawab soalan yang sama, Guan Eng memberitahu bahaa jumlah pelaburan domestik dan asing yang diluluskan oleh MIDA bagi tempoh Januari hingga April 2008 bagi Pulau Pinang ialah RM4.8 bilion berbanding dengan keseluruhan tahun 2007 yang hanya berjumlah RM4.7 bilion.

Di dalam ucapan Perasmian Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Abas juga menyatakan prinsip CAT yang mempercayai ianya menggalakkan kemasukan pelaburan tempatan dan asing serta mempergiatkan sektor pelancongan dan secara tidak langsung memberi kesan positif ke atas perkembangan ekonomi Pulau Pinang.


Labels: , , , ,

 

 

Monday, January 14, 2008

Pameran lukisan Behind the Wall: Imaginasi, dinding dan kebebasan berekspresi





STUDIO Dikala Jinggga yang ditubuhkan pada tahun 2000 mengorak satu lgi langkah dengan menganjurkan pamerannya bertajuk "Behind the Wall" yang mendapat sokongan oleh Jabatan Rekacipta dan Inovasi Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Pameran yang diadakan di Galeri Budaya USM ini diusahakan oleh lapan artis muda yang terdiri dari bekas graduan Sarjana Muda Seni Halus Uitm Shah Alam.

Berbeza dengan pameran-pameran lukisan yang lain, Behind The Wall memberi mesej DINDING yang membahaskan isu kebebasan, namun persoalannya apakah 'suara-suara' dalam karya-karya ini boleh melepasi 'dinding-dinding' yang terus-terusan dibina yang sering menjadi batasan dan halangan untuk didengari oleh 'penghuni' dibelakangnya?. Dan begitu juga sebaliknya.

Dalam pameran ini , pelukis cuba menampilkan gaya dan persembahan mengikut kefahaman masing-masing dalam karya mereka.

Setiap pelukis membawa persoalan yang bereza-beza. Pelukis Nurazmal Md Yusoff cuba membawa persoalan Konflik dalam karya abstrak beliau "Conflict Siries", dilema dalam membuat pilihan yang umumnya dialami setiap manusia. Lukisan tersebut juga pernah dimuatkan dalam buku "Melangkaui Sempadan" KONFLIKTING" hasil susunan Faisal Mustaffa yang diterbitkan bulan lalu.

Zulkiflee Zainul Abidin pula cuba melihat naluri manusia yang sentiasa mahu berasa 'bernasib baik' dalam kehidupan dalam siri " ...and Good Luck" beliau. Bagaimana manusia memperjudikan hidup dengan mencipta harapan-harapan baru.

Bagi pelukis Samsuddin Lappo, mengenengahkan rasa bangga dengan asal-usul bangsanya; Bugis. yang memang terkenal dengan keberanian dan kebijaksanaan menguasai lautan. Beliau percaya setiap manusia akhirnya harus bersedia untuk kembali kepada akar bangsanya sendiri.

Menjadikan 'Batu' sebagai subjek utama siri catan "Cheritera: SAKSI ", pelukis Haris Ahmad Hamsani berpandangan bahawa batu adalah saksi nyata setiap peradaban manusia sejak dulu hingga kini selain unsur bumi yang lain.

Catan " Joy Ride" yang dihasilkan oleh satu-satunya pelukis wanita dalam pameran ini, Nurhayati Md Yusoff, memaparkan imej penarik beca dalam gaya Pointelisme seakan-akan digital pixel,mewakili suara golongan marhain yang semakin dipinggirkan oleh kemajuan teknologi.

Satu-satunya pengarca dalam pameran ini, Saudara Nizam Abdullah menzahirkan subjek yang begitu popular dalam masyarakat Malaysia iaitu 'Ayam' dalam bentuk arca. Arca bertajuk " Rebut Cacing" siri " Sabong" dilihat lebih dekat dengan isu perebutan kuasa, ketamakan, survival dan persoalan intergrasi yang sering diperdebatkan masa kini.

Siri "Hujan" diinspirasi dari fenomena alam yang memberi pelbagai interpritasi dalam kehidupan sama ada baik ataupun buruk. Mohd Kizal Mohd Saad menjelmakan hujan dalam catannya dalam ekspresinya sendiri Shahrul Anuar Saari membahaskan isu asas/struktur dalam kehidupan lewat karya catan "Going out from the Box" dizahirkan dalam komposisi garisan dan warna yang menarik.

Yang pasti, untuk mencapai kebebasan bukan percuma. Ada harga yang harus dibayar. Ada jiwa yang menjadi korban. 'Behind The Wall' adalah gabungan suara-rasa -jiwa lapan anak muda yang sedia menghargai ruang dan peluang yang masih terbatas.

Mereka sangat yakin dan percaya untuk terus berbicara lewat karya seni, seterusnya karya terus dihargai dan diletakkan ditempat yang sewajarnya. Usaha kumpulan seni Studio Dikalajingga 'mengatur sendiri' acara ini tidak mahu dilihat sekadar mengisi jadual tahunan ruang pameran, atau sekadar memenuhi jemputan, tetapi memberi rasa kesedaran yang berterusan. tentang pentingnya 'kebebasan berekspresi'.

Datang dengan kesedaran tentang; masih banyak ruang yang perlu diisi, ada jarak yang perlu dikurangkan, ada suara yang masih sepi dan ada luka yang perlu diubati.

*Pameran di Galeri USM sehingga 15 Januari. *Artikel ini disiarkan di KLPOS

Labels: , , , ,

 

 

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com