Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Saturday, October 22, 2005

ULASAN FILEM - Gol dan Gincu


Satu Perjuangan Maruah Wanita

Nama Bernard Chauly mungkin agak asing bagi penonton-penonton di luar bandar seperti di Masjid Tanah atau di Felda Taib Andak, sekalipun. Tapi tiba-tiba sahaja nama ini menjadi sebutan di kalangan industri filem. Walapun baru muncul pertama kali sebagai pengarah dalam industri yang penuh glamour ini, namun Bernard bukanlah orang yang betul-betul baru dalam dunia pengarahan filem.

Sebelum ini, dia pernah menghasilkan klip video untuk Siti Nurhaliza dalam lagu Debaran Cinta. Manakala dalam pengarahan drama pula, anak muda ini sudah mengarah drama tv seperti "Piala Untuk Mama", "Multimedia Super Cintun" dan beberapa episod dalam siri 3R, syarikat yang menerbitkan filem Gol Dan Gincu, milik Marina Mahathir.

Walaupun masih dianggap sebagai "budak baru" di layar filem, Bernard bagaimanapun boleh berbangga dengan hasil sulungnya. Ia suatu kelainan yang memberangsangkan selepas Sepet. Bahkan, dalam beberapa sudut, Gol Dan Gincu dianggap lebih baik dari Sepet kerana nilai komersil dan mesej yang tersisip - menjadikan Gol Dan Gincu sesuai untuk tontonan keluarga.

Beliau mungkin bukan Profesor Madya atau pengarah filem popular industri ini namun hasil kerjanya mempamerkan arahan yang terkawal dan dirancang dengan baik. Filem ini berjaya mengangkat tema permasalahan remaja ke taraf yang lebih besar.

Namun apa yang lebih serius ialah ia juga mendukung falsafah besar, tentang hak asasi wanita secara halus dan tulus - bukan dalam bentuk syarahan kata bual retorik lagi panjang meleret.

Kelainan Gol Dan Gincu adalah ia bercerita dengan integriti. Ini satu perbezaan yang jauh dengan filem-filem sebelum ini. Kerana itu penonton tidak rasa tertipu, terpedaya dan diperbodoh-bodohkan apabila keluar panggung.

Ada filem yang akan membuat kita merasa tersiksa, rimas dan bodoh lepas menonton. Tiket RM10 dibayar, rasa seperti nak minta balik kerana pengarah filem itu cuba menghina keintelektualan kita dengan cerita-cerita yang dangkal dan separuh masak.

Tapi Gol Dan Gincu bercerita dengan penuh bersahaja. Satu contoh paling ketara ialah cara nama-nama penaja besar diselitkan dengan secara disedari. Penaja seperti Adidas, Coca Cola dan Hotlink tidak nampak terpampang dengan sengaja seperti yang selalu kita lihat dalam filem Melayu kita sebelum ini.

Di sini jelas kreativiti Bernard menjalinkan kesan visual yang menarik dengan nilai-nilai komersil. Dialog juga tidak panjang bersyarah, tetapi menggunakan bahasa harian, sesuai dengan watak-watak remaja yang ditampilkan.

Inilah dimensi baru dalam Gol Dan Gincu. Ia menyingkap masalah sosial yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini. Masalah-masalah sosial remaja yang dianggap ringan oleh masyarakat. Soal cinta dan putus asa dengan isu-isu anak luar nikah dan sumbang mahram (sebagai sub plot sahaja). Isu-isu yang tersirat kebanyakannya berligar di sekitar kaum wanita. Ia kisah Putri (Nur Fazura), dikecewakan oleh Eddy (Ashraf Sinclair) lalu berusaha memperbaiki dirinya dengan bergiat aktif dalam permainan futsal.

Jika pada cerita biasa, kita akan mengandaikan Putri, setelah dikecewakan oleh Eddy, akan mencari cinta dengan lelaki lain, tapi tidak dalam Gol Dan Gincu. Putri tidak cuba mengubat hati dan membakar semangatnya dengan mencari cinta baru, tetapi menemui kekuatan dalam diri seorang rakan, Jiji (Sharifah Amani).

Ji membakar semangat Putri yang akhirnya mereka sama-sama berjaya dalam futsal. Gol Dan Gincu telah membawa wanita pada dimensi yang baru, bahawa hidup tidak berakhir apabila kecewa atau putus cinta.

Di tengah-tengah gejala sosial yang melanda masyarakat hari ini, mesej positif ini penting diterapkan dalam filem. Menukar tentangan menjadi peluang. Ini yang jelas pada watak-watak seperti Putri dan rakan-rakannya, bahawa kegagalan itu boleh bertukar menjadi kejayaan.

Gol Dan Gincu menggabungkan pelakon muda lain seperti Sazzy Falak, Melissa Maureen, Mohd Piere Andre, serta pelakon-pelakon terkenal seperti Ida Nerina, Khatijah Tan, Zahim Albakri dan Yasmin Yusof.

Selain itu, ia juga disulami dengan lagi-lagu seperti Teruja (Ella), Percaya Diriku (Ella) dan Generasiku (Radhi OAG)

3 Comments:

At 5:44 am, Anonymous Anonymous said...

Well done!
[url=http://odfsqnig.com/umfg/cvid.html]My homepage[/url] | [url=http://msduijea.com/kqjm/hlbs.html]Cool site[/url]

 
At 5:44 am, Anonymous Anonymous said...

Good design!
My homepage | Please visit

 
At 5:44 am, Anonymous Anonymous said...

Well done!
http://odfsqnig.com/umfg/cvid.html | http://nckivium.com/ehgb/omxl.html

 

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com