Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Tuesday, August 23, 2005

10 tahun ditahan, jiwa tetap bertahan


CC Yong dilabel sebagai pengganas dan dikurung bertahun-tanpa bicara. Beliau dibuang negeri dan status kewarganegaraannya ditarik balik, namun tetap kekal dengan perjuangan.

Chu Choon Yoong, 71 atau lebih dikenali dengan nama CC Yong mula menjadi ahli Parti Rakyat Malaysia pada akhir 1957 ketika parti itu diterajui oleh Ahmad Boestamam. Sebelum itu, beliau adalah Bendahari kepada War Department Civilian Staff Association.

Beliau meletak jawatan pada tahun 1959 untuk bertanding dalam pilihan raya umum pertama. Beliau berjaya dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Puteri, Johor bagi tempoh 1959-1964. Selepas menang, beliau ditahan di bawah perintah darurat dan kemudiannya dikurung di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama sepuluh tahun.

Ikuti temuramah Faisal Mustaffa dengan tokoh veteran ini.


Berapa kali dan berapa lama saudara dikurung?

Sepuluh tahun tetapi berpindah-pindah. Mulanya saya di Penjara Muar 1967. Selepas itu, saya dibuang negeri dan ditahan di Penjara Seremban di bawah perintah darurat sehingga 1972. Dari 1972 hingga 1975 saya dipindahkan ke Kem Tahanan Kamunting dan ditahan di bawah ISA.

Pada tahun 1975, saya mencabar penahanan saya di mahkamah dan mendapat perintah mahkamah bahawa arahan pembuangan negeri yang dikenakan ke atas saya adalah tidak sah. Namun tidak dibebaskan sebaliknya saya dihantar ke Pulau Pinang dan hanya dibebaskan dua tahun selepas itu.


Apakah alasan penahanan saudara?

Saya ditahan kerana dikatakan pro-komunis. Kami juga pada ketika itu mahu kerajaan mengiktiraf 1 Mei sebagai hari menghargai kaum buruh di negara ini. Bagi mereka, desakan kami dilihat seperti mewakili komunis. Saya juga pada ketika itu dianggap membahayakan negara hanya kerana menganjurkan tunjuk perasaan. Salah satunya ialah kami menyokong perarakan pekerja dari Asahan, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur awal 60-an.

Lihat, sekarang 1 Mei menjadi cuti umum bagi negara ini.



Bagaimana pula dengan taraf kerakyatan saudara?

Sejak tahun 1968 lagi kerakyatan saya sudah ditarik balik oleh kerajaan Malaysia. Tanpa taraf kewarganegaraan, saya tidak boleh bergiat dalam mana-mana pertubuhan. Bukan itu sahaja, saya juga tidak layak untuk menjadi ahli bagi mana-mana pertubuhan.

Secara otomatik, saya tidak mempunyai apa-apa hak. Saya sudah memohon kepada kerajaan pada tahun 1997 untuk mengembalikan kerakyatan saya dan kerajaan secara lisan juga sudah pun meluluskannya, namun belum saya belummemerolehi dokumen kewarganegaraan saya.


Bagaimanakan keadaan dalam tahanan?

Apabila dikurung bersorangan, seseorang pasti akan mengalami tekanan.

Pada tahun 2003, doktor mengesahkan bahawa saya mengalami masalah tekanan mental yang serius akibat penahanan saya. Ketika ditahan di Pusat Tahanan Polis (PRC), saya dikurung seorang diri, tidak dibenarkan bersuara dan membaca buku. Semasa makanan dihulurkan, warden juga dilarang bercakap dengan saya.



Penderaan pengasingan itu akan merosakkan saraf otak kita.

Ada yang ditahan selama 60 hari .Ada pula yang ditahan sehingga enam bulan sepeti dalam kes Dr Syed Husin Ali. (PRC ialah tempat tahanan sementara sebelum di bawa ke Kamunting-biasanya di Bukit Aman, Kem Batu Kantomen, atau di Jalan Semarak).

Saya cuba gambarkan pengalaman pahit ini dalam bentuk penulisan. Saya bersama rakan-rakan tahanan lama menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengumpulkan dokumen penahanan berbentuk memoir. Pegawai Polis Cawangan Khas (SB) pernah datang bertanyakan mengenai projek ini samada tujuan saya berbuat demikian (menulis memoir) untuk menghasut generasi muda agar mereka nanti membenci kerajaan dan mengangkat senjata.

Saya tidak pernah menyebut mengenai mengangkat senjata melawan kerajaan dan tidak mahu orang muda berbuat demikian. Pendirian kami ialah melawan tindakan kerajaan yang dirasa tidak wajar. Kami juga memohon untuk mendapatkan fail dokumen mengenai penahanan kami daripada kerajaan tetapi, mereka enggan bekerjasama.

Kami hanya mahu mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam tahanan.



Pernahkah saudara bertemu dengan Anwar Ibrahim di Kamunting?

Ya, katil saya bersebelahan dengan katilnya. Dia ditahan ketika memimpin pergerakan Angkatan Belia Malaysia (Abim).

Ketika bersama, banyak perkara yang kami bincangkan.

Bagi saya, Anwar seorang yang mengambil berat dalam segala aspek termasuk perkara yang kita angap remeh.

Anwar memberitahu beliau mengakui perjuangan PRM tetapi tidak dapat menerima ideologi Ketua Umum ketika itu iaitu Kassim Ahmad yang berfahaman saintifik sosialisme.

Baginya, saintifik sosialisme akan menjurus kepada komunisme. Komunisme adalah ajaran yang tidak percaya kepada Tuhan.

Saya memberitahunya bahawa semasa pertubuhan PRM, ianya bercirikan sosial demokrasi.

Kassim Ahmad yang menukarkannya kepada saintifik sosialisme.

Ini bermakna, Anwar tegas berpendapat bahawa sebahagian dasar-dasar sosialisme bersamaan dengan ajaran al-Quran . Hanya pendekatan yang berbeza.



Apabila Dr Syed Husin Ali menggantikan Kassim Ahmad, ia kembali kepada dasar parti yang asal.

Syed Husin dan Anwar mempunyai ideologi secocok.



Apa yang anda ingat mengenai Anwar?

Ada dua perkara yang saya masih ingat; pertama berkenaan dengan isu bahasa ibunda. Anwar bersetuju bahawa semua bangsa bebas untuk mempelajari bahasa ibunda mereka dengan syarat mesti menerima satu bahasa sebagai bahasa kebangsaan iaitu sebagai perantaraan antara kaum.

Kedua, berkaitan dengan isu kebajikan antara kaum.

Semasa dalam tahanan, Anwar belajar menguasai Bahasa Mandarin. Dia juga ada mengambil kursus dari dalam tahanan.

Dalam beriadah, kami bersukan bersama.

Sewaktu dalam tahanan, saya ditempatkan dalam Kawasan Tujuh di mana ia adalah kawasan Melayu.

Katil saya berada di hujung berdekatan dengan bilik sembahyang. Pada satu hari, dia bertanya dengan risau apakah saya terganggu apabila tahanan-tahanan muslim bersembahyang. Dia mahu memindahkan saya ke hujung ke tempat paling jauh dari bilik sembahyang.

Tetapi, saya memberitahunya bahawa azan sembahyang langsung tidak menggangu saya.
Kerana kami tidak dibenarkan bercampur antara satu kawasan dengan yang lain, Anwar mahukan saya meminta makanan Cina supaya saya mendapat bekalan makanan dari tukang masak kawasan lain lantas dapat berkongsi maklumat.



Adakah anda ditipu kerajaan semasa dalam tahanan?

Saya ditipu ketika didalam tahahan dan ketika pembebasan. Sebelum ditangkap, Pada 31 Julai 1967, Parti Buruh mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa untuk bertemu dengan tahanan di Kamunting. SB memberitahu hanya saya sahaja yang dibenarkan bertemu dengan tahanan tersebut, Ng Wei Siong.

Sungguhpun jawatankuasa lain menganggap ia merupakan muslihat pihak berkuasa, saya masih tetap bersetuju untuk bertemu dengan Wei Siong dalam tahanan. Apabila masuk ke dalam kem, saya diberitahu bahawa saya ditahan di bawah ISA.

Itu adalah helah yang digunakan oleh polis untuk menahan saya.

Penipuan kali kedua ialah sewaktu saya hendak dibebaskan.

Pada 3 Februari 1977, saya dipindah keluar dari Kem Tahanan untuk menghadiri satu kes mahkamah di Kuala Lumpur.

Sebelum itu saya membuat permohonan kepada pihak polis untuk membenarkan saya menghadiri majlis perkahwinan anak sulung saya pada 7 Februari 1977. Apabila saya tiba di Kuala Lumpur, pihak mahkamah memberitahu bahawa kes saya sudah pun ditangguhkan dan ia telah diberitahu terlebih dahulu.

Saya tidak diberitahu mengenai penangguhan ini tetapi yakin pihak kem sudah pun mengetahuinya dengan lebih awal.

Sewaktu berada di lokap Balai Polis High Street (kini Jalan Tun HS Lee), saya diberitahu bahawa permohonan untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saya ditolak.

Pada masa yang sama, saya diminta membaca satu surat yang mengatakan saya dibebaskan dengan beberapa syarat.

Pihak polis memberitahu sekiranya saya menerima semua syarat dalam surat tersebut, saya akan dibebaskan.

Surat tersebut memberi syarat bahawa saya dibenarkan berada di luar rumah selepas pukul enam. Saya juga tidak dibenarkan menyertai kepada mana-mana pertubuhan. Juga, saya tidak dibenarkan membuat syarahan terbuka.

Saya terima kerana kebanyakan daripada syarat-syarat tersebut sememangnya saya tidak boleh lakukan seperti menjadi anggota kepada pertubuhan; kerana kewarganegaraan saya sudah tidak ada. Dengan syarat itu, saya dibebaskan.

Selepas itu, saya tidak dibenarkan mengambil kembali barang-barang peninggalan saya di dalam kem keluar.

Saya juga tidak dibenarkan bertemu untuk mengucapkan selamat tinggal kepada teman-teman saya di dalam kem.

Apabila cuba mendapatkan barang-barang, saya mendapati kebanyakannya sudah hilang terutamanya gambar-gambar dan bahan penulisan saya. Mereka sengaja berbuat demikian!



Apa pendapat anda berkenaan dengan penggabungan Parti Keadilan Nasional dengan Parti Keadilan Rakyat?

Pada mulanya ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Saya curahkan tenaga, masa dan wang untuk perjuangan PRM. Adakah anda rasa mudah untuk saya menerima kenyataan menyerahkan perjuangan PRM?

Tetapi, kita mesti menerima kenyataan bahawa perubahan harus berlaku dalam politik.

Arus politik sekarang bukan seperti dahulu. Cuma saya harapkan objektif asal PRM untuk menegakkan keadilan sosial tidak diselewengkan.



Apakah aktiviti seharian anda?

Selain daripada membantu anak dalam perniagaannya, saya juga berada dalam jawatankuasa menyiapkan memoir seperti yang tersebut di atas. Sekiranya ia diterjemahkan dalam Bahasa Melayu, ia bermaksud 'sejarah dari sudut berbeza.'

1 Comments:

At 4:24 pm, Blogger Bob K said...

We are forgetting our other heroes .. those who may have been on the "wrong" side of the fence but have played their part in ensuring our nation's birth and development.

Let us not forget them again.

Keep up the good work, Faisal.

 

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com