Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Wednesday, September 29, 2010

Israel dan Operation Sky Breeze, Malaysia tetap bersama Apco Worldwide

Oleh Faisal Mustaffa & Lingswaran Singh

Serangan pasukan Komando Laut Israel ke atas kapal-kapal Freedom Fortilla yang membawa bantuan kemanusiaan pada 31 Mei 2010 telah mengundang kritik antarabangsa yang hebat. Operasi yang dinamakan sebagai Operation Sea Breeze atau Operation Sky Winds oleh Angkatan Pertahanan Israel telah mengorbankan sembilan aktivis dari seluruh dunia, dan puluhan lagi tercedera termasuk tujuh anggota tentera Israel. Namun, kita lihat seluruh dunia hanya mampu mengkritik dan menyelar. Jaguh “war on terrorism” Amerika Syarikat menutup sebelah mata apabila keganasan dilakukan oleh Israel, tetapi tidak senang duduk apabila Iran mengumumkan pembangunan senjata Nuklear.


Entah mengapa Israel tidak disenaraikan sebagai pengganas antarabangsa. Mengikut undang-undang antarabangsa, Israel sudah cukup syarat untuk dikategorikan sebagai pengganas antarabangsa. Malah mengikut undang-undang Amerika Syarikat pun, Israel menepati definisi pengganas seperti tertera dalam US Federal Criminal Code. Sungguhpun demikian, tidak ada apa-apa tindakan ketenteraan dibuat ke atas Israel. Barangkali kerana Israel tidak mempunyai simpanan minyak yang banyak? Atau kerana Congress dikawal oleh The Jewish Lobby?

Amerika Syarikat tanpa segan silu melalui Congress 20 Mei 2010 telah meluluskan hampir USD205 Juta untuk membantu Israel dalam membina “sistem pertahanan” Iron Dome. Perbelanjaan tersebut diluluskan dengan undi 410 menyokong, 4 bantahan dan 8 tidak hadir / berkecuali. Pelik tapi benar, Amerika Syarikat memberi dana kepada Israel untuk membina sistem pertahanan yang canggih untuk melawan militia-militia Palestin yang bersenjatakan batu dan bahan ledak dan sukarelawan antarabangsa yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

Apa yang lebih menghairankan adalah fakta bahawa suara paling lantang melawan Israel bukannya dari Malaysia yang tidak habis mengkutuk, mengkritik dan menghina kezaliman Israel, akan tetapi dari presiden Venezuela, Hugos Chavez. Pemimpin Amerika Latin ini melalui kerajaannya telah menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin. Venezuela turut menerajui usaha-usaha kemanusiaan ke Palestin, di mana Venezuela bersama komuniti Arab, Islam dan Amerika Latin telah membekalkan ubatan, makanan, air bersih, susu dan sebagainya kepada mangsa-mangsa kezaliman Israel di Gaza.

Pada Ogos yang lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon telah mengumumkan bahawa U.N akan menjalankan satu siasatan terhadap serangan tersebut. Satu laporan oleh United Nations Human Rights Council yang diterbitkan pada 22 September 2010, melaporkan bahawa Israel telah bertindak melampau, dan telah menunjukkan tahap kekejaman yang tidak boleh diterima. Tentera Israel barangkali boleh dibandingkan dengan Timbalan Pendakwaraya dalam Inkues kematian Teo Beng Hock apabila menyatakan bahawa mereka telah menemui pisau dapur, klab bola lisut, lastik atau ketapel bersama guli, baju kalis peluru, topeng gas serta alat penglihatan gelap di atas kapal Mavi Marmara.

Tentera Israel menjustifikasi serangan mereka dengan mendakwa bahawa “serangan” ke atas tentera Israel itu telah dirancang dari awal. Ini bukan perkara yang menghairankan, kerana Israel memang terkenal dengan reaksi yang melampau terhadap kanak-kanak, wanita dan orang tua Palestin yang tidak bersenjata. Mungkin kedayusan Israel sebegitu rupa sehingga pisau dapur boleh menggugat keselamatan Israel. Tidak menjadi suatu perkara yang pelik bagi rakyat Malaysia kerana kerajaan kita lebih hebat lagi sehinggakan komik pun boleh dianggap membahayakan keselamatan negara. Mungkin tidak lama lagi tulisan kami juga dikelaskan sebagai menggugat keselamatan dalam negeri.

Kami juga tidak boleh nafikan bahawa tekanan dan kritikan antarabangsa telah berjaya memaksa Israel dan Mesir untuk membuka sekatan laluan ke Gaza di mana semua barangan bukan senjata boleh dibawa masuk ke Gaza. Cadangan menteri luar Israel Avigdor Lieberman, yang mencadangkan agar tanggungjawab menjaga sempadan Gaza diberikan kepada komuniti antarabangsa, membangkitkan persoalan mengapa tidak diserahkan sahaja kepada Hamas? Gaza masih memerlukan bantuan untuk pulih daripada kesengsaraan yang sedang dialaminya. Kami berpendapat wang RM35 Juta yang digunakan untuk projek Malaysian Pavillion lebih bermanfaat jika digunakan untuk membantu rakyat Palestin.

Israel yang selama ini biadap, dan kejam terhadap jirannya sudah mula menunjukkan kebiadapan terhadap komuniti antarabangsa. Kami khuatir, regim Zionist ini akan menindas Negara-negara lain juga apabila sudah cukup kuat dan tidak memerlukan sokongan Amerika Syarikat. Sampai bila lagi akan rakyat Palestin dibuli? Sampai bila lagi seluruh Liga Arab berdiam diri tatkala rakyat Palestin merayu akan perlindungan? Sampai bila lagi Malaysia akan melanjutkan kontrak APCO World Wide?

Rencana ini disiarkan di sini.

 

 

Tuesday, September 21, 2010

Banggakah kita dengan Pavilion Malaysia di Shanghai?

Oleh Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh

Menara Berkembar Petronas adalah bangunan yang menjadi kebanggaan rakyat kita. Hasil kerja arkitek Argentina Cesar Pelli dan Djay Cerico dibawah penyeliaan Syarikat Julius Gold. Kita harus bersyukur kepada Tuhan, kerana bangunan itu masih berdiri megah tidak seperti beberapa binaan lain Negara kita yang amat menghampakan. Stadium runtuh Gong Badak, perhentian bas runtuh Kuala Berang, bangunan retak Matrade, pasaraya runtuh Jaya Supermarket, tragedi Highland Towers dan tidak lupa siling bocor di Bangunan Parlimen.

Kita memang sudah terkenal dengan hasil kerja kontraktor-kontraktor yang korup. Namun, sebagai warganegara kami sudah tidak dapat menahan malu apabila sikap ini dibawah ke pesada antarabangsa. Paviliion Malaysia di Shanghai yang menelan belanja RM35 Juta, amat menghampakan jika dibandingkan dengan mana-mana Pavillion Negara lain yang menyertai expo tersebut, seperti Pavilion UAE dan Pavilion berputar Britain.

Ramai yang telah melaporkan bahawa pavilion Malaysia sering menghadapi gangguan elektrik, dan kebocoran bumbung yang menyebabkan banjir yang kecil setiap kali hujan menimpa Shanghai. Mungkinkah itu sebahagian daripada rekabentuk untuk menunjukkan kepada dunia kejadian banjir yang sering menimpa Negara kita? Dengan kos mencecah RM35 juta, kami tidak dapat mencerna mengapa boleh berlaku masalah-masalah seperti itu.

Kami juga bingung akan mengapa Kementerian Pelancongan menyertai expo berkenaan, mungkin kerana tidak mahu ketinggalan dengan Negara-negara lain yang menyertainya. Apa yang lebih membingungkan adalah dakwaan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong bahawa pemberian kontrak dibuat secara “direct nego” dengan Venturepharm Sdn Bhd sedangkan tender terbuka telah dibuat sebanyak dua kali, dan yang paling membingungkan, mengapakah kontrak berkenaan diberi kepada Venturepharm Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat farmaseutikal!. Seperti yang sering kami canangkan, kami tidak dapat memahami tindakan-tindakan kerajaan 1Malaysia.

Menurut Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang telah mengunjungi pavilion berkenaan, makanan yang disajikan dalam pavilion disediakan oleh tukang masak asing yang tidak berapa mahir dengan cara masakan tempatan. Mungkinkah tukang masak diambil dari India, seperti restoran Mamak di Negara kita? Menurut Teresa lagi, Pavilion Malaysia gagal untuk menampilkan identiti Negara, gagal untuk mempromosi sejarah, budaya, imej, dan barangan buatan tempatan. Yang kelihatan Cuma promosi-promosi agensi pelaburan Persekutuan seperti MIDA dan Matrade.

Atas arahan Kementerian Pelancongan kepada Balai Seni Lukis Negara, pavilion ini memilih senibina Minangkabau dengan seakan-akan corong asap di tengah-tangahnya? Balai Seni Lukis Negara melalui pelukis graffiti mereka telah menerapkan lukisan batik di atas bumbung. Setahu aku, Minangkabau bukannya ciri Malaysia tetapi Indonesia.

Pada 29 Mac, Pegawai Penyelaras projek ini, Mohd Majidi Amir atau nama yang digunakan di dalam facebook GumpPunkis Magdamir membuat pengakuan di dalam facebook bahawa “aku terlibat last minute untuk pastikan teknikal dan kebajikan artis terjaga dan aku rasa kalau korang berada di tempat aku, korang akan balik awal sebab tekanan daripada pihak penganjur yang nak cover kelemahan mereka, hari2 aku terpaksa menahan sabar dan cuba berkompromi seprofesional mungkin kerana aku berdepan dengan bukan anak2 kecik tapi mereka yang memegang kuasa-kuasa besar sampai aku diugut menggunakan nama menteri, patriotisme kami dipertikaikan kerana taknak bersubahat dengan kesilapan yang 'mereka' lakukan, aku tak heran sapa diorang kerana bagi aku yang penting keselamatan artis dan kebajikan diorang terjaga. Bukan nak defensif tetapi balai memang tak keluar satu sen pun dalam projek ni kecuali elaun aku (elaun gomen) yang pada kenyataannya memang makan lepas ke telinga. Tanggungjuawab balai hanyalah jaga artis2 ni dan pastikan segala kontrak perlantikan depa betul, insuran nyawa diorg dibuat, makan minum diorg terjaga dan juga mereka boleh menyiapkan kerja mengikut kontrak yang diberi dan terus terang sedari awal aku pun tak setuju dengan design ni yang aku memang tak ambik tau pasal kosnya tetapi bila tengok feed back, pengunjung kat sana yang terdiri daripada peserta antarabangsa, wartawan dan para duta, aku tumpang gembira kerana hanya Malaysia melibatkan artis dalam projek sebegini dan tidak memberinya kepada tukang-tukang cat biasa atau penampal2 stcker yang tak ambik berat pasal apa itu seni... “

Kita lihat bagaimana negara-negara lain mempromosikan pavilion masing-masing.

http://www.australianpavilion.com/en/about_the_pavilion/design_and_construction/construction_progress.aspx

http://en.expo2010.cn/participation/pavilion/international/index.htm

Mereka sememangnya mementingkan ciri senibina dengan penerapan seni yang begitu tinggi nilainya. Bukan sebuah bangunan minangkabau yang atapnya mencecah lantai dengan corong asap di tengah-tengah.

Tidak cukup dengan semua itu, kenyataan Datuk Seri Ng Yen Yen di Dewan Rakyat turut mengundang kontroversi. Jawapan yang diberikan oleh Kementerian beliau kepada Parlimen amat menarik. Antaranya berhubung kos pembinaan pavilion tersebut, jawapan bertulis daripada Timbalan Menteri Kementerian Pelancongan James Dawos Mamit kepada Teresa Kok menyatakan bahawa kos binaan, operasi dan musnah Paviliion berkenaan dijangkakan sebanyak RM20 Juta. Jawapan bertulis kepada wakil rakyat Batu Gajah, Fong Po Kuan pula menyatakan kos keseluruhan adalah sebanyak RM35 juta.

Menurut laporan Bernama 11 September 2010, Datuk Seri Ng Yen Yen telah menyatakan jumlah pengunjung ke pavilion tersebut sehingga 10 .9.2010 adalah sebanyak 4.715 juta orang. Majalah Forbes pula melaporkan bahawa sehingga 1 September 2010, sebanyak 47 juta orang telah mengunjungi expo tersebut. Cuma 10% daripada pengunjung expo berkenaan mengunjungi Malaysian Pavillion. Datuk Seri Ng Yen Yen turut menyatakan bahawa hasil jualan Malaysia di pavilion tersebut adalah sebanyak RM309, 073.00, yang bermakna setiap pengunjung membelanjakan purata RM0.065.

Kami terkesima membaca laporan Bernama tersebut bertajuk “Souvenir Sales At Malaysian Pavillion At Shanghai Expo Reaches RM230,317”. Kerajaan 1Malaysia telah membelanjakan RM35 juta untuk mempamerkan D-24, Tarian Singa, Gendang 24 1Malaysia, jualan kuih bulan dan Pertunjukan Orkestra.

Pendek kata, tidak ada apa yang boleh dibanggakan dengan pavilion itu, malah kami berasa malu dengannya. Mungkinkah kerajaan 1Malaysia kita sudah tidak mengerti malu? Daripada pelbagai dakwaan Indonesia sehinggalah ke prestasi melucukan Timbalan Pendakwaraya dalam inkues kematian Teo Beng Hock, kami sudah penat mencuba untuk menjustifikasi tindakan-tindakan kurang baik kerajaan yang semakin kerap kebelakangan ini.

Mungkin cubaan terakhir, sekurang-kurangnya Malaysian Pavillion di Shanghai Expo 2010 masih berdiri megah tanpa segan silu tidak seperti bumbung Stadium Gong Badak di Terengganu. Terasa satu sensasi panas di kedua belah pipi apabila mengucapkan baris itu. Terasa umpama menipu diri sendiri. Mungkin semua ini suma sementara, mungkin selamanya, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Rencana ini disiarkan di sini.

 

 

Wednesday, September 15, 2010

Peace for Malaysia, 47 minutes of Silence 2010

Labels:

 

 

BAKAR QURAN - MALAYSIA TETAP BERKECUALI (SEPERTI BIASA?)

"We feel that God is telling us to stop" – Pastor Terry Jones.

Begitulah ujar Pastor dari Gereja Dove World Outreach Center di Gainesville, Florida, Amerika Syarikat berhubung niatnya untuk membakar Al-Quran sempena memperingati tragedi 9/11 di New York pada 2001. Rancangan awalnya telah mendapat reaksi negatif dari seluruh dunia. Rancangan tersebut turut dikritik President Barack Obama, dan Ketua Jeneral di Afghanistan, United Nation dan beberapa pemimpin Kristian seluruh dunia. "This could increase the recruitment of individuals who'd be willing to blow themselves up in American cities, or European cities," Kata Obama.

Malah, ura-ura untuk membina pusat Islam di bekas tanah tragedi 9/11 itu juga bakal menimbulkan kemarahan umat Islam seantero r\dunia. Tindakan tersebut lebih membakar kemarahan golongan militan Islam yang mungkin melancarkan serangan yang baru. Tindakan membuat provokasi sebegini sudah tentu akan menyatukan puak-puak radikal Islam dan keadaan yang lebih buruk tidak mustahil akan berlaku.

Di Malaysia pula reaksi orang ramai amat menghairankan. Kumpulan yang paling awal memberi reaksi negatif terhadap rancangan tersebut bukanlah UMNO atau PERKASA mahupun PAS, tetapi Majlis Gereja Malaysia (CCM) dan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) yang terkenal suatu ketika dahulu sebagai penganjur Forum Artikel 11, yang mendapat kritikan hebat daripada masyarakat Melayu Islam Malaysia. PAS pula sekadar menyatakan bahawa sayap pemudanya akan menganjurkan protes di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur jika rancangan membakar al-Quran itu diteruskan. Di Indonesia pula satu protes di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta telah dihadiri ribuan orang.

Pastor Jones telah membuat keputusan untuk membatalkan rancangannya kerana kononnya ketua Surau Islam yang dirancang di Lower Manhattan, New York telah bersetuju untuk memindahkan surau tersebut ke lokasi lain. Walau bagaimanapun, pihak pemaju pusat itu pula menyatakan bahawa mereka tidak pernah bersetuju untuk memindahkan projek tersebut.

Beberapa minggu sebelum ini, isu ini juga telah mengundang kontroversi hebat kerana mengusik sensitiviti rakyat Amerika Syarikat dengan cadangan untuk membina pusat kegiatan Islam yang dinamakan Park 51 di tapak bekas lokasi New York World Trade Center.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat tidak mampu berbuat apa-apa selain daripada menasihatkan sahaja Pastor tersebut supaya jangan berbuat sedemikian. Ini selaras dengan konsep kebebasan bersuara yang terkandung dalam Perlembagaan Amarika Syarikat. ia juga dikenali sebagai the First Amendment. Perkara tersebut tunjang kepada kebebasan rakyat Amerika. Kebebasan ini terjamin sehinggakan jika pihak Neo Nazi berhasrat untuk berarak dan membakar bendera Amerika Syarikat. Mereka boleh berbuat sedemikian tanpa sebarang tindakan undang-undang atau ketenteraan.

Ini satu konsep yang amat janggal kepada rakyat Malaysia, sesuatu yang barangkali sukar untuk diterima oleh masyarakat kita. Mengapa rakyat Amerika yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan yang jauh lebih majmuk daripada Malaysia mampu untuk memberikan rakyatnya kebebasan yang sebegitu luas sedangkan kita menghukum orang awam yang berarak dengan kepala lembu. Dari segi sejarah, Amerika mempunyai sejarah sensitivi perkauman yang jauh lebih dahsyat daripada kita sebenarnya. Jika kita sering diingatkan tentang tragedi 13 Mei 1969, Amerika masih dihantui sejarah Klu Klux Klan, Chicago Race Riots 1919, Baltimore Race Riot 1968 , Miami Race Riots 1980 dan banyak lagi.

Perkembangan di Amerika Syarikat ini amat relevan kepada kita sebagai rakyat berbilang bangsa dan agama. Selain daripada menjadi suatu persoalan yang memaksa kita meneliti erti kebebasan kita sendiri. Isu ini juga timbul pada waktu kita menghadapi isu-isu popular seperti lagu rap kesat Namewee dan kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh Pengetua Siti Nur Aishah, ketika Teo Nie Ching dikritik hebat kerana memasuki surau, ketika Indonesia menodai dan membakar Jalur Gemilang, dan ketika orang ramai sedang berang dengan Iklan Beca Terbang TV3. Semua perkembangan yang menguji kesabaran dan hubungan diantara kaum rakyat kita. Melihat reaksi rakyat, kami yakin rakyat Malaysia lebih matang daripada Pastor Jones, lebih matang daripada rakyat Indonesia, lebih matang daripada Namewee dan Pn. Siti Nur Aishah, mungkin sematang Teo Nie Ching yang masih terus melawat surau-surau disekitar lembah Klang.

Tatkala dunia salah faham dan cuba untuk memahami Islam di peringkat global, pertubuhan bukan Islam Malaysia seperti (CCM) dan (MCCBCHST) bangkit mempertahankan agama rasmi Negara sepertimana di dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan. Jika kita masih ingat tidak berapa lama dahulu The Bible Society of Malaysia telah merayu Kerajaan Persekutuan untuk menghalang pemusnahan 5000 salinan “Al-Kitab: Berita Baik” namun usaha mereka hanya menemui kebuntuan. Barangkali kita wajar menyemak semula hubungan diantara agama di Negara kita sendiri sebelum kita terlepas pandang akan nilai-nilai permuafakatan dan saling hormat-menghormati yang telah lama terjalin. Semoga Syawal ini kita lebih menghargai perkara-perkara kecil yang tidak ketara tetapi menjadi tulang belakang perpaduan kita.

Edisi sunat di sini.

 

 

Tuesday, September 14, 2010

TV3 Diminta Hentikan Jadi Pak Turut



Inilah akibatnya apabila terlalu taksub dan menurut perintah atas kepentingan tertentu. TV3 terpaksa menanggung kerugian (material dan tak material) atas iklan Hari Raya tahun ini yang jelas menyentuh sensitiviti agama dan budaya kaum majmuk di Malaysia.



Tahun ini, TV3 telah menayangkan sebuah iklan berdurasi 1:01 itu didakwa membawa unsur keagamaan Kristian, Hindu dan Buddha dalam perayaan Aidilfitri dengan memasukkan elemen seperti menaiki beca terbang ala Bapa Santa, bunga teratai dan pelita. Iklan itu juga dikritik hebat kerana didakwa boleh mengeliru dan menjerumuskan umat Islam ke kancah syirik.



Umum mengetahui bahawa sebarang penyiaran mestilah melalui sebuah badan penapisan di Negara ini yang memantau sebarang elemen hasutan serta apa jua yang mencabar keselamatan dalam negeri tetapi akibat daripada kepentingan pemerintah yang rakus mahu mengekalkan kekuasaan, badan-badan ini terpaksa menutup mata. Ia seolah-olah tidak berfungsi buat sementara.

Mungkin pihak pemberi arahan dalam menyiarkan iklan tahun ini memberi syarat untuk mempromosikan konsep 1Malaysia dalam iklan-iklan mereka, tanpa memahami semangat bangsa Malaysia, iklan TV3 tahun ini telah meluluskan sebuah tayangan iklan yang memaparkan tulisan jawi atau tulisan Al-Quran yang dipaparkan dalam keadaan terbalik, dan menara masjid yang 'ditokok' menjadi bentuk salib!

Kontroversi iklan tersebut telah sampai ke kemuncaknya apabila TV3 melalui Buletin Utama edisi 5 September apabila memohon maaf kepada semua masyarakat Muslim yang terguris dengan penyiaran iklan tersebut dan ianya dibekukan daripada siaran sepanjang musim Raya.


Ulasan mengenai filem iklan ini dipaparkan secara terperinci dalam blog http://loveperak.blogspot.com sehingga beranggapan filem tersebut cuba memesongkan aqidah umat Islam.


Dengan memasukkan unsur Bapa Santa iaitu simbol perayaan Natal dan juga unsur bunga teratai yang menjadi lambang kepada upacara keagamaan Buddha, secara mata kasar kita dapat membaca apa yang cuba ditonjolkan dalam iklan tersebut adalah peralihan dari slogan 1Malaysia terbitan Umno.



Filem tersebut dikatakan menyamakan Melayu dengan kemiskinan. Pada salah satu paparan, filem ini juga memaparkan secara dekat sehelai mukasurat yang mempunyai gambar sebuah beca berwarna merah dengan berlatarbelakangkan sebuah pokok Krismas dan Bintang Utara, menutup sehelai mukasurat lain bertulisan jawi yang diterbalikkan.



Pada satu babak lain, beca terbang bersama seorang tua berambut putih (seolah-olah ingin disamakan dengan watak Bapa Santa merentasi awan dan menuju ke sebuah kawasan pergunungan. Kelihatan sebuah masjid di sebelah kiri, budak-budak Melayu (secara sengaja atau pun tidak) tidak mempedulikan kewujudan masjid malah lebih tertarik dengan pemandangan di bawah beca terbang.



Malah di dalam babak yag lain, budak-budak Melayu tadi sudah mendarat dan terus berlari sambil menunjuk-nunjuk ke arah Masjid yang terletak jauh disebalik jurang yang dalam sambil ketawa berdekah-dekah. Terdapat dua tangan misteri yang juga sedang menunjuk-nunjuk ke aras masjid. Sebuah bangunan misteri berada di antara masjid dan budak-budak Melayu.

Aku amat yakin bahawa pembikin filem ini tidak mempunyai daya kreatif tersendiri dan terikat kepada syarat-syarat penyiar yang mahukan ianya mampu membodek puak tertentu, asalkan kekayaan dan pulangan ribuan diperolehi.

Aku tidak tahu bagaimana untuk menilai kos pembikinan filem sebegini tetapi dengan pembekuan siaran tersebut telah merugikan secara material dan mendatangkan sifat jijik di kalangan umat Islam terhadap siaran tersebut.


Filem tersebut telah membawa kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan At Tantawi, untuk mengeluarkan kenyataan. Katanya, "TV3 mempamerkan Aidilfitri itu sebagai satu sambutan perayaan yang sama taraf seperti sambutan parayaan agama dan kaum lain seperti Kristian, Hindu, Buddha, Tahun Baru Cina dan sebagainya. Walhal Aidilfitri ialah satu ibadah merupakan manifestasi kesyukuran umat Islam berpuasa melawan nafsu selama sebulan serta melatih jiwa dalam proses penyucian rohani atau spiritual seseorang Islam itu.

"Ia bukan majlis pesta seperti yang digambarkan oleh TV3 atau media milik Umno-BN yang mengosongkan jiwa Aidilfitri itu dengan sambutan ala jahiliyah yang dipenuhi gelak ketawa, makan minum serta pergaulan bebas tanpa ada had dan sempadan di mana halal dan di mana haram sesuatu perbuatan itu."

Dan pada saat ini, kerinduan aku terhadap hasil-hasil filem iklan arwah Yasmin Ahmad imbas kembali – bagaimana pemahaman semangat kekeluargaan, Bangsa Malaysia memberi semangat kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan musim keraian rakyat Malaysia yang bersifat majmuk.






Pada saat filem iklan Yasmin dimuat turun di dalam youtube, aku berkali-kali ulang menontonnya.

Yasmin, secara berprinsip percaya kepada apa yang dihasilkan, mesej yang hendak disampaikan. Beliau tidak perlu tunduk kepada arahan bagi memenuhi kepentingan tertentu tanpa memahami sendiri niat tersebut. Dan beliau diangkat dan disanjung.

Edisi sunat di sini.

 

 

Thursday, September 09, 2010

SALAM AIDILFITRI

 

 

Wednesday, September 08, 2010

RINDU YANG TELAH PERGI



selamat aidilfitri

 

 

Tahap Pekerja Asing di Malaysia masih Tiada Peningkatan

Bagi rakyat negara ini yang mengingati sejarah, 16 September adalah tarikh penubuhan Malaysia.

Pada tarikh itu dalam tahun 1963, Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan, kemudian bersama Singapura bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia.

Penubuhan Malaysia menerima tentangan hebat daripada Indonesia di bawah Presiden Sukarno yang melancarkan konfrantasi dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’.

Perjanjian penubuhan Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 tetapi disiytihar secara rasmi pada 16 September 1963 oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.

Pemimpin Indonesia melihat pembentukan Persekutuan Malaysia sebagai satu perlanggaran perjanjian Manila Accord, dan sebagai bukti kolonialisme dan imperialisme Inggeris. Pada 28 Mei 1966 di sebuah persidangan di Bangkok, Kerajaan Malaysia dan pemerintah Indonesia telah mengumumkan bahawa konflik di antara kedua-dua pihak sudah selesai dan satu perjanjian perdamaian ditandatangani pada 11 Ogos. Namun demikian, semangat Ganyang Malaysia masih hidup dan membara di kalangan rakyat Indonesia. Malah Ganyang Malaysia mempunyai 12,852 peminat dalam laman sosial Facebook.

Semangat Ganyang Malaysia juga melahirkan satu lagi label baru untuk Malaysia, yang dikenali sebagai Malingsia. Ini berikutan dengan dakwaan yang Malaysia mencuri budaya Indonesia, dari wayng kulit hinggalah ke lagu Rasa Sayang. Selain daripada itu, kes Pulau Sipadan, Pulau Ligitan, Pulau Ambalat, kes keganasan PDRM terhadap juri Karate Indonesia ketika Kejohanan Karate Asia 2007, kes penderaan pembantu rumah Nirmala Bonat, kes keganasan rumah tangga Manohara Odelia Pinot, isu gaji minima pekerja Indonesia dan yang terbaru Polis Marin Malaysia menahan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia telah menjadi subjek kemarahan warga Indonesia.

Layanan majikan Malaysia terhadap pekerja asing khususnya di Indonesia ini sering tidak mendapat toleransi kepada kaum keluarga yang berada di Indonesia. Majikan yang tidak membayar gaji (seperti di dalam kes projek pembinaan Istana Negara) , majikan mendera pekerjanya (kes Nirmala Bonat) dan pada April lalu berlaku pula kes tembakan polis yang mendakwa tiga pekerja asing Indonesia itu perompak, pembunuh dan penjenayah.

Pengarah Eksekutif Migrant Care, sebuah badan pemantau pemasalahan pekerja asing, Anis Hidayah memberitahu rang ramai yang berhimpun di hadapan Pejabat Kedutaan Malaysia di Indonesia pada 16 Mac bahawa selepas 40 hari, tiada sebarang tindakan diambil terhadap kes tembakan tersebut dan beliau menggesa badan hak asasi seperti Amnesty International dan Human Rights Watch untuk memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia.

Di dalam kes tersebut, tiga pekerja asing; Abdul Sanu, Musdi, dan Muchlis ditembak mati oleh pihak polis ketika berada di Danau Kota Putri, Kuala Selangor. Hasil bedah siasat mendapati ketiga-tiga mereka ditembak dari jarak dekat.

Di dalam kes Nirmala Bonat, perjalanan kes deraan pembantu rumah itu Nirmala Bonat (19 tahun semasa kes berlaku) berlangsung selama 110 hari dalam tempoh empat setengah tahun.

Yim memulakan keterangan dengan mengatakan keburukan serta kekurangan Nirmala dalam menjalankan tugasnya di rumah yang tidak sempurna.

Sejak beliau membuat laporan polis, Nirmala ditempatkan di tempat perlindungan di Pejabat Kedutaan Besar Indonesia sehingga Januari 2008. Disebabkan proses perbicaraan yang memakan masa panjang, Nirmala telah memohon untuk pulang ke negaranya.

Pekerja-pekerja asing sering mengadu bahawa mereka tidak disediakan dengan tempat tinggal yang memadai. Antara kes-kes yang pernah dilaporkan ialah mereka dipaksa untuk tinggal bersesak-sesakan di dalam sebuah bilik, dalam keadaan yang kotor. Keadaan sedemikian sering mengundang kepada penyakit berjangkit. Ada juga yang maut atas keadaan sedemikian.

Terdapat juga kes di mana kemalangan berlaku ke atas buruh-buruh asing ini atas persekitaran yang merbahaya. Mereka sepatutnya dibayar pampasan atas kemalangan sedemikian tetapi malangnya, berdasarkan kebanyakan kes, mereka dihantar pulan ke Negara masing-masing.

Pihak penguatkuasa pula sering menjalankan operasi penangkapan buruh-buruh asing. Tindakan sedemikian sering menggugat kehidupan mereka.


Menurut Duta Indonesia di Malaysia, Rusdihardjo, dalam jangamasa empat tahun kebelakangan ini, pejabat beliau telah menerima sebanyak 26 kes (2008) penderaan terhadap pembantu rumah.

Majikan di Malaysia juga tidak dikehendaki untuk memenuhi piawai minimum kecuali perkara-perkara yang terkandung di dalam perjanjian bersama (MOU) di antara Malaysia-Indonesia. Justeru, ramai pekerja-pekerja domestik tidak diberikan cuti oleh majikan mereka.

Agen-agen juga sering lari dari tanggungjawab apabila pekerja-pekerja domestik ini diserahkan kepada majikan masing-masing.

Sehubungan dengan kes terebut,pegawai-pegawai tinggi Indonesia dan kumpulan hak asasi manusia berterusan mendesak agar kerajaan Malaysia memperketatkan pekerja-pekerja asing yang seramai lebih kurang dua juta yang kini berada di Malaysia.

Setelah diteliti konvensyen antarabangsa, Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Hak Perlindungan Pekerja Asing dan Ahli Keluarga Mereka dari Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1990 dan memastikan pelaksanaan penuhnya.

Edisi sunat di sini.

 

 

Kemiskinan Bandar Dalam Dokumentari Pendek

Oleh Rusnizam Mahat ((poskod)

Sempena Hari Hak Asasi Manusia yang disambut pada 10 Disember setiap tahun, Amnesty International Malaysia akan menerbitkan sebuah filem dokumentari pendek berkaitan isu hak asasi manusia.

Ia merupakan satu projek khas yang dijalankan AI bagi meraikan festival filem yang dijadualkan berlansung pada 12 Disember ini di Pulau Pinang dan akan turut ditayangkan di beberapa tempat di Selangor dan Perak.

Pada tahun ini, AI menjemput beberapa aktivis filem bebas tempatan untuk menghasilkan sebuah dokumentari yang mengupas mengenai isu kemiskinan bandar, selari dengan tema ‘maruah’ yang diangkat dalam festival filem berkenaan.

Filem pendek ini yang berdurasi selama 7 minit, memilih beberapa lokasi termasuk Kampung Pandan Indian Settlement, Kuala Lumpur sebagai lokasi pengambaran.

Pengarah bagi dokumentari berkenaan, Faisal Mustaffa berkata, projek tersebut merupakan projek kedua beliau selepas filem pendek yang dihasilkannya tahun lalu yang menyentuh mengenai isu kebebasan bersuara.

Selain Faisal, aktivis filem bebas Tayanithi dan pelakon Zahiril Adzim turut terlibat dalam pengambaran projek dokumentari itu.

Berita selanjutnya di sini.

Labels:

 

 

Tuesday, September 07, 2010

Ganyanglah!

“Namun kalau kita lapar atau malu itu karena Malaysia, kurang ajar!” - Presiden Soekarno

Itu adalah petikan daripada ucapan Ganyang Malaysia, sebagai reaksi kepada demonstrasi anti-Indonesia di Kuala Lumpur yang berlangsung tanggal 17 September 1963 di mana lambang Garuda Pancasila dari kedutaan Indonesia diturunkan oleh Samy Vellu yang masih muda, dan oleh pemberita Berita Harian ketika itu Khalid Yunus. Lambang itu telah diturunkan dari bangunan Kedutaan Indonesia di Jalan Ampang dan diheret dengan skuter dan motosikal ke kediaman Perdana Menteri ketika itu, di Jalan Dato Onn. Mereka telah memaksa Tunku yang enggan memijak lambang tersebut dengan mengusungnya dan diletakkan di atas lambang itu.

Demonstrasi tersebut adalah berpunca daripada konfrontasi yang dilancarkan oleh Presiden Soekarno dan juga serangan militia Indonesia terhadap kita dengan menawan Balai Polis Tebedu pada 12 April 1963. Presiden Soekarno pada waktu itu berpendapat Malaysia hanya sebuah boneka Inggeris, dan pembentukan Persekutuan Malaysia hanya akan menguatkan pengaruh Inggeris di rantau Nusantara sekaligus mengancam kemerdekaan Indonesia.

Pemimpin Indonesia melihat pembentukan Persekutuan Malaysia sebagai satu perlanggaran perjanjian Manila Accord, dan sebagai bukti kolonialisme dan imperialisme Inggeris. Pada 28 Mei 1966 di sebuah persidangan di Bangkok, Kerajaan Malaysia dan pemerintah Indonesia telah mengumumkan bahawa konflik di antara kedua-dua pihak sudah selesai dan satu perjanjian perdamaian ditandatangani pada 11 Ogos. Namun demikian, semangat Ganyang Malaysia masih hidup dan membara di kalangan rakyat Indonesia. Malah Ganyang Malaysia mempunyai 12,852 peminat dalam laman sosial Facebook.

Semangat Ganyang Malaysia juga melahirkan satu lagi label baru untuk Malaysia, yang dikenali sebagai Malingsia. Ini berikutan dengan dakwaan yang Malaysia mencuri budaya Indonesia, dari wayng kulit hinggalah ke lagu Rasa Sayang. Selain daripada itu, kes Pulau Sipadan, Pulau Ligitan, Pulau Ambalat, kes keganasan PDRM terhadap juri Karate Indonesia ketika Kejohanan Karate Asia 2007, kes penderaan pembantu rumah Nirmala Bonat, kes keganasan rumah tangga Manohara Odelia Pinot, isu gaji minima pekerja Indonesia dan yang terbaru Polis Marin Malaysia menahan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia telah menjadi subjek kemarahan warga Indonesia.

Dalam insiden di perairan Malaysia-Indonesia baru-baru ini, bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai pengkuatkuasa kementerian dari Indonesia itu, masing-masing kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing. Kedua-dua negara kemudian membebaskan tahanan-tahanan itu pada 17 Ogos lalu. Barangkali peristiwa itu dijadikan suatu alasan untuk melahirkan kemarahan warga Indonesia yang telah disimpan sekian lama dalam hati mereka. Mereka melahirkan rasa tidak puas hati dengan melempar najis manusia ke dalam perkarangan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, selain memijak, membakar, menconteng dan menodai Jalur Gemilang dengan najis yang sama.

Mengapa kerajaan kita bertindak sebegini rupa sehingga maruah Negara diperjijikan oleh warga Indonesia? Mengapa kerajaan Malaysia membenarkan kapal Israel, Zim Genova berlabuh di Pelabuhan Klang pada 7 Jun yang lalu, tetapi bertindak keras terhadap jiran kita sendiri? Mengapa isu kecil ini diperbesarkan lebih daripada isu Zim Genova? Bagaimana pula dengan Kapal-kapal perang China yang mendarat di Kepulauan Spratley? Menagapa Kerajaan tidak bertindak ke atas mereka? Inikah yang dikatakan sebagai tidak berlembut dalam menangani isu yang dilihat mencemarkan kedaulatan Negara?

Jika diperhatikan, ekonomi Negara banyak terhutang budi kepada buruh-buruh dan pekerja dari Indonesia. Sewajarnya kita memberi layanan dan kompromi yang lebih longgar kepada republik tersebut, berbanding mana-mana kuasa asing lain. Sememangnya kita tidak harus berlembut dalam isu kedaulatan Negara, tetapi itu tidak berkmakna kita harus dangkal dan angkuh dalam mempertimbangkan baik buruk sesuatu tindakan itu. Tidak salah rasanya jika kerajaan memohon maaf untuk menjaga hati rakyat Indonesia, dan pada masa yang sama menjaga maruah Malaysia. Sebaliknya, Malaysia kini dilihat sebagai satu Negara menindas bukan sahaja rakyatnya sendiri tetapi juga rakyat Indonesia sehinggakan lagsung tidak dihormati warga Indonesia.

Barangkali kita harus meninggalkan ego, dan keangkuhan untuk kebaikan bersama. Pada waktu ini, Kerajaan Barisan Nasional bukan sahaja berdepan dengan ketidakpuasan rakyat kita sendiri, tetapi kini berdepan dengan kemarahan rakyat Indonesia. Apa yang lebih menghairankan adalah reaksi rakyat Malaysia sendiri yang tidak terkata-kata dengan tindakan jijik warga Indonesia. Mungkinkah rakyat kita berpendapat bahawa tindakan itu memang wajar melihatkan kerenah Kerajaan Malaysia yang tidak menentu dan sukar difahami. Apa yang pasti, rakyat Malaysia tidak menyalahkan Indonesia dalam isu ini, sebaliknya memerhati kesalahan dan kesilapan kita sendiri.

Tidak lagi menjadi rahsia, bahawasanya rakyat Malaysia memandang rendah terhadap pekerja-pekerja asing dari negara-negara Asia, khususnya Asia Tenggara, dengan pengecualian bagi warga Singapura. Tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan Malaysia sememangnya terkenal dalam penciplakan. Lihat sahaja Jalur Gemilang, lagu Negaraku, Rukun Negara, 1Malaysia, kereta-kereta nasional, malah Putrajaya sendiri tidak lari daripada “pengaruh” luar. Kita bukan mengakui semua tuduhan dan dakwaan rakyat Indonesia, tetapi kita faham akan reaksi dan tindakan mereka, kerana kita sendiri sudah tidak mampu untuk mempertahankan tindakan-tindakan Kerajaan kita yang tidak masuk akal. Akhir kata, kami berharap “salah faham” yang berlaku antara kedua-dua Negara ini tidak beterusan, jangan sehingga berlaku pertempuran bersenjata.

Edisi sunat di sini.

 

 

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com