Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Tuesday, November 08, 2005

Ulasan pembentangan Bajet 2006 - Pertumbuhan 5.5% tidak realistik


Nik Mahmood Nik Hassan,60, adalah pengerusi perhubungan KeADILan Kelantan. Beliau merupakan antara anak Melayu yang memperolehi Sarjana Muda Ekonomi daru Universiti Malaya pada tahun 1968.

Pemegang Sarjana Dasar Awam dan Pentadbiran dari Universiti Wisconsin ini merupakan bekas pegawai tinggi di Kementerian Kewangan meninggalkan kerajaan untuk beralih kepada pihak swasta.

Bekas Pengarah Urusan Kumpulan Land & General ini berpendapat bahawa Bajet 2006 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen baru-baru ini sebagai 'salah strategi dari kacamata ekonomi.'



Bagaimana saudara melihat Bajet 2006 yang baru dibentangkan?

Bagi saya bajet 2006 ini memberi gambaran yang optimis khususnya dari sudut GDP ekonomi dijangka tumbuh 5.5 peratus pada 2006 dan 5 peratus pada tahun ini, namun bagi saya, pertumbuhan ini kadarnya terlampau tinggi.

Kalau kita lihat pada 2006, dengan harga minyak meningkat begitu banyak, dan masalah ekonomi negara maju seperti Amerika, tidak mungkin ekonomi negara akan berkembang pada kadar 5.5 peratus. Begitu juga pada 2005 kadar yang dijangkakan 5 peratus, itu agak tinggi kalau kita tengok pada percapaian suku kedua sebanyak 4.81 peratus.

Dengan harga minyak yang meningkat dan inflasi negara, kadar perkembangan yang sebenar menurut beberapa ahli ekonomi adalah 4.5 peratus sahaja. Tidak sampai 5 peratus.


Apa kesannya jika pertumbuhan negara tidak sampai sasaran 5.5 peratus ?

Apabila kita buat andaian yang tinggi 5.5 peratus pada 2006, sedangkan ia tidak seperti yang berlaku, maka ada implikasi yang lain jika kadar pertumbuhan kita tidak mencapai kadar yang ditetapkan.

Pertama pendapatan cukai tidak akan sebanyak yang dijangkakan. Apabila hasil cukai turun, sudah pasti membuat pinjaman untuk melaksanakan projek-projek pembangunan. Contohnya, jika sebelum ini kita jangkakan jumlah yang perlu dipinjam adalah RM5 Bilion tetapi bila hasil kurang maka kita perlu pinjam lebih.



Apa beza bajet defisit dan bajet seimbang?

Bajet seimbang adalah bila hasil yang kita pungut sama dengan hasil yang kita belanjakan. Kalau kita belanja lebih sedangkan hasil kita kurang maka terjadi perbezaan, perbezaan inilah yang kita panggil defisit. Jadi bejat kita ini bajet defisit kerana hasil negara kita kurang sedangkan perbelanjaan kita lebih.

Apabila pendapatan negara rendah, pendapatan rakyat juga rendah, jadi jumlah pendapatan yang boleh digunakan akan kurang, jadi orang ramai kurang membeli, ekonomi berkembang apabila banyak berlaku jual-beli, apabila urusan jual-beli atau perniagaan kurang maka ekonomi akan mengucup.



Apa yang perlu dilakukan kerajaan sebenarnya?

Dalam keadaan ekonomi dunia yang perlahan, kerajaan sepatutnya memainkan peranan dengan lebih berkesan, jadi mengapakan kerajaan kita dalam keadaan begini menekankan soal mengurangkan bajet defisit, menyuruh orang ramai berjimat, mengelak perbelanjaan, seperti ucapan Perdana Menteri selepas membentangkan bajet baru-baru ini. Semua itu akan memburukkan keadaan. Apabila semua rakyat mengambil sikap menyimpan, tidka berbelanja, maka pertumbuhan ekonomi negara tidak akan berkembang.



Contohnya?

Contohnya mudah, nilai wang seringgit itu menurut pakar ekonomi, akan berpusing sehingga lima kali di dalam pasaran, jadi maknanya pada setiap ringgit yang dibelanjakan, terdapat kepelbagaian pusingan yang secara tidak langsung meransang ekonomi.

Apabila orang menyimpan, pusingan duit itu tidak berlaku, ekonomi akan mengucup, dan negara akan berdepan dengan krisis. Seperti syarikat swasta menghentikan pekerja, pinjaman tidak boleh bayar, pasaran hartanah mengucup dan lain-lain. Inilah yang sebenarnya berlaku di Thailand dan Indonesia ketika krisis ekonomi rantau ini pada 1997-1998.



Apakah kerajaan mengurangkan perbelanjaannya dalam bajet ini?

Iya dikurangkan, jika dua tahun lepas bajet defisitnya 5 peratus, tahun lepas 3.5 peratus tahun ini hanya 3.8 peratus. Maknanya kerajaan sendiri tidak berbelanja. Saya jangkakan ekonomi Malaysia akan bergerak perlahan pada suku pertama tahun hadapan. Kenapa bergerak perlahan? Kerana harga minyak naik, inflasi meningkat, perkembangan ekonomi global juga menunjukkan trend ini, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah juga tidak berkembang dengan pesat. Negara-negara ini merupakan negara utama dagangan eksport kita, jadi sudah tentu ia akan memberi kesan kepada kita jika ekonomi mereka merudum.



Bagaimana kita hendak berdepan dengan kesan kelembapan ekonomi global ini?

Kerajaan kena main peranan dengan berbelanja lebih. Belanja pembangunan itu lebih, buat jalan baru, jambatan baru, bangunan baru, supaya memberikan pekerjaan kepada orang ramai, pendapatan mereka meningkat, dibelanjakan dan ia menjadi satu pusingan seperti yang kita sebutkan tadi.

Sebab itu saya katakan langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaan dalam bajet kali ini sebagai salah strategi dari kacamata ekonomi. Ia tidak sejajar dengan keperluan kita untuk melawan penurunan ekonomi. Kita sepatutnya lawan supaya kesan kelembapan itu tidak terlalu ketara. Penekanan yang diberikan kerajaan itu pada saya tidak tepat.



Bagaimana dengan kedatangan pelabur luar?

Iya ia berkait. Pelabur langsung asing (FDI) telah sekian lama merosot kerana mereka lebih gemar melabur di negara seperti China dan Vietnam dan India. FDI yang ada di Malaysia kini hanyalah yang lama sahaja, yang baru tidak datang, jadi tidak berkembang. Kerajaan seharusnya memainkan peranan untuk mengantikan FDI yang tidak datang ini. Maknanya kerajaan perlu terlibat aktif menjana ekonomi. Jika tidak ekonomi kita akan merosot.



Ada pandangan mengatakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seharusnya meneroka pasaran luar untuk menjana ekonomi negara?

Saya rasa apabila kita bawa modal kita ke luar negara, dari satu segi mungkin baik, tetapi bagaimana dengan dalam negeri. Kita kena mantapkan pelaburan dalam negara dulu sebelum ke luar negara. Jika kita ada lebihan baru kita melabur ke luar negara. Pertama kita kena atas masalah kemerosotan FDI ke Malaysia.

Mungkin dengan memperkenalkan insentif baru cukai korporat kepada beberapa peratus untuk menarik minat mereka. Selain itu, kita perlu tingkatkan produktiviti kita. Selain itu masalah orang kurang percaya kepada sistem kehakiman kita, masalah rasuah yang berpanjangan turut menyumbang kepada kemerosotan kemasukan FDI.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com