Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Monday, September 15, 2008

Mufti Perlis: ISA tidak diperlukan untuk bela ajaran Islam


Oleh ZIEMAN (Mstar)

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini menegur tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam isu agama dan mengheret pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok yang masih ditahan di bawah peruntukan akta itu.

Ketika ditemui di Damansara Kim sebentar tadi, Dr Asri berkata, Islam dibina dari hujah dan dasar yang jelas, dan Islam juga tidak memerlukan ISA untuk membela ajarannya.

"Jadi tidak ada alasan untuk menahan orang dengan tidak memberi peluang membela diri. Ini adalah satu tindakan yang salah. Sekiranya orang itu mempunyai kesalahan dari segi hukum agama, buktikan dari segi dalil-dalil agama.

"Cara kita tangkap orang guna ISA atas kesalahan agama tidak akan menghilangkan salahfaham terhadap Islam. Seharusnya diperjelaskan dulu apa kesalahan itu. Kalau misalnya orang itu menghina Islam atau menyeleweng, buktikan dulu berdasarkan Quran dan hadis.

"Perlu diperdengarkan pertuduhan itu kepada orang yang dituduh itu. Mungkin juga, ia hanya satu salah faham. Yang penting perdengarkan dulu hujahnya," kata Mufti yang terkenal dengan kelantangannya mengeluarkan idea yang berani dan telus itu.

Kata Dr Asri lagi, "Islam bukan agama yang bacul. Perbuatan ISA kerana kesalahan agama seolah-olah menggambarkan orang Islam tidak mampu berhujah, terus tangkap orang. Mereka akan kata mereka benar kerana kita takut berhujah dengan dia."

Beliau juga turut mengingatkan betapa bahayanya tindakan ISA.

"Sekiranya ada aliran-aliran tertentu dalam kerajaan yang tidak setuju dengan pendapat satu aliran yang lain, adakah ruang ISA juga akan digunakan? Pernah berlaku dalam kerajaan Abbasiyah yang berpegang pada aliran Muktazilah ketika itu. Dia menghukum orang daripada aliran lain termasuk Imam-imam besar seperti Imam Ahmad juga turut dihukum.

"Kalau di zaman ini, mereka yang kendalikan agama itu dari aliran lain maka mereka yang dari aliran lain itu akan dihukum tanpa memberi peluang membela diri. Ini juga tidak sejajar dengan konsep keadilan dalam Islam," kata Dr Asri lagi.

Dari segi politik Islam atau siasah, kata beliau, kerajaan berhak menahan orang dan beri tempoh siasatan (14 hingga 30 hari) bergantung pada keperluan. Tapi kita tidak boleh hukum 2 tahun tanpa diadili. Ini zalim.

"Tuhan yang Maha Adil pun buat mahkamah di akhirat untuk setiap orang dibicarakan. Keadilan ditegakkan di dunia dan di akhirat. Tuhan yang Maha Adilpun memberi peluang untuk kita jawab kesalahan sedangkan Tuhan berhak buat apa saja. Jadi macam mana kita boleh tangkap orang tanpa memberi peluang mereka membela diri?," jelas beliau.

Kata Dr Asri, isu agama turut membabitkan sensitiviti agama lain. Tapi dari segi mempersoalkan identiti Islam seperti laungan azan, itu tidak boleh.

"Namun jika ada sungutan tentang bacaan-bacaan yang panjang sehingga menganggu orang awam, ulamak Islam juga tidak benarkan. Bacaan yang kuat tanpa keperluan atau kuliah agama dengan menggunakan pembesar suara sehingga menganggu ketenteraman awam, itu tidak perlu. Itu sudah diputuskan oleh ulamak-ulamak dari dulu lagi.

"Agama itu terhad. Azan itu azan. Begitu juga kuliah agama untuk diperdengarkan di pembesar suara, berpada untuk sidang yang mendengar sahaja," jelasnya.

Dr Asri juga menyentuh tentang peranan Jakim.

"Jakim berperanan menjelaskan isu-isu agama dan juga yang menyeleweng dari agama. Bukan sekadar menyokong seseorang dihadapkan tanpa bicara. Badan itu juga hendaklah bebas dari percaturan politik. Perjelaskan ketentuan peruntukan orang yang menghina Islam seperti isu Raja Petra. Itu bersifat politik, biarlah diuruskan oleh orang politik.

"Kalau hendak diikutkan yang menghina Islam, ramai lagi yang patut dibuat aduan. Jelaskan dulu apa yang perlu dilakukan?," soal Dr Asri.

Beliau juga meminta kerajaan memikirkan soal ISA ini sedalam-dalamnya.

"Seandainya satu hari nanti kerajaan bertukar rupa dan kalau berlaku pertukaran kuasa. Terlalu ramai nanti yang tidak boleh bersuara dan ISA mungkin diguna seluas-luasnya. Besok, bila kena pada kita, apa kita nak buat?," kata Dr Asri yang akan menghadiri Tazkirah Tarawih di Stadium Kota Bharu pada hari ini.

Beliau yang juga akan memberi ceramah di Kompleks Islam Lundang esok, sempena pelancaran Tabung Serambi Mekah yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, juga mempersoalkan bagaimana pemimpin yang gagal kendalikan parti yang kecil mampu kendalikan negara yang besar.

"Takkan nak tunggu ada rusuhan atau kekacauan. Ketika itu sudah tidak boleh dipulihkan lagi. Sekali kekacauan tercetus, susah untuk dipulihkan.

Menurut pengamatan beliau, keadaan ini berlaku kerana pemimpin politik menganggap kedudukan politik itu seperti harta rompakan.

"Mereka bermati-matian untuk mendapatkannya sekalipun terpaksa menggunakan belanja yang besar kerana pulangan atau keuntungannya juga besar," kata beliau.

Jelas beliau, saluran politik digunakan untuk membina kekayaan diri. Inilah hasilnya bila kerakusan ini berlarutan. Tidak ada setiakawan dalam politik, musuh memusuhi, berpuak-puak kerana fikirkan survival politik masing-masing bukan survival rakyat yang dipertanggungjawabkan.

Yang paling ketara sekarang, pemimpin politik bukan sahaja gagal membawa rakyat keluar dari kemelut yang sedang dihadapi malah menjadikan keadaan lebih rumit.

"Bukan sahaja mereka gagal menyelesaikan masalah tapi mereka pula yang menimbulkan lebih banyak masalah lain," kata Dr Asri.


Zaid: Usah guna ISA terhadap orang awam, mahu bincang dengan PM
15-09-2008 08:04:17 AM

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Dalam perkembangan yang dilihat sebagai menarik dan jarang berlaku, beberapa anggota Kabinet menyuarakan pandangan peribadi dan parti masing-masing supaya kerajaan mengkaji semula penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap orang awam.

Antara mereka yang memberi pandangan sedemikian ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang berpendapat ISA tidak harus digunakan terhadap orang awam seperti wartawan dan ahli-ahli politik.

Menteri yang bertanggungjawab berkaitan soal perundangan dan kehakiman itu berkata, akta tersebut seharusnya hanya digunakan terhadap pengganas ataupun ke atas mereka yang cuba menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan.

Kata beliau, sudah tiba masa bagi kerajaan Persekutuan kembali kepada matlamat asal penggubalan ISA, yang digubal untuk mengawal komunis, ataupun pada hari ini untuk menangani pengganas ataupun mereka yang hendak menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan.

"Saya tidak meminta supaya ISA dimansuhkan tetapi hanya menggunakannya apabila wujud ancaman ke atas keselamatan negara seperti pengganas dan bukan orang awam," kata beliau kepada wartawan di Kota Baharu, Kelantan semalam.

"Saya akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawui untuk mengadakan perbincangan terus terang bagi mendapatkan pandangan beliau dalam isu ini secepat yang mungkin," jelas beliau.

Kata Zaid, dengan memberikan pandangan sedemikian beliau kemungkinan dilihat bertindak bertentangan dengan 'dasar kerajaan' tetapi bersedia untuk menghadapi kesannya.

"Jika saya perlu meletakkan jawatan (kerana memberikan pandangan ini), saya akan berbuat demikian," katanya.

Tambah Zaid, beliau bukan pencetus masalah dan tidak mahu menyusahkan Perdana Menteri dalam isu berkenaan.

Sebaliknya, katanya, beliau mempunyai prinsip dan sentiasa memberikan pendirian kritikal dalam soal penggunaan ISA.

Kata beliau lagi, kerajaan mempunyai undang-undang secukupnya untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan didapati kesalahan, antaranya Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

Pada Jumaat lalu, tiga orang iaitu masing-masing seorang penulis blog, wartawan dan ahli politik ditahan di bawah ISA.

Penulis laman blog Raja Petra Kamaruddin yang pertama ditahan di rumahnya pada pukul 1.50 tengah hari di Sungai Buloh dekat sini berkaitan artikel yang disiarkan dalam laman webnya yang bertajuk "I promise to be a good, nonhypocritical Muslim" dan juga
"Not all Arabs are descendants of the Prophets".

Kedua-dua artikel itu didakwa menggunakan ayat yang menghina orang Islam dan Nabi Muhammad S.A.W.

Ini adalah kali kedua Raja Petra ditahan di bawah ISA.

Beliau pertama kali ditahan pada April 2001 kerana penglibatannya dalam gerakan reformasi dan ditahan selama 53 hari di Pusat Tahanan Kamunting, Taiping.

Selepas penahanan Raja Petra, polis menahan pula wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng di rumahnya di Taman Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Tan ialah wartawan yang menulis berita yang mendakwa Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail semasa memberi ceramah dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu, telah melabelkan masyarakat Cina di negara ini sebagai "penumpang."

Selepas Tan, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, turut ditahan di bawah akta sama di hadapan kondominiumnya di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Tan telah dibebaskan petang kelmarin.

Sejak operasi ISA terbaru ini banyak pihak menyuarakan pandangan supaya penggunaan akta berkenaan dikaji semula.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, ketiga-tiga mereka ditahan bagi memastikan ketenteraman negara adalah terkawal.

Dalam pada itu, MCA berpendapat bahawa jika ISA benar-benar perlu, ia sepatutnya hanya digunakan dalam kes yang sangat ekstrem.

Presidennya Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, "Jika tidak Akta ini sendiri adalah satu ancaman terhadap peraturan perundangan dan asas kebebasan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan kita," katanya.

Ong berkata, penggubal ISA sendiri, mendiang Profesor RH Hickling, pernah berkata bahawa akta tersebut hanya untuk melawan pemberontak Komunis dan mereka yang terlibat dalam perjuangan bersenjata.

"Jika benar keselamatan negara terancam, mesti ada bukti kukuh untuk membuktikannya. Jika tidak mereka yang ditahan (mengikut ISA) perlu didakwa di mahkamah di mana terdapat undang-undang yang mencukupi untuk tujuan itu," katanya.

Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, kerajaan perlu menerima hakikat bahawa sebahagian besar rakyat negara ini tidak gemar penggunaan ISA.

Kata beliau, negara mempunyai cukup undang-undang untuk digunakan terhadap pelbagai kelakuan yang terpesong, tidak bertanggungjawab dan merbahaya.

“Mengapa undang-undang ini tidak digunakan? Individu yang ditahan (di bawah ISA) tanpa didengar penjelasan dan peluang membela diri adalah bertentangan dengan kepercayaan yang kita amalkan pada masa ini.

“Setiap kali seseorang itu ditahan di bawah ISA, ia akan menimbulkan tanggapan bahawa kerajaan melakukannya kerana tidak mampu untuk mendakwa dan menghukum orang itu di bawah undang-undang yang sedia ada di negara ini,” kata beliau yang juga Menteri Sumber Manusia dalam kenyataan dikeluarkan semalam.


Habeas corpus difail bebaskan Raja Petra, Teresa
15-09-2008 02:08:34 PM
Oleh G. MANIMARAN

MARINA Lee Abdullah menunjukkan makluman penahanan Raja Petra Kamarudin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, kelmarin.

(Mutakhir) PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok tengah hari tadi memfailkan permohonan habeas corpus untuk membebaskan beliau yang masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Teresa memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi Sivil hari ini.

Sementara itu, keluarga pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dijadulakan akan mengambil tindakan yang sama berkemungkinan hari ini esok.

Peguam Sankara Nair dan Karpal Singh akan bertindak bagi pihak Teresa.

"Kami akan memfailkan permohonan 12.30 tengah hari dan kami difahamkan, keluarga Teresa akan dibenarkan menemui Teresa petang esok," kata beliau ketika dihubungi petang semalam.

Dalam pada itu, isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah ketika dihubungi berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan peguamnya semalam dan perbincangan susulan akan diadakan hari ini bagi menguruskan permohonan habeas corpus.

"Sudah tentu, sudah tentu (akan membuat permohonan habeas corpus)... kandungan belum dimuktamadkan lagi, saya akan mengadakan perbincangan dengan peguam (esok)," kata beliau semalam.

Kata beliau, sehingga semalam beliau tidak memperoleh apa-apa maklumat mengenai perkembangan penahanannya.

Raja Petra ditahan di rumahnya di Sungai Buloh, di bawah Seksyen 73(1) ISA, yang membolehkan seseorang itu dikenakan tahanan maksimum 60 hari.

Beliau dibawa keluar dari rumahnya pada pukul 1.50 tengah hari kelmarin.

Sebelum ini, Raja Petra pernah ditahan menikut ISA pada April 2001 kerana penglibatannya dalam gerakan reformasi dan ditahan selama 53 hari di Pusat Tahanan Kemunting, Taiping.

Pihak berkuasa berkata, Raja Petra ditahan berkaitan artikel yang disiarkan dalam laman webnya yang bertajuk "I promise to be a good, nonhypocritical Muslim" dan juga "Not all Arabs are descendants of the Prophets".

Kedua-dua artikel itu didakwa menggunakan ayat yang menghina orang Islam dan Nabi Muhammad S.A.W.

Labels: , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com