Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Saturday, December 22, 2007
Pulau Manukan: Alam Semulajadi Robek Dek Rasuah Sabah
Pada hari terakhir di Kota Kinabalu (17 Disember), temujanji aku dengan seorang peguam bagi membincangkan beberapa projek komuniti di sini dibatalkan kerana beliau terpaksa menyambung perbicaraan kes di Tawau.
Aku buat keputusan untuk ke pulau. Selepas membuat beberapa ‘research’ aku memilih untuk ke Pulau Manukan, kira-kira 20 minit menaiki bot laju dari jeti Jesselton.
Pulau Manukan berkeluasan 51 ekar dan berbentuk boomerang mempunyai pantai yang sungguh indah dan menjadikannya taman Tunku Abdul Rahman kedua terbesar. Pantainya berukuran 1.5 km.
Selain Manukan, Taman Tunku Abdul Rahman juga melibatkan lima pulau-pulau lain iaitu Pulau Gaya, Pulau Mamutik, Pulau Sapi and Pulau Sulug.
Oleh kerana pantai ini dikatakan sesuai untuk snorkeling, aku membuat keputusan untuk bersantai dan mencuba pantai ini selepas beberapa pantai di Semananjung telah pun aku jelajahi.
Sudah semestinya perjalanan ke Manukan hanya untuk memberi sedikit ketenangan dan lari dari hingit-bingit kebobrokan kota, tapi talian telefon aku masih lagi boleh berfungsi. Telefon blackberry aku masih menghantar emel-emel dan terpaksa juga dalam beberapa ketika menjalankan tugas-tugas penting yang tidak dapat menunggu sehingga aku pulang.
Tiket untuk ke Manukan ialah RM17 untuk orang dewasa dan perlu ditambah RM6 untuk cukai. Setibanya di Manukan, aku diminta lagi RM3 sebagai tiket lawatan ke Taman TUnku Abdul Rahman.
Ada juga berita yang aku terima bahawa di Pulau Manukan ini sendiri terdapat beberapa kemalangan sehingga menyebabkan kematian di kalangan pelancong-pelancong luar negara semasa snorkeling. Ada yang digigit jellyfish hanya di persisiran pantai.
“Tapi, mautkan di mana-mana? Di lokap polis pun boleh mati (sama ada dibelasah atau keracunan makanan).”
Pengalaman Snorkeling
Aku sungguh kecewa bila mencecah kaki di laut kerana batu-batu karangnya banyak yang sudah mati, sama ada tidak ada usaha pemuliharaan, dicuri atau atau dimatikan akibat dipijak oleh pelancong-pelancong sendiri.
Aku terpaksa jauh ke tengah untuk melihat beberapa spesis ikan dan terumbu karang yang cantik.
Aku bertemu Udang Kara (ambar atas). Nama saintifiknya Panulirus. Spesis ini boleh berjalan ke hadapan dan ke tepi tetapi selalunya berenang ke arah belakang seperti sotong. Arah ke belakang ini dihasilkan dengan pergerakan ekor yang pantas.
Kima (gambar atas) pula merupakan moluska terbesar di dunia. Mantel yang berwarna-warni menghasilkan alga simbiosis yang memberikannya makanan.
Lelap di celah batu Manukan
Tidak ada apa yang lebih indah berbanding dengan membaca buku di tepi pantai terutama sekali bila berhadapa dengan laut yang luas. Bayu darat yang nyaman dan batu laut yang licin dengan pantasnya boleh membawa aku hanyut dalam tidur.
Oleh kerana aku begitu berhati-hati dengan perbelanjaan, aku tidak berbelanja apa-apa di Manukan. Semuanya aku bawa sendiri sebagai bekalan. Blackberry sentiasa menjadi teman dengan lagu-lagu merdu.
Sungguhpun tempat ini indah sebagai satu destinasi pelancongan ,sekiranya diberi pilihan, aku tidak lagi ke sini. Aku bercadang ke pulau yang lebih pendalaman dan lebih ‘dara’ berabanding dengan pulau-pulau di sekitar Kota Kinabalu,
Usaha-usaha kecil yang dibuat oleh pihak berkuasa dilihat dalam masa beberapa tahun lagi spesis-spesis laut, flora dan fauna ini tidak akan lagi dinikmati.
Penjualan koral secara haram oleh penduduk pulau berleluasa tanpa penguasaan ketat. Aku rasa pihak berkuasa lebih diberi arahan menjaga perhimpunan rakyat. Bagi pihak Ketua Menteri pula, tempoh khdimat lima tahun akan digunakan sebaik-baiknya untuk merompak segala harta estetika Sabah ini.
Semua kekayaan alam semulajadi ini telah dan akan berterusan menjadi habuan rasuah ahli-ahli politik Sabah yang semakin hari menjadi darah daging mereka.
Cuaca pula tidak bergitu terik. Aku yang sengaja tidak mahu menyapu sun-block tidak mengalami sebarang kupasan kulit tetapi sedikit gelap.
Pasar Ikan Masin
Sebelum pulang, aku bersiar-siar di Pasar Ikan Masin yang menjual pelbagai jenis ikan, udang dan sotong yang dikeringkan. Rakan-rakan ‘pemandu pelancong’ sukarela beri bermacam-macam cadangan menjadikan aku belanja sekitar RM100 (selepas ditawar habis-habisan) sehingga menjadikan beg pakaian aku berbau.
Labels: Ketua Menteri Sabah, Kota Kinabalu, Pulau Manukan, Udang Kara
0 Comments:
Post a Comment
<< Home