Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Tuesday, September 21, 2010

Banggakah kita dengan Pavilion Malaysia di Shanghai?

Oleh Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh

Menara Berkembar Petronas adalah bangunan yang menjadi kebanggaan rakyat kita. Hasil kerja arkitek Argentina Cesar Pelli dan Djay Cerico dibawah penyeliaan Syarikat Julius Gold. Kita harus bersyukur kepada Tuhan, kerana bangunan itu masih berdiri megah tidak seperti beberapa binaan lain Negara kita yang amat menghampakan. Stadium runtuh Gong Badak, perhentian bas runtuh Kuala Berang, bangunan retak Matrade, pasaraya runtuh Jaya Supermarket, tragedi Highland Towers dan tidak lupa siling bocor di Bangunan Parlimen.

Kita memang sudah terkenal dengan hasil kerja kontraktor-kontraktor yang korup. Namun, sebagai warganegara kami sudah tidak dapat menahan malu apabila sikap ini dibawah ke pesada antarabangsa. Paviliion Malaysia di Shanghai yang menelan belanja RM35 Juta, amat menghampakan jika dibandingkan dengan mana-mana Pavillion Negara lain yang menyertai expo tersebut, seperti Pavilion UAE dan Pavilion berputar Britain.

Ramai yang telah melaporkan bahawa pavilion Malaysia sering menghadapi gangguan elektrik, dan kebocoran bumbung yang menyebabkan banjir yang kecil setiap kali hujan menimpa Shanghai. Mungkinkah itu sebahagian daripada rekabentuk untuk menunjukkan kepada dunia kejadian banjir yang sering menimpa Negara kita? Dengan kos mencecah RM35 juta, kami tidak dapat mencerna mengapa boleh berlaku masalah-masalah seperti itu.

Kami juga bingung akan mengapa Kementerian Pelancongan menyertai expo berkenaan, mungkin kerana tidak mahu ketinggalan dengan Negara-negara lain yang menyertainya. Apa yang lebih membingungkan adalah dakwaan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong bahawa pemberian kontrak dibuat secara “direct nego” dengan Venturepharm Sdn Bhd sedangkan tender terbuka telah dibuat sebanyak dua kali, dan yang paling membingungkan, mengapakah kontrak berkenaan diberi kepada Venturepharm Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat farmaseutikal!. Seperti yang sering kami canangkan, kami tidak dapat memahami tindakan-tindakan kerajaan 1Malaysia.

Menurut Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang telah mengunjungi pavilion berkenaan, makanan yang disajikan dalam pavilion disediakan oleh tukang masak asing yang tidak berapa mahir dengan cara masakan tempatan. Mungkinkah tukang masak diambil dari India, seperti restoran Mamak di Negara kita? Menurut Teresa lagi, Pavilion Malaysia gagal untuk menampilkan identiti Negara, gagal untuk mempromosi sejarah, budaya, imej, dan barangan buatan tempatan. Yang kelihatan Cuma promosi-promosi agensi pelaburan Persekutuan seperti MIDA dan Matrade.

Atas arahan Kementerian Pelancongan kepada Balai Seni Lukis Negara, pavilion ini memilih senibina Minangkabau dengan seakan-akan corong asap di tengah-tangahnya? Balai Seni Lukis Negara melalui pelukis graffiti mereka telah menerapkan lukisan batik di atas bumbung. Setahu aku, Minangkabau bukannya ciri Malaysia tetapi Indonesia.

Pada 29 Mac, Pegawai Penyelaras projek ini, Mohd Majidi Amir atau nama yang digunakan di dalam facebook GumpPunkis Magdamir membuat pengakuan di dalam facebook bahawa “aku terlibat last minute untuk pastikan teknikal dan kebajikan artis terjaga dan aku rasa kalau korang berada di tempat aku, korang akan balik awal sebab tekanan daripada pihak penganjur yang nak cover kelemahan mereka, hari2 aku terpaksa menahan sabar dan cuba berkompromi seprofesional mungkin kerana aku berdepan dengan bukan anak2 kecik tapi mereka yang memegang kuasa-kuasa besar sampai aku diugut menggunakan nama menteri, patriotisme kami dipertikaikan kerana taknak bersubahat dengan kesilapan yang 'mereka' lakukan, aku tak heran sapa diorang kerana bagi aku yang penting keselamatan artis dan kebajikan diorang terjaga. Bukan nak defensif tetapi balai memang tak keluar satu sen pun dalam projek ni kecuali elaun aku (elaun gomen) yang pada kenyataannya memang makan lepas ke telinga. Tanggungjuawab balai hanyalah jaga artis2 ni dan pastikan segala kontrak perlantikan depa betul, insuran nyawa diorg dibuat, makan minum diorg terjaga dan juga mereka boleh menyiapkan kerja mengikut kontrak yang diberi dan terus terang sedari awal aku pun tak setuju dengan design ni yang aku memang tak ambik tau pasal kosnya tetapi bila tengok feed back, pengunjung kat sana yang terdiri daripada peserta antarabangsa, wartawan dan para duta, aku tumpang gembira kerana hanya Malaysia melibatkan artis dalam projek sebegini dan tidak memberinya kepada tukang-tukang cat biasa atau penampal2 stcker yang tak ambik berat pasal apa itu seni... “

Kita lihat bagaimana negara-negara lain mempromosikan pavilion masing-masing.

http://www.australianpavilion.com/en/about_the_pavilion/design_and_construction/construction_progress.aspx

http://en.expo2010.cn/participation/pavilion/international/index.htm

Mereka sememangnya mementingkan ciri senibina dengan penerapan seni yang begitu tinggi nilainya. Bukan sebuah bangunan minangkabau yang atapnya mencecah lantai dengan corong asap di tengah-tengah.

Tidak cukup dengan semua itu, kenyataan Datuk Seri Ng Yen Yen di Dewan Rakyat turut mengundang kontroversi. Jawapan yang diberikan oleh Kementerian beliau kepada Parlimen amat menarik. Antaranya berhubung kos pembinaan pavilion tersebut, jawapan bertulis daripada Timbalan Menteri Kementerian Pelancongan James Dawos Mamit kepada Teresa Kok menyatakan bahawa kos binaan, operasi dan musnah Paviliion berkenaan dijangkakan sebanyak RM20 Juta. Jawapan bertulis kepada wakil rakyat Batu Gajah, Fong Po Kuan pula menyatakan kos keseluruhan adalah sebanyak RM35 juta.

Menurut laporan Bernama 11 September 2010, Datuk Seri Ng Yen Yen telah menyatakan jumlah pengunjung ke pavilion tersebut sehingga 10 .9.2010 adalah sebanyak 4.715 juta orang. Majalah Forbes pula melaporkan bahawa sehingga 1 September 2010, sebanyak 47 juta orang telah mengunjungi expo tersebut. Cuma 10% daripada pengunjung expo berkenaan mengunjungi Malaysian Pavillion. Datuk Seri Ng Yen Yen turut menyatakan bahawa hasil jualan Malaysia di pavilion tersebut adalah sebanyak RM309, 073.00, yang bermakna setiap pengunjung membelanjakan purata RM0.065.

Kami terkesima membaca laporan Bernama tersebut bertajuk “Souvenir Sales At Malaysian Pavillion At Shanghai Expo Reaches RM230,317”. Kerajaan 1Malaysia telah membelanjakan RM35 juta untuk mempamerkan D-24, Tarian Singa, Gendang 24 1Malaysia, jualan kuih bulan dan Pertunjukan Orkestra.

Pendek kata, tidak ada apa yang boleh dibanggakan dengan pavilion itu, malah kami berasa malu dengannya. Mungkinkah kerajaan 1Malaysia kita sudah tidak mengerti malu? Daripada pelbagai dakwaan Indonesia sehinggalah ke prestasi melucukan Timbalan Pendakwaraya dalam inkues kematian Teo Beng Hock, kami sudah penat mencuba untuk menjustifikasi tindakan-tindakan kurang baik kerajaan yang semakin kerap kebelakangan ini.

Mungkin cubaan terakhir, sekurang-kurangnya Malaysian Pavillion di Shanghai Expo 2010 masih berdiri megah tanpa segan silu tidak seperti bumbung Stadium Gong Badak di Terengganu. Terasa satu sensasi panas di kedua belah pipi apabila mengucapkan baris itu. Terasa umpama menipu diri sendiri. Mungkin semua ini suma sementara, mungkin selamanya, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Rencana ini disiarkan di sini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com