Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Saturday, March 13, 2010

Demokrasi melalui Pilihan Raya Tanpa Pilihan Raya Kerajaan Tempatan




Faisal Mustaffa (Merdekareview)

Dalam melaung-laungkan semangat "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", bersama 1Malaysia, Perdana Menteri Najib Razak (gambar kanan) mengeluarkan kenyataan Negara ini tidak memerlukan pilihanraya bagi kerajaan tempatan dengan alasan bahawa pilihan raya peringkat kerajaan tempatan hanya akan menambah orang berpolitik atau politicking.

Mungkin ada benarnya apabila kita mendapati di Malaysia berpolitik berlebih-lebihan menjadi lumrah kerana hampir semua urusan dikaitkan dengan politik, umpamanya perlantikan untuk lembaga dan badan-badan berkanun, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, pemberian tawaran kerja atau tender dan pemberian kontrak.

Bukankah, politik itu sebahagian daripada kehidupannya? Kerjaya politik keluarganyalah yang membawa beliau ke Putrajaya? Mengapakah beliau mempunyai masalah dengan politik? Bukankah politik itu sebahagian daripada kehidupan?

Perlantikan galakkan kronisme

Semasa perbahasan di parlimen, alasan menyangkal Malaysia sebuah Negara tidak demokratik ialah dengan adanya pilihan raya yang dijalankan sekurang-kurangnya sekali dalam lima tahun. Di dalam memperkukuhkan fakta tersebut, maka seharusnyalah pilihan raya diadakan di semua peringkat pemilihan, pusat, negeri, tempatan mahupun kampung - agar mereka yang dipilih itu benar-benar pilihan mereka.

Apa yang menjadi kebaikan dengan adanya seberapa banyak pemilihan ialah dengan berlakunya proses pemencaran yang mengurangkan beban di peringkat tertinggi pembuat keputusan. Ada yang mendakwa pelantikan ini akan menggalakkan kronisme. Kronisme pula akan menggalakkan ketidaktelusan - simbol bagi urustadbir baik.

Adakah pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan ini akan mengatasi masalah tersebut terutama sekali rasuah dan salahguna kuasa? Adakah wakil kerajaan tempatan ini sememangnya boleh dipercayai dan bersih? Sekiranya berlaku, pihak pentadbiran tertinggi boleh mula menuding jari kerana mereka ini dipilih oleh penduduk tempatan. Persaingan hebat dalam mengekalkan jawatan sehingga akan membawa kepada produktiviti kerja yang tinggi.

Ada yang berpendapat, Akta Kerajaan Tempatan 1976 hanya memperuntukkan kepada ahli-ahli majlis, Yang Di Pertua, Presiden yang dilantik sahaja. Oleh itu, sekiranya jawatan-jawatan itu dilantik, maka mereka tidak diperuntukkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Pilihanraya di sekolah
Selepas menerima usulan daripada kerajaan negeri (Pulau Pinang dan Selangor), Suruhanjaya Pilihan Raya memberi kenyataan balas atas keperluan bagi mereka untuk meneliti perkara ini dengan Penasihat Undang-Undang mereka. Itu usaha yang baik agar peristiwa Likas tidak berulang sekali lagi. Likas terpaksa diadakan pilihan raya sekali kali kedua akibat kesilapan SPR sehingga Akta Pilihan Raya diusulkan untuk pindaan.

Sekarang, SPR dalam rangka aktifnya untuk menjalankan pilihan raya di sekolah. Di dalam akhbar Star bulan lalu melaporkan SPR menjalankan pilihan raya di SMK Raja Tun Uda yang mempunyai 2,000 pelajar itu. SPR juga telah menguruskan kesemua 56 calon yang terdiri dari Tingkatan 1 hingga 4 yang bertanding di dalam pemilihan berkenaan.

Agak tipis harapan bagi Selangor dan Pulau Pinang untuk SPR mematuhi Artikel 113 (4) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan undang-undang persekutuan atau pun negeri untuk mengarah Suruhanjaya Piliha Raya untuk melaksanakan pilihan raya. Hak lain yang ada pada kerajaan negeri ialah di bawah Artikel 95B (1) Perlembagaan Persekutuan yang juga menyatakan kuasa kepada kerajaan tempatan untuk melaksanakan pemiihan dengan cara pilihan raya.

Dengan peruntukan yang ada di bawah Artikel 76 (3) yang menjadikan pelaksanaan pilihan raya tempatan Undang-Undang Negeri, ianya boleh memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri melaksanakan tanggungjawab tersebut sungguhpun Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 digantung.

Ini bermakna Kerajaan Negeri boleh mengecualikan mana-mana bahagian di dalam Kerajaan Tempatan dari Seksyen 10 hingga 15 Akta Kerajaan Tempatan dan menggubal undang-undang baru asalkan ianya menurut Artikel 113 (4) Perlembagaan Persekutuan.



Proses pemilihan berorientasikan rakyat

Sungguhpun ianya agak tipis untuk dicapai, namun sekiranya negeri-negeri tersebut mewujudkan sebuah proses yang dipanggil Proses Pemilihan Berorientasikan Rakyat, ianya mungkin dapat dilaksanakan. Proses ini mampu untuk melangkaui SPR dan diiktiraf sebagai calon yang dipilih. Calon-calon tersebut pula "dicadang" oleh masyarakat setempat di peringkat kawasan. Namun, kekangan di bawah peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 masih berlaku.

Mengikut sejarah pilihan raya untuk memilih wakil ke majlis kerajaan tempatan, di Pulau Pinang negeri pertama yang menyaksikan pilihan raya untuk memilih wakil ke majlis pentadbiran.

Pihak pentadbiran penjajah Inggeris telah menubuhkan "Municipal Council of George Town" pada tahun 1857, iaitu pihak berkuasa tempatan atau kerajaan tempatan yang pertama ditubuh di Tanah Melayu.
Pilihanraya tempatan George Town

Pada bulan Disember 1956, pilihan raya untuk memilih wakil ke majlis Perbandaran George Town diadakan buat pertama kali di Malaya. Majlis yang dipilih sepenuhnya oleh rakyat itu kemudian bersidang pada 2 Januari, 1957 dan memilih seorang peguam mewakili MCA/Perikatan, G.H.Goh selaku Presiden mengalahkan D.S. Ramanathan dari Parti Buruh. Pemilihan itu dibuat sehari selepas Ratu Elizabeth II menganugerah taraf bandar raya kepada George Town.

Pilihan raya majlis kerajaan tempatan George Town diadakan mengikut jadual dan ia dikuasai oleh gabungan dua buah parti berhaluan kiri dan pro-komunis, iaitu Parti Buruh dan Partai Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) yang membentuk Barisan Sosialis atau Socialist Front.

Barisan Sosialis menguasai pentadbiran Majlis Bandar Raya George Town walaupun pentadbiran negeri dikuasai oleh Parti Perikatan yang diterajui oleh MCA di Pulau Pinang. Kawasan di luar pentadbiran Majlis Bandar Raya ditadbir oleh Majlis Daerah Luar Bandar (MDLB) yang ahlinya tidak dipilih oleh rakyat tetapi dilantik.

Berikutan tercetusnya Konfrontasi Indonesia dan atas alasan keselamatan, Kerajaan Persekutuan telah menggantung pilihan raya kerajaan tempatan, iaitu pada tahun 1965 dan setahun kemudian peranan atau tugas Majlis Bandar Raya George Town dipindahkan ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pilihan raya kerajaan tempatan kemudiannya dimansuhkan pada tahun 1970. Alasan rusuhan kaum tahun 1969 menjadi usaha agar demokrasi di peringkat tempatan tidak berlaku.

Pada tahun 1974, sebuah Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan atau Local Government Management Board diwujudkan untuk mentadbir sebuah majlis perbandaran yang meliputi keseluruhan pulau. Setahun kemudian MDLB dibubar untuk diletakkan di bawah sebuah majlis kerajaan tempatan yang baru, iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Anehnya, taraf George Town sebagai sebuah bandar raya masih kekal tetapi tanpa sebuah majlis pentadbiran yang sepatutnya.

Kedudukan George Town sebagai sebuah bandar raya tunggal di Malaysia kekal dari 1957 hingga 1972 selepas Kuala Lumpur dimasyhurkan sebagai sebuah bandar raya, iaitu yang kedua selepas George Town.

*gambar-gambar diambil ketika melawat kempen pemilu di Jakarta Mac 2009.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com