Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Monday, October 31, 2005

 

 

Sook Hwa cabar Auku ke mahkamah


Bekas pelajar Universiti Sains Malaysia, Soh Sook Hwa, 23, mencabar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana mendakwa ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Jika dakwaan ini dibenarkan, ia akan merupakan kes pertama di Malaysia yang menuduh AUKU bercanggah dengan Perlembagaan.

Sook Hwa yang baru tamat pengajian dari jurusan Kewartawanan pada 24 November 2004 didapati bersalah oleh pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) USM di bawah Artikel 15 (1) dan (3) AUKU (Pindaan 1975), yang menyebut bahawa golongan siswa tidak boleh bersimpati, menyokong atau menentang parti-parti politik.

Peguam Negara mengeluarkan hujahan beliau dengan mengatakan bahawa Sook Hwa dikehendaki membuat rayuan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Sook Hwa telah berbuat demikian, dan rayuan itu telahpun dinafikan Kementerian.

Walaupun pernah ada kes mencabar AUKU dibawa oleh para mahasiswa yang dikenakan hukuman oleh pihak universiti sebelum ini, kes-kes tersebut cuma melibatkan beberapa artikel yang didakwa tidak adil.

Dalam kes Sook Hwa pula, sungguhpun ketidak-adilan dalam prosedur turut akan dibangkitkan, akan tetapi ia tidak akan menjadi fokus kes ini, kerana jika kita cuma tidak berpuas hati tentang butir-butir terperinci tertentu, ia bermaksud kita sebenarnya bersetuju dengan AUKU secara prinsip.

Oleh yang demikian, bagi peguam-peguam Sook Hwa, yang jadi keutamaan adalah dakwaan bahawa AUKU merupakan sebuah undang-undang yang bercanggah dengan kebebasan individu, seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau pernah memenangi pilihanraya kampus 2002-2003 dan dipilih menjadi pemimpin pelajar ketika masih di Tahun 1 pengajiannya.

Ikuti temubual Faisal Mustaffa sebaik sahaja selesai menghadiri perbicaraan kes Sook Hwa pada 19 Oktober lepas.


Apakah tindakan yang diambil di mahkamah?

Saya emngarahkan peguam saya meminta mahkamah untuk menyemak semula keputusan oleh Kementerian Pengajian Tinggi terhadap hukuman HEP terhadap saya di mana saya dikenakan denda sebanyak RM200 dan amaran.

Saya berhak menulis surat rayuan kepada kementerian tetapi pihak kementerian menolak rayuan tersebut. Bagi saya, mereka tidak memberi sebarang alasan yang boleh diterima. Saya tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan meminta mahkamah supaya menyemak semula.


Bagaimana isu ini boleh berlaku sehingga ia berlanjutan sehingga ke tahap ini?

Sebelum ini, saya pernah dikenakan tindakan tatatertib dengan diberikan amaran dan denda RM200 atas kesalahan peruntukan Auku ke 15 di mana saya menunjukkan sokongan dengan jelas kepada sesebuah parti ketika pilihanraya umum yang lalu.


Apa yang berlaku dalam prosiding peringkat HEP itu?

Saya mempersoalkan samada pihak universiti mengikuti prosedur yang adil untuk memberi peluang kepada saya memberi penjelasan terutama sekali dalam membuat pertuduhan kepada saya.

Pada waktu itu, peguam saya tidak dibenarkan berada bersama dalam prosiding tersebut.

Dengan itu, kami menyedari bahawa ia adalah satu sandiwara dan permainan universiti sahaja.


Adakah anda merasakan tindakan menyaman kerajaan Malaysia adalah satu perbuatan membalas dendam terhadap tindakan USM yang dibuat ke atas anda sebelum ini?

Saya tidak menganggap ianya satu perbuatan membalas dendam, hanya mahu menyatakan hak saya sebagai seorang rakyat Malaysia.

Tetapi, Auku seperti yang kita sedia maklum menafikan hak asasi seorang warganegara yang berada dalam sesebuah institusi pegajian tinggi.


Mengapa anda dan ramai yang lain membantah penggunaan Auku?

Auku jelas sebuah akta yang mengamalkan diskriminasi terhadap golongan tertentu.

Seseorang pelajar terpaksa menggadai hak asasinya hanya untuk berada di sesebuah universiti. Saya melihat pendidikan adalah atau hak. Ia adalah satu perkara yang tidak sepatutnya dihormati mahupun dilindungi.

Pelajar terpaksa menggadaikan hak asasi yang dimiliki bagi memperolehi hak untuk mendapat pendidikan.

Ini tidak sepatutnya berlaku dan diskriminasi itu tidak sepatutnya disokong.



Bagaimana reaksi masyarakat terhadap anda sehingga membawa kes ini ke peringkat mahkamah tinggi?

Saya terima banyak sokongan daripada pertubuhan-pertubuhan masyarakat yang juga berpendirian yang serupa dengan saya. Ini adalah kerana Auku sudah lama berada di negara ini dan pertentangan dengan hak asasi manusia amat jelas. Saya percaya perkara ini diketahui umum.

Ada di antara ahli parlimen yang mengatakan bahawa mereka mahu menyemak semula Auku tetapi masih tidak dapat melihat sebarang hasil.

Bagi masyarakat umum, saya mengambil peluang ini untuk menperdalamkan pemahaman mereka mengenai Auku dan apa yang berlaku dalam kampus.

Masyarakat di luar perlu tahu apakah jenis penindasan-penindasan yang berlaku kepada masyarakat kampus.

Bagi pihak universiti pula, menteri di Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr Shafie ada memberi kenyataan bahawa beliau mencabar pelajar-pelajar yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan Auku untuk dibawa ke peringkat mahkamah.

Pelajar seharusnya mengambil cabaran tersebut dan ini adalah satu peluang untuk menyemak dan membuat keputusan samada Auku ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagi keluarga pula, saya yakin mereka juga tidak bersetuju dengan Auku. Masalahnya adalah sebagai ibubapa, mereka berasa sungguh risau atas tindakan yang saya ambil ini kerana risikonya amat besar.

Secara ikhlas, saya ada menerima sedikit tekanan daripada pihak keluarga. Cuma buat masa ini, kami perlu lebih banyak berbincang dan mereka perlu memahami penjelasan dan hak saya yang saya ingin pertahankan.


Reaksi daripada pelajar sendiri amat dingin. Saya kira ini adalah kerana mereka tidak berapa faham mengenai Auku. Mereka hanya diberitahu oleh pihak universiti untuk tidak menceburkan diri dalam politik dan menumpukan hanya kepada pelajaran.

Dengan secara tidak langsung, mereka jadi takut kepada perkara yang mereka sendiri tidak pasti. Masalahnya adalah mereka tidak faham mengenai peruntukan-peruntukan yang didapati dalam akta tersebut.


Secara keseluruhan, adakah para pelajar universiti mengambil berat tentang politik atau masih khayal dengan zaman remaja mereka?

Ramai daripada mereka tidak mahu mengambil berat mengenai politik. Ia berpunca daripada sistem pendidikan kita kerana tidak menggalakkan berfikiran kritis. We are in a spoon feed education system.

Dalam jangka panjang, ia akan memberi kesan yang buruk kepada pembangunan negara termasuk dari segi ekonomi. Cara pendekatan seperti ini membawa kepada satu falsafah yang tidak jelas; samada kita melahirkan pelajar atau generasi akan datang.


Apa pendapat anda mengenai politik? Adakah anda mahu melibatkan secara dalam politik satu hari ini?

Politik ialah satu konsep pengagihan modal ekonomi dan perkongsian hak untuk rakyat. Politik telah disalahanggap sebagai satu aktiviti yang kotor dan kepartian. Sebenarnya keputusan-keputusan yang melibatkan rakyat keseluruhan adalah satu keputusan melalui politik.

Buat masa ini, saya tidak berminat untuk menceburkan diri dalam politik secara sepenuh masa. Saya mahu menumpukan masa saya kepada gerakan-gerakan yang melibatkan mahasiswa khususnya Dema (Malaysian Students and Youth Democratic Movement).

Boleh saudari memberi komen mengenai perjalanan pilihanraya kampus dalam menegakkan demokrasi kampus?

Demokrasi bukan hanya melibatkan pilihanraya. Pihak pentadbiran universiti akan terus mengatakan bahawa demokrasi memang diamalkan di univeristi kerana pemimpin pelajar dipilih melalui para pelajar.

Saya melihat demokrasi hanyalah satu lakonan. Memang pelajar diberi hak untuk membuat pilihan tetapi platform pilihanraya itu tidak adil dan bebas.

Seperti contoh, tempoh kempen yang diberikan hanya dua hari. Tidak mungkin bagi pelajar-pelajar yang diberi hak untuk mengundi calon mereka dan sudah tentu tidak mempunyai cukup masa untuk membuat pilihan mereka. jadi, pilihanraya itu menjadi tidak bermakna.

Calon juga tidak boleh bertanding atas gabungan dan mengeluarkan manifesto. Oleh itu, hak para pengundi untuk memilih calon mereka dinafi.

Kalau dibandingkan dengan pilihanraya kampus yang baru lalu, saya berpendapat perjalanan kampus menjadi bertambah teruk. Peraturan-peraturan yang dikenakan semakin ketat. Di Universiti Islam Malaysia (UIA), calon-calon dikenakan menduduki ujian public speaking. Di Universiti Sains Malaysia (USM) rapat umum diharamkan. Ia digantikan dengan rakaman video di mana para pengundi hanya mengetahui calon mereka melalui peti televisyen yang 'sejuk'.

Saya juga mendapat maklumat bahawa terdapat campurtangan daripada pihak luar seperti contoh perjumpaan di antara Umno dan kumpulan Aspirasi.


Ketika anda menjadi wakil pelajar, apakah aduan yang selalu hadapi?

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tidak mempunyai status yang khas dalam lembaga membuat keputusan mengenai dasar-dasar di universiti. Pelajar selalunya mahukan sesuatu yang realistik dan berharap agar MPP dapat menyelesaikan masalah mereka. Jadi, terdapat kekangan di antara MPP kerana keputusan masih terletak di atas kuasa eksekutif.

Demokrasi kampus mestilah terdapat sebanyak mugkin penglibatan pelajar dan pihak yang memainkan peranan aktif dalam membuat sebarabg keputusan.


Bagaimana reaksi tenaga pengajar apabila melihat anda sebagai satu figur yang amat vokal dalam mengenengahkan isu-isu di universiti?

Ada pensyarah yang memberi sokongan kepada saya sungguhpun saya tahu bahawa penglibatan mereka dalam isu-isu dalaman. Ketika saya dikenakan denda kerana didapati bersalah, kos tersebut ditanggung oleh pensyarah.


Apakah nasihat yang ingin anda sampaikan kepada pelajar-pelajar universiti yang masih berada dalam pengajian mereka?

Disamping belajar pengajian masing-masing, saya berharap rakan-rakan pelajar dapat belajar untuk berfikir secara kritis. Semasa muda inilah, saya rasa usia yang paling sesuai untuk melatih dalam membuat sebarang keputusan.

 

 

Saturday, October 22, 2005

ULASAN FILEM - Gol dan Gincu


Satu Perjuangan Maruah Wanita

Nama Bernard Chauly mungkin agak asing bagi penonton-penonton di luar bandar seperti di Masjid Tanah atau di Felda Taib Andak, sekalipun. Tapi tiba-tiba sahaja nama ini menjadi sebutan di kalangan industri filem. Walapun baru muncul pertama kali sebagai pengarah dalam industri yang penuh glamour ini, namun Bernard bukanlah orang yang betul-betul baru dalam dunia pengarahan filem.

Sebelum ini, dia pernah menghasilkan klip video untuk Siti Nurhaliza dalam lagu Debaran Cinta. Manakala dalam pengarahan drama pula, anak muda ini sudah mengarah drama tv seperti "Piala Untuk Mama", "Multimedia Super Cintun" dan beberapa episod dalam siri 3R, syarikat yang menerbitkan filem Gol Dan Gincu, milik Marina Mahathir.

Walaupun masih dianggap sebagai "budak baru" di layar filem, Bernard bagaimanapun boleh berbangga dengan hasil sulungnya. Ia suatu kelainan yang memberangsangkan selepas Sepet. Bahkan, dalam beberapa sudut, Gol Dan Gincu dianggap lebih baik dari Sepet kerana nilai komersil dan mesej yang tersisip - menjadikan Gol Dan Gincu sesuai untuk tontonan keluarga.

Beliau mungkin bukan Profesor Madya atau pengarah filem popular industri ini namun hasil kerjanya mempamerkan arahan yang terkawal dan dirancang dengan baik. Filem ini berjaya mengangkat tema permasalahan remaja ke taraf yang lebih besar.

Namun apa yang lebih serius ialah ia juga mendukung falsafah besar, tentang hak asasi wanita secara halus dan tulus - bukan dalam bentuk syarahan kata bual retorik lagi panjang meleret.

Kelainan Gol Dan Gincu adalah ia bercerita dengan integriti. Ini satu perbezaan yang jauh dengan filem-filem sebelum ini. Kerana itu penonton tidak rasa tertipu, terpedaya dan diperbodoh-bodohkan apabila keluar panggung.

Ada filem yang akan membuat kita merasa tersiksa, rimas dan bodoh lepas menonton. Tiket RM10 dibayar, rasa seperti nak minta balik kerana pengarah filem itu cuba menghina keintelektualan kita dengan cerita-cerita yang dangkal dan separuh masak.

Tapi Gol Dan Gincu bercerita dengan penuh bersahaja. Satu contoh paling ketara ialah cara nama-nama penaja besar diselitkan dengan secara disedari. Penaja seperti Adidas, Coca Cola dan Hotlink tidak nampak terpampang dengan sengaja seperti yang selalu kita lihat dalam filem Melayu kita sebelum ini.

Di sini jelas kreativiti Bernard menjalinkan kesan visual yang menarik dengan nilai-nilai komersil. Dialog juga tidak panjang bersyarah, tetapi menggunakan bahasa harian, sesuai dengan watak-watak remaja yang ditampilkan.

Inilah dimensi baru dalam Gol Dan Gincu. Ia menyingkap masalah sosial yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini. Masalah-masalah sosial remaja yang dianggap ringan oleh masyarakat. Soal cinta dan putus asa dengan isu-isu anak luar nikah dan sumbang mahram (sebagai sub plot sahaja). Isu-isu yang tersirat kebanyakannya berligar di sekitar kaum wanita. Ia kisah Putri (Nur Fazura), dikecewakan oleh Eddy (Ashraf Sinclair) lalu berusaha memperbaiki dirinya dengan bergiat aktif dalam permainan futsal.

Jika pada cerita biasa, kita akan mengandaikan Putri, setelah dikecewakan oleh Eddy, akan mencari cinta dengan lelaki lain, tapi tidak dalam Gol Dan Gincu. Putri tidak cuba mengubat hati dan membakar semangatnya dengan mencari cinta baru, tetapi menemui kekuatan dalam diri seorang rakan, Jiji (Sharifah Amani).

Ji membakar semangat Putri yang akhirnya mereka sama-sama berjaya dalam futsal. Gol Dan Gincu telah membawa wanita pada dimensi yang baru, bahawa hidup tidak berakhir apabila kecewa atau putus cinta.

Di tengah-tengah gejala sosial yang melanda masyarakat hari ini, mesej positif ini penting diterapkan dalam filem. Menukar tentangan menjadi peluang. Ini yang jelas pada watak-watak seperti Putri dan rakan-rakannya, bahawa kegagalan itu boleh bertukar menjadi kejayaan.

Gol Dan Gincu menggabungkan pelakon muda lain seperti Sazzy Falak, Melissa Maureen, Mohd Piere Andre, serta pelakon-pelakon terkenal seperti Ida Nerina, Khatijah Tan, Zahim Albakri dan Yasmin Yusof.

Selain itu, ia juga disulami dengan lagi-lagu seperti Teruja (Ella), Percaya Diriku (Ella) dan Generasiku (Radhi OAG)

 

 

Friday, October 21, 2005

Al- Fatihah buat First Lady

Parti-parti politik mengucapkan takziah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekeluarga kerana kematian Datin Seri Endon Mahmood.

Endon, 64, menghembuskan nafas terakhir pada 7.55 pagi tadi di Sri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.

Saya menerima berita tersebut kira-kira 10 minit selepas itu ketika berada dalam bilik kuliah memberi kuliah harianku.

Sejak dari SMS tersebut, tidak henti-henti telefon bimbitku bergetar. Aku abaikan panggilan-panggilan itu dan terus menunaikan tanggungjawab kepada pelajar-pelajar di hadapanku. Mereka pun nampaknya gusar kerana telefonku itu tidak henti-henti bergetar.

Sebaik sahaja selesai kuliah, aku mendapat panggilan meminta aku menemani Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali untuk menyampaikan salam takziah ke Perdana Menteri.

Walaupun berat, aku akur kerana itu adalah kepercayaan orang terhadapku. Aku terus pastikan bahawa kamera aku berada dalam keadaan yang baik supaya kenangan peristiwa itu nanti dapat diabadikan.
Sejurus kemudian, datang pula Naib Presiden, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah serta Ketua Penerangan, Tian Chua untuk bersama-sama kami ke Putrajaya.

Exco Angkatan Muda, Muhammad Gaddafi juga hadir menemani rombongan kami.

Azmin mencadangkan rombongan KeADILan pergi bersama-sama rombongan PAS yang diketuai oleh Mursyidul Amnya, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang akan tiba dari Kota Bharu.

Kehilangan besar
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mengucapkan takziah kepada keluarga Abdullah dan menyifatkan kematian Endon sebagai satu kehilangan besar bagi negara.

“Kami berharap Perdana Menteri dan keluarganya tabah dan bersabar menghadapi dugaan ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu ketua pembangkang, Lim Kit Siang yang dihubungi pula berkata; “Walaupun Endon baru dua tahun menjadi isteri Perdana Menteri, beliau telah berjaya memenangi hati rakyat dengan sifat lemah lembut, murah hati dan ketabahannya.”
“Ketabahan beliau melawan penyakitnya menjadi inspirasi kepada semua,”ujarnya.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad pula menyatakan, kehilangan Endon akan dirasai oleh semua rakyat.

“Kami harap Perdana Menteri tabah menghadapi tempoh yang sukar ini berikutan kematian dua orang yang disayanginya, ibunya dan isteri tercintanya,” tambah beliau.
Ibu Abdullah, Allahyarham Kailan Hassan meninggal dunia Februari lalu.

 

 

Sunday, October 16, 2005

Mawi Mania tidak gugat Adam


Pemenang kedua dalam pertandingan nyanyian realiti TV, Akademi Fantasia 2004, Adam sempat juga menghasilkan album sungguhpun perhatian peminat beralih tumpuan kepada Mawi (Pemenang pertandingan yang sama musim seterusnya).

Dari pemerhatian, banyak undangan tertumpu kepada Mawi yang sanggup berbayar berpuluh ribu bagi memastikan anak muda itu dapat muncul dalam sesebuah persembahan. Ianya didapati menenggelamkan artis-artis Akademi Fantasia yang lain.

Menurut Adam, kemuculan bintang-bintang Akademi Fantasia musim ketiga terutama Mawi tidak menggugat kedudukannya dalam industri muzik kerana "masing-masing mempunyai peminat tersendiri."

Adam (AF2) atau nama sebenarnya Aizam Mat Saman, 22 tahun berterima kasih kepada Maestro, syarikat yang menguruskannya memberi kelonggaran kepadanya untuk menghasilkan album dengan KRU Music memandangkan beliau mempunyai ikatan kontrak bersama Maestro selama tiga tahun.

Pelancaran albumnya dibuat di sebuah hotel terkemuka di ibukota yang dianjurkan oleh Kru Music Group Sdn Bhd pada 27 September lalu.

Adam pernah menghasilkan single bersama abang-abang KRU yang selama ini menjadi pujaannya. Lagu 'Terhangat di Pasaran,' berjaya berada di carta lagu pujaan.

Selain dari itu, Adam juga dijemput untuk menghasilkan single-single lain seperti Haruskah dan Menggapai Bintang yang juga dimuatkan dalam album Adam dalam versi remix.

Mungkin disebabkan penerimaan peminat terhadap single tersebut, KRU sanggup untuk membuat pelaburan bagi menghasilkan sebuah album khusus untuk Adam bertajuk Adam.

Album yang diterbitkan oleh Edry itu tidak lari daripada genre yang biasa dihasilkan oleh KRU seperti Sana Sini, Seri Satu Sama, Walaupun dan Keliru.

Dalam kesibukannya, Adam juga sempat untuk meyumbang lagu ciptaannya sendiri, Ku Bertanya.

Dari riak mukanya ketika majlis pelancaran album itu, jelas menampakkan kegembiraan Adam kerana berjaya menghasilkan album solo.

Ternyata, Adam amat terhutang dengan KRU kerana berjaya menyiapkan album tersebut dengan jadual persembahannya yang begitu ketat.

Menurut sumber yang diperolehi, setiap persembahan yang diterima oleh Adam dan rakan-rakan Akademi Fantasia yang lain, 25 peratus daripadanya adalah milik Maestro.

Selain daripada Zahid, rakan-rakan seangkatan lain dari Akademi Fantasia yang sudah menghasilkan album ialah Farah.

Peminat-peminat muzik yang mahu mengetahui perkembangan Adam mungkin sedikit terkeliru dengan mendapat sumber sahih artis tersebut kerana mempunyai dua laman yang mewakili Adam iaitu adamfcm.com hasil kelab peminatnya dan adamaf.com yang dihasilkan oleh syarikat rakaman, Kru Music.

Adam akan memulakan promosi selepas Ramadhan dan pada waktu sama turut terbabit dengan promosi filem Main-Main Cinta lakonan pertamanya sebagai hero bergandingan dengan penyanyi popular Misha Omar.

 

 

Kameranya simpan banyak kenangan reformasi


Oleh kerana mahukan maklumat reformasi tersebar luas, beliau sanggup menyimpan wang pencennya untuk memberi sebuah kamera video bagi merakam siri ceramah pihak alternatif dan diedarkan kepada rakan saudara. Dalam kebanyakan program reformasi, dia sentiasa kelihatan menjinjing kamera video Sony yang berharga RM4,000 .

Sebaik sahaja pencen pada 12 September 1998 lalu, Mohd Rozi Othman, 61, mengikuti program reformasi seluruh negara dan rasa bertanggungjawab untuk menyebarkan maklumat-maklumat yang disampaikan itu kepada orang ramai awam.

Baginya, usia tidak pernah menjadi penghalang untuk bergerak aktif dalam gerakan reformasi terutama sekali dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.

Rozi kini sedang mengikuti kursus mengedit filem dari seorang rakan. Hasratnya ialah supaya material yang ada padanya selama menghadiri program reformasi; samada kes perbicaraan, demonstrasi jalanan mahupun ceramah; akan dapat dipersembahkan dengan penyampaian yang begitu memberi kesan kepada penonton.

Cita-citanya ialah untuk menghasilkan satu fiem dokumentari yang memaparkan peristiwa reformasi di negara ini.

Sebelum ini, Rozi yang mesra dengan panggilan 'Cikgu Rozi' seorang pensyarah di institut kemahiran milik kerajaan selama 23 tahun. Bidang kemahirannya iaitu kejuruteraan mekanikal tidak ada bersangkutan langsung dengan seni fotografi.

Beliau memiliki sijil perguruan dari di Berlin, Jerman di bawah biasiswa tajaan kerjaan Jerman (1974-1975) dan pernah menjalani kursus Perkhidmatan Pembangunan Mekanikal di Jepun pada tahun 1974.

Dalam menjalankan tugasnya sebagai tenaga pengajar, beliau sering meletakkan dirinya sama seperti pelajar-pelajar kerana beliau berpendapat komunikasi di antara pelajar dan dirinya akan lebih berkesan lagi.

Menurut Rozi akibat daripada sifat ego sesetengah guru dan memandang rendah terhadap pencapaian pelajar, hasilnya adalah mendapat pelajar yang pasif dan tidak yakin dengan pencapaian sendiri.

Beliau tidak hairan mengapa seramai lebih 80,000 graduan kini sukar untuk mendapat pekerjaan.

Usaha yang dibuat itu tidak sedikit pun mengharapkan imbuhan, 'hanya kepada perjuangan.'

Keunikan yang terdapat pada beliau ialah pada rambutnya yang putih dan panjang mencecah pinggang. Janggut juga disimpan sehingga paras atas perut. Namun, rambut-rambut itu dijaga sungguh rapi. Rambutnya ditocang kemas.

Alasan beliau menyimpan rambut sepanjang itu adalah nazar ketika bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimasukkan ke penjara.

Sejak itu, beliau tidak pernah memotong rambut dan janggutnya sehingga Anwar dibebaskan. Anwar sendiri, pada malam selepas pembebasannya diminta supaya memotong tocangnya.

Sungguhpun Cikgu Rozi sejak 1976 adalah seorang Ketua Umno Cawangan Selayang Baru Barat, beliau bertindak untuk keluar parti kerana percaya bahawa Anwar Ibrahim berada di pihak yang benar.

Baginya yang pernah mempelajari teknik mengajar 'pedagogy body language' ketika berada di Jerman pada tahun 1974 dahulu, berpendapat, daripada cara penyampaian dan penerangan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir; beliau yakin Mahathir berbohong.

Bercerita mengenai pengalaman beliau berada di perhimpunan-perhimpunan aman, Rozi memberitahu bahawa beliau tidak dapat menerima sebarang tindakan zalim yang berlaku di depan matanya.

Apabila mengetahui peristiwa pemecatan Timbalan Perdana Menteri, beliau memberitahu bahawa ia tergerak untuk mendengar sendiri ucapan daripada tertuduh yang pada ketika itu diadakan di Masjid Negara.

Lautan manusia yang hadir di Masjid Negara dan kemudiannya berarak ke Dataran Merdeka menyemarakkan lagi kepercayaan bahawa bukan hanya dirinya sahaja yang mempertikaikan kenyataan Mahathir.

Sungguhpun kurang jelas mendengar ucapan Anwar Ibrahim dari satu sudut yang jauh, tetapi beliau masih ingat lagi pada perhimpunan itu isteri beliau, Datin Seri Wan Azizah ismail melaungkan 'Ikrar Perjuangan Sehingga Titisan Terakhir.'

Itulah yang membuatkan Rozi komited terhadap perjuangan reformasi sehingga kini.

Selain daripada mengisi aktivitinya dengan 'hobi'nya itu, Rozi juga membantu isterinya dalam membuat kerja-kerja rumah.

Beliau yang mempunyai tujuh orang anak itu kini diuruskan oleh Rozi sendiri kerana tidak sanggup melihat isterinya bekerja dan menjaga rumahtangga dalam satu masa. Dua daripadanya sudah pun berumahtangga dan yang bongsu baru berumur 11 tahun.

Dari tugas menyediakan sarapan pagi, membasuh pakaian hinggalah memotong rumput, beliau yang lakukan.

Bertanya mengenai persepsi orang sekeliling, beliau tidak menafikan ada suara-suara sumbang yang bercakap menganainya tetapi buat Rozi ianya sedikit pun tidak mengganggu tugasnya bahkan merasa bangga kerana masih dapat menyumbang sungguhpun usia sudah lanjut.

Bagi memastikan keakraban seisi keluarganya, setiap hujung minggu beliau pastikan semua anakya berkumpul dan bertadarus membaca al-Quran dan menghayati maksudnya.

Beliau kini memangku jawatan Setiausaha KeADILan Cawangan Selayang Baru Barat.

 

 

Sunday, October 09, 2005

ULASAN ALBUM - Adam jadi bayang-bayang KRU


ULASAN ALBUM / Adam jadi bayang-bayang KRU


Muzik disco-rap yang terkandung dalam album Adam mempunyai tempias daripada muzik-muzik dalam album adik-beradik KRU. Penampilan gaya penyanyi hip-hop yang diketengahkan sesuai dngan imej album Adam.

Daripada 10 lagu yang dimuatkan dalam album ini, tiga daripadanya pernah dimuatkan dalam single KRU sebelum ini.

Jatuh diyakini bakal menjadi siulan peminatnya terutama dari kalangan wanita manakala Walaupun lebih berkonsepkan nostalgia KRU era Awas.

KRU juga terlibat dalam album ini di mana lagu Terhangat di Pasaran juga melibatkan kumpulan KRU.

Bagi lagu Menggapai Bintang yang pada asalnya dinyanyikan oleh Zahid dan Farah, ianya dinyanyikan secara solo oleh Adam.

Selain daripada Adnan Abu Hassan yang mencipta lagu Menggapai Bintang, komposer lain yang terlibat adalah Ajai, Alvy Durin dan Adam sendiri melalui lagu Ku Bertanya.

Haruskah adalah lagu yang dipertandingkan dalam pertandingan akhir Akademi Fantasia 2 yang menjulangnya sebagai pemenang tempat ketiga.

Ku Bertanya menguji Adam dalam peciptaan lagu dan ianya sungguh disenangi peminatnya. Ku Bertanya adalah lagu berbentuk acapella yang hanya menggunakan gitar kapok dan dibantu oleh petikan jari.

Edry bertindak sebagai penerbit bagi album ini dan turut menyumbang lima buah lagu.


Sungguhpun Adam sebuah album bercorak laju, ada juga lagu yang berentak perlahan seperti 'Jatuh' dan 'Ku Bertanya.'

Ternyata artis dari pertandingan nyanyian realiti TV, Akademi Fantasia 2004 ini akan menggunakan platform tersebut bagi memasarkan album ini, terutama sekali di kalangan peminat fanatik Adam (melalui Kelab Peminatnya, AFCM) dan peminat baru.

Album ini sesuai dengan penampilan Adam sekiranya beliau mahu menyampaikan lagu-lagu tersebut dengan gerak tarian bersama kumpulan Forty-G yang turut menyampaikan rap mereka dalam lagu Tak Tahu.

 

 

Friday, October 07, 2005

Mahu jadi contoh kepada generasinya

Bermula dari tarikh pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998, tidak ada lagi menoleh ke belakang bagi Mohamad Azra Abd Razak, 24 tahun.

Memandangkan terdapat pelbagai pertuduhan yang mengarut yang dilemparkan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Azra mengajak bapanya ke rumah Anwar bagi mengetahu sendiri apakah kisah di belakang pemecatan itu.

"Kami tidak menyangka beribu lagi rakyat yang juga berperihatin seperti kami," terang Azra.

Pada waktu itu, Azra baru sahaja selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Taman Melawati.

Pada pendapatnya, pemikiran orang muda dipenuhi dengan keperluan material dan sifat individualistik.

"Mereka faham korupsi yang ada pada Umno dan Barisan Nasional (BN) tapi tidak yakin dengan KeADILan," ujarnya lagi.

Baginya, generasinya dilalaikan dengan hiburan-hiburan yang memesongkan perhatian terhadap kemelut ekonomi, politik dan sosial di negeri sendiri.

Anak sulung kepada lima orang adik beradik memberitahu, sebelum ini beliau dan seluruh keluarganya mengagumi Perdana Menteri, Datuk Seri Mahathir Mohamad dan dibelakangi timbalannya yang berjiwa rakyat.
Sejak dari itu, Azra tidak pernah tinggal menghadiri setiap perhimpunan yang diadakan di ibu kota termasuk perbicaraan mahkamah yang melibatkan Anwar Ibrahim.

"Saya sanggup meninggalkan kuliah semata-mata untuk mengetahui sendiri perjalanan perbicaraan," kata Azra.

Beliau yang selesai mengikuti A-Level di kolej swasta kini bertugas sebagai setiausaha kerja KeADILan bagi negeri Selangor.

Namun, saya masih mempunyai cita-cita untuk menghabiskan program perundangan dI universiti di Wales.
Menyorot kembali kepada perhimpunan yang disertainya, pengalaman yang paling mendatangkan kesan adalah ketika menghantar memorandum memohon perubatan kepada kes Arsenik yang dipercayai dilakukan terhadap Anwar Ibrahim ketika dalam penjara.

Perhimpunan pada tahun 2001 itu diketuai oleh Azmin Ali dan puteri Anwar Ibrahim sendiri, Nurul izzah Anwar.

"Saya berada di barisan hadapan dan menghadap sendiri dengan barisan Unit Pasukan Simpanan (FRU) yang menghalang orang ramai berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara,"

Menurut Azra, beliau adalah orang yang paling muda dan paling kecil berada di barisan hadapan.
Dalam perhimpunan itu, terdapat lebih kurang 20,000 orang berhimpun dan sama-sama berarak untuk menghantar memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia, Yang diPertuan Agong.

Akibat daripada komitmen yang bergitu tinggi, Azra menawarkan keseluruhan pakej yang dia miliki terhadap KeADILan dalam memantapkan organisasi.

Baginya, parti ini adalah parti masa hadapan dan cocok dengan generasi akan datang.

Selain daripada Setiausaha Negeri, Azra merupakan exco Angkatan Muda KeADILan Bahagian Gombak.

 

 

Monday, October 03, 2005

KENYATAAN MEDIA 3 Oktober 2005

Angkatan Muda Malaysia mengucapkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa pengeboman di Bali, Indonesia yang mengakibatkan kematian seramai 26 dan yang mengalami kecederaan seramai lebih 50 orang.

Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas yang berlaku kepada negaraitu pada 2 Oktober lalu. Kejadian itu telah mengakibatkan kematian dan kecederaan kepada orang-orang yang tidak berdosa yang sedang beristirehat di dua restoran di Jimbaran dan satu lagi di Kuta yang sejauh 30 km daripada tempat pertama.

Tindakan mengatasi keganasan memerlukan kerjasama erat di antara negara-negara Asia Tenggara terutama sekali persepakatan dan persefahaman antara negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia.

Malaysia sepatutnya menawarkan bantuan untuk mempertingkatkan keselamatan yang secara tidak langsung menggugat Malaysia sendiri.

Walaupun demikian, penyiasatan dan sebarang tindakan anti-terrorisme seharusnya tidak menggugat prinsip hak asasi manusia dan perbicaraan yang bebas. Ianya mestilah dijalankan secara telus.

Rakyat harus diyakini bahawa tindakan-tindakan seperti ini tidak dijadikan sebagai alat atau alasan menindas kumpulan-kumpulan yang tidak disenangi oleh pemerintah.

Kami menentang sebarang penangkapan dan pertuduhan tanpa perbicaraan, seperti apa yang dilakukan oleh Malaysia dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kita tidak bertolak ansur untuk sesiapa yang melakukan keganasan ini dan berharap agar pihak yang bertanggungjawab dibicarakan di mahkamah terbuka dan menerima hukuman yang sewajarnya.

Penggunaan ISA bukanlah satu pendekatan yang berkesan dalam menyelesaikan masalah dan mengatasi keganasan.


Disediakan oleh:

Faisal Mustaffa
Pengerusi Biro Antarabangsa
Angkatan Muda Malaysia

3 Oktober 2005

 

 

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com