Klik sini untuk membeli Buku dan VCD Keadilan terbaru !
Faisal Mustaffa's Facebook profile


Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!


~ faisal mustaffa online ~


 

Friday, November 12, 2004

Penuhi Syawal Dengan Penuh Sedar

ALLAHU AKBAR ! ALLAHU AKBAR !ALLAHU AKBAR!

Alahamdulillah sekali lagi saya dapat merayakan Aidil Fitri 1425 Hijrah.

Sempena perayaan ini, sambil kita bergembira bersama kaum keluarga, sanak saudara kita tidak lupa kepada mereka yang tidak dapat merayakannya.

Malaysia yang dikatakan sebuah negara demokrasi tetapi pada hakikatnya masih dikecam dengan adanya undang-undang zalim yang sudah tetntu bercanggah dengan hak asasi manusia.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih diamalkan di negara ini. Setiap kita perlu faham bahawa ISA merupakan undang-undang zalim kerana menahan seseorang tanpa bicara dan tanpa pembelaan dalam tempoh masa yang tidak menentu. Ia merupakan akta zalim kerana keputusan penahanan tidak boleh dipersoalkan oleh mahkamah atau oleh sesiapa. Ia merupakan akta zalim kerana hak asasi insan serta keluarga dicabuli. Ia merupakan akta zalim kerana ia bertentangan dengan tuntutan Islam dan agama lain terutamanya dalam prinsip menganggap seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Menurut statistik yang saya perolehi, sehingga Ogos 2004 seramai 101 orang diketahui sedang ditahan di bawah ISA samada di Kem Tahanan Kamunting (KEMTA) atau di Bukit Aman. Dari jumlah itu, 75 yang ditahan didakwa ahli JI, 12 ahli KMM, 7 terlibat dengan pemalsuan syiling RM1, 6 kerana pemalsuan paspot dan kad pengenalan serta seorang kerana penyeludupan komponen nuklear. Agak tidak jelas samada bekas pelajar Karachi seramai 7 orang yang ditahan di Bukit Aman termasuk dalam jumlah itu atau pun tidak.

Dalam pada itu, ramai daripada kalangan tahanan yang sudah dilanjutkan tempoh penahanan mereka sehingga ada yang sudah menjangkau hampir 4 tahun, khususnya tahanan KMM, tanpa alasan kukuh mengapa dilanjutkan. Ini bermakna sudah hampir 4 tahun keluarga terpisah tanpa pergantungan kepada ketua keluarga. Ini juga bermakna sudah hampir 4 kali Ramadan dan Syawal di mana tahanan yang beragama Islam terpaksa menjalani ibadah puasa dan berhariraya di sebalik tembok dan kawat besi KEMTA. Sudah tentu keluarga, isteri dan anak-anak menderita. Sudah tentu saat-saat kegembiraan berpuasa dan berhariraya bersama akan hambar.

Sungguhpun akhbar perdana 11 November melaporkan bahawa 4 daripada tahanan dibebaskan, adakah ini memberi satu kredit kepada kerajaan memerintah?

Ahmad Tajuddin Abu Bakar dan Abu Bakar Che Doi dikatakan terlibat dalam KMM ditahan pada 2 Ogos 2001, Khairuddin Saad pada 10 Oktober 2001 kerana dikatakan terlibat diri dengan JI dan Abdul Razak Baharuddin yang dikatakan terlibat dalam JI ditahan sejak 29 Disember 2000.

Namun, mereka ini masih lagi dikawal dan hanya boleh berada di kawasan tertentu sahaja.

Ketahuilah wahai mereka yang selesa dengan mendapat gaji setiap bulan walaupun sering berpura-pura kerja di hadapan majikan bahawa si isteri bagi tahanan-tahanan ISA itu terpaksa mengambil alih tanggungjawab mencari nafkah untuk membiayai perbelanjaan keluarga terutamanya untuk persekolahan anak-anak. Tidak diketahui bagaimanakah pula tahap kualiti pendidikan mereka.

Dalam memorandum para tahanan bertarikh 9 November lalu:

"Isteri kami terpaksa mengambil alih tanggungjawab mencari nafkah untuk membiayai perbelanjaan keluarga terutamanya untuk persekolahan anak-anak.Manakala dibulan Ramadan ini, isteri kami terpaksa berusaha lebih bagi menambah pendapatan keluarga dengan melakukan pelbagai kerja asalkan dapat menambah pendapatan kerana mahu menampung perbelanjaan harian terutamanya sempena musim perayaan yang juga musim cuti sekolah."

Pada hari raya, seperti lazimnya, kita akan duduk semeja berborak dan mengimbas kembali kenangan-kenangan lama dan baru tetapi bagi keluarga tahanan ISA itu, mereka terpaksa merantau beratus batu ke satu daerah yang amat jauh dari kediaman mereka, kerana ingin menyambut lebaran bersama suami dan ayah. Ada yang bertolak dari rumah ke KEMTA pada malam raya dan ada yang berada di lebuh raya, seawal jam 3 atau 4 pagi, bagi memastikan makanan yang dimasak tidak akan basi kerana, mereka terpaksa bertemu mengikut giliran. Malahan sambutan raya tidak berbaloi langsung kerana keluarga lebih lama berada di dalam kenderaan berbanding masa pertemuan yang cuma berlangsung selama 1 jam!

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh badan perihatin mengenai kebajikan kaum keluarga tahanan ISA, sepanjang penahanan, segala punca rezeki tahanan telah ditutup oleh kerajaan. Bagi mereka yang makan gaji, mereka diberi notis berhenti, bagi mereka yang berniaga, syarikat akan menjadi muflis akibat tidak dapat membayar pinjaman bank akibat tidak ada aktiviti perniagaan. Lebih menyukarkan apabila orang lain yang mahu membantu keluarga juga diugut dan ditakut-takutkan oleh SB, yang mendakwa akan menangkap sesiapa saja yang membantu pengganas, imej yang diberikan pada tahanan. Pegawai-egawai cawangan khas (SB) juga turut mengugut akan menangkap isteri tahanan jika mereka meminta tolong daripada NGO.

Anak tekanan jiwa

Dalam satu peristiwa yang berlaku, seorang anak tahanan telah mengalami tekanan jiwa dan perasaan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan sakit jiwa di hospital kerajaan.

Menterinya, Datuk Noh Omar seperti yang dilaporkan akhbar berkata bahawa status tahanan akan dikajisemula setiap 6 bulan oleh Lembaga Penasihat. Katanya kalau Lembaga mencadangkan supaya tahanan dibebaskan, maka beliau akan dibebaskan. Katanya lagi, ada Jawatankuasa Penilai untuk tahanan yang akan mengkaji keadaan tahanan ketika dalam tahanan selama maksimum dua tahun. Melalui Jawatankuasa Khas ini, tempoh penahanan boleh dilanjutkan sekiranya tahanan didapati merbahaya atau membuang daerah di bawah Akta Kediaman Terhad.

Pada hemat saya, kenyataan beliau itu menimbulkan beberapa persoalan; pertamanya, benarkah jika Lembaga Penasihat mencadangkan supaya tahanan dibebaskan, maka tahanan akan dibebaskan? Apakah kriteria Lembaga Penasihat yang membolehkan tahanan dibebaskan? Dan yang keduanya, adakah pernah keadaan berlaku di mana tahanan tidak dibebaskan walaupun Lembaga Penasihat mencadangkan supaya bebas? Jika ya, apakah alasannya dan bagaimanakah wibawa Lembaga Penasihat?

GMI berpendapat bahawa prosidur-prosidur yang wujud sebenarnya adalah hanya sebagai kosmetik untuk membayangi bahawa keputusan sebenar dibebaskan atau tidak seseorang tahanan itu merupakan keputusan politik dan terletak di bawah tanggungjawab Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Saya juga berpendirian demikian.

Duit Raya

Sebahagian tahanan dan sebahagian keluarga telah dibekalkan dengan duit raya sebanyak RM300.

Mungkin ada rasa kasihan di kalangan kakitangan kerajaan sehingga peruntukan tersebut diluluskan oleh Kementerian. Tetapi atu persoalannya, bolehkah kasih sayang sesama suami isteri dan anak-anak yang terpisah diganti dengan wang ringgit? Bolehkah nilai kebebasan digantikan dengan wang ringgit?

Tidak cukup dengan wang ringgit, tahanan dan keluarga turut disogokkan dengan janji-janji manis kebebasan oleh kakitangan KKDN dan SB. Taktik saikologi SB (dan mungkin KEMTA) giat dilakukan. Khabar angin dan janji manis

Ini bukan kata-kata saya. Saya hayatinya dari salah seorang idola saya, Hj Saari Sungib yang kini bergiat aktif dalam GMI.

Kita perlu faham bahawa selain daripada si isteri terpaksa terus mencari nafkah sendiri, hidup berdikari tanpa ketua keluarga, menanggung hutang, menangguk bantuan kebajikan, menghadapi tekanan sehingga ada yang sakit jiwa dan sebagainya, para-para SB bersukaria mengacau isteri orang. Inilah realiti kezaliman ISA. Di mana nilai kemanusiaan dan siapa yang bertanggungjawab? Siapakah yang membayar gaji SB daripada wang rakyat untuk melakukan tindakan terkutuk itu?

Wan Min Wan Mat pada 21 Oktober 2004 dan Nasaruddin Nasir pada 8 November 2004 telah pun habis tempoh dua tahun penahanannya. Bagi Nasaruddin Nasir pula, beliau mempunyai kes unik kerana beliau telah diputuskan bebas oleh Mahkamah Tinggi pada 8 November 2002 tetapi telah ditahan semula keesokannya. Lantas, mereka ini perlu dibebaskan segera.

Oleh yang demikian, sempena al-Mubarak ini, saya merayu supaya segala aktiviti zalim yang sudah ketinggalan zaman ini dan penganiayaan ke atas isteri dan anak-anak para tahanan ini dihentikan. Sekiranya mereka ini benar menjadi ancaman kepada negara, bawalah mereka ke mahkamah terbuka. Bukankah kita negara membangun yang mempunyai sistem yang cukup dan keupayaan untuk menjalankan segala bentuk penyiasatan?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com