Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Tuesday, July 14, 2009

Pameran Dari Kerana Mata: Borak-borak Dengan Artis Dikala Jingga


Sungguhpun waktu aku amat terhad kerana terpaksa berada di Dewan Negara etiap sessi perbahasan, aku kuatkan usaha untuk hadir di majlis pelancaran majlis perasmian Pameran Dari Kerana Mata yang diadakan di RA Fine Arts pada 7 Julai 2009.

Pemilik galeri, Raja Ahmad (sebut: Pak Engku)sudah beberapa kali mengingatkan aku untuk hadir ke pameran ini. Sesungguhnya artis-artis DiKala Jingga memang rapat dengan aku. Bahkan lukisan Haris Hamsani masih tergantung di bilik tidur aku dan lukisan-lukisan Ali termuat dalam buku aku, KONFLIKTING.

Memandangkan aku sudah beberapa kali menulis dan memberi paparan kepada Ali @ Nurazmal Yussof, aku cuba mendekati Zul (atau nama sebenarnya Zulkiflee Zainul Abidin) dan Suddin Lappo.

Mereka ini kesemuanya hasil lulusan seni halus dari Institut Teknologi MARA dan bergabung selepas habis era pembelajaran.

Ikuti temubual aku dengan Zul dan Suddin.


Dalam lukisan kau untuk pameran ini, apa yang kau cuba ketengahkan?


Suddin: 'rasa’ dan pengalaman estetika.

Zul: Babak Manusia dalam situasi yang diinspirasi daripada isu sosial, politik, agama dan ekonomi semasa. Karya saya bertajuk “The Crisis: Between You and Me” menggambarkan satu situasi provokatif , satu watak lelaki , baju merah diikat dipinggang, sedang ditangannya ada seketul? Batu…berdiri di hadapan seekor kerbau yang sedang terarah dan tertarik kepada ‘warna merah’. Sang provokator semestinya sudah bersedia membalas ‘Mangsa’ yang mampu menyerang. Di inspirasikan dari situasi tegang politik semasa . Karya lain, “The Crisis 2: Tabung” lebih terjurus kepada permasalah ekonomi…watak lelaki (boleh saja disebut berbangsa melayu) sedang tersandar lemah, dihadapannya ada sebuah tabung ayam, tangan kirinya memegang tukul. Situasi yang tidak memberikan kita banyak pilhan untuk berdepan masalah ekonomi. Samada kita terus ‘bersandar’ atau pun pecahkan saja’ tabung.’. Satu lagi karya, bertajuk “deconstructive behavear: after ahmad zaki” mendepani isu sosial semasa. Lembu menjadi simbul kebodohan (negatif) seperti perumpamaan ‘Bodoh macam lembu’…kecenderungan sosial hari ini berdepan ‘kuasa kebodohan’.



Apa kelainan yang kau ada berbanding dengan artis-artis DiKala Jingga yang lain dan artis-artis yang ada di Malaysia ini?

Suddin: Juga ‘rasa’. Kan tiap orang punya rasa lain-lain. Maka rasanya tidak perlu untuk aku cari kelainan itu.

Zul: Aku lebih suka kepada kepelbagaian seni… tidak hanya tertumpu kepada bidang senilukis semata-mata… ia sangat membantu dalam perkembangan dan cara aku berkarya.



Bagaimana Negara ini dapat memajukan seni tampak?


Suddin:labur wang lah.. paling utama untuk pelukis muda. Tapi yang lebih penting adalah berani berfikir ‘sapere aude’ – politikus kita kering ‘rasa’ beb, sebab tu mereka tidak peduli seni.

Zul: Fokus dan bebas dan bertanggungjawab...baik seniman, pihak galeri, mahupun pihak 'penaung' dan pemerintah, beri pendedahan dan ruang yang lebih kepada seni tampak secara khusus. Salah satunya Media menghebahkan segala ‘gerak’ seni tampak kepada umum seperti bidang seni yang lain.


Apa sudah jadi dengan Balai (Seni Lukis Negara)?

Suddin: Kurang pasti. Sangat tidak dapat dipastikan.. mungkin sebab aku tidak dengar apa2 kecuali (baca : biasanya) cemuhan, yang selalunya aku pun malas nak pikir.


Zul: Ramai orang (terutama kelompok seniman) hangat memperkatakan tentangnya, Makin ramai yang mempersoaalkan kemampuan dan kredibelitinya.




Kau faham tak konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia?

Suddin: Faham. Faham itu sebagai polit(e)ik..

Zul: Sudah sedia faham… ia dikitar semula, ‘re-brending’, re-packaging, yang hanya pada nama.


Zul, kau berasal dari Kedah. Adakah kau rasa DAP patut keluar dari Pakatan Rakyat?

Zul: DAP berhak berbuat demikain…tapi itu bukan cara yang tepat dan terbaik… malah ia akan merumitkan keadaan… perancangan terganggu, rakyat terus jadi mangsa. Tindakkan itu tindak membantu apa2 cuma lebih kepada emosi dan cuba mempertahankan pendirian: walaupun ia dinyatakan cuba ‘mewakili‘ pandangan masyarakatnya… DAP dalam hal seperti ini harus mengelak dari tindakkkan ‘populis’ kepartian- tak puas hati keluar parti.

Ia akan lebih merugikan rakyat dan Pakatan sendiri. Pakatan Rakyat yang tampil dengan imej pencerahan. Lebih matang, terbuka dan dinamik tidak seharusnya berlaku perkara semacam ini.


Sepanjang lebih 50 tahun pemerintahan Umno, sebagai Melayu adakah kau mendapat sebarang manfaat dari pentadbiran mereka?

Suddin: Ada. Tapi bukan dari mereka, dari Tuhan.

Zul: Secara umumnya, ya… aku akui ada. Cumanya kalau didekati dan di amati manfaat itu lebih bersifat Sogokan; baca RASUAH , daripada pertolongan yg sepatutnya...


Kau setuju tidak apabila ramai yang menelah bahawa Pakatan Rakyat akan menjadi seperti Barisan Nasional? Nyatakan sebab….

Suddin: Ya. Sebab kedua2 parti itu punya matlamat yang sama – kuasa.

Zul: Kemungkinan terjadi sangat besar… kebergantungan kepada pucuk kepimpinan tertinggi untuk tampil ‘menyelsaikan’ sesuatu kemelut, amalan Rasuah belum sepenuh terhikis, walaupun ada usaha dan penegasan ke arahnya namun ia memerlukan masa.



Kau setuju tak sekiranya ISA dipinda?

Suddin: Padam terus lagi bagus.

Zul: Dipinda, aku setuju... bergantung pada pindaan yang akan dibuat, tetapi kalau di mansuhkan adalah lebih baik.


Selain melukis, kau juga melibatkan diri dalam lakonan dan muzik. Senang ke nak jadi artis ni…tangkap muat? Kenapa artis tidak focus kepada satu bidang seni sahaja?

Zul: Pada aku, sesiapa juga boleh menjadi artis… atas kemampuan dan kemahuan serta kejujuran.

Suddin: Sebab nak layan ‘rasa’, itu saja.


Sepanjang penglibatan kau dalam seni, adakah kau rasa media perdana banyak membantu dalam mempromosikan kesenian?

Suddin: Tidak. Tidak siapa yang peduli, kecuali tauke galeri, kolektor, peng’khayal’ seni, teman-teman ketat dan kau hehehe..

Zul: Ia tidak seimbang…tidak menyeluruh.


Zul, kau juga seorang pelakon teater. Pernah pergi Istana Budaya untuk saksikan persembahan di sana?

Zul: Pernah, beberapa kali…



Adakah kau bangga dengan pencapaian teater sekarang?

Zul: Belum Boleh dibanggakan… ia seperti baru nak bermula secara serius.

Labels: , , , , , , ,

 

 

Friday, June 19, 2009

Mana Setangginya?





Apabila aku dijemput untuk menghadiri pementasan 'Mana Setangginya?' karya Noordin Hassan, aku setuju. Satu masa dahulu aku pernah menyaksikan pementasan beliau, ' Tiang Seri Tegak Berlima' dan aku benar-benar teruja.

Jelas, skripnya memang menarik sekali. Sungguhpun skripnya ditulis 10 tahun yang lampau, namun isinya masih relevan. Orang kita masih lagi menjadikan fitnah sebagai permainan seharian. Kepentingan peribadi mengatasi yang lainnya.

Aku suka lirik SETANGGI DI JIWA pada waktu awal ensemble.

Jika hilang maruah bangsa Jiwa kita menjadi hamba Anak cucu menjadi hina Pohon setanggi hilang wanginya. Mari ditanam di dalam hari Semangat waja berani mati Supaya bangsa bermaruah nanti Nusa bangsa hak sejati. Sambil berserah kepada tuhan Jiwa yang cekal harus bertahan Sedia menghadap semua rusuhan Janganlah jadi emas sepuhan Bila ditanya mana setangginya? Tepuklah dada itu tempatnya.

Ada satu babak yang betul-betul menarik perhatian aku:

PADERI: Perempuan ni bernama Megda; menjual sayur, di pasar. Tetapi dia menghias dirinya sebegitu molek. Bijak beramah mesra apabila laki-laki datang membeli. Senyum simpul, suara merdu, jelingan manja; sikapnya membuatkan jualannya habis selalu. Katanya, dia seorang janda. Patutlah. Tadi ada orang nampak. seorang lelaki setengah umur turun dari rumahnya, Perempuan ni memerlukan kampung kita.

MEGDA: Bohong. Semua tu fitnah. Orang iri hati sebab jualan saya laku.

IRIAM: Siapa dia laki-laki yang turun dari rumah Megda?

PADERI: Itu kami tak boleh bagi tahu.

IRIAM: Mengapa?

PADERI: Tak boleh bagi tahulah.

IRIAM: Mengapa tak tangkap laki-laki tu sama?

PADERI: Mana boleh?

IRIAM: Mengapa?

PADERI: Tak boleh.

IRIAM: Kakak-kakak, adik-adik dan abang-abang sekalian. Siapa yang nampak laki-laki yang setengah umur tu? (Semua diam belaka). Jadi, sekarang nak dibuat apa dengan Megda?

PADERI: Kami nak rejam dia dengan batu. Dia berdosa.

IRIAM: Baiklah. Sesiapa antara kita yang tidak pernah membuat disa, biarlah orang itu merejam batu pertama. (Sejenak). Ada sesiapa? (Semua diam; MEGDA dibebaskan).
Dengan skrip yang mengkagumkan, aku mengharapkan pementasannya juga begitu. Tetapi harapan aku meleset. Istana Budaya cuba 'menjual' adegan terbang pelakon teater. Orang yang membeli tiket sudah tentu mahu melihat adegan stunt, sekurang-kurangnya seperti yang dipentaskan di Genting Highlands dalam beberapa pementasan yang dibuat di Kota Peranginan itu. Lagi pun, teknologi terbang yang dibuat dibawa secara langsung daripada Hall Associates Flying Effects, Amerika Syarikat.

"Hidup hidup, Melayu kena tipu", kata aku dalam hati.




Ucapan aluan pengerusi berbunyi, " Anda bersedia dengan adegan terbang?"

Aku: Wah! Kalah Puteri Gunung Ledang (The Musical)

Adegan terbang sebenarnya di kalangan tiga penari yang melakonkan watak pari-pari yang tergantung dari siling pentas, itu sahaja. Pari-pari tu tergantung-gantung sahaja sambil menggerakkan tangan (seolah-olah sedang terbang) dan membuang serbuk kilat yang nampak kelihatan magis. Langsung hilang mood aku.

Ianya dimulakan dengan adegan tarian oleh beberapa penari lelaki dan semuanya berterabur. Padahal aku hadir lima hari ianya sudah dipentaskan dan aku jangka selepas lima hari langkah tarian penari-penari bertambah baik.


Pengarah teater kanak-kanak, Zaifri Husin memperlihatkan skrip Sasterawan Negara itu seperti sebuah pementasan kanak-kanak.

Zafri juga cuba membayangkan keadaan dalam salah satu babak berkaitan dengan keadaan di mana salah seorang anak nelayan, Subat yang nampak dua ekor biawak gergasi menatang bayi yang dicampak ke dalam sungai agar bayi itu tidak tenggelam.

Apa yang Zafril tonjolkan ialah tayangan layar di belakang pentas dengan gambar biawak yang aku rasa diambil dari siri National Geographic. Aku malu.

Seperti tajuknya, pementasan ini memang tiada setangginya. Ianya dipentaskan sehingga 21 Jun berharga RM30, RM50, RM70 dan RM100.


Teater ini dijayakan oleh Sabrina Ali, Tony Eusoff, Shaharuddin Thamby, Azizah Mahzan dan Iqbal Taufik.

Labels: , ,

 

 

Thursday, February 19, 2009

Teater PGL Muzikal: Hang Tuah Derhaka Sultan




Konsep kesetiaan kepada Raja sudah wujud sejak kurun ke-16 lagi dan tertulis di dalam beberapa hikayat purba. Salah satunya ialah Hikayat Hang Tuah sehingga ianya diolah dan dibawa ke pentas teater muzikal seperti Puteri Gunung Ledang yang menyeret ke pementasan ketiga kali tidak termasuk sebuah pementasan berasingan di Singapura pada November 2006 yang menyaksikan orang ramai berdiri bertepuk tangan tanda puas.

Pengabdian Hang Tuah sebagai wira merupakan motif penting yang ada kaitan dengan daulat raja. Raja Melayu dikatakan berasal daripada dewa-dewa di keinderaan, iaitu tempat atau satu lapisan alam yang begitu samar pada khalayak Melayu. Menurut Hikayat Hang Tuah (2008), penonjolan raja ini semata-mata bertujuan untuk menunjukkan kewibawaan seorang raja yang berbeza daripada manusia biasa. Keturunan raja yang berasal daripada dewa ini ada kesamaannya dengan unsur yang terdapat dalam masyarakat Hindu.

Ramai yang bersangka ketaatan Hang Tuah kepada rajanya tidak berbelah bagi. Hang Tuah juga sanggup membunuh Hang Jebat, sahabatnya sendiri. Dia memegang konsep “kerja raja dijunjung, kerja sendiri dikelek”. Dia tidak pernah mempersoalkan samada wajar atau tidak tindakannya untuk menghapuskan Jebat.

Namun, lain dengan teater arahan Zahim Albakri ini menunjukkan sebaliknya. Versi dongeng Zahim dan Hikayat menggambarkan Hang Tuah seorang pahlawan yang suka menggoda wanita. Di dalam teater ini, Hang Tuah telah menaruh nafsu terhadap Gusti Puteri Raden Adjeng Retno Dumilah, adinda kepada Adipati dari Majapahit.

Adipati telah menjanjikan untuk mengahwini Sultan Melaka sekiranya Sultan Melaka sanggup membantu menyelamatkan Majapahit daripada ancaman Demak yang berhasrat menakluki Majapahit. Dengan kebijakan Hang Tuah, Demak menarik balik hasrat tersebut.

Gusti Puteri (lakonan Tiara Jacquelina) berasa amat kecewa lalu melarikan diri ke Gunung Ledang. Beliau sudah tentu tidak akan melepasi sekatan istana tanpa bantuan Hang Tuah. Pahlawan kebanggaan Melayu juga sedar bahawa Gusti Puteri adalah milik Sultan Melaka atas perjanjian diplomatik Melaka-Majapahit. Namun, Hang Tuah telah tidak mengendahkannya dan sanggup menjadikan Puteri Gunung Ledang sebagai wanita tempat curahan nafsu cintanya dan menjanjikan bulan dan bintang.

Selepas mendapat tahu Gusti Puteri berada di Gunung Ledang, Sultan Melaka menghantar utusan rasmi rombongan meminang yang diketuai Hang Tuah. Dan Hang Tuah secara politiknya bersetuju dan menebalkan muka atas dasarnya seperti di dalam Hikayat, “ tiada adat hamba Melayu menderhaka kepada raja”. Ungkapan tersebut disebut berulang-ulang kali sehingga kesetiaan tersebut disangsi. Memang benar, Hang Tuah lah seorang penderhaka, lebih derhaka daripada Hang Jebat yang tidak hipokrit, lebih jujur dengan setiap ungkapan dan tindakannya.

Setelah menyedari sifat kepuraan Hang Tuah, Gusti Puteri yang kemudiannya lebih dikenali sebagai Puteri Gunung Ledang telah memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Melaka; terutama Sultan Melaka yang rakus ingin mengahwininya dan Hang Tuah yang setia kepada raja dengan tidak bertempat.


Puteri memberikan syarat hantaran tujuh dulang sekiranya Sultan benar-benar ingin mengahwininya; jambatan emas Melaka ke Gunung Ledang, jambatan perak di destinasi sama , tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman, tujuh tempayan air mata, tujuh tempayan air pinang muda, satu mangkuk darah anak sultan.

Tidak disangka-sangka, Sultan Melaka bersetuju dan bersedia membunuh sendiri anaknya, Raja Ahmad. Lalu, Puteri Gunung Ledang muncul di istana dan mengutuk sikap sultan tersebut.

Bagi Hang Tuah yang sedar akan kesilapannya atas menghancurkan harapan Puteri Gunung Ledang dan memberi kesetiaan bodoh kepada sultan telah cuba memohon maaf terhadap Puteri Gunung Ledang tetapi sudah terlewat. Puteri Gunung Ledang hilang bersama waktu.

Masyarakat feudal menganggap raja tempat bernaung, namun masyarakat pada waktu itu tidak pernah pula memikirkan bahawa raja tidak akan bermakna dan berfungsi tanpa rakyat. Kedua-duanya saling perlu-memerlukan dan saling melengkapi. Hikayat Hang Tuah juga menampilkan ketokohan hang Jebat sebagai manusia yang ingin menegakkan kebenaran. Jebat menyedari “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Pengarang Hikayat Hang Tuah telah melemparkan visinya lebih jauh ke hadapan daripada keadaan masyarakat pada ketika itu. Dia sudah merasakan kedudukan raja bukanlah suatu kedudukan kekal, malahan akan sampai suatu ketika rakyat akan menerajui pemerintahan.

Pementasandi Istana Budaya dari 6-21 Februari menampilkan Stephen Rahman-Hughes sebagai Hang Tuah, Adlin Aman Ramlie sebagai Sultan Mahmud dan AC Mizal sebagai Gusti Adipati Handaya Ningrat.

Labels: , , ,

 

 

Tuesday, June 03, 2008

Teater P Ramlee The Musical: Maka Berasaplah Kubur P Ramlee

Babak perjalanan P.Ramlee dari Pulau Pinang ke Singapura


Era kegemilangan P.Ramlee dengan filem-filem yang dilahirkan serta anugerah yang dimenanginya
versi blog

Pada 28 Mei lalu, aku menerima jemputan daripada Enfiniti Productions untuk menyaksikan tayangan Ramlee Pementasan kali kedua P.Ramlee The Musical, Cinta, Hidup dan Aspirasi yang dipentaskan di Istana Budaya. Pementasan tersebut begitu memukau sehingga jelmaan P Ramlee, lakonan bersungguh-sungguh Musly Ramlee begitu menghidupkan watak P Ramlee.
Musly melakonkan watak-watak P Ramlee seolah-olah sama seperti dengan penampilan P Ramlee melalui filem-filemnya.

Kehadiran artis-artis lama Studio Jalan Ampas yang hadir memukau mata mereka seolah-olah ‘P Ramlee’ jelma di atas pentas Istana Budaya.

Antara seniman-seniman Jalan Ampas yang hadir ialah Kassim Masdor, Kuswadinata, Zaiton, Hashimah Yon. S. Shamsuddin, Wahid Satay dan Datuk Aziz Satar. Rata-rata mereka menyukai lakonan ‘P Ramlee’ dan “bagai hidup semula di depan mata.”

Berbanding dengan tayangan pertama yang ditunjangi Sean Gazi, beliau lebih menumpukan kepada interpretasi manakala Musly mencirikan kepada imitasi. Pementasan pertama yang menelan belanja melebihi RM1juta dipentaskan di tempat yang sama Oktober tahun lalu.

Rasanya, Sean sudah menduga bahawabeliau tidak layak untuk mengimitasi P Ramlee tetapi pengalaman broadway nya berjaya memukau penonton pada waktu itu.

Menurut sumber dari Istana Budaya, tiket bagi P Ramlee The Musical masih boleh didapati berbanding dengan musim pertamanya di mana tiket habis sungguhpun pementasan belum dimulakan. Mungkin ketiadaan Datuk Siti Nurhaliza sebagai Azizah kali ini memungkinkan penjualan tiket yang perlahan. Daya tarikan Siti Nurhaliza sudah tidak dapat dinafikan sebagai tangkal pelaris. Watak Azizah kini dibawa oleh Emelda Rosmila. Watak-watak isteri P Ramlee kekal; Junaidah dilakonkan oleh Atilia, Norizan lakonan Melissa Saila dan Saloma pembawakan Liza Hanim.

Terdapat juga beberapa penambahan dalam babak berbanding dengan musim pertama di mana kali ini, P Ramlee cuba diberitahukan kepada penonton bahawa dalam menjejaki ke zaman kegemilangannya, selain menjadi ‘clapper-boy’, Allahyarham juga pernah menjadi suara latar kepada beberapa nyanyian hero filem yang pada ketika itu ‘tidak pandai menyanyi’. Peminat filem Malay Film Production (MFP) di Singapura tahu akan kehebatan Allahyarham sungguhpun wataknya hanya di belakang tabir.

Segmen tarian daripada filem Puteri Gunung Ledang juga tidak kelihatan dalam pementasan kali ini.

Selain itu, babak kanak-kanak P Ramlee sewaktu kecil di Pulau Pinang dikeluarkan kali ini. Aku juga menanti babak perkahwinan Junaidah dan P Ramlee yang menggunakan terompah sebagai nada kompang tetapi tidak dipersembahkan. Bagi aku terompah yang dibuat seperti tap-dance sungguh menghiburkan.

Ada beberapa kelemahan yang masih tidak dapat produksi ini atasi iaitu muzik yang menenggelamkan suara percakapan, terutama babak penceraian P Ramlee dan Norizan. Namun, tidak dapat dinafikan kumpulan muzik seramai 11 orang ini benar-benar mengkagumkan. Selain itu, geng Paparazzi lakonan Infinetez memang menghiburkan.

Ramai juga teman-teman wartawan dan artis yang aku kenali sempat aku sapa. Antaranya ialah Shannon Shah dan Martin (The Star).

Pementasan ini akan berlanjutan sehingga 14 Jun 2008.

Labels: , ,

 

 

Saturday, October 20, 2007

P.Ramlee The Musical: Tiara Pilih Blogger?



Pementasan preview P.Ramlee The Musical (PRTM) Khamis lalu hanya diberikan kepada wartawan-wartawan yang ‘bersebelah’ dengan pihak penerbitan manakala pihak-pihak lain tidak dibenarkan untuk hadir untuk membuat liputan.

Pementasan yang sepatutnya dibuka untuk wartawan ditahan daripada diberikan pass. Pihak penerbitan memberi alasan bahawa hanya akhbar dan blog yang dibenarkan oleh pihak atasan (Enfiniti Productions Sdn Bhd) sahaja akan diberikan pass dan membuat liputan.

Alasan yang diberikan ialah arahan daripada (Datin Seri) Tiara Jacquelina. Apabila diminta penjelasan lanjut, wakil penerbitan tidak dapat memberikan dan tetap mengulangi bahawa mereka menjalankan atas arahan Tiara.

Beberapa hari sebelum sekatan dibuat oleh syarikat penerbitan, Reporters Without Borders (RSF) mengumumkan Indeks Kebebasan Media bagi Malaysia yang mana indeks Negara ini jatuh 32 tangga kepada 124.

Salah satu alasan yang diberikan oleh RSF ialah arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin kerajaan kepada para pengarang akhbar dalam mencampuri keputusan editorial.

Menurut RSF juga , kemerosotan Malaysia dalam kebebasan media ialah apabila kerajaan mengambil tindakan terhadap bloggers dengan menahan mereka, menjalankan soalsiasat serta mengambil tindakan mahkamah.

Tiara Jacquelina merupakan isteri kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Effendi bin Norwawi.

PRTM mendapat kerjasama kumpulan Berjaya milik jutawan Vincent Tan (yang juga didakwa terlibat dalam skandal video VK Lingam) dan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KeKKWa) yang menterinya, Datuk Seri Utama Rais Yatim yang didakwa pernah merogol pekerja warga Indonesia.



P.Ramlee Serani

Watak P.Ramlee dalam PRTM dipertanggungjawabkan kepada Sean Ghazi, seorang pelakon, penyanyi berbangsa serani. Sean pernah menghasilkan album, 'SEAN GHAZI – SEMALAM' yang membawa lapan pencalonan dan dua anugerah dalam Anugerah Industri Muzik .

Pemilihan Sean sebagai watak utama, P.Ramlee tidak sesuai dengan sifat ‘lembut’ beliau yang bercanggah dengan sifat personaliti P.Ramlee sendiri.


Siti Dalam Teater

Penyanyi bergelar Datuk, Siti Nurhaliza pula diberikan kepercayaan untuk memegang watak Azizah, wanita yang menjadi pujaan P.Ramlee ketika berada di Pulau Pinang.

Siti diiktiraf sebagai penghibur antarabangsa selepas beliau Berjaya membuat persembahan di Royal Albert Hall, London. Di London, sesiapa sahaja biasa mengadakan persembahan kerana dewan tersebut memang terbuka untuk disewa. Tempat itu juga pernah diadakan majlis hari jadi orang kebanyakan.

Selain itu, PRTM juga dijayakan oleh Liza Hanim, Melissa Saila dan Atilia masing-masing memegang watak Saloma, Norizan dan Junaidah; isteri-isteri kepada P.Ramlee.



Kumpulan Infinatez (finalis Gangstarz), Chedd Yusuf (pemenang Audition), Izlyn Ramli, Ida Mariana, Maya Tan, Colin Kirton, Douglas Lim dan Joseph Gonzales merupakan watak-watak pembantu dalam teater yang bermodalkan jutaan ringgit.

Teater itu mendapat bantuan daripada krew bantuan seramai sekurang-kurangnya 48 orang.


Menang Anugerah?

Tiara bersama Enfiniti pernah menerbitkan filem Puteri Gunung Ledang (PGL) di mana Tiara sendiri berlakon sebagai watak utama dan kemudiannya menerbitkan pementasan Puteri Gunung ledang The Musical.

Sungguhpun berjaya mendapat titel Box-Office, kedua-duanya tidak dapat dibanggakan dalam konteks penganugerahan. Kedua-dua penerbitan itu juga melibatkan jutaan ringgit dalam pelaburannya.

Dalam teater PGL, Tiara juga mengambil seorang serani untuk memegang watak utama dan didakwa merosakkan flora dan fauna di sekitar Cameron Highlands ketika penggambaran PGL The Movie.


"P.Ramlee The Musical..The Life, The Loves & The Inspiration" mula dipentaskan pada 18 Oktober hingga 3 November ini di Istana Budaya.

Tiket-tiket dijual pada harga RM30, RM50, RM80, RM120, RM150, RM180 dan RM200.


Labels: , , ,

 

 

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com