Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Wednesday, September 17, 2008
16 September "Plus Plus"
Pada tanggal 15 September, rakyat berharap agar peralihan kuasa berlaku seperti yang dijanjikan. Tetapi, ia tidak berlaku. Semua faham bukannya senang untuk membuat satu peralihan kuasa yang besar. Melalui pemantauan aku dari belakang pun aku sudah mengagak ianya tidak akan berlaku pada 16 September.
Tambah-tambah lagi apabila pemimpin parti mula ditangkan dibawah ISA (sebut akta zalim).
Gerakan-gerakan rakyat mula bertumpu untuk membebaskan tahanan-tahanan politik; Raja Petra, Teresa Kok, Pemimpin Hindraf dan kesemua tahanan di Kem Kamunting di bawah akta yang sama.
Sambil duduk bersendirian di tengah-tengah padang, beberapa perkara yang kembali dalam ingatan.
Aku ada terbaca dalam satu risalah di mana pada 1960an merupakan dekad awal penggunaan ISA yang mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos 1960. Kumpulan awal ditahan terdiri daripada Barisan Sosialis, Parti Buruh Malaya, Parti Rakyat Malaya, Kesatuan Sekerja dan pelajar-pelajar yang kebanyakannya berbangsa cina. Era ini juga dilabel sebagai era "Pelumpuhan Pergerakan Sayap Kiri". Kumpulan yang paling ramai ditahan ialah dari Barisan Sosialis apabila mereka mengisytiharkan 13 Februari sebagai Hari Perjuangan Hak Asasi Manusia iaitu Ulangtahun ke-2 penahanan sdr Ahmad Boestamam pada tahun 1965. Ahmad Boestamam ditahan pada 13 Februari 1963. Beliau merupakan Ahli Parlimen dan pemimpin pembangkang serta Pengerusi Barisan Sosialis. Dia merupakan Ahli Parlimen di Malaya pertama ditahan. Penahanan beliau telah mengkucar-kacirkan arena politik Malaya dan dikritik hebat oleh parti-parti pembangkang.
Pandangan aku beralih ke atas pentas. Aku hanya melihat Anwar melalui skrin gergasi. Dalam ceramahnya, beliau tetap berjanji bahawa peralihan kuasa tetap akan berlaku cuma masa yang akan menentukan. Beliau berjanji apabila Pakatan Rakyat memerintah, harga petrol akan turun 70 sen dan semua tahanan ISA akan dibebaskan.
Semua orang bersorak dengan penuh harapan.
Majlis dimulakan dan berakhir dengan nyanyian Negaraku; Negaraku ialah pada asalnya lagu Terang Bulan dari Indonesia dan ia juga diciplak dari Hawaii iaitu memula Moon sehinggalah ianya diambil menjadi lagu kebangsaan.
Sempena Hari Malaysia juga, rakyat Malaysia diberikan sejuta bendera untuk dikibarkan. Bendera Malaysia juga mirip bendera Amerika Syarikat.
Aku tidak hirau semua itu.... Pada malam tersebut aku membawa lilinku sendiri dan membakarnya seorang diri di tengah-tengah padang MBPJ Kelana Jaya.
Aku sedia maklum bahawa selain daripada tahanan, ISA turut menghukum ibu bapa, isteri, anak-anak dan takan taulan. ISA merampas kebahagiaan keluarga mereka dan membawa penderitaan yang perit. Ahli perniagaan yang berjaya menjadi muflis. Rumah yang dibeli akan dilelong. Punca rezeki keluarga direntap dengan kejamnya. Persekolahan anak-anak terbantut. Terdapat juga ahli-ahli keluarga tahanan yang menghidapi penyakit mental yang serius. Apakah yang telah kerajaan lakuka selain daripada memberatkan lagi beban mereka dengan gangguan dari Polis Cawangan Khas yang tidak henti-henti?
Apalah ertinya keebasan dan kemerdekaan jika diselubungi ketakutan? Apa ertinya demokrasi jika kebebasan disekat? Kita bukannya menuntut kebebasan mutlak tanpa batasan, yang kita maksudkan ialah kebebasan di atas landasan kebenaran dan keadilan sejagat. ISA telah membantut dan merencatkan semangat kebenaran dan keadilan dengan membudayakan ketakutan ke dalam jiwa rakyat.
Aku bagitahu member aku, sekiranya aku melihat kelibat yang aku tak suka di Kelana Jaya, aku akan tinggalkan stadium. Dan mereka timbul semasa majlis hampir selesai. Alhamdulillah.
Labels: ISA
0 Comments:
Post a Comment
<< Home