Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Friday, July 28, 2006

Hentikan segala bentuk perhubungan dengan Israel



Tindakan Israel di Lubnan beberapa minggu lalu tidak berperikemanusiaan dan satu tindakan drastik perlu dilakukan segera oleh seluruh umat manusia yang cintakan keadilan dan supaya hak asasi manusia di kawasan yang terlibat dikembalikan.

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat juga menggesa agar Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dilantik sebagai Ketua Negara-negara Islam memainkan peranan yang lebih jelas dalam isu ini.

Angkatan Muda meminta Perdana Menteri sebagai Ketua Negara-negara Islam melobi mana-mana Negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik ataupun perdangangan dengan Israel agar memutuskan juga hubungan tersebut serta-merta sebagai tindak balas kekejaman tersebut.


Serangan yang baru lalu itu merupakan rentetan daripada seribu peperangan yang tidak pernah luput di situ.

Bermula dengan penculikan oleh HAMAS ke atas seorang tentera Yahudi, ia membawa kepada serangan hebat Israel ke atas Semenanjung Gaza bagi pembebasan tenteranya. Insiden yang sama itu telah merebak pula ke Lubnan ekoran tindakan Hizbullah menyerang dan menculik dua orang tentera Yahudi di pos sempadan kedua-dua negara.

Serangan yang telah masuk minggu ke-tiga ini dilihat oleh Angkatan Muda sebagai bukan lagi usaha untuk membebaskan dua tenteranya sebaliknya untuk melakukan satu lagi penjajahan baru Zionis di Timur tengah selepas Palestin pada 1948.

Justeru, Angkatan Muda mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang tidak berperikemanusiaan Israel di Lubnan yang bukan sahaja membunuh orang awam yang tidak berdosa malahan meranapkan segala insfrastruktur Lubnan yang mana pembangunan pemulihan mengambil masa selama dua puluh tahun selepas berakhirnya perang saudara pada pertengahan 1980-an yang akhirnya ranap dalam sekelip mata.

Serangan Israel yang didalangi oleh Amerika Syarikat seharusnya dipandang dengan prihatin oleh Kerajaan.

Oleh itu, kedatangan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice ke negara ini pada 27 Julai lepas seolah-olah menyokong kekejaman Israel di Lubnan dan sekaligus menyokong kekejaman Amerika di Iraq dan Afghanistan.

Sikap Amerika yang banyak melindungi Israel dalam apa jua perkara yang bersangkutan dengan kekejaman seharusnya ditelaah dengan teliti oleh Kerajaan.

Apakah kita sudah lupa pada kekejaman tentera Israel di Kem Shabra dan Shatilla pada tahun 1982 yang menyaksikan bagaimana ratusan rakyat yang tidak berdosa telah disembelih hidup-hidup oleh tentera Israel?

Angkatan Muda mengingatkan kepada Kerajaan Malaysia agar sensitif kepada perkara-perkara ini setelah seluruh dunia mengutuk serangan Israel di bumi Lubnan yang telah masuk minggu ke tiga.

Kami menggesa agar Israel menghentikan serangan terhadap Lubnan serta menerima syarat yang ditetapkan Hizbullah bagi pembebasan dua tenteranya yang diculik.

Apalah ertinya bagi Israel dengan nyawa dua tenteranya jikalau hendak dibandingkan dengan puluhan nyawa rakyat Lubnan yang telah terkorban kerana serangan tersebut.

Kami berpandangan bahawa andainya Israel meneruskan serangan, apa yang pastinya ia akan mengundang kepada perkara yang lebih besar; Iran dan Syria yang merupakan paksi utama kepada Hizbullah pastinya tidak akan berdiam diri dan mungkin akan berlaku tindak balas dari kedua-dua negara ini yang sekaligus perang semakin merebak dan yang tentunya Timur Tengah akan terbakar lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com