Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Thursday, March 08, 2007

ULASAN FILEM MUKHSIN: Konflik Cinta- Keruntuhan Sebuah Persahabatan















Sebuah persahabatan yang akrab selalunya membawa kepada perkahwinan. Perkahwinan pula tidak selalunya berdasarkan cinta. Perikatan perkahwinan yang runtuh berdasarkan cinta akhirnya menggagalkan sebuah ikatan persahabatan.

Ungkapan itu menjadi satu kesimpulan selepas menonton filem Mukhsin pada 27 Februari lalu semasa Majlis Pra-tonton yang dianjurkan oleh Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB).

Filem ini adalah sebuah filem yang saya tunggu-tunggu selepas teruja menyaksikan Sepet dan kemudiannya Gubra. Kedua-duanya hasil arahan sutradara Yasmin Ahmad. Beliau mula mengorak nama dalam dunia layar bermula dengan kemunculan filem pertamanya di pawagam, iaitu Sepet (tahun 2005) diikuti dengan ‘sequelnya’ Gubra pada tahun lepas. Apa yang istimewanya mengenai filem arahan Yasmin ialah setiap filem yang dihasilkan mempunyai kesinambungannya yang tersendiri. Mukhsin sekiranya dihayati, plot ceritanya berkisar tentang zaman kanak-kanak Orked sebelum muncul di dalam ‘Sepet’.


Yasmin Ahmad





Selepas menyaksikan ketiga-tiga filem beliau, saya kira beliau ialah seorang yang sentimental dan menghargai perjalanan hidupnya.

Sungguhpun jalan cerita filem-filem beliau tidak ada yang lainnya berbanding dengan perjalanan hidup kebanyakan daripada kita, namun, filem-filemnya diolah menjadi sebuah produk yang sungguh menarik sehingga mampu mencipta nama dan meraih Anugerah Filem Terbaik bagi kategori Generasi Baru di Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-57 pada 17 Februari lalu. Mukhsin turut mencatatkan kemenangan berganda apabila berjaya meraih tempat kedua bagi Anugerah Juri Kanak-Kanak. Filem yang mengenengahkan kehidupan sosial masyarakat kita ke mata dunia juga akan dibawa menyertai festival-festival bertaraf antarabangsa seperti Festival Filem Antarabangsa San Francisco, Hong Kong dan Pusan.

Pembikinan filem menelan belanja sebanyak RM1.5 juta. Saya yakin Yasmin dan GBSB mampu meraih keuntungan atau sekurang-kurangnya mendapat balik jumlah tersebut.

Sungguhpun demikian, saya kira keuntungan yang lumayan bukanlah menjadi matlamat utama Yasmin. Kepuasan dalam menghasilkan sebuah filem dan penghasilan yang menarik menjadi matlamat optima beliau.

Bagi pendapat peribadi, sinematografi MUKHSIN tidak boleh ditandingi oleh mana-mana pengarah di Malaysia. Latarbelakang beliau dalam bidang pengiklanan dan mengadapatasikan dalam filem menghasilkan sebuah kombinasi yang sungguh bijak.

Mukhsin mengikis tanggapan negatif segelintir khalayak yang melabelkan filem-filem yang mempunyai nilai artistik dan estetik yang tinggi hanya mampu menjadi jaguh di festival tetapi tidak mempunyai nilai komersil.

MUKHSIN dalam Orked


Dalam filem ini, Orked dipaparkan sebagai kanak-kanak yang lain daripada kanak-kanak lain, yang lebih suka bermain masak-masak dan kahwin-kahwin. Dia yang kasar kelakuannya, sukar diterima kanak-kanak lain di kampungnya. Malah, orang kampung memandang aneh keluarga ini seperti ketika Orked dan ibu, Mak Inom bermain hujan sementara ayah, Pak Atan melagukan keroncong.

Satu hari, Orked memerhati budak-budak lelaki bermain ‘galah panjang.’ Bila seorang pemainnya terseliuh kaki ada yang mencadangkan Orked menggantinya, tetapi seorang budak lelaki lagak ketua bukan saja enggan, malah membaling bola ke arahnya.

Orked diam, tidak mengelak biarpun bola yang dibaling keras terkena badannya. Sedang mereka mentertawakannya, dia membalas dengan membaling bola sama ke arah budak lelaki tadi yang terkena dahinya. Dan, hidup Orked pun berubah.

Kehadiran Mukhsin, budak lelaki itu yang datang bercuti di kampungnya membibitkan persahabatan di antara mereka. Orked malah bergaya seperti Mukhsin – baju dan seluar lusuh, serta berkaki ayam, bermain dengan budak lelaki, memanjat pokok dan berbasikal.
Tapi, sebagai kanak-kanak yang meningkat remaja, Mukhsin mula menyimpan rasa terhadap Orked, menyebabkan ujud permasalahan antara mereka. Dan, bagaimana perasaan cinta mampu merosakkan sebuah persahabatan.

MUKHSIN dibintangi Sharifah Aryana sebagai Orked, Mohd Syafie Naswip (Mukhsin), Sharifah Aleya (Mak Inom), Irwan Iskandar (Pak Atan), Adibah Noor (Kak Som) dengan penampilan Sharifah Amani.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com