Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Tuesday, October 24, 2006

Gwangju Here I Come

Tanggal 1 Syawal 1427H ini, saya bersama beberapa aktivis di Malaysia terpilih dijemput untuk membentangkan beberapa tugasan untuk dibentangkan dalam satu konferens yang bakal dihadiri ramai aktivis-aktivis muda di seluruh dunia.

Sungguhpun berat hati ini untuk melepaskan Aidil Fitri, namun kesempatan ini tidak saya lepaskan begitu sahaja. Sempat juga saya meraikan Aidilfitri bersama keluarga yang sentiasa memberi sokongan kepada diri ini dalam karier dan kehidupan saya.

Saya juga dapat meluangkan masa untuk melawat kubur arwah Abah dan menyedekahkan Yaasin kepada arwah beliau. Semoga Abah tergolong bersama insan-insan beriman.

Program Ketat

Saya akan membentangkan kertas kerja bertajuk Media and Democracy: A Malaysian Perspective pada Forum Hak Asasi Manusia 2006 pada 26 Oktober nanti di Pusat Konvensyen Kimdaejung.

Persidangan itu ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Peringatan Mei 18.

Antara program yang telah diatur sepanjang saya berada di Gwangju, Korea Selatan ialah pameran dan sessi penerangan foto Hak Asasi oleh Elizabeth Wong (Malaysia) dan tayangan filem independen oleh Fendry Pnomban (Indonesia).

Selain itu, saya juga akan menghadiri mesyuarat dalam pembentukan Majlis Gerakan Demokratik Asia.

Bagi sessi lawatan, saya akan dibawa ke Taman Perkuburan Kebangsaan Mei 18.

Dalam sessi santai, saya akan dibawa ke Konsert Demokrasi Asia yang akan diadakan di Dewan Budaya Asia di Gwangju. Ia akan dipersembahkan oleh artis-artis hak asasi seperti Windcity, Gokdaji, Haekyoung Park dan Gauss Obenza (Filipina).

Ada rakan-rakan menasihati saya untuk menghantar sendiri surat tahniah ke pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Korea Selatan atas perlantikan wakilnya sebagai Setiausaha Agungnya yang baru.

Sejarah Kebangkitan Gwangju

Menurut rakan yang berada di Korea melalui blognya, tarikh 18 Mei 1980 memberi seribu makna kepada rakyat seluruh dunia dalam aspek hak asasi manusia khususnya perjuangan kebebasan rakyat Korea Selatan di mana berlakunya pertempuran di antara aktivis mahasiswa dan tentera di hadapan pagar Universiti Kebangsaan Chonnam (Chonnam National University).

Presiden kepada May 18 Memorial Foundation Seperti apa yang dikatakan oleh Park Seok Moo, Presiden kepada May 18 Memorial Foundation (Yayasan Untuk Memperingati 18 Mei), golongan mahasiswa mempertahankan Dewan Bandaraya mereka.

Pada waktu itu, pada 26 Oktober 1979 apabila Presiden Korea Selatan, Park Chung Hee, ditembak mati oleh seorang pengarah KCIA, Kim Jaegyu yang juga merupakan bekas sAhabat baiknya. Park Chung Hee dibunuh kerana dikatakan menjadi penghalang kepada demokrasi. Kim Jaegyu mendakwa bahawa tindakannya membunuh Park Chung Hee merupakan satu tindakan yang patriotik.

Kudeta Tentera

Seluruh negara pada waktu itu menjadi gempar apabila tragedi ini berlaku. Manakala pada 12 Disember 1979, pihak Tentera telah melakukan kudeta. Maka pemerintahan Diktator Tentera pun berjalan di bawah pimpinan Jeneral Chun Doo Hwan. Pemerintahan diktator tentera tidak disenangi oleh rakyat jelata maka demonstrasi-demonstrasi telah dianjurkan untuk membantah rampasan kuasa tersebut.

Akibat daripada kebangkitan rakyat Korea pada waktu itu melalui demonstrasi-demonstrasi yang dianjurkan, Jeneral Chun Doo Hwan telah mengisytiharkan Darurat pada 17 Mei 1980 bagi menekan para demonstran di seluruh negara.

Pada keesokan harinya; pada 18 Mei 1980, 100 orang mahasiswa Universiti Kebangsaan Chonnam telah berarak ke arah pintu pagar Universiti berteriak “berambus tentera”.

Pihak tentera yang mengawal di Universiti itu telah bertindak ganas dalam menangani demonstrasi ini. Mereka memukul para mahasiswa, menahan dan menggeledah rumah-rumah orang awam untuk mencari aktivis mahasiswa.

Dengan tekanan demi tekanan yang dijalankan oleh pihak tentera, mahasiswa telah meneruskan demonstrasi di jalananan dan ini sekaligus telah menjadi pencetus kepada peristiwa bersejarah “Kebangkitan Gwangju 18 Mei”.

Gabungan Rakyat dan Mahasiswa

Pada 20 Mei 1980, majoriti rakyat Gwangju telah menyertai demonstrasi mahasiswa dan mereka telah menawan dan membakar stesen TV MBC kerana mendakwa MBC telah memberikan laporan salah tentang para demonstran dan tidak melaporkan tentang keganasan yang dilakukan oleh tentera.

Pada 21 Mei 1980, 300,000 rakyat telah menyertai demonstrasi menentang kekuasaan Jeneral Chun Doo Hwan. Tempat simpanan senjata dan balai polis telah ditawan dan senjata telah dirampas oleh rakyat. Mereka (baca:rakyat) telah menubuhkan Tentera Rakyat yang telah melawan semula tentera yang mengganas. Hampir semua jalan keluar masuk ke Gwangju telah dikepung oleh pihak tentera pemerintah.

Walaupun begitu, bandar tersebut menjadi komuniti masyarakat yang efektif. Wakil komuniti telah dilantik untuk mengawal keamanan dan untuk berunding dengan kerajaan diktator tentera.

Keamanan telah berjaya dikawal tetapi rundingan dengan kerajaan gagal. Pada 27 Mei 1980, kerajaan diktator tentera pimpinan Jeneral Chun telah menghantar Unit Khas dari 5 bahagian tentera untuk merempuh masuk ke bandar Gwangju dan pembunuhan beramai-ramai telah dilakukan.

Semasa pemerintahan diktator Jeneral Chun, kerajaan mengatakan bahawa pemberontakkan yang berlaku di Gwangju merupakan pemberontakkan Komunis. Tetapi setelah rakyat Korea Selatan menamatkan pemerintahan diktator tentera pada 1987, “Kebangkitan Gwangju 18 Mei” telah mendapat pengiktirafan sebagai Gerakan Demokrasi melawan pemerintahan diktator dan diiktiraf sebagai usaha untuk menempatkan sistem Demokrasi di Korea Selatan.

Selepas tamatnya pemerintahan diktator Jeneral Chun, kerajaan baru telah memohon maaf secara formal kepada penduduk Gwangju dan telah membina Tugu Peringatan untuk para syuhada yang terkorban dalam “Kebangkitan Gwangju 18 Mei.” Pada tahun 1994, para pejuang yang terselamat dalam Kebangkitan Gwangju Mei 18 telah mendirikan sebuah yayasan yang dinamakan Yayasan Untuk Memperingati 18 Mei ataupun May 18 Memorial Foundation. Yayasan ini telah mendapat dana daripada kerajaan hasil daripada duit cukai yang dikutip daripada rakyat Korea Selatan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com