Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Friday, September 23, 2005
Kerajaan guna gangster usir peneroka bandar
Dr Mohamad Nasir Hashim, 59 Pengerusi Suara Warga Pertiwi, sebuah NGO yang memperjuangkan Hak Perumahan dan Menentang Pengusiran Paksa. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar, selain pengasas Parti Sosialis Malaysia (PSM) sejak 1998.Beliau terkenal sebagai susuk yang sering bersama penduduk dalam demontarsi menghalang perobohan rumah-rumah peneroka bandar. Ikuti wawancara bersama Faisal Mustaffa bagi mengetahui sendiri masalah yang dihadapi oleh peneroka bandar.
Bagaimana peneroka bandar ini boleh wujud? Bagaimana Dr membezakan di antara setinggan dan peneroka bandar?
Menurut sejarah, isu ini timbul dengan mendadak sekali pada sekitar tahun 1970 melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mengindustrialisasikan negara kita. Ini bermakna kita akan mempunyai banyak kilang masalah yang timbul ialah pekerja untuk mencapai matlamat tersebut.
Perdana Menteri Tun Abdul Razak merayu pada orang kampung untuk berhijrah ke bandar. Mereka digalakkan membina perkampungan yang berdekatan dengan kawasan bekerja. Orang kampung menyambut baik tawaran tersebut. Mereka berpindah ke bandar dan meneroka bekas lombong, paya, hutan belukar dan tempat buangan sampah.
Kuala Lumpur berkembang, keadaan tersebut berubah. Apabila kawasan yang dibangunkan itu melibatkan penempatan tersebut, peneroka bandar tadi dianiayai. Tetapi, mereka pengundi. Orang politik boleh memasuki perkampungan mereka untuk mendapatkan undi, mereka diberi balairaya, dibekalkan kemudahan telefon, jalan tar disediakan. Ini bermakna, kawasan tersebut adalah kawasan perkampungan, bukannya kawasan setinggan.
Mereka ini sudah tinggal di tempat tersebut selama 20 hingga 30 tahun. Sekiranya mereka baru menduduki kawasan tersebut dua hingga tahun, ya, mereka boleh dipanggil setinggan. Peneroka bandar ini, seperti yang saya katakan bukannya membuka kawasan di tanah rata. Dari tanah lombong, mereka menimbusnya, kawasan paya ditambaknya. Mereka mengusahakan tanah tersebut.
Bagaimana keadaan peneroka bandar sekarang?
Pada waktu dulu, kaedah pengusiran dijalankan dengan menjanjikan penempatan semula di rumah panjang sebelum penempatan tetap di rumah pangsa. Tetapi selepas 10 tahun di rumah panjang, mereka masih hidup dalam keadaan yang sungguh daif. Sekarang, kita lihat perobohan rumah berlaku dengan lebih kejam. Kita gagal memohon untuk mendapat penempatan baru apabila notis pengusiran diterima.
Kita memohon pada mahkamah agar setinggan diberi taraf peneroka bandar. Akhirnya, pihak mahkamah membenarkan setelah mendengar hujah-hujah kami. Hakim Mahkamah Tinggi Tan Sri Harun Hashim pada 1985 dalam penghakimannya untuk kes Bumi Hijau lawan DBKL menerima status peneroka bandar menggantikan setinggan. Hasilnya dapatlah peneroka bandar sedikit ruang menyatakan hak bagi menuntut pampasan dan sebagainya.
Ini berlaku apabila pemaju menggunakan Pejabat Tanah untuk merampas tanah penduduk menggunakan Peraturan 425 dan 426 Akta Kanun Tanah Negara. Sekiranya pemaju hendak membawa kes ke mahkamah, mereka perlu menggunakan Order 89 bagi mendapat perintah mahkamah. Manakala melalui Oder 53 , kita boleh memohon kepada mahkamah memberhentikan tindakan pihak penguasa daripada merobohkan perkampungan setinggan.
Apakah hak peneroka bandar ini sekiranya tanah tersebut ingin diambil balik oleh pemilik tanah asal?
Sekiranya seseorang itu mempunyai sebidang tanah dan terbiar. Ada sebuah keluarga mendiami kawasan tersebut. Pemilik tanah itu tahu ada orang tinggal di tanah tersebut dan tidak berbuat apa-apa kerana dia tidak mengusahakannya.
Sepuluh tahun kemudian, pemilik itu membuat keputusan hendak mengusahakannya. Dia tidak boleh mengusir keluarga yang mendiami tanah tersebut. Oleh kerana dia tidak mengusir keluarga itu pada peringkat awal, secara tidak langsung, dia mengizinkan keluarga tersebut mendiami tanahnya.
Apabila keluarga tersebut tinggal di tanah itu, kita dapati mereka ini mengusahakannya.
Sekiranya pemilik itu mahukan tanah itu kembali, dia sepatutnya membayar balik apa yang sudah dilakukan oleh keluarga tersebut, kos pembangunan yang dijalankan itu.
Itulah sebabnya, kita tidak mengizinkan sesiapa juga menggelar mereka yang membuka sesebuah kawasan itu sebagai setinggan kerana peneroka bandar mempunyai hak terhadap pembangunan yang dijalankan kepada tanah yang diduduki.
Persoalan yang sering saya utarakan ialah apakah kesukarannya bagi sesebuah kerajaan itu mewujudkan satu klausa yang mengatakan pemilik tanah yang ingin mengambil kembali tanah bagi tujuan pembangunan, maka dia sepatutnya meletakkan sejumlah pampasan kepada peneroka sebelum itu bagi tujuan pemindahan.
Bagaimana pula dengan persepsi orang awam mengenai peneroka bandar?
Ada yang mengatakan peneroka bandar ini cuba mengambil kesempatan. Sebagai contoh, ada peneroka bandar yang membina rumah di perkampungan setinggan tetapi mempunyai hartanah lain. Ada juga peneroka bandar menyewakan rumahnya di perkampungan setinggan tetapi menyewa kepada pihak ketiga bagi mendapatkan keuntungan.
Saya tidak menafikan bahawa pengambil kesempatan wujud. Adakah 90 peratus daripada jumlah keseluruhan peneroka bandar yang berbuat demikian? Isunya adalah, walaupun benar mereka menduduki di perkampungan setinggan sedangkan mempunyai rumah-rumah lain, mereka juga sudah tentu mahu menaikkan taraf penghidupan mereka.
Mungkin mereka pada asalnya bekerja sebagai budak pejabat, bekerja keras dan kini menjawat jawatan pegawai. Oleh sebab tanah dijanjikan oleh kerajaan, dengan itu orang itu tetap tinggal di perkampungan tersebut.Orang itu dianggap cuba mengambil kesempatan jika dia baru sahaja menduduki perkampungan tersebut selama tiga tahun dengan memiliki rumah dan kereta besar.
Kalau kita perhatikan, rumah peneroka bandar lebih teratur berbanding dengan keadaan di negara-negara jiran. Ini adalah kerana peneroka bandar mempunyai masa untuk menyusun perkampungan mereka kerana mereka sebelum ini dijanjikan oleh kerajaan.
Saya ingin menyentuh hasrat kerajaan negeri Selangor bagi mencapai matlamat "Setinggan Sifar". Bagaimana negeri seperti Selangor mahu mencapai status negeri maju sekiranya mereka mengangap peneroka bandar sebagai kekangan dalam mencapai objektif tersebut?
Sepatutnya sekiranya Selangor mahu mencapai status "Setinggan Sifar," maka kerajaan negeri mestilah menyediakan perumahan terlebih dahulu terutamanya kepada golongan miskin. Jangan letakkan tarikh pada matlamat tersebut sekiranya masih belum dapat menyediakan perumahan tersebut.
Jika 2005 menjadi matlamat "Setinggan Sifar," maka kerja bagi mencapai matlamat tersebut perlu dimulakan pada beberapa tahun sebelum itu. Bukan dengan cara mengganas untuk mencapai matlamat tersebut. Seolah-olah kita tidak mempunyai peraturan.
Ada pihak yang mengatakan peneroka bandar merupakan punca kepada masalah sosial di kawasan bandar iaitu kemiskinan bandar. Apa pendapat Dr?
Kalau kita nampak peminta sedekah dan kita memberinya wang, kita tersenyum puas. Tetapi, pernahkah kita tanya apakah puncanya pengemis itu berkeadaan demikian?
Bagi kes peneroka bandar, 90 peratus daripada penghuni peneroka bandar adalah daripada golongan pekerja. Mereka dibayar dengan kadar yang rendah. Mereka tidak mampu untuk memiliki rumah. Bagi mengatasi masalah tersebut, keluarga tersebut terpaksa bekerja lebihan masa bagi menampung kekurangan tersebut. Kualiti hidup tidak diutamakan. Dalam fikiran mereka, apa yang lebih penting adalah kelangsungan hidup (survival).
Apakah pendirian negara berkaitan dengan status peneroka bandar ini?
Di peringkat antarabangsa, kita menandatangani Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Mac 1993 yang menegaskan bahawa perobohan rumah secara paksa adalah satu kezaliman yang mencerobohi hak asasi manusia. Malaysia adalah salah statu negara yang menandatangani resolusi tersebut. Pada waktu itu tiada siapa yang menentang kerana sebarang penentangan kepada resolusi tersebut akan menonjolkan sikap kita yang tiada perikemanusiaan.
Setiap kali terdapat perobohan secara kejam, dalam kenyataan yang kami keluarkan, kita nyatakan resolusi tersebut. Walaupun sesebuah penempatan itu masih tertangguh di mahkamah, mereka masih melakukan perobohan tersebut. Ini boleh dikatakan satu penghinaan kepada mahkamah.
Seingat Dr, bolehkan nyatakan kes-kes perobohan yang secara terang-terang melanggar hak asasi manusia?
Pada awal tahun 1990an, perobohan terjadi di Kampung Pandan. Pihak penguasa menggunakan gangster untuk meleraikan halangan yang kita adakan. Sekarang ini pun kaedah mengupah gangster juga masih digunakan lagi.
Pada tahun yang sama juga saya ditahan semasa pihak penguasa cuba untuk meratakan kawasan peneroka bandar di Seri Sentosa, Jalan Klang Lama. Pihak penguasa pada masa itu menghantar satu kumpulan seramai 30 orang ke setiap rumah bagi tujuan meroboh. Mereka cuba mengosongkan rumah apabila perobohan itu bermula. Saya bersama kira-kira sepuluh penduduk kampung tidak mahu bekerjasama, lalu ditahan.
Di Estet Sungai Rasau, Selangor ada di antara para aktivis dipukul gangster ketika cuba untuk memberhentikan perobohan. Apabila kita membuat laporan polis, tiada sebarang penyiasatan dilakukan. Apabila orang kampung memukul gangster untuk melindungi rumah mereka, orang kampung itu ditangkap.
Kaedah lain yang saya nampak berlaku apabila berlaku perobohan di Bukit Sungai Puteh, Ampang. Mereka gazetkan kawasan tersebut dan menghalang orang yang berada di luar kawasan perkampungan memasuki kawasan tersebut. Saya cuba untuk memasuki kawasan tersebut dan pada waktu itu terdapat pegawai-pegawai polis cawangan khas (SB) berada di setiap lorong masuk ke kawasan tersebut. Mereka merayu kepada saya supaya tidak mencampuri urusan mereka. Dari jauh saya lihat kawasan itu diratakan.
Di Sungai Puteh sendiri, perobohan di kawasan penempatan peneroka bandar itu dilakukan sebanyak enam kali. Apa yang mereka lakukan ialah melakukan perobohan sehari sebelum hari perbicaraan. Apabila tiba hari perbicaraan, kes tersebut menjadi kes akademik kerana rumah sudah tidak wujud lagi.
Keadaan di Kampung Kerinchi pula berbeza. Cara yang mereka lakukan ialah dengan bakar perkampungan tersebut. Cara itu akan meninggalkan penduduk kampung itu sehelai sepinggang.
2 Comments:
Navman's latest Pocket PC GPS, the PiN 570
Damned if there isn't enough news in the portable GPS space today, Navman 's got a new PiN device out, the Pocket PC based 570.
Your blog is really interesting. I wondered if your readers might like to look at my ring tones site. They can get the best ring tones in the world there.
Archetypes: Social animals in our midst
CREDIT: Kagan McLeod, National Post . THE LITERARY BLOGGER AVERAGE AGE 30 NATURAL HABITAT Creative Limbo A graduate of the Creative Writing program at Columbia, the literary blogger had one novella published by ...
Hi, I was just surfing blogs and wondered, if you would like to see my Trojan related site. It isnt anything special but you may still find Trojan stuff of some interest.
Post a Comment
<< Home