Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Saturday, September 10, 2005
Apa Kabar Izzah di Washington?
Nurul Izzah Anwar, 25, kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Johns Hopkins, Amerika. Beliau ke sana sejak Jun lepas.
Sebelum ini Izzah telah menamatkan pengjiannya dalam negara di peringat Sarjana Muda dalam bidang Elektrik dan Elektrikal dari Univerisiti Teknologi Nasional (Uniten) September tahun lalu.
Beliau pernah yang diaugerahkan pelajar Siswazah Muslim Cemerlang ini menyatakan bahawa pemergiannya ke Amerika Syarikat bukan kerana 'pengaruh' bapanya tetapi mencuba untuk berdiri di atas kaki sendiri.
Apa khabar Izzah sekarang? Ikuti wawancara Faisal Mustaffa melalui email untuk mengikuti perkembangan terkini 'Puteri Reformasi' ini.
Apakah kursus yang anda sedang ikuti sekarang?
Kursus yang sedang saya ikuti ialah sarjana dalam hubungan antarabangsa. Saya tumpukan kepada kajian Asia Tenggara.
Saya mengikuti kajian tersebut di Universiti Johns Hopkins, di Advanced School for International Studies (SAIS) yang terletak di Washington DC, Amerika Syarikat.
Bagaimana pula dengan rakyat Malaysia yang tinggal di sana?
Kami ada bertemu dengan mereka dalam pertemuan sosial dan juga majlis-majlis keramaian.
Setahu saya, untuk program sarjana, tidak ada pelajar lain dari Malaysia tetapi terdapat beberapa pelajar-pelajar dari Singapura.
Mereka amat ramah dan mesra dan sering menegur ayah dan saya serta menanyakan perkembangan kami sekeluarga.
Bagaimana kehidupan di Washington?
Alhamdulillah memuaskan sungguh pun jadual di universiti begitu ketat.
Teman-teman di sini semuanya peramah dan senang diajak berbual serta menjadi peransang dalam saya meneruskan pengajian.
Di universiti ini, pelajar rata-ratanya datang dari pelbagai bangsa.
Di dalam kumpulan pelajar sarjana sesi 2005/2006, saya merupakan wakil tunggal dari Malaysia.
Adakah kursus tersebut memenuhi jadual harian anda?
Sudah tentu. Minggu lepas saya baru sahaja tamat ujian dalam peringkat permulaan mata pelajaran Makro ekonomi dan Mikro ekonomi. Persediaan ujian tersebut memakan masa yang agak panjang.
Bagaimana menyesuaikan diri di negara baru?
Bagi saya, semuanya agak mudah, asalkan kita yakin dan utuh dalam pegangan agama dan prinsip, tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan.
Apa yang selalunya anda lakukan di masa lapang?
Saya menunggang basikal mengelilingi kota Washington, sekitar Georgetown dan Potomac River selama tiga hingga empat jam.
Cuaca musim panas di sini agak tinggi tetapi menyamankan. Di Washington, suhunya setinggi 102 Fahrenheit!
Adakah anda mempunyai masalah dalam makanan seharian?
Selalunya saya bawa bekal ke universiti, kerana harga makanan di DC mahal.
Suami anda, Raja Shahril juga berada di sana, apa khabar beliau?
Shahril telah meletak jawatan sebagai pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta di tanah air dan kini sedang dalam proses mempersiapkan dirinya untuk melanjutkan pengajian di bidang pengurusan.
Buat masa ini, beliau membantu ayah (Anwar Ibrahim) menguruskan program, aktiviti serta lawatan peringkat antarabangsa.
Apakah jadual Anwar di waktu terdekat ini?
Beliau sekarang berada di Universiti Georgetown selaku Distinguished Visiting Professor di Center of Muslim-Christian Understanding.
Di samping itu, ayah juga memenuhi jemputan mengadakan syarahan di negara-negara yang menjemput beliau.
Bulan September ini merupakan bulan yang amat sibuk buat ayah. Malah ketika interview ini saya sediakan, ayah dan mama sedang berada di Prague.
Minggu lalu kami sekeluarga berada di Chicago kerana ayah menyampaikan ucaptama di Konvensyen Islamic Society of North America (ISNA). Konvensyen tersebut dihadiri oleh seluruh masyarakat Islam Amerika Utara ini. Saya dapati ianya amat berjaya sekali.
Selain dari itu, ayah juga kerap pulang ke tanahair- seingat saya pada bulan Ogos sahaja, sebanyak dua kali. Setiap kali ayah pulang dari Malaysia ayah akan membawa berpuluh naskah Suara Keadilan untuk kami baca dan selebihnya akan kami berikan kepada rakyat Malaysia di sini.
Tahniah saya ucapkan kepada warga Suara Keadilan kerana mutu yang saya kira amat memberansangkan. Terima kasih saya ucapkan kerana masih ingat pada kami di sini dengan membekalkan naskah-naskah tersebut.
Adakah anda mengikuti perkembangan politik Malaysia?
Tentu sekali. Saya seringkali melayari laman web keadilanrakyat.org, Malaysiakini dan Malaysia-Today disamping berhubung dengan teman-teman di Malaysia.
Kalau dilihat dari sudut pentadbiran di Malaysia, maka bolehlah dikatakan tidak banyak berubah. Rakyat masih dihalang daripada mendapat maklumat terkini parti-parti bukan pemerintah.
Program ayah di Melaka telah mendapat halangan dari pihak berkuasa dan bendera parti serta sepanduk telah dicabut dan dibuang.
Malah tapak program juga terpaksa diubah beberapa kali kerana gangguan.
Begitu juga dengan program Pas di Terengganu baru-baru ini. Pihak berkuasa sampai sanggup menggunakan gas pemedih mata dan pancutan air ke arah orang awam.
Saya benar-benar terkejut hal ini masih berleluasa di dalam pemerintahan Perdana Menteri baru walaupun telah memperolehi majoriti lebih 90 peratus di dalam Parlimen.
Apakah pandangan anda mengenai situasi sekarang, terutama sekali pasca pembebasan Anwar ?
Menurut laporan media, keadaan ekonomi Malaysia tidak begitu memuaskan dan rakyat tampak sedikit kecewa dengan prestasi kerajaan.
Penurunan cukai yang diberikan ke atas kenderaan juga dialu-alukan, dengan harapan ianya akan meringankan beban rakyat, tetapi lebih penting adalah perlaksanaan jangka masa panjang yang meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
Di sini saya maksudkan peningkatkan tahap kualiti dan jaringan pengangkutan awam.
Kami juga mengikuti keputusan kes sivil Anwar dan berasa amat bersyukur dengan keputusan yang diumumkan.
Namun, bagi saya secara peribadi, lebih usaha perlu diketengahkan dalam memastikan media arus perdana lebih terbuka.
Bilakah anda akan menamatkan pengajian di sana dan adakah anda sekeluarga akan pulang untuk Hari Raya?
Program sarjana mengambil masa dua tahun, tetapi saya bercadang untuk mempercepatkan pengajian dan Insya Allah berharap dapat pulang ke Malaysia selepas tamat 18 bulan di sini. Kalau ditanya pada saya - pastinya saya mahu berhari raya di tanahair sendiri.
Namun, dari jadual kuliah yang saya teliti, nampaknya niat saya itu terpaksa saya pendamkan sahaja buat masa ini. Kelas masih berterusan dalam bulan November, justeru saya tidak mungkin pulang untuk Aidilfitri.
Adakah anda akan menyertai politik selepas selesai pengajian?
Saya telah pun menyertai politik sebelum saya ke sini. Malah perjuangan yang kita mulakan pada 1998 tidak mungkin dapat saya tinggalkan begitu sahaja. Saya bercadang untuk terus pulang ke tanah air selepas tamat pengajian. Dan dari situlah akan saya mulakan langkah yang ditinggalkan semasa saya bertolak ke sini.
Pada saya, perjuangan pasca pembebasan Anwar Ibrahim adalah perjuangan sebenar dan ianya baru sahaja bermula.
Terima kasih, salam buat teman-teman di sana.
Sehari dalam hidup Izzah
6.00 am Solat Subuh
7.20 am Bertolak ke Washington DC melalui Stesen Metro
8.10 Sampai ke Stesen terdekat dengan universiti
9.00 am -11.30 am Mengikuti kelas
11.35 am -1245pm Makan tengahari / Sesi diskusi
1.00 pm - 3.30 Mengikuti kelas
5.00 -7.00 pm Kelas Tutorial Mikro
8.00 pm-10.00 pm Kelas Tutorial Makro
10.15 pm Ke stesen Metro untuk pulang ke rumah
0 Comments:
Post a Comment
<< Home