Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Friday, December 21, 2007

Intimidasi Kerajaan Tidak berjaya



Tarikh: 19 Disember 2007
Tempat: Menara Tun Razak, Jalan raja Laut, Kuala Lumpur Bilangan protestor: 100 orang Bilangan polis dan FRU: 100 orang

"Kerajaan kata demonstrasi bukan budaya Negara kita.
Polis kata perhimpunan aman adalah haram dan lancarkan OPS PADAM 2 untuk mematahkan kebangkitan rakyat. Akhbar arus perdana pula membuat 'survey' yang menunjukkan kononnya rakyat Malaysia tidak menyokong hak berhimpun."

Ini adalah keadaan di Negara kita sejak 10 November lalu apabila rakyat Malaysia turun ke jalan raya menuntut hak mereka. Propaganda negatif pihak Kerajaan dan penangkapan dibuat untuk menakut-nakutkan rakyat. Pemimpin dan penyokong BERSIH dan HINDRAF dimangsakan.

Dalam situasi ini, lebih 400 orang yang mewakili dari 51 kumpulan masyarakat, organisasi bukan kerajaan (NGO), anak muda dan pelajar, parti-parti politik telah berhimpun di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mempertahankan hak berhimpun rakyat.

Perhimpunan yang diinisiatifkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) mendapat sokongan pelbagai pihak yang percaya bahawa hak berhimpun adalah hak asasi rakyat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 10. Di atas landasan ini satu Gabungan Mempertahankan Hak Berhimpun telah ditubuhkan demi menuntut hak rakyat yang kian dicabul oleh pihak berkuasa.

Perhimpunan yang bermula pukul 11 pagi, dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh S.Arutchelvan Setiusaha Agung PSM. Program yang diacarakan oleh Sdr.Sivan dan Sdr.Badrul diteruskan dengan ucapan-ucapan dari wakil kumpulan masyarakat. Masyarakat ladang diwakili oleh Sdr Sugu, Peneroka Bandar oleh Sdr.Noralizan, Anak Muda dan Pelajar oleh Sdr. Simon Ooi. Kemudian wakil dari parti politik Dr.Nasir dari PSM, Pak Sabu dari PAS, Sdr Sivarasa dari PKR, Sdr Ronnie Liu dari DAP telah menyampaikan pandangan masing-masing mengenai hak berhimpun. Tidak ketinggalkan Sdr Amer Hamzah dari Majlis Guaman Negara
dan Sdr Malik Hussein dari MAFREL telah berucap. Ke semua mereka telah menekankan hak berhimpun adalah hak asasi dan hak demokrasi setiap rakyat dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Mereka telah mengecam niat jahat kerajaan dengan menggunakan intimidasi, ugutan dan penggunaan undang-undang zalim seperti Akta polis 27 dan salahguna Perintah Mahkamah Majistreat dan iklan-iklan di media massa yang mencabul hak rakyat Malaysia yang berhimpun secara aman.

Penyerahan Memorandum dimeriahkan lagi dengan sebuah persembahan oleh kumpulan anak muda, Food Not Boms (FNB) yang bertemakan kebebasan dan hak rakyat untuk berhimpun secara aman. Sejurus selepas persembahan Sdr. Arutchelvan telah membacakan tuntutan-tuntuan Gabungan Mempertahankan Hak Berhimpun Rakyat iaitu:

· Hak Berhimpun di bawah Perkara 10 – Perlembagaan Negara

· Menyokong pendirian SUHAKAM dalam mempertahankan hak berhimpun dan pemansuhan Seksyen 27 Akta Polis

· Membantah segala tindakan pihak Kerajaan dan Mana-mana Kumpulan lain yang berniat untuk mencabul hak berhimpun rakyat secara aman



Gabungan ini menyeru SUHAKAM untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap
penyalahgunaan kuasa ini. Pesuruhjaya SUHAKAM Dato Denison bersama Dato
Sivasubramaniam dan Tan Sri Asiah Abu Samah telah menerima memorandum dari
Gabungan Pertahankan Hak Berhimpun.

Perhimpunan yang penuh bersemangat dan aman ini berakhir tanpa sebarang masalah. Walaupun kebelakangan ini banyak penangkapan dan ugutan ISA dibuat oleh kerajaan atas nama perhimpunan haram, namun perhimpunan ni berjaya memecahkan tembelang dan sekaligus memberikan mesej kepada kerajaan bahawa rakyat pasti akan turun ke jalan untuk menuntut hak mereka walau apapun halanganya.

Hidup Rakyat Hidup Perjuangan Rakyat !

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com