Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Thursday, February 26, 2009
Tiba Masa Untuk Penjenamaan Semula
Jenice Lee Ying Ha, 28 bukan nama baru dalam DAP. Kali pertama bertanding dalam Pilihan Raya Umum 12 Mac tahun lalu menjadikannya antara wakil rakyat wanita termuda. Beliau juga mencipta sejarah apabila berjaya dipilih sebagai Timbalan Ketua Dapsy.
Sebagai graduan yang berlatarbelakang pengiklanan, Jenice mempunyai perancangan untuk penjenamaan semula (re-branding) Dapsy sebagai sebuah gerakan anak muda yang ulung, dinamik dan progresif selaras dengan perjuangan Parti.
Aku berkesempatan menemuramah beliau:
Berapa lama sdri sudah berkecimpung dalam politik?
Saya mula aktif dalam politik sejak 1998. Sejak menuntut lagi saya sudah menjadi pemimpin kesatuan pelajar, berkempen untuk keadilan sosial. Pada waktu itu, isu yang paling ketara kita sertai ialah berkaitan dengan isu Nipah serta ketidakadilan terhadap (Lim) Guan Eng dan Anwar Ibrahim.
Saya mula menjadi ahli DAP (Parti Tindakan Demokratik) sejak 2001. Pada waktu itu saya baru berusia 20 tahun. Saya memilih DAP kerana prinsipal yang dipegang oleh Parti selaras dengan perjuangan saya iaitu demokratik sosial, peluang samarata.
Saya mula terlibat diri secara aktif dalam sayap muda dalam DAP yang dipanggil DAPSY (DAP Socialist Youth) dan menjadi jawatankuasa liason di bahagian Bukit Bintang dan kemudiannya dipilih sebagai setiausaha.
Sungguhpun baru pertama kali bertanding dalam pilihan raya, saya sudah terlibat diri dalam kempen pilihan raya sejak 1999 di DUN Bukit Gasing, pada waktu itu membantu calon Hew Kuan Yew. Kemudiannya, saya diminta membantu Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun.
Sudah tentu, sebagai pembangkang pada waktu itu banyak halangan yang kami hadapi terutama dari segi kewangan dan jentera yang tidak berpengalaman. Kami hanya berharap dari sumbangan orang ramai. Media juga tidak berpihak dengan kami. Oleh itu, kami perlu mencari jalan lain. Internet ialah sumber utama bagi kami untuk menyebarkan mesej. Saya perlu berterima kasih kepada blogger yang selama ini menjadi penyokong kuat saya dan banyak membantu dalam kempen-kempen saya.
Boleh sdri nyatakan latarbelakang pendidikan dan profesion sebelum menjadi ahli politik sepenuh masa?
Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya memasuki Kolej New Era di peringkat diploma perniagaan. Saya kemudian mengambil program Amerika dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dan kemudiannya ke Unversiti Curtin di bidang ekonomi. Saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Sydney pengkhususan dalam Politik, Ekonomi dan Hubungan Antarabangsa. Sejurus selepas kembali ke tanahair, saya membuka perniagaan pengiklanan bersama rakan niaga saya.
Sdri telah dipilih sebagai Timbalan Ketua DAPSY dalam pemilihan baru-baru ini. Apa perancangan anda sebaik sahaja dipilih?
Sebagai wakil dari golongan muda di dalam parti, kami mahu bergerak ke arah kehidupan yang lebih baik. Orang muda mahukan peluang yang samrata diberikan dan keadilan untuk masyarakat terbanyak.
Sebagai orang kedua di dalam sayap muda, saya perlu bekerjasama erat dengan Ketua. Dapsy sepatutunya menjadi tiang kepada parti, dinamik dan progresif. Sebagai sayap muda, kita berpeluang untuk melakukan kesilapan, dan kita menjadi ujian kepada parti dalam sesuatu hal.
Dalam hal aktiviti sukarelawan di peringkat kampus, semua ini mula disekat di zaman kuku besi (Tun) Mahathir ketika memegang jawatan Perdana Menteri. Mahasiswa tidak dibenarkan berbincang isu politik di kampus. Oleh itu, mereka tidak faham. Politik ialah sebahagian daripada kehidupan.
Semasa saya menuntut di luar negara, semua parti politik boleh menjalankan aktiviti mereka di kampus. Golongan liberal, komunis, sosialis- semuanya dibenarkan menganjurkan program di dalam kampus. Mahasiswa kita ketinggalan jauh di belakang. Mereka tidak tahu makna kuasa, cita-cita dan kaedah berkempen.
Parti sudah berusia 42 tahun. Tapi Dapsy tidak bergerak selaras dengan perkembangan usia. Apa komen sdri?
Saya sudah berada di dalam Parti selama sembilan tahun. Saya sertai sejak usia 20 tahun dan pada waktu itu saya wakil termuda. Selepas beberapa tahun, saya masih memegang rekod tersebut. Kita sukar mendapatkan golongan pelapis. Saya kira, Dapsy perlu penstrukturan semula. Sekaranglah masanya. Dapsy adalah ruang untuk golongan muda untuk meluaskan pengetahuan dalam politik. Mereka perlu faham bahawa mereka sertai parti politik bukan kerana pemimpin yang ada di dalamnya tetapi setuju dengan ideologi yang dibawa.
Pada waktu kami mengalami kesukaran untuk mendapatkan anggota baru, kami menubuhkan sebuah gerakan di bawah nama Red Rose. Gerakan ini adalah untuk mereka yang tidak senang bergerak di bawah payung Parti sungguhpun ianya sebahagian daripada Dapsy. Red Rose menjadi pelantar kepada mereka untuk mempelajari dan mengenal erti politik secara umum.
Bagaimana anda menggunakan pengetahuan anda dalam perniagaan dalam aktiviti politik?
Dalam perniagaan, kita mempelajari elemen pengiklanan (advertising). Pengiklanan penting untuk menyatakan propaganda dan apa yang penting ialah menjadi kreatif dalam menarik pengundi-pengundi baru. Kita sebatikan dalam bentuk yang berlainan. Sebagai contoh, kita perlu sedar tidak semua dari kita suka berpakaian kemeja dan bertali leher. Ada di antara kita yang senang berkemeja leher bulat sahaja.
Pengiklanan juga terdapat penjenamaan semula (re-branding). Itulah yang perlu kita perlu lakukan. Sebelum ini, pemimpin Dapsy merupakan ahli Jawatankuasa Pusat (CEC). Mereka sering membawa nama CEC berbanding Dapsy. Oleh itu, kita sukar untuk ‘menjual’ nama kita. Kita juga kurang focus dalam aktiviti golongan muda. Dalam penjenamaan semula juga, anggota Dapsy perlu komited dalam identiti yang mereka bawa. Slogan juga penting bagi menjana gerakan ini.
Pembungkusan (packaging) juga perlu betul. Dapsy perlu pek produk yang kita ada dalam cara yang berlainan. Semasa kita lancarkan Malaysian Malaysia, Dapsy terjemahkan dalam terma ‘Kita Anak Malaysia’. Bukankah lebih sesuai untuk golongan muda untuk memahaminya?
Sebagai ADUN Teratai apakah aktiviti dan masalah penduduk?
Sungguh banyak aktiviti dan sambutan bergantung kepada bentuk aktiviti yang saya anjurkan. Aktiviti seperti Hari Keluarga mungkin dapat menarik semua golongan. Aktiviti seperti seminar, sukan banyak menarik golongan muda. Bagi golongan veteran, mereka lebih senang hadir di dalam program perayaan.
Teratai ialah kawasan hasil daripada persempadanan baru. Penduduk di sini mempunyai pelbagai karenah. Bagi golongan muda, mereka lebih peka kepada maklumat di dalam internet. Oleh itu, maklumat dan komunikasi banyak berlaku secara maya dan saya senang dengan cara itu. Bagi golongan yang berusia 45 tahun ke atas, mereka akan sedaya upaya mendapatkan nombor telefon saya dan memanggil saya untuk menceritakan pemasalahan mereka. Mereka seboleh-bolehnya mahu saya datang sendiri untuk bersemuka dan bercerita masalah mereka.
Dalam siri penerangan saya, saya sering memberitahu rangka kerja Ahli Parlimen, ADUN dan ahli majlis. Mereka perlu tahu pihak yang mereka perlu hubungi bergantung kepada masalah yang mereka sedang hadapi. Sungguhpun masalah longkang tersumbat juga masalah saya, mereka perlu faham bahawa ahli majlis lebih sesuai untuk mendengar masalah sedemikian.
Di kawasan Pandan, perkara utama yang menjadi masalah ialah urusan pengumpulan sampah, sehingga ahli-ahli Majlis juga tidak dapat menyelesaikannya. Masalah tikus dan serangga perosak juga menjadi masalah di sini. Oleh sebab itulah, saya terpaksa mengadakan perjumpaan seberapa kerap dengan YDP (Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, MPAJ) untuk berbincang masalah-masalah ini.
Bagaimana persepsi kaum Melayu terhadap sdri?
Bagi golongan muda, seperti yang saya nyatakan, mereka lebih bersikap terbuka. Bagi mereka yang selama ini menyokong parti perkauman, memberi sedikit pemasalahan buat saya. Adakalanya, mereka bertindak liar sehingga ada yang sanggup meninggikan suara semasa sessi perbincangan.
Ada ketika sewaktu saya ingin memberi penerangan mengenai dewan orang ramai yang saya kira patut dikembalikan kepada MPAJ, mereka marah dan ada yang cuba membaling kerusi. Dengan cara yang sombong, salah seorang berkata bahawa beliau mempunyai banyak wang dan tidak takutkan saya. Mereka juga katakan bahawa pendapatan mereka lebih banyak berbanding saya. Apakah maknyanya ini?
Namun, saya kira ini menjadi cabaran untuk saya bekerja dengan lebih kuat. Ia tidak mustahil. Kebanyakan daripada peruntukan yang saya terima disalurkan kepada golongan Melayu. Merekalah sebenarnya yang tertindas. Saya tidak mahu tahu mereka undi saya atau pun tidak (semasa pilihan raya lepas). Apa yang penting, mereka lebih memerlukan.
Melihat kepada golongan wanita Melayu, mereka memerlukan pengetahuan mengenai hak mereka. Hal mengenai syariah, penceraian dan sebagainya, mereka tidak faham. Kita lihat sendiri media yang mereka baca hari-hari. Utusan Malaysia, Berita Harian semuanya tidak membuka minda mereka.
Apa pula isu yang anda utarakan semasa sessi dewan sejak bergelar ADUN?
Sejak Mac lalu, saya melalui dua sessi selama 10 hari persidangan. Antara isu yang saya telah bentangkan ialah projek pemuliharaan alam sekitar. Selangor tidak jalankan denagan betul. Pendidikan dan kempen kesedaran perlu dijalankan dengan lebih proaktif.
Keduanya, mengenai peluang pekerjaan. Saya mencadangkan agar kontraktor yang mendapat kontrak daripada kerajaan negeri perlu menghadkan hanya 30% daripada kakitangannya kepada warga asing. Sekiranya mereka gagal, mereka perlu disenaraihitamkan daripada diteruskan kontrak mereka. Sebagai contoh, dalam kontrak pengumpulan sampah, MPAJ peruntukkan ratusan ribu sebulan kepada Alam Flora bagi tujuan ini. Apa salahnya upah dinaikkan untuk menarik pekerja tempatan? Dengan mengambil pekerja asing, mereka hanya perlu menggunakan RM20,000 daripada jumlah RM100,000 untuk pembayaran upah. Jangan beritahu saya mereka menggunakan RM80,000 untuk membeli penyapu?
Ketiga ialah mengenai penyertaan golongan wanita. Saya menyeru agar 10% daripada pihak pembuat keputusan terdiri daripada golongan wanita. Sekiranya golongan wanita tidak mencapai tahap minima, mereka boleh mengemukakan aduan. Tetapi, menurut kajian, golongan wanita lebih terserlah daripada lelaki sungguhpun selepas bercuti panjang kerana melahirkan anak. Di Eropah Utara, mereka mahukan 60% daripada proses membuat keputusan diberikan kepada wanita. Saya hanya meminta 10% sahaja.
Mengenai isu kebebasan Teresa Kok yang saudari jemput di masjid di kawasan saudari. Apa komen anda?
Masalahnya, pihak yang menggembar-gemburkan cerita mengenai Teresa berskirt pendek di masjid sebenarnya mereka tidak ada di majlis tersebut. Orang ramai yang hadir di majlis yang saya anjurkan di perkarangan masjid langsung tidak membuat sebarang aduan kepada saya, ahli jawatankuasa masjid mahupun Mohd Sabu yang juga dijemput di majlis tersebut.
Sentimen ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) di kawasan saya sememangnya kuat. Mereka faham sekiranya perkara ini berlaku kepada Teresa, ISA juga boleh diambil terhadap diri kita, tidak mengira warna kulit atau fahaman agama. Ahli jawatankuasa masjid tersebut juga mengadakan solat hajat untuk pembebasan Teresa.
Bagaimana dengan sikap pembangkang BN semasa perbahasan?
Amat pasif. Saya diberitahu di Perak dan Pulau Pinang, pembangkang lebih agresif. Mereka sepatutnya menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan negeri. Backbenchers kelihatan lebih terserlah mengkritik exco dan Menteri Besar. Ketika sidang bermula jam 10 pagi, wakil-wakil Umno masuk ke dewan 15 hingga 30 minit lewat. Kebanyakan mereka hanya berada pada sidang pagi dan hilang di sebelah petang. Mereka juga enggan untuk makan tengahari bersama kami.
Apakah azam anda dalam kerjaya anda dalam politik untuk 2009?
Di dalam Dapsy, saya dapat melihat semangat yang membara di kalangan anggotanya. Saya bersama rakan-rakan saya perlu gerakkan mereka ini ke arah mencapai matlamat kami. Kita perlu tanamkan pendidikan politik dan cara yang betul dalam menganjurkan program-program kemasyarakatan.
Pengambilan seramai mungkin anggota-anggota baru ke dalam Dapsy juga menjadi matlamat saya. Itulah sebabnya jawatankuasa perlu bekerja keras untuk memperkasakan Dapsy di setiap bahagian. Di Selangor, kita tidak mempunyai jawatankuasa, sungguhpun negeri di Johor sudah ada jawatankuasa peringkat negeri. Dapsy hanya aktif di tahun 60an dan 70an sahaja.
Labels: Akta Keselamatan Dalam Negeri, Anwar Ibrahim, BN, DAP, ISA, janice lee, Lim Guan Eng, Mahathir, perak, Pulau Pinang, teresa kok
 
Sunday, October 12, 2008
Buku Baru Dalam Pasaran

Catatan ringkas ini hanya bertujuan untuk memperkenalkan kepada umum siapa insan yang bernama Lim Guan Eng dan apa yang beliau perjuangkan. Untuk mengenalinya harus dilalui segala pengalaman baik buruk yang telah beliau lalui. Kata orang, sejarah perjuangan politiknya adalah seperti dari Penjara Kajang ke Pejabat Ketua Menteri. Ya, kini sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang tidak mengerti apa itu penat dan lelah, telah gigih berjuang untuk membebaskan Malaysia dari cengkaman politik perkauman dan keagamaan sempit, serta anasir-anasir rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang sekian lama menjadi mainan politik Barisan Nasional.
Catatan ini bertujuan menyampaikan suara hati rakyat Malaysia prihatin yang mahu melihat negara dan masyarakat berubah ke arah yang lebih positif, lebih bebas, lebih demokratik, lebih makmur dan lebih toleran sesama kaum dan agama.
Product Detail:
Author: Wan Hamidi Hamid ; Editor: Faisal Mustaffa
Publisher: refsa
Year: 2008
Number of page: 102
Price: RM20.00 (tidak termasuk kos penghantaran)
Buku ini sudah terdapat di beberapa kedai buku seperti di:
1. Kinibooks
2. MPH
Dan, sudah tentu boleh dipesan melalui TOKOBUKU.
Labels: Lim Guan Eng, REFSA
 
Wednesday, September 24, 2008
Kali Ini Habislah Utusan Malaysia
Malam tadi aku dijemput untuk menghadiri satu majlis yang telah dirancang awal lagi, sebelum Teresa dibebaskan dari ISA (sebut akta zalim) dalam salah satu kempen Support, Sympathy and Solidarity terhadap Teresa, Raja Petra, lima pemimpin Hindraf dan tahanan-tahanan ISA yang lain.
Tugas aku ialah untuk memastikan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Gerakbudaya Enterprise, REFSA dan Pakatan Baju Rakyat turut serta dalam menjual barang-barang jualan membantah ISA. Semua hadir dan peragakan barang masing-masing. Cuma mereka lewat sikit. Terpaksa aku menjadi lipas kudung ke sana-sini. Semua boss mereka hadir; Syed Ibrahim (GMI) dan dibantu Fadiah, Pak Chong (Gerakbudaya) dan Kechik (Pakatan Baju Rakyat).
Terpegun orang melihat designer t-shirts yang Kechik bawa dan ada yang borong ratusan ringgit.
Dewan penuh yang dianggarkan kehadiran lebih kurang dua ribu orang.
Panel yang hadir ialah Syed Ibrahim (GMI), Prof Ramasamy (DAP), Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang), Marina Abdullah (isteri Raja Petra), Tunku Aziz (moderator), Teresa Kok (exco Negeri Selangor), Sivanesan (exco Kerajaan Negeri perak), Khali Samad (ahli Parlimen Shah Alam) dan Nurul Izzah Anwar (ahli parlimen Lembah Pantai). Aku mencuri-curi mendengar ucapan dari ahli panel.
Bantai Utusan Malaysia
Semasa giliran Teresa Kok berucap, beliau memetik muka hadapan Utusan Malaysia yang
melaporkan soalan yang diajukan salah seorang wartawan semasa sidang media Teresa dibebaskan 19 September lepas.
Aku berada di sebelah wartawan tersebut (kalau tak silap dari Star). Beliau bertanyakan mengenai makanan yang diberikan kepada Teresa.
Teresa menjawab, makanan seperti makanan anjing iaitu nasi, kuah sesudu, telur rebus dan timun tua.
Bagi Teresa, Utusan Malaysia yang menggembar-gemburkan kenyataan tersebut selain daripada mesej penahanan beliau dan penggunaan akta kuno yang disalahgunakan itu tidak diutarakan.
Utusan Malaysia dengan jelas cuba mengalihkan perhatian rakyat mengenai zalimnya ISA yang dapat menahan sesiapa sahaja dengan tidak perlu dibicara.
Justeru, Teresa dengan lantang berulang kali (dan aku rasa she is damn serious) bahawa beliau telah menyaman Utusan Malaysia, Khir Toyo dan penulis rencana Zaini. Dan percayalah, itu bukan cakap politik. Saman tersebut telah pun difailkan oleh peguamnya, Sankara Nair.
Saman Karpal Singh
Teringat aku salah satu sidang media mengenai laporan Utusan Malaysia yang sengaja disalah lapor semasa kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh sehingga Karpal Singh terpaksa membuat laporan polis dan kemudiannya memfailkan saman RM30 juta.
Kerajaan Negeri boikot Utusan
Sivanesan selaku exco Kerajaan Negeri Perak telah menyatakan bahawa setiap jabatan di SUK Perak telah diarahkan berhenti melanggan akhbar Utusan Malaysia. Aku percaya Pulau Pinang dan Selangor pun begitu juga.
Oleh yang demikian, dengan penurunan jumlah jualan dan seterusnya saman yang berada dalam senarai, Utusan Malaysia kini berada dalam keadaan yang sungguh kritikal.
Aku tak dapat fikirkan bagaimana Kumpulan Utusan dapat membayar semua kos-kos tersebut sekiranya saman-saman tersebut dibicarakan dan didapati bersalah.
Sebelum ini, kalau tak silap aku, Irene Fernandez pernah memfailkan saman terhadap Utusan Malaysia dan menang.
Aku teringat sewaktu aku ditemuramah wartawan Utusan Malaysia semasa kempen pilihan raya umum. Aku sunguh berhati-hati menjawab soalan supaya tidak diputar-belitkan nanti.
Sebelum mengakhiri, aku cabar Utusan menyiarkan laporan penipuan SPR dan aku sanggup potong jari kalau Utusan siarkan.
Nasib baik juga Utusan tak siarkan. Kalau tidak, aku dah jadi seorang yang kudung sebelah jari.
Syed Ibrahim and I
Kak Marina and I
PS: Ramai pembantu kempen Seri Setia hadir di majlis tersebut dan bersalaman dengan aku. Rata-rata mereka faham prinsip aku dan akui perihal yag berlaku. Aku memberitahu mereka bahawa aku telah mengambil sikap tidak mahu mencampuri urusan dalaman Parti dan mereka semuanya faham.
Labels: Akta Keselamatan Dalam Negeri, Gerakan Mansuhkan ISA, ISA, KL Selangor Chinese Assembly Hall, Lim Guan Eng, raja petra, teresa kok, tunku aziz
 
Wednesday, July 23, 2008
Sidang DUN Pulau Pinang 23 Julai 2008: Bumbung Runtuh
Apabila Parlimen digemparkan dengan atap bocor, di Pulau Pinang pula (secara tidak sengaja) berlaku insiden bumbung bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) bocor.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 11.30 pagi sebelum tanggu untuk makan tengahari. Bumbung bocor berlaku di bahagian lobi utama Dewan di mana orang ramai bersama para wartawan menyaksikan persidangan melalui peti televisyen yang diletakkan di situ.
Persidangan DUN diadakan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di Lebuh Light di dalam bangunan lama kolonial yang diubahsuai.
Sejurus kejadian berlaku, Speaker DUN, YB Abdul Halim bin Hussain diiringi oleh Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng dan Anggota Exco YB Abdul Malik Abul Kassim keluar dewan untuk melihat sendiri keadaannya.
Ketika ditanya wartawan, Guan Eng menjawab, "masalah kerajaan lalu tapi kita akan selesaikan".
Labels: Lim Guan Eng, Pulau Pinang
 
Monday, July 21, 2008
Laporan Dari Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang 21 Julai 2008
TYT Pulau Pinang mahu Kerajaan Negeri Utamakan Bidang Pendidikan
Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Abas menasihati Kerajaan baru Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat menumpukan kepada bidang pendidikan sebagai keutamaan dalam pembangunan negeri.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Yang Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di Lebuh Light pagi ini.
Menurut beliau, dalam era ledakkan ilmu pengatahuan, pembangunan modal insan amat dititikberatkan dan anjakan minda serta pemikiran warga merupakan antara cabaran terbesar.
“Sekiranya kita ingin melangkah ke era ekonomi berpaksikan pengetahuan menjadi negeri maju dan kekal pada tahap tersebut, pembangunan modal insan harus diutamakan”, ucap Tuan Yang Terutama.
Beliau percaya tumpuan harus diberikan kepada golongan remaja dan belia yang merupakan golongan pelapis yang bakal menyumbang kepada pembangunan negeri. Tumpuan juga perlu diberikan kepada golongan remaja dan belia yang tidak dapat meneruskan persekolahan dengan memberikan mereka peluang untuk menambah kemahiran khususnya dalam bidang teknikal.
“Di sinilah peranan yang dapat dimainkan oleh institusi seperti Pusat Giat MARA, Institut Kemahiran Belia Negara dan Kolej-kolej Komuniti yang menawarkan peluang kepada mereka yang berminat dan berkeinginan untuk memajukan diri,” ucapnya lagi.
Sungguhpun pendidikan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Tuan Yang Terutama berkata kerajaan Negeri juga tetap mempunyai peranan terutamanya dalam menyokong dan membantu pelbagai program pendidikan di peringkat pendidikan menengah, rendah dan pra-sekolah serta pembangunan sumber manusia di semua peringkat.
Selain daripada menyeru kerajaan Negeri meneruskan program pembinaan atau pembesaran pelbagai jenis sekolah oleh Kementerian Pelajaran atau Lembaga Pengurusan Sekolah, TYT juga berharap agar Kerajaan Negeri mengkaji bantuan kewangan bagi meningkatkan kualiti pendidikan sekolah-sekolah bantuan modal seperti Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Missionary.
Pada masa yang sama, beliau juga berharap agar Kerajaan Negeri menarik lebih banyak sekolah antarabangsa bertapak di negeri ini.
Dalam ucapannya, TYT percaya melalui pimpinan Ketua Menteri baru, Tuan Lim Guan Eng, perlantikan Prof P.Ramasamy yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, negeri ini dapat mencerminkan keazaman kerajaan baru bagi memajukan sektor pendidikan.
Persidangan tersebut dimulakan dengan upacara penuh adat istiadat dengan memeriksa perbarisan yang disaksikan oleh ADUN-ADUN dan ahli-ahli parlimen dari Pulau Pinang. Persidangan ini akan berlangsung sehingga 24 Julai.
Pembangkang Gagal Pecah-belahkan Pakatan Rakyat Pulau Pinang
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Sharif Shah Omar Shah gagal dalam percubaan memecah-belahkan ahli-ahli exco dalam Pakatan Rakyat dengan pertikaikan perlantikan Ketua Staf di Pejabat Ketua Menteri mengenai jawatan tersebut semasa menajwab soalan lisan persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Sharif memetik laporan akhbar yang melaporkan temuramah Jeff Ooi yang memberi kenyataan mengenai pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang seolah-olah melangkaui kuasa Ketua Menteri.
Daripada soalan tambahan beliau, perlantikan tersebut tidak dibawa berbincang dan mendapat persetujuan daripada anggota- exco negeri.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semasa menjawab soalan tersebut terus bertanyakan ke semua anggota exco pada masa yang sama di dalam dewan dan tiada sesiapa pun membangkang malah bersetuju dengan perlantikan tersebut.
Menurut Ketua Menteri, jawatan Ketua Staf kepada Ketua Menteri bertanggungjawab ke atas pengendalian dan penyelarasan tugas-tugas yang dijalankan, memberikan input berkaitan strategi dan dasar yang dapat merealisasikan wawasan kerajaan Negeri menjadi sebuah Bandaraya Antarabangsa menerusi sistem Keupayaan, Akauntabiliti dan Ketelusan (CAT).
Guan Eng juga memberitahu bahawa jawatan tersebut menjadi pemudahcara di antara beliau dan kumpulan-kumpulan pakar dalam bidang ekonomi, pelancongan, perubatan dan engkomputeran yang boleh membantu pembangunan ekonomi negeri.
Jeff Ooi yang juga Ahli Parlimen Jelutong berkhidmat secara sukarela tanpa menerima sebarang gaji atau ganjaran.
Guan Eng juga memperli Arif Shah yang sengaja melaga-lagakan ADUN dari Pakatan Rakyat dan menasihati Arif untuk membahaskan isu yang berdasarkan fakta.
CAT Menjadi Isu Hangat Persidangan ADUN Pulau Pinang
Konsep Keupayaan, Akauntabiliti dan Ketelusan (CAT) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri yang baru menjadi isu perdebatan di dalam persidangan DUN yang mula besidang pada 21 Julai 2008.
Ahli-ahli pembangkang DUN kebanyakannya membangkitkan konsep tersebut yang didakwa tidak difahami oleh anggota Adun kerajaan sendiri. Di antaranya ialah Datuk Arif Shah Omar Shah [BN- Seberang Jaya]. Soalan berkaitan dengan ini juga ditanya oleh ahli DUN Pakatan Rakyat sendiri iaitu dari Jagdeep Singh [DAP- Datok Keramat].
Jagdeep mempersoalkan usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan konsep berkenaan dan keberkesanannya dalam membangunkan sector pelancongan.
Dalam menjawab soalan tersebut, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberitahu kecekapan atau keupayaan ahli pentadbir merupakan tunjang keberkesanan sesebuah kerajaan.
“Itulah sebabnya saya berkali-kali menegaskan bahawa kerajaan negeri berkehendakkan sati paradigm politik baru dengan memilih mereka yang paling berkelayakan tanpa mengira kaum, jantina, agama atau pun fahaman politik,” kata Ketua Menteri.
Guan Eng juga menambah dengan memberitahu konsep akauntabiliti yang penting demi memenuhi aspirasi dan budaya demokrasi manakala mahu memastikan sebuah kerajaan yang telus dan bersih supaya menjadi lebih makmur daripada kerajaan berasuah.
Konsep kemakmuran ini juga diharap dapat mengkikiskan tanggapan pihak tertentu bahawa pembangunan hanya terjamin sekiranya disusuli dengan rasuah.
“Ini membawa maksud Kerajaan Negeri tidak akan mengamalkan diskriminasi dalam menguruskan pemasalahan rakyat,” tambah Guan Eng.
Mengenai konsep daya saing, Guan Eng memberitahu di dalam konsep CAT, ia menjadi satu prinsip yang penting dan menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada factor penentu daya saing ekonomi sesebuah Negara iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan kelengkapan infrastruktur. Prinsip tersebut menurutnya bleh dilaksanakan melalui sostem penyampaian Kerajaan Negeri yang lebih cekap.
“Melalui CAT, Kerajaan Negeri dapat memantapkan kecekapan sistem penyampaian dengan menangani isu-isu yang dilihat oleh pelabur sebagai karenah birokrasi dan ketidaktelusan yang sering kali dikaitkan dengan integriti,” jelasnya lagi.
Tambhanya lagi, sistem penyampaian yang cekap akan meningkatkan daya saing dan mampu memberi keyakinan kepada pelabur untuk memilih Pulau Pinang berbanding dengan Negara-negara lain.
Guan Eng juga melaporkan sungguhpun prinsip CAT yang diamalkan masih baru, Kerajaan Negeri telah berjaya menarik banyak pelaburan ke negeri ini.
Dalam menjawab soalan yang sama, Guan Eng memberitahu bahaa jumlah pelaburan domestik dan asing yang diluluskan oleh MIDA bagi tempoh Januari hingga April 2008 bagi Pulau Pinang ialah RM4.8 bilion berbanding dengan keseluruhan tahun 2007 yang hanya berjumlah RM4.7 bilion.
Di dalam ucapan Perasmian Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Abas juga menyatakan prinsip CAT yang mempercayai ianya menggalakkan kemasukan pelaburan tempatan dan asing serta mempergiatkan sektor pelancongan dan secara tidak langsung memberi kesan positif ke atas perkembangan ekonomi Pulau Pinang.
Labels: DAP, Lim Guan Eng, Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Pulau Pinang, TYT
 
Monday, July 14, 2008
Gambar Sekitar Penganugerahan Pingat TYT Pulau Pinang 12 Julai 2008
Aku berjaya memperolehi gambar-gambar kenangan sejarah buat beberapa individu. Gambar-gambar ini diambil ketika menyambut Hari Keputeraan Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas ketika menyambut Hari Keputeraannya pada 12 Julai lalu di Pulau Pinang.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima pingat yang membawa gelaran Datuk Seri.

Penerima anugerah pingat tunggal DAP, Chian Heng Kai, 68 sedang dikalung pingat kebesaran Darjah Seri Panglima Negara (DSPN) yang membawa gelaran Datuk.
Heng Kai pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Gajah (1974-78), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Puteh (1978) sewaktu beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan ADUN Berapit (1986) dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan ADUN Bukit Tengah (1990).



Labels: Anwar Ibrahim, betty lim, chian heng kai, Lim Guan Eng, wan azizah
 
Tuesday, June 24, 2008
Gimik Media Boikot Pengurusan Parlimen
Hari ini merupakan hari kedua sidang parlimen bagi sessi ketiga 2008. Pada permulaan hari pembukaan, ada peraturan-peraturan baru dikenakan kepada pelawat-pelawat termasuk pegawai-pegawai yang bertugas.Semalam, pembantu-pembantu Parlimen tidak lagi dibenarkan menggunakan laluan dari menara Parlimen ke Dewan Parlimen, melalui tingkat 1. Dengan itu, bagi pembantu-pembantu ahli parlimen berkehendaki melintas ke Dewan Parlimen melalui menara terpaksa menyerahkan pas pelawat mereka dan mengambil pas yang baru untuk memasuki lobi dewan. Dan mereka (termasuk aku) dikehendaki menyerahkan pas bangunan Dewan Rakyat dan mengambil pas baru untuk kembali ke Menara Parlimen vice versa. Sekiranya pembantu-pembantu ini dikehendaki menyerahkan sepucuk surat kepada Ahli Parlimen mereka pun dikehendaki menjalani proses yang sama berulang kali.
Hari ini, peraturan baru dikenakan, dan kali ini mangsa yang terbabit ialah pihak media yang datang untuk mendapatkan berita Parlimen.
Apabila di lobi, pihak media kini tidak dibenarkan untuk berada di lobi sesuka hati, hanya di tempat-tempat tertentu sahaja. Ini telah menimbulkan kemarahan pihak media sehingga bertindak untuk memboikot sahaja daripada mendapat ebarang berita, termasuk ahli-ahli parlimen yang berhasrat untuk adakan sidang media.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng hari ini mengeluarkan kenyataan menegur tindakan pihak pengurusan mengenai hal ini.
Menurut beliau, dengan menghadkan pihak media hanya di satu sudut di lobi Parlimen menyekat tugas-tugas mereka dan menyekat demokrasi dan kebebasan media.
Aku rasa peraturan ini peraturan tidak masuk akan kadangkala aku nak tegelak dengan peraturan-peraturan Parlimen yang mengarut.
Rakan media aku dari Indonesia yang berada di Parlimen juga termangu dengan peraturan yang terdapat di Parlimen Malaysia. Di sana (Indonesia), orang awam dibenarkan memasuki kawasan Parlimen dan bisa memakai pakaian sopan untuk berada di Parlimen, bukan seperti di Malaysia yang terpaksa memakai baju berlapis-lapis sungguhpun cuaca Khatulistiwa.
Ini jelas menyekat kepada akauntabiliti dan ketelusan sistem Parlimen dan saya kira juga tidak pernah berlaku dalam sistem Parlimen Westminster.
Labels: Lim Guan Eng, Parlimen Malaysia, westminister
 
Friday, December 21, 2007
ISA Arrests of HINDRAF 5 – Operation Lalang 2 coming?

Date: 21 December 2007 (Fri)
Time: 7.30pm
Venue: KL Selangor Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur.
Speaker: Sdr Lim Guan Eng, Sdr Lim Kit Siang, Sdr M Kulasegaran, Sdr Fong Kui Lun, Sdr A Sivanesan.
Enquiries, call 03-79578022
During the event, TOKOBUKU will bring its collection on ISA books including writings from Dr Badrulamin, Saari Sungib and others.

Labels: Fong Kui Lun, Gerakan Mansuhkan ISA, ISA, KL Selangor Chinese Assembly Hall, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, M Kulasegaran
 
