Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Thursday, February 26, 2009

Tiba Masa Untuk Penjenamaan Semula



Jenice Lee Ying Ha, 28 bukan nama baru dalam DAP. Kali pertama bertanding dalam Pilihan Raya Umum 12 Mac tahun lalu menjadikannya antara wakil rakyat wanita termuda. Beliau juga mencipta sejarah apabila berjaya dipilih sebagai Timbalan Ketua Dapsy.

Sebagai graduan yang berlatarbelakang pengiklanan, Jenice mempunyai perancangan untuk penjenamaan semula (re-branding) Dapsy sebagai sebuah gerakan anak muda yang ulung, dinamik dan progresif selaras dengan perjuangan Parti.

Aku berkesempatan menemuramah beliau:

Berapa lama sdri sudah berkecimpung dalam politik?

Saya mula aktif dalam politik sejak 1998. Sejak menuntut lagi saya sudah menjadi pemimpin kesatuan pelajar, berkempen untuk keadilan sosial. Pada waktu itu, isu yang paling ketara kita sertai ialah berkaitan dengan isu Nipah serta ketidakadilan terhadap (Lim) Guan Eng dan Anwar Ibrahim.

Saya mula menjadi ahli DAP (Parti Tindakan Demokratik) sejak 2001. Pada waktu itu saya baru berusia 20 tahun. Saya memilih DAP kerana prinsipal yang dipegang oleh Parti selaras dengan perjuangan saya iaitu demokratik sosial, peluang samarata.

Saya mula terlibat diri secara aktif dalam sayap muda dalam DAP yang dipanggil DAPSY (DAP Socialist Youth) dan menjadi jawatankuasa liason di bahagian Bukit Bintang dan kemudiannya dipilih sebagai setiausaha.

Sungguhpun baru pertama kali bertanding dalam pilihan raya, saya sudah terlibat diri dalam kempen pilihan raya sejak 1999 di DUN Bukit Gasing, pada waktu itu membantu calon Hew Kuan Yew. Kemudiannya, saya diminta membantu Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun.

Sudah tentu, sebagai pembangkang pada waktu itu banyak halangan yang kami hadapi terutama dari segi kewangan dan jentera yang tidak berpengalaman. Kami hanya berharap dari sumbangan orang ramai. Media juga tidak berpihak dengan kami. Oleh itu, kami perlu mencari jalan lain. Internet ialah sumber utama bagi kami untuk menyebarkan mesej. Saya perlu berterima kasih kepada blogger yang selama ini menjadi penyokong kuat saya dan banyak membantu dalam kempen-kempen saya.

Boleh sdri nyatakan latarbelakang pendidikan dan profesion sebelum menjadi ahli politik sepenuh masa?

Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya memasuki Kolej New Era di peringkat diploma perniagaan. Saya kemudian mengambil program Amerika dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dan kemudiannya ke Unversiti Curtin di bidang ekonomi. Saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Sydney pengkhususan dalam Politik, Ekonomi dan Hubungan Antarabangsa. Sejurus selepas kembali ke tanahair, saya membuka perniagaan pengiklanan bersama rakan niaga saya.

Sdri telah dipilih sebagai Timbalan Ketua DAPSY dalam pemilihan baru-baru ini. Apa perancangan anda sebaik sahaja dipilih?

Sebagai wakil dari golongan muda di dalam parti, kami mahu bergerak ke arah kehidupan yang lebih baik. Orang muda mahukan peluang yang samrata diberikan dan keadilan untuk masyarakat terbanyak.

Sebagai orang kedua di dalam sayap muda, saya perlu bekerjasama erat dengan Ketua. Dapsy sepatutunya menjadi tiang kepada parti, dinamik dan progresif. Sebagai sayap muda, kita berpeluang untuk melakukan kesilapan, dan kita menjadi ujian kepada parti dalam sesuatu hal.

Dalam hal aktiviti sukarelawan di peringkat kampus, semua ini mula disekat di zaman kuku besi (Tun) Mahathir ketika memegang jawatan Perdana Menteri. Mahasiswa tidak dibenarkan berbincang isu politik di kampus. Oleh itu, mereka tidak faham. Politik ialah sebahagian daripada kehidupan.

Semasa saya menuntut di luar negara, semua parti politik boleh menjalankan aktiviti mereka di kampus. Golongan liberal, komunis, sosialis- semuanya dibenarkan menganjurkan program di dalam kampus. Mahasiswa kita ketinggalan jauh di belakang. Mereka tidak tahu makna kuasa, cita-cita dan kaedah berkempen.

Parti sudah berusia 42 tahun. Tapi Dapsy tidak bergerak selaras dengan perkembangan usia. Apa komen sdri?

Saya sudah berada di dalam Parti selama sembilan tahun. Saya sertai sejak usia 20 tahun dan pada waktu itu saya wakil termuda. Selepas beberapa tahun, saya masih memegang rekod tersebut. Kita sukar mendapatkan golongan pelapis. Saya kira, Dapsy perlu penstrukturan semula. Sekaranglah masanya. Dapsy adalah ruang untuk golongan muda untuk meluaskan pengetahuan dalam politik. Mereka perlu faham bahawa mereka sertai parti politik bukan kerana pemimpin yang ada di dalamnya tetapi setuju dengan ideologi yang dibawa.

Pada waktu kami mengalami kesukaran untuk mendapatkan anggota baru, kami menubuhkan sebuah gerakan di bawah nama Red Rose. Gerakan ini adalah untuk mereka yang tidak senang bergerak di bawah payung Parti sungguhpun ianya sebahagian daripada Dapsy. Red Rose menjadi pelantar kepada mereka untuk mempelajari dan mengenal erti politik secara umum.


Bagaimana anda menggunakan pengetahuan anda dalam perniagaan dalam aktiviti politik?

Dalam perniagaan, kita mempelajari elemen pengiklanan (advertising). Pengiklanan penting untuk menyatakan propaganda dan apa yang penting ialah menjadi kreatif dalam menarik pengundi-pengundi baru. Kita sebatikan dalam bentuk yang berlainan. Sebagai contoh, kita perlu sedar tidak semua dari kita suka berpakaian kemeja dan bertali leher. Ada di antara kita yang senang berkemeja leher bulat sahaja.

Pengiklanan juga terdapat penjenamaan semula (re-branding). Itulah yang perlu kita perlu lakukan. Sebelum ini, pemimpin Dapsy merupakan ahli Jawatankuasa Pusat (CEC). Mereka sering membawa nama CEC berbanding Dapsy. Oleh itu, kita sukar untuk ‘menjual’ nama kita. Kita juga kurang focus dalam aktiviti golongan muda. Dalam penjenamaan semula juga, anggota Dapsy perlu komited dalam identiti yang mereka bawa. Slogan juga penting bagi menjana gerakan ini.

Pembungkusan (packaging) juga perlu betul. Dapsy perlu pek produk yang kita ada dalam cara yang berlainan. Semasa kita lancarkan Malaysian Malaysia, Dapsy terjemahkan dalam terma ‘Kita Anak Malaysia’. Bukankah lebih sesuai untuk golongan muda untuk memahaminya?

Sebagai ADUN Teratai apakah aktiviti dan masalah penduduk?

Sungguh banyak aktiviti dan sambutan bergantung kepada bentuk aktiviti yang saya anjurkan. Aktiviti seperti Hari Keluarga mungkin dapat menarik semua golongan. Aktiviti seperti seminar, sukan banyak menarik golongan muda. Bagi golongan veteran, mereka lebih senang hadir di dalam program perayaan.

Teratai ialah kawasan hasil daripada persempadanan baru. Penduduk di sini mempunyai pelbagai karenah. Bagi golongan muda, mereka lebih peka kepada maklumat di dalam internet. Oleh itu, maklumat dan komunikasi banyak berlaku secara maya dan saya senang dengan cara itu. Bagi golongan yang berusia 45 tahun ke atas, mereka akan sedaya upaya mendapatkan nombor telefon saya dan memanggil saya untuk menceritakan pemasalahan mereka. Mereka seboleh-bolehnya mahu saya datang sendiri untuk bersemuka dan bercerita masalah mereka.

Dalam siri penerangan saya, saya sering memberitahu rangka kerja Ahli Parlimen, ADUN dan ahli majlis. Mereka perlu tahu pihak yang mereka perlu hubungi bergantung kepada masalah yang mereka sedang hadapi. Sungguhpun masalah longkang tersumbat juga masalah saya, mereka perlu faham bahawa ahli majlis lebih sesuai untuk mendengar masalah sedemikian.

Di kawasan Pandan, perkara utama yang menjadi masalah ialah urusan pengumpulan sampah, sehingga ahli-ahli Majlis juga tidak dapat menyelesaikannya. Masalah tikus dan serangga perosak juga menjadi masalah di sini. Oleh sebab itulah, saya terpaksa mengadakan perjumpaan seberapa kerap dengan YDP (Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, MPAJ) untuk berbincang masalah-masalah ini.



Bagaimana persepsi kaum Melayu terhadap sdri?

Bagi golongan muda, seperti yang saya nyatakan, mereka lebih bersikap terbuka. Bagi mereka yang selama ini menyokong parti perkauman, memberi sedikit pemasalahan buat saya. Adakalanya, mereka bertindak liar sehingga ada yang sanggup meninggikan suara semasa sessi perbincangan.

Ada ketika sewaktu saya ingin memberi penerangan mengenai dewan orang ramai yang saya kira patut dikembalikan kepada MPAJ, mereka marah dan ada yang cuba membaling kerusi. Dengan cara yang sombong, salah seorang berkata bahawa beliau mempunyai banyak wang dan tidak takutkan saya. Mereka juga katakan bahawa pendapatan mereka lebih banyak berbanding saya. Apakah maknyanya ini?

Namun, saya kira ini menjadi cabaran untuk saya bekerja dengan lebih kuat. Ia tidak mustahil. Kebanyakan daripada peruntukan yang saya terima disalurkan kepada golongan Melayu. Merekalah sebenarnya yang tertindas. Saya tidak mahu tahu mereka undi saya atau pun tidak (semasa pilihan raya lepas). Apa yang penting, mereka lebih memerlukan.

Melihat kepada golongan wanita Melayu, mereka memerlukan pengetahuan mengenai hak mereka. Hal mengenai syariah, penceraian dan sebagainya, mereka tidak faham. Kita lihat sendiri media yang mereka baca hari-hari. Utusan Malaysia, Berita Harian semuanya tidak membuka minda mereka.

Apa pula isu yang anda utarakan semasa sessi dewan sejak bergelar ADUN?

Sejak Mac lalu, saya melalui dua sessi selama 10 hari persidangan. Antara isu yang saya telah bentangkan ialah projek pemuliharaan alam sekitar. Selangor tidak jalankan denagan betul. Pendidikan dan kempen kesedaran perlu dijalankan dengan lebih proaktif.

Keduanya, mengenai peluang pekerjaan. Saya mencadangkan agar kontraktor yang mendapat kontrak daripada kerajaan negeri perlu menghadkan hanya 30% daripada kakitangannya kepada warga asing. Sekiranya mereka gagal, mereka perlu disenaraihitamkan daripada diteruskan kontrak mereka. Sebagai contoh, dalam kontrak pengumpulan sampah, MPAJ peruntukkan ratusan ribu sebulan kepada Alam Flora bagi tujuan ini. Apa salahnya upah dinaikkan untuk menarik pekerja tempatan? Dengan mengambil pekerja asing, mereka hanya perlu menggunakan RM20,000 daripada jumlah RM100,000 untuk pembayaran upah. Jangan beritahu saya mereka menggunakan RM80,000 untuk membeli penyapu?

Ketiga ialah mengenai penyertaan golongan wanita. Saya menyeru agar 10% daripada pihak pembuat keputusan terdiri daripada golongan wanita. Sekiranya golongan wanita tidak mencapai tahap minima, mereka boleh mengemukakan aduan. Tetapi, menurut kajian, golongan wanita lebih terserlah daripada lelaki sungguhpun selepas bercuti panjang kerana melahirkan anak. Di Eropah Utara, mereka mahukan 60% daripada proses membuat keputusan diberikan kepada wanita. Saya hanya meminta 10% sahaja.

Mengenai isu kebebasan Teresa Kok yang saudari jemput di masjid di kawasan saudari. Apa komen anda?

Masalahnya, pihak yang menggembar-gemburkan cerita mengenai Teresa berskirt pendek di masjid sebenarnya mereka tidak ada di majlis tersebut. Orang ramai yang hadir di majlis yang saya anjurkan di perkarangan masjid langsung tidak membuat sebarang aduan kepada saya, ahli jawatankuasa masjid mahupun Mohd Sabu yang juga dijemput di majlis tersebut.

Sentimen ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) di kawasan saya sememangnya kuat. Mereka faham sekiranya perkara ini berlaku kepada Teresa, ISA juga boleh diambil terhadap diri kita, tidak mengira warna kulit atau fahaman agama. Ahli jawatankuasa masjid tersebut juga mengadakan solat hajat untuk pembebasan Teresa.




Bagaimana dengan sikap pembangkang BN semasa perbahasan?

Amat pasif. Saya diberitahu di Perak dan Pulau Pinang, pembangkang lebih agresif. Mereka sepatutnya menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan negeri. Backbenchers kelihatan lebih terserlah mengkritik exco dan Menteri Besar. Ketika sidang bermula jam 10 pagi, wakil-wakil Umno masuk ke dewan 15 hingga 30 minit lewat. Kebanyakan mereka hanya berada pada sidang pagi dan hilang di sebelah petang. Mereka juga enggan untuk makan tengahari bersama kami.

Apakah azam anda dalam kerjaya anda dalam politik untuk 2009?

Di dalam Dapsy, saya dapat melihat semangat yang membara di kalangan anggotanya. Saya bersama rakan-rakan saya perlu gerakkan mereka ini ke arah mencapai matlamat kami. Kita perlu tanamkan pendidikan politik dan cara yang betul dalam menganjurkan program-program kemasyarakatan.

Pengambilan seramai mungkin anggota-anggota baru ke dalam Dapsy juga menjadi matlamat saya. Itulah sebabnya jawatankuasa perlu bekerja keras untuk memperkasakan Dapsy di setiap bahagian. Di Selangor, kita tidak mempunyai jawatankuasa, sungguhpun negeri di Johor sudah ada jawatankuasa peringkat negeri. Dapsy hanya aktif di tahun 60an dan 70an sahaja.

Labels: , , , , , , , , , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com