Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Tuesday, July 14, 2009

Pameran Dari Kerana Mata: Borak-borak Dengan Artis Dikala Jingga


Sungguhpun waktu aku amat terhad kerana terpaksa berada di Dewan Negara etiap sessi perbahasan, aku kuatkan usaha untuk hadir di majlis pelancaran majlis perasmian Pameran Dari Kerana Mata yang diadakan di RA Fine Arts pada 7 Julai 2009.

Pemilik galeri, Raja Ahmad (sebut: Pak Engku)sudah beberapa kali mengingatkan aku untuk hadir ke pameran ini. Sesungguhnya artis-artis DiKala Jingga memang rapat dengan aku. Bahkan lukisan Haris Hamsani masih tergantung di bilik tidur aku dan lukisan-lukisan Ali termuat dalam buku aku, KONFLIKTING.

Memandangkan aku sudah beberapa kali menulis dan memberi paparan kepada Ali @ Nurazmal Yussof, aku cuba mendekati Zul (atau nama sebenarnya Zulkiflee Zainul Abidin) dan Suddin Lappo.

Mereka ini kesemuanya hasil lulusan seni halus dari Institut Teknologi MARA dan bergabung selepas habis era pembelajaran.

Ikuti temubual aku dengan Zul dan Suddin.


Dalam lukisan kau untuk pameran ini, apa yang kau cuba ketengahkan?


Suddin: 'rasa’ dan pengalaman estetika.

Zul: Babak Manusia dalam situasi yang diinspirasi daripada isu sosial, politik, agama dan ekonomi semasa. Karya saya bertajuk “The Crisis: Between You and Me” menggambarkan satu situasi provokatif , satu watak lelaki , baju merah diikat dipinggang, sedang ditangannya ada seketul? Batu…berdiri di hadapan seekor kerbau yang sedang terarah dan tertarik kepada ‘warna merah’. Sang provokator semestinya sudah bersedia membalas ‘Mangsa’ yang mampu menyerang. Di inspirasikan dari situasi tegang politik semasa . Karya lain, “The Crisis 2: Tabung” lebih terjurus kepada permasalah ekonomi…watak lelaki (boleh saja disebut berbangsa melayu) sedang tersandar lemah, dihadapannya ada sebuah tabung ayam, tangan kirinya memegang tukul. Situasi yang tidak memberikan kita banyak pilhan untuk berdepan masalah ekonomi. Samada kita terus ‘bersandar’ atau pun pecahkan saja’ tabung.’. Satu lagi karya, bertajuk “deconstructive behavear: after ahmad zaki” mendepani isu sosial semasa. Lembu menjadi simbul kebodohan (negatif) seperti perumpamaan ‘Bodoh macam lembu’…kecenderungan sosial hari ini berdepan ‘kuasa kebodohan’.



Apa kelainan yang kau ada berbanding dengan artis-artis DiKala Jingga yang lain dan artis-artis yang ada di Malaysia ini?

Suddin: Juga ‘rasa’. Kan tiap orang punya rasa lain-lain. Maka rasanya tidak perlu untuk aku cari kelainan itu.

Zul: Aku lebih suka kepada kepelbagaian seni… tidak hanya tertumpu kepada bidang senilukis semata-mata… ia sangat membantu dalam perkembangan dan cara aku berkarya.



Bagaimana Negara ini dapat memajukan seni tampak?


Suddin:labur wang lah.. paling utama untuk pelukis muda. Tapi yang lebih penting adalah berani berfikir ‘sapere aude’ – politikus kita kering ‘rasa’ beb, sebab tu mereka tidak peduli seni.

Zul: Fokus dan bebas dan bertanggungjawab...baik seniman, pihak galeri, mahupun pihak 'penaung' dan pemerintah, beri pendedahan dan ruang yang lebih kepada seni tampak secara khusus. Salah satunya Media menghebahkan segala ‘gerak’ seni tampak kepada umum seperti bidang seni yang lain.


Apa sudah jadi dengan Balai (Seni Lukis Negara)?

Suddin: Kurang pasti. Sangat tidak dapat dipastikan.. mungkin sebab aku tidak dengar apa2 kecuali (baca : biasanya) cemuhan, yang selalunya aku pun malas nak pikir.


Zul: Ramai orang (terutama kelompok seniman) hangat memperkatakan tentangnya, Makin ramai yang mempersoaalkan kemampuan dan kredibelitinya.




Kau faham tak konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia?

Suddin: Faham. Faham itu sebagai polit(e)ik..

Zul: Sudah sedia faham… ia dikitar semula, ‘re-brending’, re-packaging, yang hanya pada nama.


Zul, kau berasal dari Kedah. Adakah kau rasa DAP patut keluar dari Pakatan Rakyat?

Zul: DAP berhak berbuat demikain…tapi itu bukan cara yang tepat dan terbaik… malah ia akan merumitkan keadaan… perancangan terganggu, rakyat terus jadi mangsa. Tindakkan itu tindak membantu apa2 cuma lebih kepada emosi dan cuba mempertahankan pendirian: walaupun ia dinyatakan cuba ‘mewakili‘ pandangan masyarakatnya… DAP dalam hal seperti ini harus mengelak dari tindakkkan ‘populis’ kepartian- tak puas hati keluar parti.

Ia akan lebih merugikan rakyat dan Pakatan sendiri. Pakatan Rakyat yang tampil dengan imej pencerahan. Lebih matang, terbuka dan dinamik tidak seharusnya berlaku perkara semacam ini.


Sepanjang lebih 50 tahun pemerintahan Umno, sebagai Melayu adakah kau mendapat sebarang manfaat dari pentadbiran mereka?

Suddin: Ada. Tapi bukan dari mereka, dari Tuhan.

Zul: Secara umumnya, ya… aku akui ada. Cumanya kalau didekati dan di amati manfaat itu lebih bersifat Sogokan; baca RASUAH , daripada pertolongan yg sepatutnya...


Kau setuju tidak apabila ramai yang menelah bahawa Pakatan Rakyat akan menjadi seperti Barisan Nasional? Nyatakan sebab….

Suddin: Ya. Sebab kedua2 parti itu punya matlamat yang sama – kuasa.

Zul: Kemungkinan terjadi sangat besar… kebergantungan kepada pucuk kepimpinan tertinggi untuk tampil ‘menyelsaikan’ sesuatu kemelut, amalan Rasuah belum sepenuh terhikis, walaupun ada usaha dan penegasan ke arahnya namun ia memerlukan masa.



Kau setuju tak sekiranya ISA dipinda?

Suddin: Padam terus lagi bagus.

Zul: Dipinda, aku setuju... bergantung pada pindaan yang akan dibuat, tetapi kalau di mansuhkan adalah lebih baik.


Selain melukis, kau juga melibatkan diri dalam lakonan dan muzik. Senang ke nak jadi artis ni…tangkap muat? Kenapa artis tidak focus kepada satu bidang seni sahaja?

Zul: Pada aku, sesiapa juga boleh menjadi artis… atas kemampuan dan kemahuan serta kejujuran.

Suddin: Sebab nak layan ‘rasa’, itu saja.


Sepanjang penglibatan kau dalam seni, adakah kau rasa media perdana banyak membantu dalam mempromosikan kesenian?

Suddin: Tidak. Tidak siapa yang peduli, kecuali tauke galeri, kolektor, peng’khayal’ seni, teman-teman ketat dan kau hehehe..

Zul: Ia tidak seimbang…tidak menyeluruh.


Zul, kau juga seorang pelakon teater. Pernah pergi Istana Budaya untuk saksikan persembahan di sana?

Zul: Pernah, beberapa kali…



Adakah kau bangga dengan pencapaian teater sekarang?

Zul: Belum Boleh dibanggakan… ia seperti baru nak bermula secara serius.

Labels: , , , , , , ,

 

 

Saturday, July 04, 2009

Pameran Dari Kerana Mata: Mata Bawa Ke Hati


“Segala-galanya dari mata”, begitulah kata-kata dari Nurazmal Mohd Yusoff (31) salah seorang artis yang turut serta dalam Pameran Lukisan “Dari Kerana Mata” di RA Fine Arts Gallery di ibu Negara apabila ditanya mengenai judul pameran ini.

Kesemua artis ini merupakan graduan Institut Teknologi Mara (kini digelar UiTM) di bidang seni halus dan kemudiannya menubuhkan kumpulan mereka sendiri. Mereka beroperasi di Shah Alam dan pernah ke beberapa buah Negara dalam mempamerkan karya-karya mereka.

Tajuk lukisan ini diambil atas konsep figuratif yang ditonjolkan. Bagi mereka, konsep imajan sedemikian seiring membangun bersama kebudayaan manusia kerana bersifatnya yang ‘viewer friendly’ dan mudah di fahami. Namun setiap imajan figuratif itu tidak mampu mewakilkan secara benar, telus dan objektif berkenaan objek rujukan yang di wakilinya itu. Ini adalah di sebabkan oleh pluralisasi cara pandang oleh sekian ramai pemerhati.

Menurut kurator pameran ini, Badrolhisham Mohamad Tahir, figuratif sedemikian menjadi bukti cara bagaimana seniman melihat.

“Setiap pemilihan boleh kita fahamkan juga sebagai sebuah pemerhatian yang sememangnya tidak pernah lekat tertumpu pada satu benda; kita akan senantiasa melihat perkaitannya dengan diri kita”, kata Badrolhisham.

Jelasnya lagi, tanpa imajan tidak mungkin sebarang komunikasi dapat berlangsung akibat terputusnya jalinan perhubungan antara otak yang berfikir dengan imajan yang mewakili setiap objek konkrit.

Dengan kata lain, tanpa imajan sesuatu tidak dapat ditentukan: tidak dapat diterangkan dan di namakan. Setiap mata yang melihat juga mendapat sebab untuk melihat bagi memenuhi fungsinya sebagai deria pada kita. Oleh itu, dengan penglihatan, karya seni mendapat perhatian; pemerhati melihat dan berkata-kata mengenainya.

Selain Nurazmal, artis-artis Dikala Jingga lain seperti Samsuddin Lappo, Khairina Khairuddin, Zulkiflee Zainul Abidin dan Haris Ahmad Hamsani mencatan kerana minat figura dan mahu menyatakan sesuatu mengenai pengalaman mereka melihat.

Samaada kita sedar atau tidak, mereka sebenarnya begitu asyik mengambar - melihat diri berupaya merakam objek. Keasyikan itu adalah dari dorongan minat – minat meneroka kemungkinan baru. Dalam pameran ini mereka mahu orang lain melihat minat mereka mencatan:

Pameran ini boleh dianggapkan berfungsi sebagai sebuah undangan bagi melihat realiti abstrak mereka secara represntasional. Kita akan dapati bagaimana pengalaman mereka mencatan sedang/dan berterusan mengalami perubahan di sebabkan oleh keadaan mental mereka yang saban hari berubah akibat penglihatan. Kelainan yang di tawarkannya adalah kepada cara bagaimana imajan-imajan familiar di susun atur dalam sebuah perletakan, berkemungkinan banyak berpandukan dari pengalaman serta perlakuan oleh pergerakan avant-garde, bagi mewujudkan pengalaman baru berfigura.Pengalaman itu memberi makna dan sekali gus menidakkan tanggapan catan figura, figura realis, sebagai ‘outdated’ berbanding catan abstrak.

Dalam catatan Badrolhisham, beliau menjelaskan mengenai beberapa kejadian yang berlaku dalam sejarah seni bagaimana pelbagai persepsi tentang figura telah memperlihatkan cara bagaimana figura harus berfungsi melangkau ketetapan persepsi daripada sebuah paparan kebolehan menyalin semula tubuh manusia.

Menurutnya, Gustave Courbet dan Edouard Manet melalui karya figura realisme mereka membawa aspek-aspek kehidupan masyarakat kontemporari termasuk penyanyi dan peminta sedekah amat berlainan dengan apa yang pernah dilakukan sebelum itu oleh Jacques-Louis David melalui Jean Augustus-Dominique Ingres kepada Eugene Delacroix yang banyak mengagungkan individu aristokarat berpakaian. Paul Gauguin dan Paul Cezanne mengambil tempat mereka dari Manet lebih mementingkan ekspresi diri mencatan tubuh manusia secara inovatif dengan warna-warna yang mengambarkan mood atau perasaan emosi yang didapati dari subjeknya.

Gaya yang di lakukan oleh Cezanne dirujuk berterusan hinggalah ke Pablo Picasso yang terkenal dengan aliran Kubisme telah menjadi sumber kepada aliran selepas itu. Egon Schiele boleh kita anggap pencatan figura terbaik abad lepas dengan memperlihatkan bagaimana manusia digambarkan bersemangatkan binatang jauh daripada moral kemanusiaannya menegaskan kebebasan mutlak dari gambaran tubuh badan manusia yang hodoh dan ‘distorted’. Di abad ini di susuli oleh Philip Pearlstein, Lucien Freud, Eric Fishl dan Jenny Saville.

Secara umum figura dikategorikan sebagai seni represntasional. Kebiasaannya melukis figura merupakan metode klasikal di dalam setiap kurikulum seni di mana-mana sekolah seni di dunia.

Kebanyakan pakar seni berpendapat melukis figura manusia merupakan sebuah latihan yang paling autentik untuk mengambarkan rupa tiga dimensi di mana peta topo badan manusia menjelaskan perbagai permasalahan yang terdapat pada objek lain seperti kadar banding, tona dan sebagainya. Tidak keterlaluan di katakan di sini kebanyakan seniman terkemuka dunia telah mendapat didikan secara formal di sekolah-sekolah seni dan turut harus melewati latihan membuat catan figura.

Justeru, Badrolhisham merujuk artis-artis ini seperti seperti Amron Omar dan sering merujuknya dalam memperlihatkan kebenaran keupayaan kesenimanan mereka. Amron telah mencatan figura dalam genre realisme bertajuk Self Portrait (1982) yang memperlihatkan potret diri yang sedang duduk di atas kerusi buai rotan seolah sedang bersedia menghadapi sesuatu, di olah seperti kita melihat fotografi. Selain Amron, karya-karya Ahmad Zaki Anwar juga boleh di jadikan contoh bagaimana fotografi menjadi rujukannya seperti yang telah banyak di lakukan oleh seniman pada tahun-tahun 1970an seperti Chuck Close, Ralph Goings atau pengarca Duane Hanson yang berpaksikan kepada genre Fotorealisme. Dalam genre ini seniman membuat catan daripada gambar foto kerana segala informasi visual di kumpul melaluinya mencabar fotografi dengan mengasah kebolehan berteknikal agar nilainya melewati fotografi.

Dengan menggunakan fotografi juga, seniman Dikalajingga membina ruang catannya dengan membuat pemanipulasian imajan-imajan dari fotografi-fotografi yang difikirkan sesuai bagi membina gambaran minda. Mereka berkarya dan karya mereka boleh di anggap sebagai bukti – keatas gambaran mental bahawa imajannya tidak menipu siapakah mereka. lihatlah pada karya Zulkifli berjudul DESTRUCTIVE BEHAVIOUR’ - After Ahmad Zaki di mana seorang budak (?) sedang menyakat seekor lembu jelas memperlihatkan elemen ‘lawak’ dan ‘kenakalan’ pada sifat manusia dalam suasana tidak realistik yang tidak mementingkan persoalan-persoalan kedudukan objek dalam ruang dan perspektif.

Setakat ini Dikala Jingga telah berjaya mengadakan dua pameran kumpulan setakat ini selain beberapa pameran jemputan individu. Pendek kata, seniman Dikala Jingga akan sering berpameran. Namun, kekerapan berpameran ini belum boleh di jadikan bukti bahawa mereka minat melakukan amalan mencatan figura. Dengan hal yang demikian, mereka juga boleh di katakan berkemungkinan mencatan tidak untuk membuktian status kesenimanan walaupun mereka memilih figura sebagai subjek di kanvas. Mereka mahu berterusan meneroka cara pandang baru dalam membuat catan figura yang baik. Ini yang saya faham dari apa yang dihasratkan mereka untuk melakukan satu ‘pencerahan’ dari keseronokan eksperimen visual dengan figura. Dengan perkataan lain, mereka harus mencipta kelainan kerana setiap yang baru itu ada pengalaman unik di dalamnya. Untuk itu, jika kita tahu bahawa aksi dan reaksi kita adalah akibat interpretasi terhadap sesuatu serta kebenaran aksi kita disebabkan oleh apa yang kita fikirkan, maka tentulah fikiran perlu di beri keutamakan melebihi dari aksi.Cuma setakat ini kita hanya didedahkan sedikit sahaja maklumat berkenaan tujuan dan mengapa mereka berseni sedemikian.

Namun begitu kemungkinan minat mencatan itu diasaskan oleh desakan untuk mendapat pengiktirafan dari rakan seniman lain samaada dalam bentuk pujian (karya di buat liputan) atau wang (karya di beli) menjadi satu keutamaan. Dalam mencapai matlamat itu, pergelutan harus berlaku dan pelbagai kaedah akan di gunakan untuk mencapai pengiktirafan yang di cita-citakan. Lantas, jika ada yang mengatakan bahawa mereka mencatan figura sebagai reaksi subversif terhadap ‘pandangan serong terhadap figura’ sebagai ‘tidak islamik’5, sudah tentu kita patut ketahui kini bahawa bentuk satira yang terhasil berkemungkinan lambang kedegilan mereka setelah merasakan tidak ada jalan lain untuk minat mencatan itu dapat dilakukan dengan cara lain melainkan figura. Dengan figura, mereka cuba membentuk sebuah set situasi atau keadaan bagi mewakili apa yang ada difikiran dan bukan hanya berkenaan figura semata-mata.



‘Dari Kerana Mata’ dipamerkan di No 6, Jalan Aman, off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dari 11 pagi hingga 6 petang, 2 hingga 15 Julai.

Labels: ,

 

 

Wednesday, May 13, 2009

Pameran Solo “Satire in Paint”: Satira Badut Diri Sendiri




Jarang dalam mana-mana pameran lukisan yang ada di negara ini yang bertemakan badut.

Badut sering menjadi satu ikon yang mampu menghiburkan hati, mengubat lara dan ketawa berdekah-dekah. Tetapi peranan badut itu tiada siapa yang tahu. Boleh jadi badut itu melakonkan watak-watak penoton yang berdekah tadi…

Lain pula dalam pameran solo Nurazmal Yusoff aka Ali berjudul Satire in Paint. Lukisan-lukisannya bertemakan badut dirinya. Dia sendiri yang menjadi model lukisan dengan berwatakkan badut.

Ali jarang melukis potret. Nukilan-nukilannya yang terjual dan dipamerkan kebanyakannya berunsurkan abstrak. Lukisan abstraknya mampu menfasirkan pelbagai telahan. Tetapi, hampir kesemua lukisan yang dipamerkan dalam Satire in Paint banyak menampilkan figure manusia dan potret diri sendiri dengan interpretasi badut di dalam satira.

Lukisan-lukisan akrilik bersaiz gergasi (yang terbesar berukuran 183cm x 152 cm) berjudul The Entertainer, The Observer dan Being Cultured memaparkan dirinya yang bertopengkan badut dengan 1001 wajah yang berkemungkinan pelukis sendiri yang tahu isi hati model ketika itu.

Selain akrilik, Satire in Paint juga dihiasi dengan lukisan minyak. Lukisan seperti Wake up Call dan Shoot Me! pula mengkritik hebat sikap manusia yang suka memperjudikan hidup mereka, suka mengambil risiko dan suka berada dalam keadaan yang tidak ketentuan. Patung badut yang dipaparkan dalam Wake Up Call (selain dirinya yang juga badut) menjadi isyarat supaya mereka ini tidak leka dan tidak terpedaya apabila diri hanyut terlalu jauh.

Sesungguhnya Satire in Paint memberi warna kelainan dalam industri seni lukisan yang terkongkong dengan lukisan-lukisan pemandangan di galeri-galeri mega di ibukota.

Ali, 31 yang berkelulusan seni halus di universiti tempatan pernah terlibat dalam banyak pameran berkumpulan dan Satire in Paint ialah pameran solo beliau. Selain seni lukisan, Ali juga berkecimpung dalam seni suara dan penulisan.

Satire in paint dipamerkan di Pace Gallery di 64, Jalan Kemajuan, Petaling Jaya dari 6-23 Mei 2009.

Labels: ,

 

 

Monday, May 04, 2009

SATIRE IN PAINT

Labels:

 

 

Tuesday, May 27, 2008

BUKAK MATA: Pameran Mencelikkan Minda




Sekali lintas, pameran ini memberi gimik untuk orang ramai bertanya-tanya mengenai konsep dan jeniis hasil karya yang dipamerkan tetapi ia sebenarnyamemberi kesedaran kepada kebebasan berkarya artis-artis.

Pameran yang diadakan bermula 27 April lepas dan akan berakhir 27 Mei ini, ia memberi tahu kewujudan satu ruang baru yang sedia untuk di ‘Pakai’ dan diberi perhatian oleh pihak yang berkenaan dalam proses pen’demokrasi’an dan Pencerahan seni dan seniman, (khususnya seni tampak).

Menurut kurator Bukak Mata, Zulkiflee Zanul Abidin semasa hari pembukaannya, ‘Bukak Mata’ adalah perkhabaran tentang gerak para seniman secara independent dan survival (pelukis) selama ini, tidak harus lagi dipandang sepi.

“Ia juga menuntut agar para seniman masa kini tidak hanya sekadar mencari ilham untuk menghiasi dan ‘mencantikkan’ ruang pameran dan dinding kediaman, tetapi mengangkat fungsi karya dan idea mereka ke satu tahap yang lebih dihormati,” katanya.

“Seniman abad ini harus lebih berani melontarkan pandangan dan idea ‘sezaman’nya dalam karya mereka, di ketika suasana yang dilihat lebih terbuka kini. Dalam pada itu, semangat dan kekuatan survival seniman harus dikekalkan bagi memastikan Perubahan ke arah yang lebih baik menjadi kenyataan,” tambahnya lagi.

Pameran yang diadakan di Studio Dikala Jingga di No 40B Jalan Kota Raja, 27/M, Hicom Town Centre, Shah Alam, Selangor telah menarik perhatian exco pelancongan Negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Menurut Elizabeth Wong, beliau melihat pameran ini dapat menggalakkan pelancong dalam dan luar untuk datang dan menghargai lawatan mereka ke Selangor.

Ruang Kala

Majlis pembukaan Bukak Mata juga mengambil kesempatan memperkenalkan Ruang Kala sebagai ruang alternatif ‘baru’ untuk semua teman Seniman dan Karyawan untuk berekspresi; selain ruang yang sudah sedia ada. Ruang Dikaa akan membuka ruang dan peluang yang baik untuk semua pihak dalam memperkembangkanhasil karya mereka, baik dari segi muzik, persembahan filem independen dan forum muzik.

Dalam ucapan beliau, Elizabeth berkata, Studio seperti Ruang Kala akan menjadi pesaing kepada aktiviti-aktiviti seni yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dan memberi kepelbagaian kepada industry iseni kerana sesungguhnya kumpulan-kumpulan indepen seperti ini sememangnya mempunyai peminat dan pengikut mereka sendiri.

Pada hari pembukaan itu, orang ramai dihidangkan dengan persembahan muzik dari kumpula Azska dan persembahan teater ringkas dari Pepaktaklumat.

Orang ramai boleh menghadiri dan membeli hasil-hasil karya daripada artis professional dan amatur sebanyak 52 hasil karya tampak bermula dari 10 pagi hingga lewat malam setiap hari.

Lukisan Pilihan Blog Ini


Labels: , ,

 

 

Thursday, December 27, 2007

‘ BEHIND THE WALL ‘...Pelancaran 27 Disember, 3pm


Tajuk Pameran : ‘ BEHIND THE WALL ‘
Tempat : Galeri Innovasi Dan RekaCipta , Pusat Seni , Universiti Sains Malaysia
( USM ) Pulau Pinang.
Tarikh : 15 Disember 2007 hingga 15 Januari 2008

Pameran Senilukis Artis STUDIO DI KALA JINGGA

Artis yang menyertai pameran:

Studio Dikala Jingga

1) Nurazmal @ Ali Md Yusoff, 29 tahun, pelukis dan bekerja sendiri,graduan UiTM



2) Zulkiflee Zainul Abidin, 29 tahun, pelukis dan bekerja sendiri,graduan UiTM

3) Haris Ahmad Hamsani, 31tahun , pelukis & pensyarah lukisan,graduan UiTM


4) Samsuddin Lappo, 30 tahun, pelukis & mengajar seni di Sekolah Menengah Tawau, Sabah, graduan UiTM

Artis Jemputan Studio Dikala Jingga

5) Shahrul Anuar Shaari, 30 tahun, pelukis & pensyarah seni di Fakulti Seni, USM, graduan UiTM

6) Mohd Khizal Mohd Saat, 30 tahun, pelukis & pensyarah seni di Fakulti Seni,USM, graduan UiTM

7) Nurhayati Md Yusoff, 33 tahun, pelukis dan bekerja sendiri, graduan Universiti Nebraska Lincon, U.S.A

8) Nizam Abdullah, 26 tahun, pengarca & pensyarah di Universiti Lim Kok Wing, graduan Universiti Kolej Lim Kok Wing

Latarbelakang Studio Dikala Jingga

Studio Dikala Jinggga ditubuhkan pada tahun 2000 oleh enam anak muda yang terdiri dari bekas graduan Sarjana Muda Seni Halus Uitm Shah Alam, yang membuat keputusan untuk menjadi artis dan memiliki studio seni sendiri.

Selain mahu berjaya dalam bidang ini, mereka percaya bergerak secara berkumpulan adalah lebih baik. Mereka aktif menghasilkan karya seni dalam pelbagai bentuk dan gaya antaranya catan, arca, installasi dan sebagainya.



Sebahagian daripada mereka tidak hanya aktif dalam senihalus tetapi juga dalam cabang seni yang lain seperti muzik,teater,puisi, persembahan seni dan juga aktiviti intelektual seperti forum dan diskusi.

Mereka juga begitu berminat dalam penyertaan dan penganjuran bengkel seni dan juga sedia mengadakan projek seni koloberasi bersama kumpulan atau komuniti seni dan juga mengadakan pameran berkumpulan.

Latarbelakang Pameran ’ Behind The Wall ’


Makna / Maksud ‘ Behind The Wall “ – Di Sebalik Dinding / Dibelakang Tembok

– merepresentasi sesuatu suara, bunyi, kejadian, yang berlaku disebalik dinding.
- DINDING secara simboliknya mewakili penghadang, pemisah , perantara dan juga batasan antara ruang bisu imajinasi dan kebisingan dunia nyata dan sebaliknya.

Fokus Pameran
- Secara keseluruhannya, pameran ini mahu membawa khalayak kepada ruang imajinasi kecil yang mewakili pemikiran dan amatan setiap pelukis tentang kenyataan kehidupan dalam masyarakat (Malaysia khususnya), baik dari sudut sosial, politik, keagamaan, kebudayaan dan sosio-ekonomi.

- Sebagai artis,kepekaan dan rasa tanggungjawab terhadap permasalahan dalam pembentukan masyarakat sezaman adalah menjadi keutamaan dalam penghasilan karya. Ia menjadi sesuatu yang perlu di beri tumpuan oleh artis (Karyawan) dalam menyedarkan dan mendidik selain dapat menbangun jati diri
Matlamat Pameran

- Mahu mewujudkan kesedaran tentang fungsi karya seni (lukisan) itu tidak seharusnya menjadi penghias dinding semata-mata; atau dengan bahasa lain ia tidak hanya mempersonakan mata, meelengkapi susun atur ruang rumah atau pejabat tetapi juga mempersonakan pemikiran...masyarakat umumnya lebih gemar menikmati rupa bentuk permukaan sesebuah karya dan kurang merenungi ’suara’ sebenar disebaliknya....
-
Aprisiasi Pameran

- Dalam pameran ini , pelukis cuba menampilkan gaya dan persembahan mengikut kefahaman masing-masing dalam karya mereka. Setiap pelukis membawa persoalan yang bereza-beza.

- Pelukis Nurazmal Md Yusoff cuba membawa persoalan Konflik dalam karya abstrak beliau ”Conflict Siries”, dilema dalam membuat pilihan yang umumnya dialami setiap manusia.

- Manakala Zulkiflee Zainul Abidin cuba melihat naluri manusia yang sentiasa mahu berasa ’bernasib baik’ dalam kehidupan dalam siri ” ...and Good Luck” beliau. Bagaimana manusia memperjudikan hidup dengan mencipta harapan-harapan baru.

- Bagi pelukis Samsuddin Lappo, mengenengahkan rasa bangga dengan asal-usul bangsanya; Bugis. yang memang terkenal dengan keberanian dan kebijaksanaan menguasai lautan. Beliau percaya setiap manusia akhirnya harus bersedia untuk kembali kepada akar bangsanya sendiri.

- Menjadikan ’Batu’ sebagai subjek utama siri catan ”Cheritera: SAKSI ”, pelukis Haris Ahmad Hamsani berpandangan bahawa batu adalah saksi nyata setiap peradaban manusia sejak dulu hingga kini selain unsur bumi yang lain.

- Catan ” Joy Ride” yang dihasilkan oleh satu-satunya pelukis wanita dalam pameran ini, Nurhayati Md Yusoff, memaparkan imej penarik beca dalam gaya Pointelisme seakan-akan digital pixel , seperti mewakili suara golongan marhain yang semakin dipinggirkan oleh kemajuan teknologi.

- Satu-satunya pengarca dalam pameran ini, Saudara Nizam Abdullah menzahirkan subjek yang begitu popular dalam masyarakat Malaysia iaitu ’Ayam’ dalam bentuk arca. Arca bertajuk ” Rebut Cacing” siri ” Sabong” dilihat lebih dekat dengan isu perebutan kuasa, ketamakan, survival dan persoalan intergrasi yang sering diperdebatkan masa kini.

- Siri ”Hujan” diinspirasi dari fenomena alam yang memberi pelbagai interpritasi dalam kehidupan sama ada baik ataupun buruk. Mohd Kizal Mohd Saad menjelmakan hujan dalam catannya dalam ekspresinya sendiri

- Shahrul Anuar Saari membahaskan isu asas/struktur dalam kehidupan lewat karya catan ”Going out from the Box” dizahirkan dalam komposisi garisan dan warna yang menarik


Sememangnya, pameran ini tidak lepas dari membahaskan isu kebebasan, namun persoalannya apakah ’suara-suara’ dalam karya-karya ini boleh melepasi ’dinding-dinding’ yang terus-terusan dibina yang sering menjadi batasan dan halangan untuk didengari oleh ’penghuni’ dibelakangnya?. Dan begitu juga sebaliknya..

Harus di ingat, kebebasan bukan percuma. Ada nilai yang yang harus dibayar. Ada jiwa yang menjadi korban. ’Behind The Wall’ adalah gabungan rasa dan jiwa 8 anak muda yang mahu menghargai ruang dan peluang yang terbatas. Mereka sangat yakin dan percaya untuk terus berbicara lewat karya seni, seterusnya karya terus dihargai dan diletakkan ditempat yang sewajarnya.

Labels: ,

 

 

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com