Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Monday, June 27, 2005
Kes rasuah Nazri tidak akan diberi immunity
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz menerangkan bahawa Pelan Integriti Nasional atau PIN menetapkan sasarannya bagi mengurangkan genjala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan.Beliau memberitahu ketika menjawab pertanyaan daripada ahli parlimen Indera Mahkota, Dato’ Wan Adnan bin Wan Mamat di Dewan Rakyat pada 4 April lalu yang ingin penjelasan mengenai pelan yang bakal dilaksanakan pada tempoh lima tahun pertama 2004 hingga 2008.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang pula mencelah bahawa keputusan tersebut merupakan keputusan dasar bahawa semua kes rasuah dilakukan oleh Nazri dahulu akan diberi immunity, pengecualian dan tidak ada apa-apa tindakan atau penyiasatan akan diambil.
Kit Siang merujuk kepada laporan akhbar International Herald Tribune pada 29 Mac, berjudul “leader under.....Malaysia” yang memetikkan suatu kenyataan yang
dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda UMNO.
Laporan oleh Tom Flutten itu memberitahu bahawa immunity diberi untuk semua kes lampau dan bahawa kalau di sini disebut bahawa..... only..forward, tidak ada representative.
Nazri menjawab kenyataan itu dengan mengatakan bahawa dalam soal rasuah ini tidak ada immunity yang diberikan kepada sesiapa sahaja.
Dalam menerangkan PIN, selain daripada rasuah, pelan yang dikatakan dibimbing oleh falsafah dan cabaran Wawasan 2020 itu juga menyebut mengenai meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian, perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi serta meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan.
PIN yang dikoordinasikan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) juga mensasarkan kemantapan institusi keluarga dan komuniti dan meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
Ahli parlimen Batu Pahat, Dr. Junaidy bin Abdul Wahab pula mahukan penerangan mengenai peranan dan juga tahap yang perlu dijalankan atau dilakukan oleh Ahli-ahli Parlimen dalam memastikan pelan ini dapat dicapai.
Dalam menjawab pertanyaan itu pula Nazri berkata ialah agar ahli-ahli parlimen menunjukkan satu teladan, contoh yang baik.
Apa yang dimaksudkan oleh Nazri supaya ahli-ahli parlimen bersih daripada rasuah.
Justeru, Nazri mencadangkan agar IIM mengadakan satu taklimat di Dewan Rakyat ini, di mana PIN akan memberikan taklimat kepada semua Ahli-ahli Parlimen sebagai teladan dan contoh yang baik kepada rakyat dan masyarakat.
 
Sunday, June 19, 2005
"Maju tak gentar, Membela yang bayar."
"Maju tak gentar, Membela yang bayar."Ketua Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia, Bapak Hussein Omar, 65 berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Konvensyen Pengampunan Anwar Ibrahim pada 1 Mei. Hussein pernah menjadi Setiausaha Agung Dewan Dakwah selama 15 tahun. Ketika di sini, beliau sempat memberi komen mengenai sistem pengadilan di Malaysia khususnya dalam kes Anwar berdasarkan pengalaman di Indonesia.
Ikuti temubual wartawan Faisal Mustaffa.
FM: Bagaimana Bapak melihat sistem kehakiman yang berlaku di Malaysia sekarang?
Hussein: Kami di Indonesia mengikutinya dengan cermat. Ia mengingatkan kami kepada apa yang berlaku di Indonesia ketika tahun 60-an yang tidak mahu menerima oder baru di mana penuh dengan rekacipta.
Banyak persoalan keadilan dalam yang tidak berjalan memenuhi rasa pengadilan. Itu kita amati cukup lama sejak zaman Presiden yang pertama, Soekarno. Pada waktu itu, undang-undang disebut subversif. Itulah imbasnya yang menjerumuskan tokoh-tokoh politik ke dalam tahanan-tahanan ke penjara. Bahkan di masa itu, tanpa proses pengadilan. Seseorang yang dipandang berbahaya oleh pemerintah dari pembangkang dengan mudah diambil dari rumahnya dipindahkan ke penjara-penjara. Itu dialami bukan oleh sebarangan tokoh bahkan sahabat-sahabat Bung Karno sendiri yang ikut mendirikan Republik Indonesia di masa besar penjajahan Indonesia.
Tapi, beliau kemudian mengambil sikap oposisi terhadap Soekarno. Begitu juga Mohd Nasir, Ketua Umum Parti Masyumi meskipun mereka telah mendapat amnesty dan abolisi; akhirnya mereka bebas sesudah kemerdekaan. Tetapi, kemudiannya mereka dijerumuskan ke dalam penjara.
Baru, sesudah tahun 1966 akibat terjadinya pemberontakan parti Komunis di Indonesia, negara itu diberi sedikit kebebasan. Pada tahun itu, puluhan orang terutamanya dari Parti Masyumi dan Parti Sosialis Indonesia yang terdiri daripada wira-wira tentera yang tidak setuju dengan kebijakan politik Soekarno agar dibebaskan.
Ketika itu, orang seperti saya terlibat dengan Kesatuan Aksi Mahasiswa Indonesia, Kesatuan Aksi Pemuda Pelajar Indonesia ketika melawan pemberontakan Parti Komunis Indonesia pada tahun 1965.
Ketika itu terkenal dengan pemerintahan rejim Nasako (Nasionalis Agama dan Komunis).
Akhirnya, pemerintahan Suharto yang pada awalnya sama dengan Soekarno demokratis tapi dalam perjalanan sejarah telah berubah menjadi diktator.
Soekarno dulu yang melahirkan istilah marhaen iaitu bersifat kerakyatan berubah menjadi feudal dan diktator. Suharto juga bertindak sedemikian yang mengubahkan demokrasi terpimpin kepada demokrasi pancasila.
Di masa-masa itu, pengadilan tidak lagi bebas. Para hakim ada masa itu berpanjangan tangan. Jadi, boleh dikatakan pengadilan pada masa itu, jauh daripada asas pengadilan sebenar. Maka berlakulah penangkapan-penangkapan dan mengabaikan hak-hak asasi manusia.
Di Indonesia, pengadilan tehadap Anwar Ibrahim, banyak menimbulkan pertanyaan sehingga tidak lepas dari rekayasa baik dari proses pegadilan itu sendiri. Saya rasa beruntung mendapat penerangan jelas dari peguam Christopher Fernando. Saya rasa sangat jelas persoalannya.
Salah satu ciri demokratis itu ialah pengadilan yang bebas pengadilan yang berterusan - 'rule of law'.
FM: Sekarang bapak lihat sistem pengadilan di sini tidak adil?
Hussein: Sudah tentu. Banyak hal yang diabaikan ketika keputusan diambil oleh hakim.
Sekarang ini, perkara itu menjadi alat permainan. Dalam konteks Indonesia, sekiranya ada yang terdakwa, kemudian bekerjasama dengan jaksa (pendakwaraya), peguam dan polis. Ada lagu yang dimainkan, "maju tak gentar, membela yang bayar."
FM: Pada tahun 1965, jelas pengadilannya tidak ada beda dengan keadaan di Indonesia. Bagaimana keadaan itu dapat dipulihkan?
Hussein: Selepas era itu, ketika pemerintahanan Presiden Habibie, tahanan-tahanan politik dibebaskan, termasuk daerah operasi tentera di Acheh. Sebagai Ahli Parlimen, saya sendiri keluar-masuk penjara membebaskan teman-teman yang dikurung. Ada di kalangan mereka dikurangkan penghukuman yang pada awalnya dihukum mati, kemudian dikurangkan kepada 22 tahun.
FM: Apakah harapan Bapak dalam sistem perundangan di Malaysia?
Hussein: Harapan saya agar Malaysia pada satu masa nanti mempelopori untuk tegaknya hukum, rasa keadilan dan perikemanusiaan. Ini tugas berat kepada pihak berkenaan seperti polis serta hakim.
Semasa konvensyen pengampunan tanggal 1 Mei lalu, saya memetik hadis Rasulullah. Pertanyaannya, "mengapa Rasulullah membicarakan mengenai hakim?." Rasullah mengatakan, "lidah para hakim itu berada di antara dua sempadan sehingga akan membawa dia menjadi penghuni syurga atau menjurumuskannya menjadi penghuni neraka."
Seorang tokoh Indonesia yang juga pakar hukum, almarhum Syahrudin, mengejek pengadilan kerana setiap hakim di Indonesia sebelum menjatuhkan hukuman, harus mengucapkan; "atas nama keadilan, berdasarkan ketuhanan yang maha Esa.
Syahrudin yang pernah menjadi Presiden Pemerintahan Darurat Republik Indonesia meneruskan permerintahan, ketika Soekarna dan Hatta ditawan di Jogjakarta. kalau tidak, pemerintahan akan tertakluk kembali kepada penjajah. Tokoh inilah yang mengejek peradilan. Beliau mengkritik hebat dengan sistem penghakiman yang bukan berdasarkan kepada pengadilan tetapi 'Kewangan yang Maha Kuasa.' Maknanya, wang yang mengendalikan kesemuanya.
Jadi, rosaknya peradilan menghasilkan ejekan-ejekan dari kalangan masyarakat.
Apa yan berlaku kepada Anwar Ibrahim bukan berdasarkan kepada rekacipta kewangan tetapi satu rekayasa politik. Itu yang kita lihat dari jauh (Indonesia).
Deengan mendengar huraian yang diberikan oleh Fernando, kita jadi yakin, apa yang kita duga dari jauh ternyata mendapatkan justifikasi.
FM: Bagaimana Indonesia melihat ketokohan Anwar Ibrahim?
Hussein: Sangat-sangat bermakna. Saya salah seorang ahli jawatankuasa ketika menyambut dengan gembira pembebasan Anwar. Jadi, anda bisa memahami sambutan yang luarbiasa diberikan oleh rakyat Indonesia. Kegiatan-kegiatan sangat penuh sesak dengan orang yang datang ketika beliau memberikan kuliah di universiti tertua di Indonesia, Gaja Mada, kemudian di Institusi Teknologi Bandung (ITB), kemudian disenggelarakan oleh cendekiawan Muslim Indonesia di Jakarta, kemudian bertemu dengan budayawan, seniman dalam satu upacara yang cukup besar yang diadakan di Gedung Kesenian di Jakarta di mana tokoh-tokoh seniman Indonesia seperti Taufik Ismail, Rendra dan lain-lain berlimpah-limpah termasuk menteri-menteri yang ikut hadir.
Kemudian, di tengah umat Islam ketika solat Jumaat di Masjid al-Azhar, umat Islam penuh sesak di masjid yang cukup besar.
Ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dulu, beliau melontarkan gagasan masyarakat madani. Itu mendapat perhatian yang luar biasa. Sejak itu, perbincangan mengenai masyarakat madani menjadi ghairah.
Jadi, buat kita, pemikiran Anwar sangat diterima.
FM: Sambutan yang luar biasa itu atas dasar simpati atau karismatik beliau?
Hussein: Saya rasa atas ketokohannya dan fikiran-fikirannya yang bernas dan kita menghargai itu. Sehingga pada satu waktu, saya menitikkan air mata, ketika Anwar sendiri menghubungi saya dari Jerman, ketika beliau masih dirawat.
FM: Bagaimana bapak membedakan konsep Masyarakat Madani dengan Islam Hadhari (yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia)?
Hussein: Bagi saya, saya kurang setuju apabila kita mengait-kaitkan tambahan-tambahan peristilahan mengenai Islam. Apa yang patut dilakukan ialah untuk kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Tetapi, dalam perspektif masa kini, kita tetap berpijak kepada pemahaman yang utuh kerana Islam itu syumul (sesuai untuk semua keadaan masa).
Islam itu sendiri yang perlu kita kembangkan, tanpa menambah-nambah istilahnya.
Islam pada waktu ini seperti yang diketahui tertinggal dalam segala bidang termasuk bidang ekonomi, tamadun dan peradaban. Kejayaan ini harus dikembalikan kejayaan Islam sebagaimana Islam mempelopori dunia ilmu.
Islam kini dipenuhi dengan unsur-unsur politik jangka pendek untuk kepentingan kelompok tertentu.
FM: Kalau di Indonesia ada penahanan-penahanan terhadap ahli politik, di Malaysia juga ada Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA). Bagaimana bapak melihat perkara ini dalam pembangunan Islam?
Hussein: Kita harus kembali kepada prinsip-prinsip yang sangat mulia yang ditanamkan dalam al-Quran. Itu mengenai asas-asas keadilan, di mana al-Quran menjelaskan keadilan itu sangat dekat dnegan taqwa. Lalu, kita diarahkan untuk berlaku adil - berlakulah adil meskipun terhadap musuhmu sekali pun.
Dan Quran juga menyerukan, "janganlah kebencianmu terhadap satu golongan menyebabkan kamu tidak berlaku adil." Jadi setiap perundangan yang mengabaikan hak-hak asasi manusia akan merugikan masyarakat.
Sesebuah pemerintahan tidak perlu takut terhadap kekuatan-kekuatan yang ingin melakukan sesuatu yang tidak baik atau melawan hukum.
 
Monday, June 13, 2005
Pencapaian Jakim tidak akan capai konsep Hadhari
Usaha penambahbaikan mutu perkhidmatan di Jabatan Agama Islam termasuk juga JAKIM telah dipersoalkan di Dewan Rakyat 31 Mac lalu yang didakwa kurang penguatkuasaan.Ahli Parlimen Kuala Krau, Haji Ismail bin Haji Mohamed Said berkata hanya enam orang sahaja pegawai yang bertindak. ketika pemantauan label makanan halal dijalankan.
Justeru, beliau berkata tanpa penambahan dalam peruntukan kepada Jabatan-jabatan Agama Islam dan JAKIM termasuk juga Jabatan Agama Islam di daerah-daerah, Mahkamah-mahkamah Syariah, konsep Islam Hadhari tidak akan tercapai.
Beliau merujuk kepada pertambahan dalam jumlah kakitangan, pertingkatan dalam penguatkuasaan dan mutu perkhidmatan, penyeragaman undang-undang di
negeri-negeri mestilah diseragamkan serta kemudahan-kemudahan peralatan yang setanding
dengan jabatan-jabatan kerajaan yang lain.
Perkara yang kedua yang dibangkitkan oleh Ismail ialah mengenai PERKIM (jabatan yang bertanggungjawab untuk menguruskan pihak yang baru memeluk agama Islam). Beliau menggesa agar PERKIM diberikan nafas baru sama ada dari segi peruntukan dan kemudahan lain agar PERKIM di daerah-daerah ini dapat digerakkan semula supaya ajaran dan fahaman agama Islam dapat disampaikan kepada saudara baru.
Bagi menjawab persoalan tersebut, ahli parlimen Petra Jaya, Haji Fadillah bin Yusof berkata, Mahkamah Sivil diseragamkan dengan Mahkamah Rayuan Persekutuan.
Justeru, Fadillah mencadangkan agar perlu diwujudkan Mahkamah Rayuan Syariah Persekutuan, di mana ia akan menyeragamkan undang-undang syariah di Malaysia ini.
Selain daripada itu, peluang yang diberikan oleh Dewan kepada Ismail dimanfaatkan dengan membangkitkan isu ajaran sesat. Setelah 26 tahun kerajaan mengharamkan kegiatan Al-Arqam, Ismail berkara Ustaz Ashaari telah dibebaskan dan ramai pengikut bekas Al-Arqam ini masih lagi bergiat aktif mengamalkan fahaman apa yang dibawa oleh Al-Arqam itu sendiri.
Ismail mempersoalkan perpaduan umat Islam yang akan tergugat nanti dengan terbebasnya Ustaz Ashaari.
Beliau juga membincangkan isu Tarekat dan fahaman Syiah. Menurut Ismail, fahaman Syiah
dan juga kegiatan Tarekat sekarang telah banyak menular di institut pengajian tinggi
awam (IPTA).
“Apakah tindakan yang telah diambil oleh sama ada penaung atau penyebar-penyebar Tarekat atau fahaman Syiah ini telah diambil oleh JAKIM?” tanya beliau.
 
Siswazah universiti kini hanya layak baca meter
Kerajaan bercadang untuk mewujudkan sebuah system pelajaran yang bertaraf dunia tetapi masalah pengangguran di kalangan rakyat yang berkelulusan ijazah dari institusi-institusi pendidikan tinggi.Kerajaan dinampakkan cuba untuk berdolak-dalik untuk memberikan angka sebenar penganggur dari kalangan siswazah. Laporan yang pada mulanya melaporkan terdapat seramai 80,000 siswazah menganggur, jumlah tersebut menjadi 18,000.
Alasan tersebut dikatakan berpunca daripada siswazah-siswazah itu sendiri yang tidak berkualiti sungguhpun sudah menuntut ilmu di universiti.
Ahli parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow menyambut baik inisiatif kerajaan untuk mencari peluang pekerjaan serta meneruskan skim latihan untuk menempatkan siswazah-siswazah yang masih menganggur. Beliau yang menyampaikan hujahnya pada 31 Mac lalu berdoa agar semua siswazah dan graduan ini dapat ditempatkan dan mereka dapat menggunakan kerjaya mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Namun, beliau terkejut apabila membaca satu iklan yang dikeluarkan oleh Syarikat Perbekalan Air Selangor Sdn. Bhd. pada 26 Mac yang menawarkan kerja-kerja kepada siswazah yang mempunyai kelulusan ijazah ataupun diploma di bawah program penswastaan perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Iklan tersebut menawarkan 50 kekosongan pembaca meter dan 14 kekosongan kerani am dan menggalakkan siswazah-siswazah baru untuk memohon.
“Saya tidak berniat untuk menghina pekerjaan seperti pembaca meter ataupun kerani am yang biasanya boleh disandang oleh pekerja yang mempunyai kelulusan SPM,” katanya.
Chow mempersoalkan apakah siswazah yang mempunyai ijazah ataupun diploma cuma layak dan sesuai ditawarkan kerja sebagai pembaca meter ataupun kerani am ataupun ini merupakan satu anjakan paradigma kepada satu zaman di mana kita mungkin melihat lebih ramai siswazah menceburi diri dalam pekerjaan seperti pemandu bas, pelayan kedai makanan, nelayan, pekebun, petani ataupun pembantu rumah.
“Saya rasa kita belum sampai ke satu senario di mana siswazah kita cuma layak menjadi pembaca meter atau kerani am. Kita perlu mendekati masalah ini dengan mengatasi kelemahan dalam sistem melatih sumber manusia di institusi pendidikan kita,” tambahnya lagi.
 
Tuesday, June 07, 2005
Penduduk Subang Jaya kumpul dana untuk bina Ibu Pejabat Polis
Berkaitan dengan masalah tanah rezab yang berlaku di negara ini berpunca daripada proses gazet yang memakan masa yang sungguh lama. Pemasalahan tersebut merangkumi tanah kawasan lapang dan kawasan yang telah dikhususkan untuk pembinaan balai polis memberi peluang kepada pemaju asal, kerajaan tempatan dan PBT untuk membangunkan tanah tersebut sesuka hati.Ahli Parlimen Puchong, Lau Yeng Peng membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat pada 31 Mac yang lalu dengan mencadangkan agar tanah-tanah yang dikhususkan tersebut digazetkan terlebih dahulu secara sah sebelum CF dikeluarkan kepada PBT.
Menyambung hujah tersebut Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Seng Kok berkata pemaju harus akur kepada peraturan-peraturan atau mengulas undang-undang yang sedia ada.
Menjurus kepada perkara tersebut, Loh telah mengambil kesempatan tersebut dengan mengaitkan kepada tapak rizab balai polis.
Menurut Loh lagi, bagi kawasan-kawasan yang kritikal dari segi soal keselamatan, dan ketenteraman awam, tapak rizab polis hendaklah dibina prasarana balai polis dan kemudahan polis dengan segera dan bukannya disewa untuk tujuan lain.
Beliau mengambil contoh di kawasan parlimennya, Kelana Jaya, di mana di kawasan berkepadatan 200,000 orang yang meliputi Putera Heigts, Alam Mega, Putera Bahagian, Taman Industri Subang, sebahagian kawasan Shah Alam, USJ 1 hingga USJ 28, Subang Jaya hanya terdapat sebuah pondok polis bersebelahan dengan kekuatan polis seramai 46 orang sahaja.
“Demi keperluan dan kepentingan keselamatan di kawasan berkenaan, saya berharap balai polis atau Ibu Pejabat Polis daerah Subang Jaya IPD Subang Jaya dapat dibina segera di atas tapak rizab balai polis USJ 8 pada tahun 2005 dan tahun 2006 ini mengikut konsep built l and transfer (BLT), kalau tidak gunakan sebahagian peruntukan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri semasa Hari Polis,” kata Loh.
Pada Hari Polis tahun lalu Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan untuk memperuntukkan pondok polis sebanyak RM330 juta.
Justeru itu Ahli Parlimen Kelana Jaya itu meminta agar Dewan dapat meluluskan usulannya agar IPD Subang Jaya dibina di atas tapak rizab balai polis USJ 8.
Loh memberitahu bahawa keperluan sebuah balai polis di kawasan berkenaan sungguh kritikal sehinggakan penduduk tempatan telah pun memulakan kempen mengutip derma untuk dimasukkan ke dalam IPD Subang Jaya di USJ 8 ini.
“Ini satu sindiran saya rasa. Tetapi saya rasa kalau kerajaan prihatin maka tolonglah peruntukan segera diberikan untuk pembinaan balai polis ini,” tambahnya lagi.
.
 
Monday, June 06, 2005
KLIA tak selamat
DEWAN RAKYAT – Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak selamat digunakan memandangkan wang pembinaan lapangan tersebut mencecah jutaan ringgit.Sistem keselamatan (CCTV) yang terdapat di KLIA tidak boleh diharapkan kerana tidak mampu untuk merakam. Di KLIA, penumpang-penumpang dan orang ramai dibenarkan berada sewaktu para penumpang mendaftar masuk ke pesawat.
Menurut Datuk Abdul Ghapur bin Salleh, beliau mengalami pengalaman buruk ketika berada di KLIA apabila check-in. Begnya hilang apabila toleh ke belakang beg saya hilang. Saya laporkan pada polis di KLIA.
Ghapur mengkritik perbelanjaan yang dikeluarkan berpuluh-puluh juta untuk menempatkan kamera tetapi tetapi tidak boleh membuat rakaman.
“Kalau kita buat tandas, kita mahu orang buang air di sana, kalau tidak boleh buang air, bikin apa tandas?” tanya Ghapur.
Beliau memberitahu rasa kecewa kerana para pelancong tidak percaya kepada KLIA.
“Yang sebenarnya kawasan airport yang ada ini tidak ada visi. No vision at all! Kerana lima tahun akan datang dia jem lagi. Belanja lagi. Saya ingat dahulu, Perdana Menteri dahulu kata, “this airport has got no vision”, mahu pindah. Ada cadangan pindah. Sekarang bukan cadangan pindah, mahu belanja RM1,000,000,000 untuk perbaiki kemudian lima tahun mungkin baru mahu pindah. Bikin apa? Ini membazir kerana mungkin ada kementerian mahu beri kontrak kepada konco-konco. Kontrak bukannya projek. Kontrak!” katanya.