Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Thursday, May 22, 2008

Perdana Menteri, Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Pengerusi SPR Perlu Disiasat


Kenyataan Media
22 Mei 2008

Isu Pembatalan Dakwat Kekal:Perdana Menteri, Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Pengerusi SPR Perlu Disiasat

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) dan National Institute for Electoral Integrity (NIEI) berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Dato’ Seri Hj Ab Rashid bin Ab Rahman, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Musa Hassan bertanggungjawab dalam pembatalan penggunaan dakwat kekal semasa pilihanraya umum 12 yang diadakan pada 8 Mac 2008 yang lalu.

SPR telah menggunakan RM2.4 juta wang rakyat untuk membeli dakwat kekal dari India untuk digunakan semasa pilihanraya umum yang baru lalu dan membatalkan penggunaannya empat hari sebelum pilihanraya diadakan.

Alasan yang diberikan ialah kerana terdapat usaha untuk menyeludup masuk dakwat kekal dari negara jiran ke Malaysia.

Ketua Polis Negara mendakwa bahawa terdapat laporan-laporan polis dilaporkan di Kelantan, Perlis dan Kedah di antara 16 hingga 21 Februari 2008 dan telah menjalankan siasatan.

Tetapi menurut jawapan bertulis yang dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar ketika menjawab soalan Parlimen Batu Gajah, Fong Poh Kuan mengesahkan bahawa sebenarnya, tiada sebarang bukti berkenaan penyeludupan dakwat kekal dari negara jiran seperti yang didakwa oleh Pengerusi SPR itu.

Pada 17 Mei 2008, Pengerusi SPR, telah mengeluarkan kenyataan yang berlainan dengan mengatakan bahawa beliau menerima arahan daripada kabinet untuk membatalkan rancangan untuk melaksanakan dakwat kekal.

Perdan Menteri pula keesokan harinya memberitahu bahawa kabinet tidak mengarahkan SPR untuk membatalkan rancangan untuk menggunakan dakwat kekal pada pilihanraya ke12 akan tetapi hanya mencadangkan sedemikian.

BERSIH dan NIEI berpendapat kenyataan yang bercanggah di antara keempat-empat pihak ini perlu disiasat dan perlu diambil tindakan.

Berdasarkan kepada laporan-laporan media, jelas menunjukkan bahawa terdapat komplot di antara keempat-empat pihak yang dinamakan di atas.

Mengikut laporan-laporan berikut, jelas menunjukkan bahawa Pengerusi SPR berada di bawah telunjuk ahli kabinet.

Laporan-laporan tersebut juga jelas menunjukkan bahawa kenyataan Pengerusi SPR bahawa badan itu bebas adalah tidak benar.

Justeru, pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini perlu menjelaskan perkara sebenar supaya isu yang berkepentingan rakyat ini mendapat penjelasan dan tindakan yang sewajarnya dan perlu diambil berdasarkan kepada undang-undang Negara.

BERSIH dan NIEI juga berpendapat SPR telah gagal untuk membentangkan pindaan kepada Parlimen pada sessi Parlimen pada Ogos-Disember 2007 bagi pelaksanaan tersebut termaktub di bawah undang-undang.

SPR hanya memainkan isu penggunaan dakwat kekal ini dengan menuding jari kepada Majlis Fatwa Kebangsaan bagi mendapat kelulusan tanpa melihat kepada kesahan dari segi undang-undang.

Sikap yang tidak professional yang ditunjukkan oleh pegawai-pegawai SPR dalam hal ini amat mendukacitakan dan mendesak supaya Pengerusinya, Tan Sri Dato’ Seri Hj Ab Rashid bin Ab Rahman meletak jawatan serta-merta.

Labels: , , , , , ,

1 Comments:

At 10:05 pm, Anonymous Anonymous said...

Tahniah buat anda semua kerana telah membuat laporan polis terhadap isu ini. Isu telah melarat dengan kenyataan Pak Syed tentang isu dakwat dan aku ada terbaca di Suara Keadilan mengenai Pak Rashid ini menyatakan isu tidak mengguna dakwat atas arahan kabinet.

apa cerita SPR ini, patut ia sebuah badan bebas yang tidak dipengaruhi mana-mana pihak, kalau dah penipu macam ini, baik panggil badan bebas luar menjaga pilihanraya kita.

Rakan2
Jangan Lupa layari blog saya di http://khairilazuar.wordpress.com
bagi komen setiap artikel yang saya tulis. …ada artikel baru

 

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com