Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Tuesday, December 15, 2009

Mengapa Tidak Bina Homestay di Bukit Koman?

Kita sering memberi salah tanggapan mengenai kepentingan alam sekitar dan pembangunan Negara di dalam sektor pelancongan.

Bukit Koman ialah sebuah kawasan perlombongan yang terletak di bawah kawasan Raub yang mana kawasan ini merupakan kawasan kepada Menteri Pelancongan kita. Aktiviti perlombongan di kawasan itu menggunakan cyanide. Sesungguhnya, cyanide ialah salah satu kaedah perlombongan yang berkesan tetapi terdapat tatacara pelaksanaannya yang tidak digunapakai oleh kita di sini. Di Bukit Koman, cyanide digunakan di kawasan penduduk yang mana rumah terdekat dengan kawasan kolam perlombongan ialah lebih kurang 20 kaki sahaja.

Operasi perlombongan cyanide dimulakan di Bukit Koman sejak Februari 2009. Pada waktu yang sama, penduduk Kampung Bukit Koman sudah dapat membau gas dari cyanide ini dan perkara ini berlanjutan sehingga sekarang. Justeru, penduduk di kawasan berkenaan sudah mula mengalami sakit-sakit seperti kesukaran bernafas, kegatalan dari mata dan kerongkong, dan gatal-gatal badan.

Menurut sumber yang saya perolehi, perkara ini berpunca dari pencemaran sumber air bawah tanah yang datangnya dari perlombongan emas di Bukit Koman. Hasil daripada pencemaran ini, penduduk sekitar akan mengalami masalah seperti peracunan plumbum, arsenik, cadmium dan raksa.

Penduduk Bukit Koman jatuh sakit kerana mendakwa menghidu asap yang dikeluarkan oleh syarikat perlombongan emas sejak Mac 2009. Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang melaporkan tiada kes yang dilaporkan kepada JAS mengenai penduduk Kg Bukit Koman.

Menurut jawapan lisan Parlimen Bakri 15 Jun 2009 oleh Menteri SUmber Asli dan Alam Sekitar di Dewan Rakyat, siasatan penguatkuasaan yang dijalankan JAS Cawangan Temerloh pada 24 dan 27 Februari 2009 di syarkiat perlombongan tersebut mendapati tiada bau asap yang dikesan,

JAS juga telah menjalankan lawatan pemeriksaan susulan seterusnya yang telah dijalankan pada 4 Mac dan 8 April 2009 mendapati tiada bau yang tidak menyenangkan dikesan dari syarikat perlombongan tersebut.

Pada 8 April 2009, JAS Cawangan Temerloh telah mendapati persampelan air Sungai Koman di bahagian hulu dan hilir projek ini dan keputusan analisa kimia mendapati mematuhi piawai.

Carbon-in-Leach

Aktiviti perlombongan itu juga didapati menggunakan Carbon-in-Leach dan penggunaan tersebut digunakan dalam tapak kilang di mana jaraknya kurang dari 1 km dari kawasan kediaman. Perkara ini amat membimbangkan. Penggunaan bahan kimia ini yang digunakan oleh Negara-negara lain menggunakan cara ini tetapi dalam jarak yang jauh dan tidak berdekatan dengan kawasan penempatan. JAS pula tetap mengatakan bahawa teknologi Carbon-in-Leach tidak menjejaskan alam sekitar dan JAS sendiri mendakwa telah berdasarkan laporan EIA (Laporan Penilaian Kesan Kepada ALam Sekeliling) dan merujuk kepada pihak-pihak berkuasa luar Negara yang lebih berpengalaman serta kaedah-kaedah pelupusan sisa-sisa lombong.

Apabila diteliti laporan EIA yang dirujuk pihak JAS, rupa-rupanya EIA yang dimaksudkan ialah laporan Syarikat Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd yang dikeluarkan pada 10 tahun yang lampau (13 Januari 1997).

Penduduk di kawasan berkenaan juga telah mendesak agar JAS mengemukakan DEIA (EIA Terperinci) namun, alasan JAS mengatakan bahawa pada kajian EIA dijalankan, DEIA tidak diperlukan.



Mahkamah

Atas keperihatinan dan takut akan tahap kesihatan mereka tergugat dan membawa maut, penduduk Kampung Bukit Koman telah bersependapat untuk memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan penghakiman terhadap keputusan Ketua Pengarah Alam Sekitar yang meluluskan laporan Penilaian Awal Kesan Alam Sekitar (PEIA) bertarikh 13 Januari 1997, bagi cadangan untuk melombong emas di lombong emas Bukit Koman.

Malang bagi penduduk, Hakim Mahkamah Tinggi, Lau Bee Lan telah menolak permohonan tersebut.

Peguam yang mewakili penduduk berkenaan, Jessica Ram Binwani memberitahu, Hakim Bee Lan membuat keputusan itu dalam kamar selepas memutuskan penduduk berkenaan lambat memfailkan permohonan kebenaran itu yang sepatutnya difailkan dalam tempoh 40 hari pengeluaran laporan PEIA.

Beliau berkata, hakim juga menolak dengan kos semua relif yang dipohon penduduk termasuk perintah untuk menghentikan projek dan perintah certiorari untuk membatalkan kelulusan laporan itu.

Lebih 50 penduduk Kampung Bukit Koman hadir di mahkamah dan seorang daripada mereka memberitahu projek itu terletak hanya tiga meter dari rumah mereka.

Memandangkan wakil rakyat Raub ialah Menteri Pelancongan, dan hujah-hujah dari Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar tetap mengatakan bahawa kaedah perlombongan yang digunapakai sekarang tidak membahayakan penduduk sekitar, apakata saya mencadangkan agar wakil rakyat Raub itu untuk menggunakan kebijakan beliau untuk menjadikan Bukit Koman sebagai sebuah pusat homestay di Pahang. Dengan portfolio sebagai Menteri Pelancongan, sudah tentu birokrasi mengenai pembinaan homestay di Bukit Koman tidak menjadi masalah yang rumit, berbanding dengan wakil rakyat yang tidak mempunyai portfolio sedemikian untuk memohon atau member cadangan/ Sekiranya cyanide ini tidak membahayakan, sudah tentu homestay di Bukit Koman dapat menarik pelancong tempatan dan asing serta meningkatkan hasil pendapatan industri pelancongan.

Edisi sunat di sini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com