Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Tuesday, January 30, 2007

Pemimpin harus Belajar Dari Rakyat




Ibu Wardah Hafiz, Pemenang Anugerah Hak Asasi Manusia Gwangju 2005, menegaskan para pemimpin dalam sebuah Negara demokrasi tidak perlu mendabik dada kononnya merekalah pahlawan yang menentukan nasib rakyat tetapi mereka harus patuh kepada keperluan rakyat yang lebih mengerti kehidupan yang mereka pilih.

Exco Angkatan Muda Malaysia, Faisal Mustaffa yang dijemput untuk membentangkan kertas kerja di Forum Hak Asasi Manusia Kedua di Gwangju, Korea Selatan pada Aidil Fitri yang lalu. Berkesempatan untuk menemui Warda Hafiz yang telah berjaya membuka mata kerajaan Indonesia mengenai masalah kemiskinan bandar yang jauh lebih buruk dari keadaan di luar bandar.

Ikuti temuramah Faisal Mustaffa bersama beliau.




Q; Bila Ibu mula berkecimpung dalam aktiviti aktiviti hak asasi manusia?
Kalau dilihat jauh ke belakang, sewaktu saya masih kecil, saya tinggal di satu desa yang kebetulan orang tua saya berada dan disegani penduduk di sekitar.

Penduduk kampung saya itu mengusahakan tanah petanian.

Di kampung saya juga terdapat orang-orang miskin yang tidak memiliki tanah pertanian sendiri tetapi bekerja di sawah bapa saya.

Saya juga berasal dari keluarga yang berpegang dengan ajaran Islam yang sangat kuat. Pada waktu kecil, saya sering diajar bahawa perkara yang membezakan orang Islam dan bukan Islam itu adalah solat.

Dari kecil lagi saya melihat orang miskin bekerja di sawah dengan berpakaian kotor serta buruk dan tidak merasakan mereka melakukan sebarang kesalahan.

Maka, saya bertanya dengan ibu saya kenapa Tuhan mencipatakan manusia hidup sebegitu susah dan apabila meninggal dunia dan dimasukkan ke neraka hanya kerana tidak solat?

Saya merasa ada satu realiti yang bercanggah dengn ajaran yang diberikan.

Kerana pada waktu kecil, kami diajar bahawa seseorang manusia itu akan masuk neraka sekiranya tidak solat.

Saya melihat, orang miskin tidak berkesempatan untuk solat kerana terpaksa bekerja dan sengsara di dunia dan akhirnya mereka harus masuk neraka kerana tidak bersolat.

Lalu saya berfikir, adakah Tuhan itu adil?

Dari kecil saya banyak terdedah dengan masalah sosial sebegitu disamping ibubapa saya kebetulan tokoh informal yang terlibat dengan membantu orang-orang miskin.

Masalah pertikaian antara mereka, masalah ekonomi atau anak mereka yang tidak mendapat pekerjaan. Saya terdorong untuk mempedulikan masalah masyarakat.

Pada waktu awal perkuliahan, saya menuntut di jurusan Bahasa Inggeris dan kemudiannya berpindah ke jurusan sosiologi utk peringkat ijazah hanya kerana ingin mempelahari lebih banyak tentang masyarakat.

Saya pernah bekerja sebagai pensyarah pada zaman Suharto tetapi saya tidak menyukainya kerana bekerja sebagai kakitangan kerajaan adalah seperti robot. Lalu, pada tahun 1986, saya berhenti dan bergiat aktif dalam kegiatan NGO – khususnya dalam membawa isu-isu wanita, pemasalahan yang terlibat dengan diskriminasi terhadap perempuan serta diskriminasi gender.

Pada ketika itu, rakyat Indonesia beranggapan bahawa perempuan tidak harus digalakkan untuk belajar tinggi dan tugas seorang isteri hanyalah untuk melayan suami.

Saya melangkah setapak lagi dalam memperjuangkan persoalan urban poverty (kemiskinan bandar) mulai tahun 1993.

Pada ketika itu, Indonesia ekonomi sedang meningkat naik. Di bandar, masalah yang mereka hadapi ialah pengusiran paksa, pemabakaran kampung-kampung tanpa mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Saya bersama rakan-rakan saya berpendapat bahawa kami mesti lakukan sesuatu.


Q: Dengan makna ringkas, hak asasi manusia, bagaimana ibu mendefinisikan dalam perkataan mudah?
Hak yang melekat pada kita sebagai manusia dari sejak lahir dan tidak perlu diengkari.

Hak asasi manusia ialah hak untuk mendapatkan apa yang dikatakan kebebasan berpendapat, berkumpul, berorganisasi, berpersatuan hak untuk mendapat keperluan dasar seperti makanan, kesihatan dan pendudikan

Kalau itu tidak ada, manusia akan menderita dan kehilangan kehidupannya.


Q: Sebagai seorang aktivis, sudah tentu saya memandang tinggi kepada Ibu. Bagaimana anda melihat keadaan hak asasi manusia di peringkat Asia yang lebih luas?
Kesedaran di Asia sudah cukup luas tetapi pelanggarannya juga cukup banyak. Apa yang saya maksudkan ialah hak politik, hak sivil, hak ekonomi, sosial dan budaya dan juga hak mengikut perlembagaan.

Saya beri contoh kes di Indonesia – sekiranya kita seorang warganegara, kita disebut mempunyai tanahair. Tanah ialah untuk kita berpijak dan/tinggal manakala Air ialah hak perlembagaan seorang warganegara yang harus dipenuhi oleh kerajaan.

Manusia seharusnya mempunyai tanah untuk tinggal. Kita mungkin mampu untuk hidup tanpa makanan tetapi akan mati jika tiada air.

Di Indonesia, rakyatnya miskin dan tidak punya tanah manakala air pula dikomersilkan.

Dengan penswastaan air, ia sudah cukup untuk mencabul hak asasi.

Kita boleh membeli air dan tanah sekiranya kita seorang warganegara dan kita tidak boleh membeli air atau tanah sekiranya kita bukan seorang waarganegara.

Saya rasaperkara ini juga berlaku di negara-negara lain yakni neo-liberal dan globalisasi. Akhirnya, ia menjurus kepada satu keadaan yang menderita kepada rakyat yang susah – akibar daripada pelanggaran hak dasar. Ia berlaku dengan sangat meluas terutamanya di negara-negara di selatan Asia. Apa yang penting wang iaitu kepentingan modal.


Q: Itu juga berlaku di Malaysia dan negara-negara lain, Kalau kita sebgai kerajaan, adakah perlu kita menswastakan air?
Itu yg saya katakan tadi; hak dasar, hak perlembagaan, hak ekonomi dan budaya.

Ia mesti menjadi tanggungjawab kerajaan. Oleh itu, hal-hal yang memberi kepentingan kepada manusia seperti pendidikan, udara yang sihat, kesihatan dan air bersih. Saya rasa ia tidak perlu diperdagangkan. Ia harus diberikan dan menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan dasar kerajaan


Q: Mungkin Ibu ada cadangan bagaimana masyarakat Asia dapat bersatu dalam satu kes yang seiring?
Untuk itu, kita perlu ada ’people to people solidarity’. Ia tidak perlu dikhususkan kepada aktivis dan golongan profesional yang mempunyai akses kepada internet tetapi bagaimana perkara ini mempunyai kesedaran yang luas di akar umbi.

Rakyat di seluruh Asia mesti ada juga kerjasama yang konkrit. Misalnya, jika ada sesuati kes yang terjadi di Malaysia, rakyat di Indonesia juga perlu ikut peduli dan berjuang. Media massa juga memainkan peranan media massa yang besar kerana melalui media massa, kesedaran di akar umbi dan jalinkan antara rakyat dapat diperluaskan.

Rakyat juga harus bekerjasama dan bersatu.

Sekiranya berlaku percanggahan pendapat sama ada sesebuah negara ini harus dibiarkan dioptasikan oleh kepentingan modal atau kembalikan peranan kerajaan untuk memberi kepentingan melayani rakyat.

Saya rasa kerajaan perlu dikembalikan kepada rakyat. Sesebuah negara itu wujud kerana ada rakyat. Tidak mungkin kita serahkan kepada kepentingan modal.


Q: Tadi Ibu ada menyebut mengenai pergerakan yang Ibu sertai yang dimulai dengan perjuangkan isu gender. Apakah aktiviti-aktiviti utama yang Ibu jalankan,maksud saya organisasi yg Ibu sedang pimpin?
Saya...pada awalnya menerusi Urban Poverty Construction (UPC). Kami berfikir bahawa Indonesia sangat centralize iaitu berpusat di Jakarta. Kami ingin melakukan kegiatan avokasi high profile dengan heavy media coverage dan memberi pengaruh ke kota-kota lain. Ternyata bila kami bergerak selama lima tahun, masalah yang sama dihadapai oleh orang-orang miskin di kota-kota lain.

Daerah-daerah yang mempunyai rangkaian dibenarkan untuk membuat keputsan sendiri. Kami bergerak di 14 kota utama dari empat pulau terbesar– Jawa, Kalimantan, Sulawesi dan Sumatera.

Fokus yang kami berikan kepada apa yang dimaksudkan dengan kemiskinan bandar ialah hak orang miskin, hak untuk tinggal dan hak untuk mendapat pekerjaan.

Hak tinggal – orang misikin dianggap beban atau sampah dan harus dibuang. Kerana itu pengusiran menjadi masalah.

Hak kerja – minoriti orang miskin ada di ekonomi informal. Ia tidak diakui. Namun, ia bukannya diperakui sebagai sebuah sisitem sebenar terdapat di Indonesia.

Bagi mereka yang bekerja di jalanan, mereka sering diusir. Bagi pendudukan pula, mereka ini tinggal di kawasan yang mereka tidak mempunyai hakmilik sah. Oleh yang demikian, mereka ini menjadi pihak yang bersalah. Mereka juga tidak dapat menyertai sebarang program yang dianjurkan oleh pemerintah walaupn mereka adalah golongan yang paling miskin.


Q: Bagaimana pula dengan gerakan di cawangan-cawangan dan keanggotaannya?


Sebetulnya bukan cawanan tetapi rangkaian. Setiap kota itu mempunyai organisasi masyarakat atau people organization yg meraka anggota dari jaringan atau forum dalam sesebuah organisasi. Jaringannya dipanggil poorlink.

Berapa orang? Setiap kota kami mempunyai aktivisnya yang bekerja di bawah organisasi tertentu.



Q: Sekarang kita lihat aktivis untuk perjuangan hak rakyat tidak mendatangkan pulangan dari segi kewangan. Bagaimana seseorang itu boleh menjadikan aktivisme itu sebagai satu profesion?
Bukan profesion tetapi pendirian hidup iaitu long life commitment\. Mereka sudah mengetahui bahawa kerja yang mereka lakukan bukan untuk mencari wang. Pembayaran gaji mereka tidak berdasarkan pengalaman, jabatan tapi keperluan.

Setiap aktivis di UPC, kami mengira hitung berapa banyak keperluan untuk berbelanja dalam sehari.

Misalnya, saya ko-ordinator. Saya sudah sepakat dengan suami saya bahawa suami mencari nafkah dan saya bergiat dalam aktiviti ini.

Bagi tukang masak pula, beliau mempunyai suami dan dua anak. Di satu sudut lain, Pentadbir komuniti pula masih bujang sungguhpun beliau mempunyai latarbelakang pendidikan yang lebih tinggi. Bagi kami, si tukang masak mesti memperolehi gaji yang lebih.

Tetapi untuk kami, semua jabatan mempunyai lini dan kedudukan yang sama tetapi tanggungjawab mereka berbeza.

Kami berprinsip, pulangan yang diperolehi berdasarkan kepada keutamaan seseorang itu.

Oleh kerana saya berpelajaran dari luar negera, saya terpaksa menyumbangkan lebih banyak.


Q: Kalau kita lihat pergerakan hak asasi, adakah ianya mesti bermula dari satu kes yang menimpa diri baru kesedaran itu mula tumbuh?
Adakah perlu satu keadaan seperti apa yang berlaku di Gwangju sebagai satu kebangkitan rakyat, atau era reformasi Suharto barulah rakyat bergerak?

Memang keadaan seperti itu lebih mudah. Kes seumpama itu menjadi pemangkin. Tetapi, ia tidak seharusnya begitu. Bagi saya faktor pendorong mesti bermula seawal mungkin iaitu di rumah mahupun di sekolah. Misalnya pendidikan di dalam rumah, bagaimana kita perlakukan dalam keluarga? Apakah hak binantang peliharaan atau pun pembantu rumah?
Setiap daripada kita mesti punya kesedaran hak asasi orang lain.

Tsunami menggerakkan seluruh dunia. Tapi kesedaran itu lebih awal, akan menjadikan ianya lebih bermakna.


Q: Dari pengenalan saya tadi, saya sudah memberitahu, ibu Pemenang Anugerah Hak Asasi Manusia Gwangju 2005. Salah satu daripada anugerahnya ialah dari segi kewangan. Bagaimana Ibu memanfaatkannya?

Its a big money! USD 50K atau 500 juta rupiah. Wang itu pada awalnya saya serahkan ke UPC. Lalu teman-teman suya bahawa 100 juta dipulangkan kepada saya. 400 juta ke organisasi. Kami gunakan untuk gerakan.


Q: Anugerah itu satu kejayaan. Apakah kejayaan-kejayaan lain yang Ibu dapat rasai?


Belum terlalu banyak yg saya hasilkan. Di UPC, salah satu sumbangan yang kami anjurkan ialah kesedaran bahawa adanya kemiskinan bandar.

Sebelum itu, Pemerintah Cuma berandaian bahawa kemiskinan hanya bertumpu di luar Bandar. Maka seluruh NGO bergerak di perkampunyan.

Kami berjaya membuka mata peringkat Pusat. Kemiskinan bandar yang krisisnya lebih jauh di kota. Di perkampungan, kita masih mampu untuk bercucuk tanam dan menghidu udara serta air yan bersih.

Di kota pula, kita dapati undara dicemar manakala air yang bersih pula terpaksa dibeli.


Yang kedua, kepercayaan yang tumbuh dari orang-orang miskin. Mereka punya hati dan perasaan. Selama ini mereka rasa bodoh, tapi kini mereka mampu untuk berkata bahawa mereka juga mempunyai hak untuk tinggal di bandar. Mesti juga mempunyai hak untuk mendapat layanan dari pihak kerajaan.

Orang miskin mampu untuk berkomunikasi dengan gabenor mahupun dengan menteri agar pihak berkuasa dapat diperjelaskan tentang masalah yang mereka hadapi.

Hal seperti itu memberi semangat kepada saya dan rakan..

Apa yang saya dapat pelajari ialah mereka (golongan miskin) mempunyai gaya hidup yang menarik.

Sebagai contoh, keadaan golongan miskin di Jakarta.

Saya menjadi panik apabila rumah-mereka diapa-apakan. Mereka hanya bertenang. Dari 70an hingga 90an mrk sudah biasa masalah.rumah mereka dibakar. Kalau dibakar, mereka mereka membina rumah lagi.

Apabila rumah mereka dibakar, mereka selamatkan barang mereka yang penting dan bina rumah lagi.

Seperti rumput, kalau diruntuhkan, mereka akan membangunkannya kembali.

Mereka adalah golongan yang punyai cinta, punyai kasih sayang dan gelak ketawa.



Q: Apakah yg Ibu rasa mahu dicapai ?

Sebetulnya , impian saya ialah mewujudkan sebuah prinsip rakyat berdaulat. Kedaulatan rakyat itu merupakan salah satu dasar. Tetapi, sejak Indonesia sebelum merdeka sehingga mencapai kemerdekaan selepas 60 tahun lebih empty jargon selalu dilecehkan. Orang miskin dijadikan bodoh, dimanipulasi, tidak punyai kedauatan sama sekali.

Saya imipikan mempunyai negara di mana rakyatnya berdaulat, punya kesedaran, kemampuan untuk mengambil bahagian, mempunyai kesedaran politik.

Di negara Asia juga, perjalanan masih jauh.



Q: Apakah pesanan Ibu kepada orang muda yang mahu menjadi seperti anda? Apakah nasihat anda terhadap perjuangan?
Saya fikir di kebanyakan negara Asia itu, perjuangan masih bersifat elitis. Rakyat tdak tahu apa-apa mengenainya. Seperti di Thailand, mereka mempunyai kelas pertengahan yang merasakan rakyatnya bodoh sehingga merasakan mesti tunduk kepada Thaksin?

Mereka tidak pernah mahu melihat pemasalah dari sudut rakyat.

‘Bagi orang muda yang mahu bekerja, mereka harus berani untuk secara ekstrimnya hidup bersama rakyat dan melihat realiti.

Mereka punya empati dan kemudiannya melakukan kerja bersama rakyat bukan untuk rakyat.Seolah-olah seseorang pemimpin itu seperti seorang pahlawan.

Mereka mesti mempunyai kearifan yg lebih jauh untuk menyelesaikan.

Namun, kita masih terlalu elitis - tidak meletakkan rakyat itu di depan dan bekerja bersama mereka.

Kita harus merakyatkan diri kita dan meletakkan diri kita bersama rakyat.
Berendah hati untuk belajar dari rakyat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com