Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Saturday, February 17, 2007

Puaka Tebing Biru: Filem Seram Malaysia yang Boleh Dibanggakan



Sebelum saya dijemput untuk menyaksikan protonton filem karya Osman Ali, Puaka Tebing Biru pada 6 Februari lepas di GSC Mid Valley, Pontianak Harum Sundal Malam sebuah filem seram yang menyerikan industri filem di Negara ini.

Malah Pontianak Harum Sundal Malam menjadi wakil Malaysia dalam beberapa festival Malaysia sehinggakan ‘pontianak’ Maya Karin memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Seram di Sepanyol tahun lepas.

Bagi pendapat peribadi, Puaka Tebing Biru menaikkan lagi martabat filem Melayu terutamanya dalam filem seram.

Hantu dalam Puaka Tebing Biru lebih ‘real’ berbanding dengan Pontianak patung yang terbang dalam Pontianak Harum Sundal Malam (1&2). Hantu dalam Puaka Tebing Biru juga tidak keliru seperti Pontianak dalam flem Shuhaimi Baba.

Sutradara Osman Ali

Saya mula mengenali Osman Ali melalui filem kontroversial berani beliau, Bukak Api. Saya juga sua menyaksikan vcd Surat Untuk Bulan.

Selain ‘Bukak Api’, ‘Malaikat Di Jendela’ turut menjadi perintis kepada Osman Ali untuk mengembangkan bakatnya dalam industri perfileman. Dua filem pendek itu, telah terpilih mewakili Asean di Festival Filem Cannes dan juga Rotterdam.

Inilah filem yang saya tunggu-tunggu dan jarang untuk saya beri satu ovation kepada filem Melayu.

Genre ‘seram’ menjadi pilihan Osman Ali sebagai tema dalam menyampaikan buah tangan pertama ke layar perak. ‘Puaka Tebing Biru’ turut menyelitkan rencah segelintir anak nelayan yang menongkah arus kehidupan dalam usaha mencari jalan keluar dari belenggu rutin harian kehidupan. Beliau turut mengupas isu kasih sayang antara dua sahabat melalui beberapa kiasan secara tidak langsung.

Puaka Tebing Biru berkisarkan mengenai Ratna (Nasha Azizi) adalah rakan karib Ayu (Umie Aida) yang tinggal bersebelahan rumahnya sejak kecil. Ayu, seorang gadis lemah-lembut sedang dilamun cinta dengan seorang pemuda kampung bernama Mohsin (Fahrin Ahmad).

Ratna yang mempunyai seorang adik perempuan bernama Atilia (Sharifah Amani) telah mendapat tawaran kerja di Kuala Lumpur tetapi tidak mendapat keizinan ibu mereka lakonan hebat Wan Maimunah. Hati Ratna terluka. Akhirnya, Ratna tidak berganjak dengan keputusannya lalu pergi meninggalkan Atilia, ibu serta rakan karibnya, Ayu.

Selepas tujuh tahun berlalu, Ratna kini berjaya sebagai seorang petugas di unit forensik di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Namun ada sesuatu yang menghantui hidup Ratna. Ratna tidak pernah tenteram sejak enam tahun yang lalu. Bayangan seorang wanita yang sering mengganggu menyebabkannya menjadi semakin tertekan. Selain bayangan wanita tersebut, muncul pula seorang kanak-kanak perempuan. Bagi menenangkan fikiran, Ratna mengambil keputusan untuk bertemu keluarganya. Itulah pertemuan pertama, selepas tujuh tahun tidak bertemu adiknya, Atilia. Setelah bertemu, Ratna dan Atilia mengambil keputusan bermalam di rumah pusaka tinggalan bapa mereka yang terletak di tepi pantai.


Pelbagai peristiwa pelik dan menyeramkan berlaku sepanjang bermalam di situ. Lebih menggerunkan apabila Atilia dikunjungi seorang kanak-kanak perempuan misteri mengajaknya bermain di tepi pantai.

Dalam perjalanan pulang, mereka bertembung dengan sekumpulan orang kampung sedang mengusung keranda ke tanah perkuburan.

Akibat daripada banyak masalah dalam pembikinan filem ini, ianya tertangguh selama enam bulan yang akhirnya Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) sanggup untuk melabur dalam filem ini.

Puaka Tebing Biru dengan durasi 127 minit masa tayangan, telah mendapat kelulusan (U) selepas dua adegan ghairah diarahkan untuk tidak disiarkan. Apabila ditanya, Osman menjawab adegan permukahan di antara Mohsin dan Ayu di tepi pantai bilamana Mohsin mahu Ayu membuktikan cintanya.

Adegan kedua ialah Ayu yang telah menjadi hantu yang menjelma di rumah dan Mohsin tidak dapat menahan rindu terhadap cintanya itu.

Filem yang menelan kos sebanyak RM 1.5 juta dengan sentuhan teknik Computer Generated Images (CGI) ini merupakan filem cereka pertama menjalani penggambaran sekitar Pulau Pangkor sebagai lokasi utama penggambaran.

Persamaan dengan Nang Nak?

Menonton filem ini mengingatkan saya tentang filem seram Siam, Nang Nak. Ia juga berkenaan dengan hantu yang timbul hasil daripada cinta mati.

Osman Ali tidak mengakui ini kerana menurutnya, lelaki dalam Nang Nak tidak menyedari bahawa dia hidup bersama hantu manakala dalam filemnya, Mohsin tahu dan sedar bahawa dia tinggal dengan hantu yang dibelanya.

Kedua-dua filem ini termasuk Ghost lakonan Patrick Swayze dan Demi Moore memberi status yang tinggi kepada hantu.

Elemen Tak Logik

Namun ada beberapa elemen dalam filem yang Nampak tidak logik dalam filem ini. Saya tidak ada masalah dengan sinematografi, Cuma perjalanan cerita itu sahaja yang mungkin sutradara mahu ianya Nampak lebih menarik.





Pertama; Kondo mewah milik Ratna

Ratna (lakonan berkesan Nasha Aziz) seorang gadis kampong yang berhijrah ke Bandar untuk bekerja sebagai Mortuary Attendant di unit forensik.

Berapa sangat lah gaji seorang pembantu di rumah mayat sehingga mampu tinggal di kondo mewah yang menghadap Menara Kembar KLCC. Melalui teman-teman, sebagai pembantu hospital, gaji tidak lebih daripada RM2,000.

Ya, mungkin kemewahan itu kerana kenal rapat dengan doktor patologis, Dr Anita (lakonan Corrine Adrienne) di hospital yang sama. Dia adalah teman rapat Ratna sepanjang tinggal di ibukota, Kuala Lumpur.

Di bandar, Ratna mempunyai teman rapat, Selain membantu Ratna mendapat pekerjaan, Anita yang bertugas sebagai Doktor Patologist juga merupakan teman serumah Ratna. Dia adalah teman rapat Ratna sepanjang tinggal di ibukota, Kuala Lumpur.

Selain itu, Ratna juga memiliki kereta sport mewah.


Kedua; Bateri komputer tahan berhari-hari

Menurut Osman Ali, komputer riba yang dibawa oleh Ratna semasa berada di rumah usang tidak membawa apa-apa makna.

Ia hanya satu alat yang menamani Ratna ketika mahu berdialog dengan dirinya sendiri.

Tetapi selepas beberapa hari berada di rumah yang tanpa bekalan elektrik itu Ratna masih boleh menggunakan komputer ribanya.




Cuma saya terkilan dengan poster filem ini yang tidak menarik para penggemar filem untuk datang menyaksikan filem ini. Font yang salah sehingga terpaksa melihat dengan teliti tulisan di poster. Gambar Umie Aida dan Nasha Aziz juga gelap. Mungkin pihak di bahagian publisiti mahukan elemen seram daripada persepsi poster sehingga sukar untuk mentelaah poster publisiti filem menarik ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com