Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Friday, December 12, 2008

Jangan Lihat Pada Kaum

Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, 74, yang berdarah bangsawan ini mengajak rakyat memperjuangkan politik anti-perkauman dan mengutamakan prinsip kesamarataan di samping secara konsisten menentang rasuah.

Tunku Aziz bukan orang baru dalam dunia anti-rasuah kerana beliau banyak menulis dan bercakap mengenai rasuah dan integriti di dalam dan luar negara. Bukunya "Fighting Corruption: My Mission" telah diterbitkan untuk berkongsi idea dalam usaha membanteras rasuah.

Beliau yang pernah berkhidmat dengan Bank Dunia telah dijemput pada 2006 untuk menubuhkan Pejabat Etika Pertubuhan Bangsa Bersatu sebagai penasihat khas kepada setiausaha agung ketika itu Kofi Annan.



Apa pendapat Tunku mengenai Ketuanan Melayu?


Saya tidak rasa ianya mempunyai daya maju kerana apa yang saya percaya, Malaysia ialah keutamaan kita. Tugas kita ialah untuk memartabatkan Bangsa Malaysia yang mana secara definisinya ialah untuk menghormati setiap bangsa yang ada di negara ini.


Bagaimana pula keadaan Melayu di Singapura? Benarkah mereka sudah terpinggir?


Melayu di Singapura adalah golongan minoriti. Sememangnya Melayu di sini takut nasib mereka sama seperti di sana. Tetapi, sekiranya kita pegang kepada dasar yang betul, serta mengamalkannya dan melindungi kepentingan Melayu secara adil, kita berada pada landasan yang betul.

Sungguhpun kita tidak mahu Melayu terpinggir, mahu tak mahu, kita sudah pun terpinggir. Melayu sekarang pun tidak berada dalam keadaan yang lebih baik daripada dahulu.

Kita dapat lihat Melayu yang hidup melarat. Kita tidak perlukan DAP untuk menjadikan mereka lebih papa. Begitu juga kita mempunyai Cina dan India yang hidup melarat.



Jadi, bagaimana kita boleh mengubah keadaan ini?


Jangan lupa bahawa kita sudah memerintah di lima negeri. Mulakan dari situ. Buktikan bahawa kita merupakan kerajaan yang telus, mampu bersaing dan bertanggungjawab.

Sedih bila kita lihat golongan miskin ini berjuang untuk melawan kemiskinan. Undi yang diperolehi juga datang dari mereka. Mereka mempunyai harapan terhadap pembangkang.

Apa yang penting sekarang ialah untuk mengikut dasar kita dengan betul. Jadikan ia sebahagian daripada amalan kita. Tolak amalan rasuah.

Buktikan kepada kaum Melayu bahawa tidak ada apa yang perlu ditakuti. DAP ialah Parti untuk semua kaum.

Tunjukkan kepada meeka bahawa kita bukannya 'government in waiting' (kerajaan yang sedang menanti) tetapi 'government in the making' (kerajaan yang sedang ditubuhkan).



Apakah kejayaan Tunku semasa berada di dalam Bank Negara Malaysia dan Transparency International (TI)?



Semasa kerjaya saya di dalam Bank Negara, TI mahupun di dalam Kumpula Guthrie, saya sentiasa memegang kepada amalan yang baik di dalam permerolehan dan urustadbir baik. Fokus saya sentiasa dalam melawan rasuah dalam segala bentuk, akauntabel, ketelusan.

Saya juga sentiasa menekankan kepada prinsip hak samarata kepada semua kaum dan agama selaras dengan perlembagaan Merdeka.

Pada tahun 1955 pihak British telah menubuhkan suruhanjaya yang memantau rasuah di kalangan kakitangan awam

Sebelum TI ditubuhkan, korupsi ialah satu perkataan yang janggal dan tidak menjadi sebutan. TI ditubuhkan pada tahun 1993. Pada tahun 1995, saya telah menubuhkan sebuah kumpulan yang mempunyai pemikirian kritis mengenai perkara yang sama. Antaranya ialah Datuk Param Cumaraswamy, Datuk Anwar Fazal, Raja Aziz Addruse dan Datuk McKoy. Inilah kumpulan yang printis yang banyak mengutarakan isu-isu amalan rasuah di dalam kerajaan pada waktu itu.

Rasuah berleluasa dan diamalkan secara terbuka semasa era Tun Mahathir. Oleh itu, kita lihat rasuah melanda di setiap bahagian di dalam masyarakat kita. Setiap bahagian di dalam perkhidmatan awam melibatkan diri dalam rasuah; pihak imigresen, polis adalah yang pertama dalam senarai.

Semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, semua projek mesti melaluinya. Sekiranya seseorang itu mempunyai pertalian rapat dengan Umno atau sebahagian daripada sistem politik, projek akan diserahkan kepada individu tersebut.

Saya masih ingat kenyataan Dr Mahathir ketika dia berkuasa, "negara ini mesti bergerak pantas. Kita tidak ada masa untuk sistem tender terbuka."

Tiada siapa yang tahu (pada waktu itu) apakah prosedur sebenarnya yang diamalkan. Bagaimana sesebuah projek itu dinilai dan bagaimana ia boleh diluluskan?

Bagi saya, perkara ini perlu telus dan terbuka.



Adakah Tunku merasakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) memainkan peranan mereka dalam membendung rasuah di negara ini?



Di satu peringkat, pihak kerajaan ada mendengar mengenai kritikan kita yang mengatakan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) sepatutnya bebas.

Bertahun-tahun tahun, kita mendapati BPR tidak bebas, sungguhpun mereka mengatakan bahawa mereka bebas. Sekiranya benar, ramai dari kalangan pemimpin politik did peringkat atasan sudah pun disiasat dan dikenakan hukuman.

Rasuah juga berlaku secara berleluasa di kalangan kakitangan kerajaan di peringkat atasan. Namun, mereka bergerak bebas. Mereka bersara dan mampu hidup dalam keadaan mewah. Sebagai kakitangan awam, dengan gaji yang mereka terima, tidak ada jalan untuk mereka hidup mewah seperti yang kita lihat.





Apa pendapat Tunku tentang perubahan dalam senario sekarang?



Kita mengalu-alukan perubahan tersebut tetapi ianya tidak menyelesaikan masalah pokok iaitu untuk memiliki kuasa.

Bagaimana badan ini mempunyai kuasa yang cukup untuk mempersoalkan seseorang yang berpangkat tinggi untuk mengisytiharkan asset mereka? Kita percaya BPR tidak boleh menjadi sebuah badan bebas sehingga ia ditukar kepada sebuah suruhanjaya.

Sebab itu, saya mencadangkan supaya diwujudkan sebuah jawatankuasa pemantau dari kalangan pihak yang tiada kepentingan dan mempunyai rekod yang bersih untuk melihat perjalanan BPR.

Mereka (BPR) mengatakan mereka tidak pernah mendapat arahan daripada Perdana Menteri tapi kita semua percaya mereka tidak bercakap benar. Setiap tindakan yang diambil berdasarkan kepada desakan ahli-ahli politik atasan.

BPR sepatutnya melaporkan terus kepada semua parti yang berada di Parlimen, kerajaan dan pembangkang – di bawah sebuah jawatankuasa khusus.



Bagaimana pula Tunku melihat kepada polis?




Saya pernah dilantik sebagai salah seorang pesuruhjaya dalam Suruhanjaya Diraja bagi mempertingkatkan Pengendalian dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia. Kami mendapati rasuah berlaku di setiap peringkat di dalam badan ini; di peringkat atasan hinggalah ke bawah.

Pesuruhjaya telah menjalankan siasatan dan laporan yang kami kemukakan. Menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis, IPCMC ialah salah satu daripada penyelesaiannya.

Tidak ada satu pun badan berkuasa polis di dunia ini yang melaporkan kepada polis. Oleh sebab itulah kita perlukan badan seperti IPCMC yang mana secara efektifnya telah dijalankan di negara-negara maju seperti di United Kingdom, Australia dan Hong Kong.

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Anwar Ibrahim satu ketika dahulu. Beliau dibelasah semasa dalam tahanan… dan polis mengatakan bahawa mereka tidak tahu. Bagaimana kita boleh mempercayai mereka ini?

Kerajaan bersetuju dengan cadangan yang kami kemukakan tetapi tidak mahu melaksanakan.




Boleh ceritakan mengenai salasilah Tunku di dalam keluarga Diraja?

Saya berasal dari Kedah dan mempunyai keturunan raja yang mempunyai pertalian darah dengan (Allahyarham) Tunku Abdul Rahman. Benar, kami berada dalam cabang keluarga yang sama tetapi kami berada pada lini garisan berlainan. Keluarga yang lain sekarang memerintah Kedah.

Saya ingin berterus-terang di sini bahawa saya tidak senang apabila berada di istana, apatah lagi saya tidak akan menjadi sultan yang efektif (gelak).

Memang benar, gelaran Tunku ialah warisan saya tetapi saya measakan seseorang itu tidak perlu diukur pada gelarannya. Seseorang itu disanjung kerana mempunyai harta kekayaan?

Seseorang itu perlu dipandang hebat dengan pegangan mereka. Ciri yang ada pada seseorang itu sepatutnya dinilai. Harta tidak boleh membawa kita ke syurga.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com