Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Monday, February 19, 2007

PDRM Atur Temubual Utusan dan Bekas Tahanan ISA




Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyifatkan temubual ekslusif akhbar perdana Utusan Malaysia bersama bekas tahanan ISA, Syed Ali bin Syed Abdullah bertajuk ‘Saya sertai JI kerana dunia Islam tidak menentu’ berupa seolah-olah satu pengakuan itu diatur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang juga bertanggungjawab ke atas penahanan seseorang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh GMI hari ini, mereka merasa sangsi dan kecewa dengan motif temubual tersebut.

Latarbelakang Syed Ali

Syed Ali bin Syed Abdullah sebenarnya masih belum bebas sepenuhnya daripada ISA.

Syed Ali ditahan di bawah ISA pada 17 April 2002 atas tuduhan sebagai ahli Kumpulan Militan Malaysia (KMM) tetapi 21 hari selepas itu, tuduhan tersebut diubah kepada ahli Jemaah Islamiyyah (JI).

Beliau dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting (KEMTA) pada 17 Oktober 2006 tetapi terpaksa melalui peraturan sekatan kawasan ; satu peraturan yang biasa dikenakan terhadap bekas tahanan ISA untuk memastikan setiap pergerakan beliau terus diawasi oleh polis.

Beliau tidak boleh keluar kawasan yang ditetapkan kecuali dengan kebenaran polis. Beliau juga perlu melaporkan diri ke Balai Polis berdekatan kediamannya setiap minggu. Jika beliau melanggar sebarang peraturan dan pelbagai lagi syarat lain, beliau boleh ditahan semula di bawah Seksyen 8 ISA dan dihumbankan ke KEMTA.

Pengakuan Tidak Jujur

GMI berpendapat bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Syed Hamid menerusi temubualnya tidak terjamin benar .

Perkara seumpama ini pernah dirakan dalam dua kes iaitu Chng Suan Tze v. Minister of Home Affairs [1989] 1 MLJ 69 dan Teo Soh Lung v. Minister of Home Affairs [1990] 2 MLJ 129 di mana kedua-dua tahanan ISA berkenaan menfailkan aduan bahawa mereka telah membuat pengakuan melalui wawancara televisyen dalam keadaan tertekan dan pemaksaan.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar kiri) berkata, bekas tahanan, terutamanya yang berada dalam sekatan kawasan, sebenarnya masih lagi dalam keadaan tertekan kesan dari penahanan yang lama di bawah ISA dan ancaman oleh SB samada kepada beliau atau kepada keluarga.

Menerusi temubual yang dipaparkan dalam media perdana, Syed Ibrahim merasakan tindakan tersebut merupakan antara psikologi dan taktik licik pegawai cawangan khas (SB) untuk mencorakkan pandangan umum tentang kononnya ISAlah penyelamat keamanan negara dan semua tahanan telah pulih dan insaf.

“Bukankah penahanan tanpa bicara selama empat tahun itu satu penganiayaan besar yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia ke atas tahanan ISA dan penahanan itu dikuatkuasakan oleh anggota SB yang menjadi alat utama supaya tahanan ISA menjadi manusia yang hanya tunduk dan patuh kepada SB yang sangat berkuasa dan bermaharajalela?,” jelas Syed Ibrahim dalam kenyataannya.

Sebelum ini, terdapat banyak pengakuan dan afidavit oleh bekas tahanan ISA yang terdahulu yang membuktikan sebaliknya. Mereka diseksa, didera dan ditekan secara fizikal dan mental.

Pengakuan-pengakuan tersebut sudah pun dibawa ke pengetahuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Suruhanjaya Penambahbaikkan Perjalanan dan Pengurusan PDRM dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Malah terdapat kes-kes yang telah dibawa ke mahkamah untuk tuntutan saman dan ganti rugi penganiayaan.

Afidavit Bekas Tahanan

Menurut Syed Ibrahim , GMI juga sebelum ini pernah mendedahkan kesamaan di antaran kem tahanan Kamunting yang menempatkan tahanan-tahanan ISA dan Kem Guantanamo serta penyeksaan ketika 60 hari pertama (di bawah Seksyen 73 ISA).

Antaranya ialah tahanan dibogelkan dan diperlakukan seperti binatang, tahanan diberi pilihan minum air kencing atau makan tahi kucing, tahanan dipukul, disepak dan diliwat menggunakan alat khas, tahanan ditumbuk separuh mati (kes Anwar Ibrahim) serta tahanan disoal-siasat tanpa henti selama 72 jam sehingga pengsan.

Syed Ibrahim juga menyebut mengenai kesukaran GMI sepanjang usahanya menyelaraskan bantuan kepada keluarga mangsa ISA.

Menurut beliau, tahanan akan dikeluarkan notis berhenti kerja, syarikat menjadi muflis dan pelbagai masalah lagi.

“Lebih menyukarkan apabila orang lain yang mahu membantu keluarga juga diugut dan ditakut-takutkan oleh SB, yang mendakwa akan menangkap sesiapa saja yang membantu pengganas, imej yang diberikan pada tahanan,” jelas Syed Ibrahim.

Selain itu, Syed Ibrahim juga berkata bahawa SB juga turut mengugut akan menangkap isteri tahanan jika mereka meminta tolong daripada NGO.

“Anak-anak mengalami tekanan jiwa dan perasaan sehingga ada yang terpaksa mendapatkan rawatan sakit jiwa di hospital kerajaan. Adakah ini yang dimaksudkan tiadanya penganiayaan? Adakah ini yang dimaksudkan PDRM membantu kehidupan tahanan dan keluarga?”


Tuntutan

Justeru, GMI menuntut agar akhbar bersikap jujur dan benar dengan membuat laporan menyeluruh dengan menemubual bekas tahanan ISA yang lain dan meminta agar pihak polis menghentikan serta-merta tindakan menekan, mengancam dan mengambil kesempatan daripada kelemahan keadaan bekas tahanan dan keluarga.

GMI juga menuntut agar Kerajaan mengadakan tribunal tentang penganiayaan dalam tahanan di bawah ISA dan menjemput semua bekas-bekas tahanan ISA untuk memberikan keterangan.

Bercakap menenai perintah sekatan kawasan, Syed Ibrahim berkata GMI berkata, kebebasan tidak mempunyai sebarang penertian sekiranya masih berterusan diawasi, dipantau dan diancam secara langsung atau tidak langsung.

1 Comments:

At 7:49 am, Anonymous Anonymous said...

kesiannye org MALAYSIA

 

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com