Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Sunday, October 16, 2005

Kameranya simpan banyak kenangan reformasi


Oleh kerana mahukan maklumat reformasi tersebar luas, beliau sanggup menyimpan wang pencennya untuk memberi sebuah kamera video bagi merakam siri ceramah pihak alternatif dan diedarkan kepada rakan saudara. Dalam kebanyakan program reformasi, dia sentiasa kelihatan menjinjing kamera video Sony yang berharga RM4,000 .

Sebaik sahaja pencen pada 12 September 1998 lalu, Mohd Rozi Othman, 61, mengikuti program reformasi seluruh negara dan rasa bertanggungjawab untuk menyebarkan maklumat-maklumat yang disampaikan itu kepada orang ramai awam.

Baginya, usia tidak pernah menjadi penghalang untuk bergerak aktif dalam gerakan reformasi terutama sekali dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.

Rozi kini sedang mengikuti kursus mengedit filem dari seorang rakan. Hasratnya ialah supaya material yang ada padanya selama menghadiri program reformasi; samada kes perbicaraan, demonstrasi jalanan mahupun ceramah; akan dapat dipersembahkan dengan penyampaian yang begitu memberi kesan kepada penonton.

Cita-citanya ialah untuk menghasilkan satu fiem dokumentari yang memaparkan peristiwa reformasi di negara ini.

Sebelum ini, Rozi yang mesra dengan panggilan 'Cikgu Rozi' seorang pensyarah di institut kemahiran milik kerajaan selama 23 tahun. Bidang kemahirannya iaitu kejuruteraan mekanikal tidak ada bersangkutan langsung dengan seni fotografi.

Beliau memiliki sijil perguruan dari di Berlin, Jerman di bawah biasiswa tajaan kerjaan Jerman (1974-1975) dan pernah menjalani kursus Perkhidmatan Pembangunan Mekanikal di Jepun pada tahun 1974.

Dalam menjalankan tugasnya sebagai tenaga pengajar, beliau sering meletakkan dirinya sama seperti pelajar-pelajar kerana beliau berpendapat komunikasi di antara pelajar dan dirinya akan lebih berkesan lagi.

Menurut Rozi akibat daripada sifat ego sesetengah guru dan memandang rendah terhadap pencapaian pelajar, hasilnya adalah mendapat pelajar yang pasif dan tidak yakin dengan pencapaian sendiri.

Beliau tidak hairan mengapa seramai lebih 80,000 graduan kini sukar untuk mendapat pekerjaan.

Usaha yang dibuat itu tidak sedikit pun mengharapkan imbuhan, 'hanya kepada perjuangan.'

Keunikan yang terdapat pada beliau ialah pada rambutnya yang putih dan panjang mencecah pinggang. Janggut juga disimpan sehingga paras atas perut. Namun, rambut-rambut itu dijaga sungguh rapi. Rambutnya ditocang kemas.

Alasan beliau menyimpan rambut sepanjang itu adalah nazar ketika bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimasukkan ke penjara.

Sejak itu, beliau tidak pernah memotong rambut dan janggutnya sehingga Anwar dibebaskan. Anwar sendiri, pada malam selepas pembebasannya diminta supaya memotong tocangnya.

Sungguhpun Cikgu Rozi sejak 1976 adalah seorang Ketua Umno Cawangan Selayang Baru Barat, beliau bertindak untuk keluar parti kerana percaya bahawa Anwar Ibrahim berada di pihak yang benar.

Baginya yang pernah mempelajari teknik mengajar 'pedagogy body language' ketika berada di Jerman pada tahun 1974 dahulu, berpendapat, daripada cara penyampaian dan penerangan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir; beliau yakin Mahathir berbohong.

Bercerita mengenai pengalaman beliau berada di perhimpunan-perhimpunan aman, Rozi memberitahu bahawa beliau tidak dapat menerima sebarang tindakan zalim yang berlaku di depan matanya.

Apabila mengetahui peristiwa pemecatan Timbalan Perdana Menteri, beliau memberitahu bahawa ia tergerak untuk mendengar sendiri ucapan daripada tertuduh yang pada ketika itu diadakan di Masjid Negara.

Lautan manusia yang hadir di Masjid Negara dan kemudiannya berarak ke Dataran Merdeka menyemarakkan lagi kepercayaan bahawa bukan hanya dirinya sahaja yang mempertikaikan kenyataan Mahathir.

Sungguhpun kurang jelas mendengar ucapan Anwar Ibrahim dari satu sudut yang jauh, tetapi beliau masih ingat lagi pada perhimpunan itu isteri beliau, Datin Seri Wan Azizah ismail melaungkan 'Ikrar Perjuangan Sehingga Titisan Terakhir.'

Itulah yang membuatkan Rozi komited terhadap perjuangan reformasi sehingga kini.

Selain daripada mengisi aktivitinya dengan 'hobi'nya itu, Rozi juga membantu isterinya dalam membuat kerja-kerja rumah.

Beliau yang mempunyai tujuh orang anak itu kini diuruskan oleh Rozi sendiri kerana tidak sanggup melihat isterinya bekerja dan menjaga rumahtangga dalam satu masa. Dua daripadanya sudah pun berumahtangga dan yang bongsu baru berumur 11 tahun.

Dari tugas menyediakan sarapan pagi, membasuh pakaian hinggalah memotong rumput, beliau yang lakukan.

Bertanya mengenai persepsi orang sekeliling, beliau tidak menafikan ada suara-suara sumbang yang bercakap menganainya tetapi buat Rozi ianya sedikit pun tidak mengganggu tugasnya bahkan merasa bangga kerana masih dapat menyumbang sungguhpun usia sudah lanjut.

Bagi memastikan keakraban seisi keluarganya, setiap hujung minggu beliau pastikan semua anakya berkumpul dan bertadarus membaca al-Quran dan menghayati maksudnya.

Beliau kini memangku jawatan Setiausaha KeADILan Cawangan Selayang Baru Barat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com