Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Tuesday, September 06, 2005
Rasuah Punca Majikan Tidak Dihukum
Dr Irene Fernandez, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat dan seorang aktivis pekerja sedang dalam proses rayuannya apabila beliau didapati bersalah memberi keterangan palsu berkaitan dengan isu imigran sungguhpun mempunyai bukti yang cukup mengatakan terdapat imigran didera semasa dalam kem tahanan.Beliau juga Pengarah kepada Tenaganita, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang perjuangkan hak-hak pekerja.
Faisal Mustaffa sempat untuk menemuramah beliau untuk mendapat pendapatnya mengenai isu pendatang tanpa izin.
Kebelakangan ini begitu banyak diperkatakan tentang permasalahan yang dihadapi oleh Tenaga Kerja Indonesia (TKI) atau tenaga kerja dari negara-negara lain samada pekerja-pekerja yang mempunyai dokumen kerja yang sah ataupun tanpa dokumen.
Irene : Perjanjian pengambilan pekerja warga asing untuk diambil bekerja di Malaysia dilakukan di antara agen dan majikan menyebabkan ramai kalangan PATI mahupun pekerja sah telah dianiaya dan ada di kalangan tenaga kerja wanitanya telah dirogol.
Keadaan ini melibatkan lebih 18,000 pembantu rumah dilaporkan telah melarikan diri dari majikan masing-masing atas pelbagai sebab. Terdapat 3 kes majikan mendera pembantu-pembantu rumah telah dibawa ke mahkamah.
Yang paling banyak ialah kes melibatkan ramai Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang tidak dibayar gaji. Ini merupakan masalah besar yang dihadapi oleh TKI mahupun pekerja asing dari negara-negara lain, samada mereka yang mempunyai dokumen atapun tanpa dokumen.
Apabila ditanya majikan, mereka mengatakan gaji telah dibayar. Puncanya ialah ketiadaan satu kontrak paiwai (standardised contract) yang mana semua pembantu rumah dan pekerja sektor lain mesti mempunyai gaji minima yang sama . Gaji minima pembantu rumah dari Indonesia sangat rendah iaitu RM350.00 . Kalau dibanding dengan pembantu rumah dari Filipina mereka mendapat RM750.00. Ini kerana kerajaan Filipina telah berunding meletakkan gaji minima tersebut ,jika tidak mereka pergi bekerja di tempat lain. Begitu juga pembantu dari Sri Lanka di mana pemerintah mereka telah berunding untuk menetapkan gaji sebanyak RM500 dan mereka mendapatnya.
Jadi, mengapakah pembantu Indonesia mendapat gaji yang begitu murah? Disebabkan gaji murah tersebut, mereka ini tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.
Sudah tiba masanya pemerintah Indonesia mesti berpendirian tegas untuk meminta gaji minima yang adil dan saya berpendapat gaji yang adil bagi pembantu rumah dari Indonesia ialah RM500 sebulan dan gaji tersebut harus dibayar terus kepada pekerja bukannya kepada agen.
Maka, dalam Memorandum Persefahaman (MOU) di antara kerajaan Malaysia dan pemerintah Indonesia harus menyebut kondisi-kondisi yang menyatakan secara jelas dan ini harus dilaksanakan. Sekiranya kondisi ini tidak dijelaskan oleh kedua-dua pihak, maka ianya akan dipermain-mainkan oleh agensi pengambilan pekerja yang kemudiannya akan menetapkan dasar dan syarat mereka sendiri.
Lantaran, inilah yang menyebabkan berlaku ekploitasi terhadap pekerja asing di Malaysia. Ini kerana Malaysia tidak mempunyai polisi yang komprehensif. Hari ini mereka membuat satu keputusan tetapi 3 bulan kemudian membuat keputusan yang lain. Oleh sebab itu polisi 'ad-hoc' kerajaan tidak boleh diterima kerana ketidak seragaman polisi-polisi tadi mengakibatkan kesulitan kepada pekerja-pekerja asing tadi dimana apabila mereka dianiaya mereka tidak tahu bagaimana makisma untuk membuat aduan dari segi perundangan, lantaran mereka telah melarikan diri dari satu majikan ke majikan yang lain untuk mendapatkan layanan majikan yang lebih baik serta gaji yang lebih. Tetapi sebaliknya mereka yang malang pula akan ditangkap dan kemudianya dihukum.
Baru-baru ini kerajaan Indonesia telah mengupah 6 hingga 10 orang peguam Malaysia untuk menyaman majikan-majikan Malaysia yang dikatakan tidak membayar gaji pekerja warga Indonesia.
Irene: Saya berpendapat bahawa tindakan kerajaan Indonesia adalah adil kerana majikan tidak boleh mengambil mereka untuk bekerja dan kemudianya tidak mahu membayar gaji mereka. Itu tidak adil dan pemerintah Malaysia mestilah bertanggungjawab walaupun mereka tidak mempunyai dokumen kerja yang sah. Dari sebelah majikan sendiri, mereka bahawa mereka tidak mempunyai dokumen, jadi kenapa majikan ambil mereka bekerja? Majikan bersalah dari segi ini dan tidak boleh lari daripada tanggungjawab itu sekadar mengatakan bahwa mereka tidak mempunyai dokumen. Alasan ini tidak boleh diterima . Setiap majikan yang ambil pekerja-pekerja tadi juga harus dihukum oleh pemerintah Malaysia kerana melakukan kesalahan mengambil pekerja tanpa dokumen tetapi realitinya adalah berlainan.
Sekiranya berdasarkan statistik, kira-kira 18,000 pekerja asing telah dihukum dan dipukul (iaitu dirotan) dan lebih 16,000 lagi telah ditahan serta dipukul dalam penjara. Statistik juga menunjukkan 17 majikan telah ditangkap sementara hanya 2 majikan sahaja menerima hukuman, itupun sekadar didenda sahaja dan tidakpun dimasuk ke penjara.
Jika dibuat perbandingan, sudah tentu ianya tidak adil. Setiap pekerja tanpa dokumen masing-masing mempunyai majikan. Sekiranya majikan tidak bertanggungjawab, mereka akan menggunakan peluang ini untuk mengeksploit pekerja mereka. Mereka juga tahu bahawa mereka akan mendapat keuntungan. Keuntungan ini saya anggap sebagai satu dosa; dosa bagi majikan yang tidak bertanggungjawab kerana tidak membayar gaji pekerja tanpa memikirkan bagaimana pekerja akan hidup dan bagaimana mereka akan menghantar duit kepada keluarga yang menunggu untuk menerima wang gaji tersebut.
Bagaimana keberkesanan Akta Imigresen ?
Irene : Akta Imigresen jelas. Kalau majikan ada pekerja tanpa dokumen, mereka telah melakukan kesalahan dan boleh diambil tindakan dibawah Akta Imigresen. Mereka boleh dipenjara dan dikenakan hukuman sebat.
Tetapi, apakah sebabnya kerajaan tidak mengambil tindakan sedemikian? Saya percaya salah satu sebab ialah kerajaan Malaysia hendak meneruskan program pembangunan negara disamping mengutamakan keuntungan majikan tetapi sebaliknya mengabaikan kepentingan dan perlindungan pekerja mereka.
Keduanya, majikan tahu bahawa sekiranya pekerja ditangkap, pekerja ini tidak tahu cara untuk mendapatkan pembelaan untuk diri mereka daripada mana-mana pihak, yang mana seterusnya mereka akan dihantar pulang ke Indonesia. Apabila ini terjadi, kes dianggap telah selesai dan permasalahan tidak timbul lagi.
Ketiganya, saya pasti ada berlakunya rasuah dan korupsi di mana majikan telah membayar pihak berkuasa, polis dan imigresen. Oleh itu, majikan-majikan tadi tidak dihukum. Saya pasti perkara ini memang berlaku.
Sekiranya TKI tadi pulang ke Indonesia, apa yang akan terjadi di Malaysia?
Irene: Sekiranya mereka kembali ke Indonesia, maka sektor pembinaan dan sektor ladang dikhuatiri akan tutup. Kita imbas kembali perkara yang berlaku pada tahun 2002 yang lalu, apabila diadakan operasi penangkapan PATI dijalankan secara besar-besaran, ramai dari kalangan PATI telah lari menyembunyikan diri dan sesetengahnya telah balik ke Indonesia menyebabkan sektor pembinaan dan sektor perladangan terhenti. Jadi kita harus sedar bahawa tenaga kerja imigren tadi penting di semua sektor di Malaysia. Jadi sekarang kita mesti sedar akan kepentingan tenaga imigran tadi.
Adakah langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia meminta PATI pulang ke negara masing-masing dalam program pengampunan baru-baru ini dapat membantu dalam menangani permasalahan warga kerja asing tadi ?
Irene : Saya berpendapat kerajaan Malaysia cuba mengurangkan kehadiran pekerja asing lebih-lebih lagi TKI di Malaysia. Dari beberapa siri temubual saya dengan TKI, saya dimaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai wang untuk dibayar kepada agensi pengambilan pekerja, disamping mereka terapksa membayar levi, harus juga membayar untuk mendapatkan permit kerja bagi membolehkan mereka kembali ke Malaysia.
Sebaliknya, menerusi memorandum kepada kerajaan serta kenyataan-kenyataan akhbar, kami telah meminta agar kerajaan mendaftarkan pekerja-pekerja asing tadi di Malaysia tanpa perlu pulang ke negara masing-masing. Lebih mudah lagi majikan sendiri membawa pekerja masing-masing untuk mendaftar terus dengan pihak berkuasa. Urusan mengambil cap jari dan sebagainya boleh dilakukan di sini, kerana urusan tersebut memerlukan wang yang banyak di negara asal masing-masing.
Apa yang perlu dilakukan ialah proses tersebut boleh dilakukan di Kedutaan Indonesia di sini. Bagi tujuan pendaftaran tenaga kerja, proses mengeluarkan paspot dan urusan seterusnya boleh dilakukan di pejabat Imigresen bagi tujuan mendapatkan permit kerja.
Undang-undang di Malaysia 'silent' mengenai proses tersebut dan secara tak langsung ianya dapat menjimatkan kos semua pihak terlibat.
Jadi, saya tidak faham kenapa kerajaan mahukan mereka balik ke negara masing-masing dan kemudiannya memohon semula untuk kembali bekerja di sini sedangkan proses mendapatkan dokumentasi perjalanan / permit kerja dsb boleh dilakukan disini.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home