Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Friday, September 19, 2008
Teresa Bebas !
Bersama Teresa sejurus beliau dibebaskan
Selepas solat Jumaat, aku terus memeriksa emel melalui Blackberry aku dari dalam kereta. Seseorang menghantar petikan tulisan Kit Siang di dalam blog kepada aku memberitahu Teresa bebas pada 12.56 tengahari tadi.
Pada jam 2.49 petang, aku terus mengemaskini facebook memberitahu bahawa aku akan menghadiri sidang media sempena pembebasan Teresa.
Sewaktu aku hadir di sidang media tersebut, dewan CEC di Ibu Pejabat DAP telah pun penuh dan aku menyelinap sehingga aku berjaya bersila betul-betul di hadapan meja sidang media.
Soalan Ditanya I.O.
Teresa memberitahu, selama beliau disoalsiasat, hanya tiga soalan yang ditanya berulang kali:
1. sama ada dia menjalankan sebarang mobilisasi terhadap sekumpulan penduduk di Bandar Kinrara dalam menyerahkan petisyen menentang azan di masjid Bandar Kinrara.
2. sama ada dia membuat kenyataan bahawa 30% peruntukan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diberikan kepada badan-badan agama yang lain.
3. sama ada dia menentang tulisan Jawi di papan tanda jalan di Kuala Lumpur.
Teresa berkali-kali memberitahu kedua-dua pertuduhan awal dan tidak terlibat langsung seperti yang difitnah dalam rencana yang ditulis oleh Zaini Hassan bertajuk "Azan, jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya" yang diterbitkan di Utusan Malaysia 10 September 2008.
Teresa memberitahu semua IO yang menyoalnya bahawa semua maklumat yang dia tahu semuanya ditulis di dalam blog. Teresa juga menulis kenyataan balas terhadap fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
Mereka (polis) masih tidak percaya bahawa Teresa dan DAP mengamalkan ketelusan.
Teresa mengecam penahanannya kerana sehingga sekarang masih tidak faham mengapa dia perlu ditahan selama tujuh hari dan tidak faham mengapa beliau didapati bersalah di bawah Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.
Kalau setakat nak tahu tiga soalan, Teresa memberitahu dia sudah menjawab semuanya. Bahkan, pihak polis hanya perlu mengeluarkan waran tangkap. Tidak perlu guna ISA.
Akibat marah yang amat sangat, Teresa pernah menengking pegawai polis yang ada semasa beliau disoalsiasat semasa waktu azan yang dia dapat dengar dari bilik tahanan. Teresa ditahan selama lima jam sehari.
"Dalam bulan Ramadhan, bulan mulia, kenapa buat macam ni? Berdosa tahu tak?"
Pegawai polis tunduk malu. Mereka tidak habis-habis memberitahu bahawa mereka mendapat arahan dari pihak atasan.
Apabila ditanya sama ada dia tahu dimana dia ditahan, Teresa menjawab, semasa beliau ditahan, beliau dipaksa memakai cermin mata yang digelapkan. Tetapi mengikut jalan yang dilalui, Teresa berkata, "ia di antara Sentul dan Jalan Ipoh".
"Mesti Batu Containment Depoh", kata Kit Siang yang duduk di sebelahnya.
Teresa memberitahu dia hanya tidur di atas pelantar kayu, di dalam bilik seluas 6' x 8' bersama mangkuk tandas.
Makanannya seperti makanan anjing. Makanan tengahari dan malamnya hanya nasi bersama dua butir telur rebus dan timun.
Tindakan Teresa Selepas Ini
1. Teruskan saman terhadap Zaini, Utusan Malaysia dan Khir Toyo
2. Tidak akan paksa kerajaan gunakan pengalamannya (ditahan ISA) terhadap Zaini, Khir Toyo.
3. Mansuhkan ISA
4. Tumbangkan Barisan Nasional
5. Hadir di semua program yang diadakan dalam sebahagian daripada kempen bebaskannya dari ISA.
6. Arahkan peguamnya untuk saman Kerajaan Malaysia atas tahanannya.
Bebaskan Raja Petra
Akhirnya, Teresa menyeru supaya kerajaan membebaskan Raja Petra dan tahanan yang lainnya kerana akta seperti itu tidak lagi boleh digunapakai dan sering disalahgunakan sebagai tahanan politik.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pakatan Rakyat, NGO, badan-badan antarabangsa, gereja, tokong, kuil dan masjid yang semuanya berdoa kebebasannya.
Labels: Akta Keselamatan Dalam Negeri, DAP, ISA, Lim Kit Siang, teresa kok
0 Comments:
Post a Comment
<< Home