Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Thursday, July 24, 2008

Pameran Lukisan “Tellu Tau”: Ekspressi, Kejadian dan Sikap

Bersama lukisan Nurazmal @ Ali


Bersama hasil lukisan Zulkiflee, BERSIH

Buat pertama kalinya Lookiss Gallery menganjurkan pameran lukisan dari tiga artis muda Studio Di Kala Jingga. Selama tempoh dua tahun sejak pembukaan galeri yang hanya menjual lukisan pelbagai tema, inilah pertama kali galeri tersebut membuat keputusan untuk mengadakan satu pameran.

Galeri kepunyaan pengusaha berbangsa cina, Thomas Kerk Boon Leong memaparkan artis-artis Melayu dan menonjolkan tema berani, “Art for Democracy. Hang Art, Not People” bermaksud Seni Untuk Demokrasi. Gantungkan Lukisan,Bukannya Manusia.

Untuk itu, pihak galeri telah menjemput Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo-Burne untuk perasmiannya pada 19 Julai lalu. Bertanya mengenai pilihan Gwo-Burne dalam merasmikan pameran tersebut, beliau percaya ahli parlimen muda itu mempunyai jiwa seni dan memahami kehendak penggiat seni.

“Gwo-Burne juga mewakili pelbagai kaum”, jelas Thomas.

Sebagai seorang penggemar hasil lukisan, Gwo-Burne telah menghabiskan masa kira-kira tiga jam bersama artis dan orang ramai yang hadir bagi menceritakan lukisan-lukisan yang dipamerkan.

Dalam ucapan beliau, Gwo-Burne memberitahu bahawa bidang seni yang menjadi mainannya dahulu ialah fotografi sehingga membawanya ke kancah politik. Gwo-Burne bertanggungjawab merakam perbualan telefon peguam VK Lingam bersama seorang Hakim dalam mencaturkan hakim-hakim di Negara ini.

Tellu-tau yang bermaksud tiga dalam bahasa Bugis membariskan tiga artis muda yang mempamerkan lukisan-lukisan ke arah persoalan sosial dan politik dalam bahasa seni visual.

Lukisan Zulkiflee bermotifkan haiwan dalam mengekspresikan sikap manusia dewasa ini terutama jenis haiwan yang mempunyai pengaruh di dalam kehidupan manusia seperti haruan dan seladang.

“Cow tu Lembu” cuba memperkatakan kebodohan sesetengah pihak dan “Bersih” dan “Masa Untuk Perubahan” menceritakan keghairahan, drama dan penyertaan berani rakyat dalam landskap politik dalam penjanaan perubahan.

Bagi Sudin, Tellu-tau ialah permulaan dalam siri lukisannya. Berbanding dengan Zulkiflee, Suddin melukis figura manusia. Siri lukisan lelaki dengan perbezaan corak warna bermain alat muzik menunjukkan tahap bunyi yang didendangkan.

Nurazmal pula menggunakan karakter badut dalam lukisannya yang mengimbas zaman kanak-kanaknya.

Ketiga-tiga artis ini merupakan bekas penuntut Institut Teknologi MARA, Shah Alam dalam jurusan seni (1996-2000). Selain seni lukisan visual, ketiga-tiga juga boleh bermain alat muzik dan sering mengadakan persembahan.


Hasil lukisan Suddin Lappo di pameran Tellu-tau


Tellu-tau diadakan bermula 19 Julai hingga 16 Ogos 2008 di 1A-1 Anzen Business Park, Taman Bukt Maluri, Kuala Lumpur.

Labels: ,

1 Comments:

At 7:20 pm, Anonymous Anonymous said...

tahniah kepada ali dan rakanrakan.

 

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com