Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Monday, September 08, 2008
Pakatan Rakyat Menjunjung Prinsip Perlembagaan Persekutuan
Gambar semasa perhimpunan selepas pengumuman kemenangan Anwar Ibrahim untuk pilihan raya kecil Permatang Pauh
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang pada 8 September 2008 menegaskan penolakan mereka terhadap usaha-usaha menyemarakkan politik perkauman yang sedang dilakukan oleh Umno mutakhir ini.
Kenyataan bersama gabungan DAP, PAS dan keADILan itu menyebut, “kami amat bimbang isu ini sekarang digunakan untuk mengelabui pandangan rakyat yang sebenarnya merupakan usaha terdesak untuk menyelamatkan kepentingan segelintir golongan elit politik dan kroni mereka.”
Pakatan Rakyat juga bersetuju untuk menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.
Kenyataan yang ditandantangani oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang, Ketua Umum KeADILan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden PAS Dato’ Husam Musa juga menyebut untuk menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit yang menjadi dasar Umno-BN.
“Pendekatan inilah yang sengaja digunakan untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini,” tambah kenyataan itu lagi.
Pakatan Rakyat juga membantah ucapan yang dibuat oleh Dato Ahmad Ismail yang disokong oleh semua pemimpin Umno Pulau Pinang. Bagi Pakatan Rakyat, isi ucapan itu mencerminkan dasar perkauman Umno yang sebenarnya bertujuan hanya untuk mempertahankan kepentingan segelintir golongan orang kaya Melayu serta suku sakat mereka yang menggunakan kuasa politik untuk mengambil kesempatan mengaut kekayaan negara dengan berselindung di sebalik membela kepentingan Bumiputera dan orang Melayu.
Labels: Anwar Ibrahim, husam musa, Lim Kit Siang, pakatan rakat
0 Comments:
Post a Comment
<< Home