Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Sunday, November 30, 2008

Deraan Majikan: Nirmala Dapat Keadilan


Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 27 November telah membuat keputusan bahawa majikan mangsa dera, Yim Pek Ha (40) didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara 18 tahun.

Hukuman tersebut dijatuhkan ke atas Yim selepas Nirmala pada 17 Mei 2004 telah berjaya melarikan diri daripada kurungan majikannya dan membuat laporan polis.

Menurut laporan polisnya, Nirmala melaporkan bahawa beliau telah didera dengan teruk oleh majikannya Yim Pek Ha, 40 seorang suri rumahtangga.

Yim telah di didakwa mencederakan pembantu rumahnya dengan teruk secara sukarela dengan menggunakan seterika dua kali pada Januari dan April 2004.

Selain itu, Yim juga didapati bersalah mencurahkan air mendidih pada Mac 2004 dan menggunakan cawan keluli untuk memukul Nirmala pada 3pm, 17 Mei 2004.


Kesemua kesalahan tersebut berlaku di kediaman Yim di kondominium Villa Putera di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur.


Sepatutnya hukuman penjara 54 tahun iaitu 18 tahun bagi setiap kesalahan, tetapi Hakim memerintahkan bahawa kesemua hukuman berjalan serentak.

Walau bagaimanapun, tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan menyebabkan keceraan parah terhadap Nirmala dengan menggunakan cawan besi pada jam 3 petang, 17 Mei 2004.
Hakim Akhthar dalam penghakimannya berkata perlakuan Yim tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima oleh masyarakat.

“Kecederaan dilakukan berkali-kali oleh tertuduh terhadap mangsa menunjukkan tingkah laku penyeksa yang tidak boleh diterima dalam masyarakat,” ujar Hakim lagi.
Mengambil komen dari Penasihat Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang, beliau menyifatkan tahap rakyat Malaysia sekarang lebih rendah daripada pekerja.

Sambil tergelak sinis, Lim berkata tingkahlaku beberapa menteri kabinet dengan kononnya terperanjat dengan keadaan yang berlaku terhadap Nirmala pada tahun 2004 sebagai lakonan.

Lim mendakwa menteri-menteri khususnya Menteri Dalam Negeri (Noh Omar – pada ketika itu) dan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat (Shahrizat Abdul Jalil – pada ketika itu) tidak melakukan tanggungjawab mereka dalam membendung jenayah di Malaysia.

Lim juga mengkritik Menteri Kebudayaan, Seni dan Warisan, Datuk Seri Utama Rais Yatim dalam bukunya ‘Freedom under Executive Power in Malaysia’ yang menyebut antara lain bahawa “seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan” bahawa kes yang berlaku terhadap Nirmala tidak ada kena-mengena dengan prinsip yang diutarakan di dalam bukunya.


Cederakan Diri Sendiri

Semasa perbicaraan 22 Mac lalu, Yim menafikan melakukan perkara terkutuk itu. Ibu yang mempunyai empat anak memberitahu mahkamah pada waktu itu bahawa Nirmala mencederakan dirinya sendiri berkemungkinan Akhthar juga memberitahu bahawa melalui kenyataan saksi, Nirmala tidak mencederakan dirinya sendiri. Sungguhpun terdapat saksi pakar, namun Yim sendiri tidak dapat menafikan bahawa dia pernah menampar Nirmala semasa waktu bertugas.

Hakim merujuk kepada kenyataan Dr John Andrew Munro Gall, 53, dari Australia yang dipanggil mahkamah untuk memberi keterangan. Perbicaraan pada 16 April 2008 lalu menyaksikan Gall memberitahu mahkamah sesyen bahawa mangsa berkemungkinan telah mencederakan dirinya sendiri pada situasi di mana mangsa tersebut mempunyai psikologi yang tidak normal.

Beliau yang merupakan Pengarah Australian Forensic & Medico-Legal Consultants Southern Medical Services Pty Ltd yang juga saksi kedua pembela, mendakwa pendapatnya menjadi lebih kukuh apabila mendapati kesan kecederaan yang dialami Nirmala jelas membuktikan ia tidak menyokong keterangan yang diberikan kepada mahkamah.

"Seperti saya katakan, saya pernah mengendalikan kes membabitkan seorang lelaki memotong jari dan telinga sendiri, selain seorang lagi pesakit sanggup membakar jarinya bagi memuaskan dirinya.

"Jika seseorang itu normal, sudah semestinya dia akan menghalang dirinya dari dicederakan apatah lagi mencederakan dirinya," katanya.

Melihat kepada kecederaan yang dialami Nirmala, bahagian-bahagian badan yang mengalami kecederaan teruk tidak dapat dicapai tangan sendiri, Hakim terus menolak dakwaan yang mengatakan mangsa telah mencederakan dirinya sendiri.

“Nirmala telah konsisten dalam kenyataannya, sejak beliau dijumpai pengawal semasa melarikan diri,” terang Akhthar.

Latabelakang kes

Perjalanan kes deraan pembantu rumah Nirmala Bonat (19 tahun semasa kes berlaku) berlangsung selama 110 hari dalam tempoh empat setengah tahun.

Yim memulakan keterangan dengan mengatakan keburukan serta kekurangan Nirmala dalam menjalankan tugasnya di rumah yang tidak sempurna.

Sejak beliau membuat laporan polis, Nirmala ditempatkan di tempat perlindungan di Pejabat Kedutaan Besar Indonesia sehingga Januari 2008. Disebabkan proses perbicaraan yang memakan masa panjang, Nirmala telah memohon untuk pulang ke negaranya.


MADPET (Malaysians Against Death Penalty and Torture) sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pernah mengeluarkan kenyataan pada 7 September 2007 kerana melewatkan perbicaraan. Perbicaraan kes ini telah berjalan selama 110 hari. MADPET mengesyorkan bahawa kes-kes seperti Nirmala dan melibatkan warga asing khususnya pelancong asing sepatutnya diberikan keutamaan dalam memastikan keadilan terjamin.

Akibat dari itu, terpaksa pulang ke negara asal mereka kerana tidak dapat menunggu bertahun selepas semua proses penghakiman selesai dan akhirnya, pesalah akan dibebaskan.

MADPET juga mengecam pihak kerajaan yang tidak menawarkan tempat perlindungan malah menyerahkan kepada pihak kedutaan. Bagi organisasi ini, tanggungjawab sepatutnya dipikul oleh pihak kerajaan sendiri.

Menurut Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan, kerajaan menjamin setiap insan sama rata tanpa merujuk kepada taraf kerakyatan.

Kesemua kesalahan tersebut berlaku di kediaman Yim di kondominium Villa Putera di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur.

Kes ini juga telah mencatat sejarah dalam perundangan Malaysia bilamana seorang pesalah dikenakan tiga hukuman di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan bagi kesalahan atas mangsa yang sama.

Kes ini menjadi kejutan kepada seluruh rakyat Malaysia dan Indonesia apabila gambar Nirmala yang hanya bekerja selama lima bulan bersama majikannya disiarkan pada 2004 yang bersisik-sisik luka akibat didera majikan.

Kesalahan Lain ke atas Pekerja Asing

Kes-kes lain selain daripada deraan fizikal seperti yang berlaku ke atas Nirmala ialah gaji yang tidak dibayar seperti yang termaktub di dalam kontrak. Seperti lazim, pekerja-pekerja asing telah melabur demi untuk mendapat pekerjaan bagi menanggung keluarga di kampong. Ada di antara mereka juga yang meminjam wang untuk datang ke Malaysia.

Pekerja-pekerja asing sering mengadu bahawa mereka tidak disediakan dengan tempat tinggal yang memadai. Antara kes-kes yang pernah dilaporkan ialah mereka dipaksa untuk tinggal bersesak-sesakan di dalam sebuah bilik, dalam keadaan yang kotor. Keadaan sedemikian sering mengundang kepada penyakit berjangkit. Ada juga yang maut atas keadaan sedemikian.

Terdapat juga kes di mana kemalangan berlaku ke atas buruh-buruh asing ini atas persekitaran yang merbahaya. Mereka sepatutnya dibayar pampasan atas kemalangan sedemikian tetapi malangnya, berdasarkan kebanyakan kes, mereka dihantar pulan ke Negara masing-masing.

Pihak penguatkuasa pula sering menjalankan operasi penangkapan buruh-buruh asing. Tindakan sedemikian sering menggugat kehidupan mereka.
Menurut Duta Indonesia di Malaysia, Rusdihardjo, dalam jangamasa empat tahun kebelakangan ini, pejabat beliau telah menerima sebanyak 26 kes penderaan terhadap pembantu rumah.

Majikan di Malaysia juga tidak dikehendaki untuk memenuhi piawai minimum kecuali perkara-perkara yang terkandung di dalam perjanjian bersama (MOU) di antara Malaysia-Indonesia. Justeru, ramai pekerja-pekerja domestik tidak diberikan cuti oleh majikan mereka.

Agen-agen juga sering lari dari tanggungjawab apabila pekerja-pekerja domestik ini diserahkan kepada majikan masing-masing.

Sehubungan dengan kes terebut,pegawai-pegawai tinggi Indonesia dan kumpulan hak asasi manusia berterusan mendesak agar kerajaan Malaysia memperketatkan pekerja-pekerja asing yang seramai lebih kurang 1.1 juta yang kini berada di Malaysia.

Setelah diteliti konvensyen antarabangsa, Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Hak Perlindungan Pekerja Asing dan Ahli Keluarga Mereka dari Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1990 dan memastikan pelaksanaan penuhnya.

Labels: ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com