Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Monday, December 28, 2009
Penghargaan Buat Seniman Muda
Untuk lihat siarannya, sila klik kepada pautan ini.
Seringkali galeri-galeri ternama sering memanggil artis-artis yang bernama untuk menghiasi galeri mereka. Dengan adanya nama-nama besar sebegini, harga-harganya juga sudah tentu mahal.
Artis-artis muda pula tidak diberikan banyak peluang untuk mempamerkan hasil-hasil mereka. Alasan yang diterima oleh pengusaha-pengusaha galeri - "mereka ni siapa?"
Jadi, bagaimanakah artis-artis muda ini dapat bertapak sekiranya tidak diberi peluang langsung? Adakah penggemar-penggemar lukisan hanya mahu mengumpul lukisan artis-artis bernama sahaja?
Nilai sebuah lukisan itu amat subjektif. Seseorang itu mungkin tidak dapat menghargai sesebuah lukisan itu tetapi dianggap sesuatu yang amat bernilai bagi orang yang lain. Terpulang kepada sesebuah galeri itu meletakkan harga kepada sesebuah hasil seni itu.
Dalam aspek mualmalat, sesebuah kontrak itu termaktub apabila ada akad; maknanya kedua pihak, penjual dan pembeli setuju dengan harga yang diletakkan. Sekiranya tidak, kontrak tidak akan termaktub dan urusan jual-beli tidak berlaku.
Dari segi ekonomi pula, sesebuah permintaan (demand) itu wujud sekiranya ada tawaran (supply). Bagaimana pembeli mahu mendapatkan sesebuah lukisan atau sekurang-kurangnya diberi peluang untuk menilai sekiranya pengusaha galeri itu sendiri yang tidak memberi peluang?
Pemasalahan sebeginilah menjadi cabaran kepada pemilik RA Fine Arts Gallery, Raja Ahmad Aminullah untuk mengumpul seramai 42 pelukis muda yang rata-ratanya tidak ada nama di dalam industri seni tampak dan mengumpulkannya dalam satu pameran; "Seni Muda / Young Art".
Pameran yang dirasmikan oleh peguam hak asasi manusia muda, Amer Hamzah Arshad itu akan berlangsung di galeri tersebut di Jalan Tun Razak bermula 24 Disember 2009 sehingga 5 Januari 2010.
Amer yang menyambut baik usaha yang dibuat RA Fine Arts juga merupakan pertama kali merasmikan sesebuah pameran lukisan sungguhpun tidak menyangkal sebagai salah seorang pengumpul pelbagai hasil seni termasuk lukisan.
Di dalam ucapannya, Amer menegaskan mengenai lukisan sebagai salah satu platform untuk berekspressi dan merupakan hak asasi setiap insan.
Seni sebagai cabang Hak Asasi
Seni ialah sebahagian daripada hak asasi manusia tidak mengira latarbelakang; kepercayaan, bangsa, keturunan dan budaya.
Menurut Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, setiap daripada kita bebas untuk berfikir mengenai apa yang kita fikirkan patut untuk diketengahkan. Tidak ada sesiapa boleh menghalangnya. Setiap daripada kita juga bebas untuk berkongsi ide-ide tersebut dengan yang lain sungguhpun mereka itu daripada Negara asing (artikel 19).
Di Malaysia, kebebasan untuk bersuara dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 10 (1) (a) yang mana menjadi kitab utama alam perundangan Negara. Namun, hak tersebut bukannya hak mutlak di mana ia diperuntukkan seperti yang dinyatakan di dalam Artikel 10(2) dan (4) dalam Perlembagaan yang sama.
Di Negara ini, sungguhpun Perlembagaan memberi kebebasan kepada setiap rakyatnya untuk bersuara, tetapi terdapat beberapa akta yang bercanggah dengan kebebasan tersebut seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hasutan 1948, Akta Penerbitan dan Percetakan 1984 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.
Sungguhpun hak untuk kebebasan bersuara kekal sebagai suatu yang imperatif, ia menjadi suatu yang sama penting yang perlu diambilkira terutama sekali dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya.
Lukisan dan arca adalah sebahagian daripada cabang seni yang secara nalurinya juga memberi lapangan kepada artis untuk meluahkan isi hati mereka.
Seni melingkungi pemikiran, tubuh, nyawa, kapasiti intelek, emosi gerak hati; yang mana keseluruhannya penting sebelum sesebuah hasil kerja disiapkan – pemikiran menjadi faktor kritikal yang mempengaruhi potensi.
Namun kita berada di dalam keadaan kemungkiran mental di mana ia mengganggu artis dalam menggunakan pemikiran, tubuh dan nyawa lantas gagal untuk untuk menterjemahkannya melalui kapasiti yang ada.
Selain itu, sektor perbadanan di mana wang dan ekonomi menjadi keutamaan, atau kerajaan yang mengongkong interpretasi budaya. Terdapat juga pihak ketiga; galeri, pengurus, penerbit, broker atau promoter yang bertindak bagi pihak artis, agen penjual bahan-bahan seni serta menyediakan tempat untuk "bersuara".
Selain lukisan, "Seni Muda / Young Art" juga mempamerkan skulptur dan instalasi artis-artis muda. Di antaranya ialah Lisa Suriani, Abdul Hanif, Anisa Abdullah, Mia Farizza dan Noriza Arzain.
Kesemua lukisan-lukisan yang dipamerkan dijual pada harga tidak melebihi RM1000 tidak kira saiz lukisan. Itu yang menjadikan setiap daripada kita mampu untuk memiliki lukisan dan menjadikan seni itu bukan sebuah aset eksklusif.
Labels: ra fine arts, Raja Ahmad Aminullah
0 Comments:
Post a Comment
<< Home