Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Thursday, February 19, 2009
Teater PGL Muzikal: Hang Tuah Derhaka Sultan
Konsep kesetiaan kepada Raja sudah wujud sejak kurun ke-16 lagi dan tertulis di dalam beberapa hikayat purba. Salah satunya ialah Hikayat Hang Tuah sehingga ianya diolah dan dibawa ke pentas teater muzikal seperti Puteri Gunung Ledang yang menyeret ke pementasan ketiga kali tidak termasuk sebuah pementasan berasingan di Singapura pada November 2006 yang menyaksikan orang ramai berdiri bertepuk tangan tanda puas.
Pengabdian Hang Tuah sebagai wira merupakan motif penting yang ada kaitan dengan daulat raja. Raja Melayu dikatakan berasal daripada dewa-dewa di keinderaan, iaitu tempat atau satu lapisan alam yang begitu samar pada khalayak Melayu. Menurut Hikayat Hang Tuah (2008), penonjolan raja ini semata-mata bertujuan untuk menunjukkan kewibawaan seorang raja yang berbeza daripada manusia biasa. Keturunan raja yang berasal daripada dewa ini ada kesamaannya dengan unsur yang terdapat dalam masyarakat Hindu.
Ramai yang bersangka ketaatan Hang Tuah kepada rajanya tidak berbelah bagi. Hang Tuah juga sanggup membunuh Hang Jebat, sahabatnya sendiri. Dia memegang konsep “kerja raja dijunjung, kerja sendiri dikelek”. Dia tidak pernah mempersoalkan samada wajar atau tidak tindakannya untuk menghapuskan Jebat.
Namun, lain dengan teater arahan Zahim Albakri ini menunjukkan sebaliknya. Versi dongeng Zahim dan Hikayat menggambarkan Hang Tuah seorang pahlawan yang suka menggoda wanita. Di dalam teater ini, Hang Tuah telah menaruh nafsu terhadap Gusti Puteri Raden Adjeng Retno Dumilah, adinda kepada Adipati dari Majapahit.
Adipati telah menjanjikan untuk mengahwini Sultan Melaka sekiranya Sultan Melaka sanggup membantu menyelamatkan Majapahit daripada ancaman Demak yang berhasrat menakluki Majapahit. Dengan kebijakan Hang Tuah, Demak menarik balik hasrat tersebut.
Gusti Puteri (lakonan Tiara Jacquelina) berasa amat kecewa lalu melarikan diri ke Gunung Ledang. Beliau sudah tentu tidak akan melepasi sekatan istana tanpa bantuan Hang Tuah. Pahlawan kebanggaan Melayu juga sedar bahawa Gusti Puteri adalah milik Sultan Melaka atas perjanjian diplomatik Melaka-Majapahit. Namun, Hang Tuah telah tidak mengendahkannya dan sanggup menjadikan Puteri Gunung Ledang sebagai wanita tempat curahan nafsu cintanya dan menjanjikan bulan dan bintang.
Selepas mendapat tahu Gusti Puteri berada di Gunung Ledang, Sultan Melaka menghantar utusan rasmi rombongan meminang yang diketuai Hang Tuah. Dan Hang Tuah secara politiknya bersetuju dan menebalkan muka atas dasarnya seperti di dalam Hikayat, “ tiada adat hamba Melayu menderhaka kepada raja”. Ungkapan tersebut disebut berulang-ulang kali sehingga kesetiaan tersebut disangsi. Memang benar, Hang Tuah lah seorang penderhaka, lebih derhaka daripada Hang Jebat yang tidak hipokrit, lebih jujur dengan setiap ungkapan dan tindakannya.
Setelah menyedari sifat kepuraan Hang Tuah, Gusti Puteri yang kemudiannya lebih dikenali sebagai Puteri Gunung Ledang telah memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Melaka; terutama Sultan Melaka yang rakus ingin mengahwininya dan Hang Tuah yang setia kepada raja dengan tidak bertempat.
Puteri memberikan syarat hantaran tujuh dulang sekiranya Sultan benar-benar ingin mengahwininya; jambatan emas Melaka ke Gunung Ledang, jambatan perak di destinasi sama , tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman, tujuh tempayan air mata, tujuh tempayan air pinang muda, satu mangkuk darah anak sultan.
Tidak disangka-sangka, Sultan Melaka bersetuju dan bersedia membunuh sendiri anaknya, Raja Ahmad. Lalu, Puteri Gunung Ledang muncul di istana dan mengutuk sikap sultan tersebut.
Bagi Hang Tuah yang sedar akan kesilapannya atas menghancurkan harapan Puteri Gunung Ledang dan memberi kesetiaan bodoh kepada sultan telah cuba memohon maaf terhadap Puteri Gunung Ledang tetapi sudah terlewat. Puteri Gunung Ledang hilang bersama waktu.
Masyarakat feudal menganggap raja tempat bernaung, namun masyarakat pada waktu itu tidak pernah pula memikirkan bahawa raja tidak akan bermakna dan berfungsi tanpa rakyat. Kedua-duanya saling perlu-memerlukan dan saling melengkapi. Hikayat Hang Tuah juga menampilkan ketokohan hang Jebat sebagai manusia yang ingin menegakkan kebenaran. Jebat menyedari “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Pengarang Hikayat Hang Tuah telah melemparkan visinya lebih jauh ke hadapan daripada keadaan masyarakat pada ketika itu. Dia sudah merasakan kedudukan raja bukanlah suatu kedudukan kekal, malahan akan sampai suatu ketika rakyat akan menerajui pemerintahan.
Pementasandi Istana Budaya dari 6-21 Februari menampilkan Stephen Rahman-Hughes sebagai Hang Tuah, Adlin Aman Ramlie sebagai Sultan Mahmud dan AC Mizal sebagai Gusti Adipati Handaya Ningrat.
Labels: hang jebat, hang tuah, Istana Budaya, puteri gunung ledang
0 Comments:
Post a Comment
<< Home