Bangkitlah Kaum Buruh & Petani
Menentang Ekstremis & Hipokrits!
~ faisal mustaffa online ~
 
Wednesday, June 24, 2009
TIME BOMBS IN MALAYSIA: Malaysian Malaysia vs 1 Malaysia
Aku rasa bertuah menjadi di antara orang yang terawal membaca buku yang benar-benar mencatat pergerakan politik di era70an dengan beberapa pembaharauan – Time Bombs in Malaysia 30th Anniversary. Buku ini pada awalnya ditulis pada tahun 1978 oleh seorang ahli politik terkemuka sehingga kini, Lim Kit Siang. Jatuh bangunnya dalam dunia politik semuanya dinukilkan. Selepas 31 tahun, ianya diterbitkan sekali lagi dengan beberapa pembaharuan.Aku berasa bangga kerana terlibat secara langsung dalam penerbitan buku ini yang dianggap sebagai salah satu arkib dalam perkembangan sejarah moden politik Malaysia. Di dalam buku ini juga kami menyelitkan foto-foto berwarna perkembangan politik yang mengkhususkan kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) sehinggalah sewaktu kebangkitan rakyat menjelang pilihan raya umum 8 Mac 2009.
Pada awal penerbitannya, buku ini menjadi kitab sejarah pergerakan politik akibat daripada penggelitaan media pada ketika itu. Rakyat yang mahukan kebenaran membeli buku ini dan kemudiannya memberi inspirasi dalam perjuangan keadian sosial negara.
Terbitan pertamanya mencecah jualan 10,000 naskah pada Mei 1978, tiga minggu ianya berada di pasaran. Edisi keduanya mula dicetak dan habis dijual pada Ogos 1978. 10,000 lagi naskah kemudiannya dicetak pada September 1978.
Apa yang sebenarnya menarik mengenai buku ini sehingga ia lari seperti ‘goreng pisang panas’?Buku inilah pada waktu itu yang menjelaskan mengenai prinsip kebebasan, keadilan akauntabiliti, integriti, perpaduan dan solidariti. Apek-apek yang menceritakan kepadaku apabila aku memberitahu mereka bahawa Lim Kit Siang akan menerbitkan semula buku ini memberitahu, pada 30 tahun yang lalu, ramai yang ternganga bila membaca buku ini seolah-olah membaca buku hantu!
Setelah meneliti Time Bombs in Malaysia, orang ramai terlalu dahagakan sebuah ketelusan mengenai keadaan rasuah yang pada dasarnya memang menular di dalam diri ahli-ahli politik pada waktu itu.
Pada awal penulisannya lagi, Kit Siang sudah mengutarakan prinsip perpaduan di bawah satu bayung bangsa Malaysia. Apabila beliau memperkenalkan Malaysian Malaysia, beliau dihentam hebat terutama dari kalangan pemimpin Umno dan seluruh akar rumput parti parti Melayu itu yang tidak memahami prinsip itu secara mendalam turut sama mengecam, tanpa usul kajian.
Kini Presiden Umno sendiri cuba mengenengahkan prinsip yang sama di bawah I Malaysia.
Pada sidang parlimen Februari/Mac 1971 lah Peraturan Tetap Parlimen dipinda apabila kesemua ahli parlimen dari DAP menghantar ratusan soalah lisan dan pertanyaan bertulis. Lim Kit Siang sendiri telah menyiapkan 152 soalan lisan untuk kementerian menjawabnya. Sejak itu, ahli-ahli parlimen hanya boleh menghantar 20 soalan lisan maksimum.
Time Bombs in Malaysia juga menceritakan kisah-kisah sarkas yang berlaku di dalam parlimen yang tidak kita ketahui. Kit Siang menceritakan bahawa beliau digantung pada 19 Julai 1974 hanya kerana merujuk National Front (Barisan Nasional) kepada National Fraud.
Mengimbas kembali sewaktu buku ini mula-mula diterbitkan, Kit Siang menulis dalam prakatanya bahawa pada waktu itu Hussein Onn dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Razak yang meninggal dunia di London pada tahun 1976 akibat leukemia. Menurut formula RAHMAN, selepas Tun Hussein Onn, Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri da kemudiannya Tun Abdullah. RAHMAN juga menilik Najib Razak (Datuk Seri) sebagai penyudahnya.
Kit Siang mengharapkan ianya akan benar-benar berlaku dengan isu-isu yang diketengahkan 31 tahun yang lampau dikenang oleh generasi sekarang. Sememangnya isu-isu di dalam buku ini masih relevan untuk diperbincangkan memandangkan pemerintahan Malaysia sejak 50 tahun yang lampau di bawah legasi BN dan Umno.
Kit Siang dalam beberapa siri ucapannya pernah berucap bahawa Parti Tindakan Demokratik (DAP) berfungsi sebagai pembangkang dan tidak berminat menjadi kerajaan pemerintah. Namun telahannya agak meleset kerana selepas tsunami 8 Mac, lima negeri telah jatuh kepada pembangkang, anaknya dipilih sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Selangor dan Perak juga mendapat sumbangan besar dari DAP dalam pentadbiran negeri tersebut.
Time Bombs mencatat semula ucapan-ucapan yang dibaca oleh Kit Siang sewaktu beliau menjadi Ahli Parlimen beberapa sessi. Jatuh bangunnya, susah senangnya, tangis riangnya, gagal jayanya semuanya dinukilkan dalam buku ini.
Selain pengalamannya di dalam politik, Kit Siang juga menulis mengenai rasuah, isu buruh, demokrasi, perlembagaan dan juga mengkritik hebat polisi kerajaan. Dalam isu buruh, Kit Siang sudah mula mewar-warkan kepentingan untuk mengadakan gaji minima. Dan kesan serta tekanannya mula mendapat sambutan sekarang.
Kit Siang ketika dibebaskan pada 19 April 1989 dari ISA semasa Operasi Lalang. Beliau dan Guang Eng (hujung kiri) adalah tahanan terakhir dibebaskan daripada sejumlah 108 tahanan. Mereka ditahan selama 18 bulan.
Menceritakan mengenai penulisnya, Lim Kit Siang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA)dari Mei 1969 hingga Oktober 1970. Dia ditahan lagi pada 23 April 1978 di bawah Akta Rahsia Rasmi 197. Pada waktu itu beliau dibicarakan atas tulisan beliau bersama P.Patto berkaitan dengan pembelian kapal Angkatan Laut dari Sweden.
Buku Time Bombs in Malaysia 30 Aniversary ditulis dalam Bahasa Inggeris dan pembelian secara talian boleh diperolehi dari TOKOBUKU.
Labels: Barisan Nasional, DAP, ISA, Lim Kit Siang, najib tun razak, REFSA
 
Sunday, June 21, 2009
Sejarah Perjuangan PKM perlu diletakkan dalam buku teks sekolah
Perjuangan kemerdekaan dari Parti Komunis Malaya (PKM) menuntut kemerdekaan semasa era 1948 sepatutnya diletakkan dalam satu martabat yang tinggi dan dikenang.
Nama-nama pemimpin perjuangan kemerdekaan pada waktu itu seperti Rashid Maidin, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan Chin Peng patut diberi penghargaan dan sejarah persekolahan kita sepatutnya menerapkan sifat perjuangan mereka. Nama-nama tersebut, malah ramai lagi adalah sebenarnya warga Malaya yang seterusnya secara otomatik berhak menjadi warga Malaysia atas dasar lahir di Malaysia sebelum Malaya merdeka.
Akibat daripada pemesongan fakta sejarah, Kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) telah diperlihatkan menggunakan isu ini bagi mengalih pandangan; terutama dari isu Perak yang masih tidak selesai dan kemenangan Parti Keadilan Rakyat (keADILan) di Penanti tanpa penyertaan BN.
Pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memburuk-burukkan komunisme di Malaysia di Datuk Seri Rais Yatim yang merangkap Menteri Penerangan Malaysia secara tidak langsung menerapkan perasaan dendam waris-waris anggota keselamatan Malaysia dahulu dan dibalas dengan mengharamkan Chin Peng untuk kembali ke tanahairnya.
Tetapi, apa yang peliknya, pejuang yang seangkatan dengan Chin Peng seperti Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh dibenarkan pulang ke Malaysia bersama keluarganya sekali. Persoalannya, mengapakah ada sikap double-standard?
Malah, Rais Yatim juga mengancam akan emngambil tindakan terhadap blog-blog yang dianggap menyebarkan ‘ideologi komunis’ dan mahu sentiment yang menganggap komunisme mempunyai nilai-nilai nostalgia dan positif dilupuskan.
Justeru, habis penjual-penjual kemeja-t di Pasar Budaya yang mencetak gambar Mao Tze Tung sekian lama dirampas pihak berkuasa. Agak bingung pengusaha di Pasar Budaya yang berniaga sekian lama tidak menghadapi sebarang masalah teapi dengan tiba-tiba barang-barang jualannya habis dirampas.
Apa yang paling menyedihkan dalam sejarah perjuangan PKM selama jangkawaktu selepas darurat ialah mereka tidak dibawa ke muka pengadilan atas dakwaan jenayah perang mereka. Jika didapati dan dibuktikan bersalah, maka bolehlah mereka ini dihukum mengikut undang-undang di Malaysia. Secara tidak langsung dendam waris-waris anggota keselamatan Malaysia dahulu akan dapat dibalas.
Bagi BN, mereka telah menggerakkan seluruh media di bawah kongkongan mereka untuk menjalankan sandiwara mereka dan berselindung di balik isu dendam waris-waris anggota keselamatan Malaysia.
Isu Memali
Sekiranya kita mengimbas kembali peristiwa berdarah Memali, tentulah waris-waris korban kekejaman Polis diRaja Malaysia (PDRM) dan anggota keselamatan patut menaruh dendam. Mereka juga berhak untuk berdendam dengan PDRM dan Kerajaan Malaysia (di bawah Kerajaan BN) atas jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Memali itu. Adakah waris-waris anggota PDRM yang korban ketika kejadian di Memali akan berdendam dengan penduduk Baling dan Memali?
Berbalik dengan isu keinginan Chin Peng untuk pulang, ayuh kita merujuk kepada memoir yang diterbitkan di Singapura berjudul “Chin peng: My Side of the Story”.
Semasa kecil Chin Peng minat sekali membaca bahan-bahan media cetak dan menyoroti perkembangan di negara China. Ketika itu berlaku pertikaian antara Chiang Kai Shek dan Mao Tse Tung. Tentera Jepun pula merampas Manchuria dan menguasai pedalaman China. Negara China merupakan tanah kelahiran bapa dan nenek moyangnya di kawasan Kwantung.
Semasa remajanya 15 tahun, Chin Peng mempunyai perasaan yang dekat dengan nasionalis berpendidikan barat Ching Kai Shek yang menguasai kawasan selatan China dan Taiwan. Tapi buku kecil 'On Protacted War' karangan Mao Tze Tung mengubah pendiriannya kepada aliran komunisme. Tekadnya jelas untuk menentang Jepun yang kemudian menyerang Tanah Melayu tahun 1941.
Tahun 1940 dia diterima menyertai Parti Komunis Malaya iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut. Dia turut menyertai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu. Ketika itu umurnya 18 tahun.
Chin Peng memimpin MPAJA atau Malayan People Anti Japanese Army , sebuah pasukan gerila bagi menentang Jepun. Tentera British (Pasukan Special Air Services dan MI6) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai senjata, kewangan, latihan dan pelbagai peralatan lain bagi memperlengkapkan Force 136 dan MPAJA. Tentera MPAJA pernah menyerang tentera Jepun di Sungai Perak berhampiran dengan tebing Pasir Salak pada tahun 1942.
Selepas Perang Dunia II, beberapa pihak yang berfahaman radikal didalam MPAJA telah bertindak keluar hutan untuk membunuh menyiksa mereka yang bersubahat dengan tentera Jepun dan tali barut British dan turut membunuh pemimpin tempatan seperti para Penghulu dan para Imam kampung sebagai taktik memantapkan penguasaan mereka. Selain itu, puak radikal didalam MPAJA turut cuba merampas pentadbiran terutamanya dibahagian selatan Tanah Melayu.
Tindakan puak radikal didalam MPAJA ini telah menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu yang bangkit untuk menentang pihak komunis di bawah beberapa pemimpin seperti Panglima Salleh Selempang Merah. Akibat daripada tindakbalas orang Melayu ini, Parti Komunis Malaya gagal merampas kuasa malah terpaksa meminta campur tangan Tunku agar mententeramkan orang-orang Melayu yang bangkit ketika itu.
Malah ada beberapa fakta yang menunjukkan bahawa beberapa pihak didalam kelompok Melayu elit yang telah menghasut dan membangkitkan isu perkauman Cina/Melayu dalam usaha mereka mengekalkan kekuasaan mereka. Kelompok Melayu elit ini rata-rata amat mengharapkan agar pihak British akan datang kembali dan seterusnya membolehkan mereka bertapak kukuh didalam urusan politik tempatan. Malah pihak-pihak ini juga menghasut agar beberapa individu dan pertubuhan dilabelkan sebagai puak kiri dan kemudiannya berjaya mengharamkan pertubuhan tersebut dan menangkap pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya.
Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan pihak Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.
Atas jasanya terhadap perjuangan penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng dijemput ke London untuk menerima medal 'Order of the British Empire ' kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136 menentang Jepun. Tapi tekadnya untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan British dan akhirnya memerdekakan Malaya semakin membuak-buak selepas itu. Suasana aman dan maju di kota London meningkatkan azamnya untuk berjuang di dalam hutan Tanah Melayu.
Memimpin Parti Komunis Malaya
Ketika umurnya 23 tahun, Chin Peng dilantik sebagai Setiausaha Agung , Parti Komunis Malaya menggantikan Lai Tek yang telah dibunuhnya di Thailand. Lai Tek adalah perisik tiga mata yang telah belot dan melarikan wang Parti Komunis Malaya .
Di bawah pimpinannya Parti Komunis Malaya semakin agresif dan militan dengan menyerang ladang-ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus milik orang British di Tanah Melayu. Lantaran itu ahli PKM semakin menyanjung keberanian dan wawasan Chin Peng. Taktik ini membawa padah kepada Parti Komunis Malaya kerana tidak langsung diterima di kalangan orang Melayu.
Parti Komunis Malaya juga tidak mengamalkan athiesme. Walaupun prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan bahawa agama itu adalah candu manusia, namun apa yang berlaku di tanah melayu pada waktu itu ialah mereka mengamal prinsip keagamaan seperti mana yang kita dapat lihat dalam salah seorang tokoh parti komunis malaya iaitu Rashid Maidin, Abdullah C.D dan Suraini Abdullah. Mereka tetap mendirikan solat lima waktu seperti mana yang dituntut oleh agama islam walaupun di dalam hutan semasa perjuangan. Mereka juga telah menunaikan ibadah haji. Sememangnya Rashid Maidin adalah seorang yang warak dan berilmu agama yang tinggi malah beliau juga mengajar cucunya dan beberapa budak-budak kampung membaca Al Quran dan Tajwid.
Ketika darurat, British dengan kerjasama golongan Melayu elit telah melancarkan perang saraf iaitu propaganda melalui media massa untuk mempengaruhi fikiran orang-orang Melayu supaya mereka yakin bahawa Parti Komunis Malaya itu kejam dan tidak sesuai diikuti. Pengalaman orang-orang Melayu selepas Perang Dunia II dan taktik komunis yang membunuh beratus-ratus rakyat yang tidak berdosa menyebabkan kebanyakannya orang Melayu menolak cara ganas komunis. Perjuangan bangsa Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tidak disenangi komunis yang inginkan kuasa politik jatuh ketangan mereka dengan cara menggunakan keganasan dan menanam rasa takut kepada rakyat amnya.
Perjuangan komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Ini terbukti, mereka tetap meneruskan taktik ganas mereka walaupun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan terbukti boleh dicapai bukan dengan perjuangan menumpah darah dengan sia-sia tetapi dengan rundingan damai yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk semua pihak.
Perjanjian Damai
Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling pada tahun 1955. Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.
Dengan keengganan Parti Komunis Malaya berdamai, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka tanpa Parti Komunis Malaya. Parti Komunis Malaya yang lemah diasak semakin jauh ke dalam hutan, sehinggakan kadang-kala tersingkir keluar dari pada Malaysia, khususnya di sempadan Malaysia Thailand.
Kemerosotan Komunis
Setelah komunis runtuh di Rusia dan di runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur tahun 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaysia telah ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.
Setelah 1989 tidak ada lagi perjuangan bersenjata . Ahli PKM diterima sebagai warganegara Malaysia dan boleh kembali ke Malaysia. Tetapi pemimpin utama seperti Chin Peng dan Rashid Maidin dibenarkan hanya menetap di sebuah perkampung khas di Yala, Thailand.
Sungguhpun salah satu parti komponen BN, Gerakan yang kononnya bersikap liberal mahukan Chin peng dibenarkan pulang, malah parti itu juga dikritik hebat.
Sebagai Pengerusi Parti Gerakan peringkat negeri yang menjadi salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN), jelas sekali tindakan beliau sangat tidak kena pada tempatnya. Nampaknya beliau sengaja cuba mencabar kewibawaan Senator Tan Sri Koh Tsu Koon, Pengerusi Kebangsaan Parti Gerakan yang kebetulan dipertanggungjawabkan menjaga soal perpaduan dan hubungan etnik di negara ini.
Hock Nan seolah-olah cuba “memalukan” ketuanya di mata rakyat dan pemimpin komponen BN yang lain.
Pada 21 Mei, pengerusi Citizens International, SM Mohamed Idris merayu kepada kerajaan supaya membenarkan Chin Peng pulang atas alasan-alasan berikut:
• Melalui perjuangannya menentang imperialisme, penjajahan dan penindasan, beliau telah membawa kehormatan dan maruah kepada negara dan rakyat kita;
• Telah menjadi fakta sejarah yang sahih bahawa perjuangan yang dibawa oleh gerakan pembebasan pimpinan Chin Peng, Rashid Mydin, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan lain-lain telah menyumbang ke arah kemerdekaan Malaya;
• Sumbangan gerakan ini diiktiraf sendiri oleh mantan perdana menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Tun Abdul Ghafar Baba, seorang lagi mantan timbalan perdana menteri;
• Perjanjian PKM dengan kerajaan Malaysia pada 1989 membenarkan bekas pemimpin gerakan gerila itu pulang ke tanahair dan menetap, kerajaan digesa menghormati butiran perjanjian tersebut.
• Beberapa bekas pemimpin kanan PKM seperti Abdullah C.D., Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad telah dibenarkan oleh kerajaan untuk kembali, malah menetap di Malaysia.
Sungguhpun Menteri Pertahanan Dr Ahmad Zahid Hamidi mendokong Rais Yatim dengan menambah fakta bahawa sekiranya Chin Peng kembali, ia merupakan penghinaan terhadap keluarga hampir 50,000 anggota pasukan bersenjata penjajah British dan kerajaan Malaysia yang maut semasa era darurat di Malaya.
Adakah Zahid Hamidi pernah terbaca bahawa ahli sejarah pernah menganggarkan jumlah itu kurang daripada 2,000 bagi anggota pasukan bersenjata British dan kerajaan yang gugur dalam perang, dan kematian pasukan PKM pula mencecah 7,000.
Beberapa pemimpin BN pernah berbangga dalam kenyataan mereka bahawa Negara kita patut berbangga kerana berjaya mengecapi kemerdekaan tanpa pertumpahan darah. Sejarah sebenarnya telah memadamkan peristiwa di mana beribu-ribu ahli dan penyokong PKM telah digantung mati, dipenjarakan, diseksa dan dibuang negeri.
Labels: chin peng, pkm, rais yatim, shamsiah fakeh, zahid hamidi
 
Friday, June 19, 2009
Mana Setangginya?
Apabila aku dijemput untuk menghadiri pementasan 'Mana Setangginya?' karya Noordin Hassan, aku setuju. Satu masa dahulu aku pernah menyaksikan pementasan beliau, ' Tiang Seri Tegak Berlima' dan aku benar-benar teruja.
Jelas, skripnya memang menarik sekali. Sungguhpun skripnya ditulis 10 tahun yang lampau, namun isinya masih relevan. Orang kita masih lagi menjadikan fitnah sebagai permainan seharian. Kepentingan peribadi mengatasi yang lainnya.
Aku suka lirik SETANGGI DI JIWA pada waktu awal ensemble.
Jika hilang maruah bangsa Jiwa kita menjadi hamba Anak cucu menjadi hina Pohon setanggi hilang wanginya. Mari ditanam di dalam hari Semangat waja berani mati Supaya bangsa bermaruah nanti Nusa bangsa hak sejati. Sambil berserah kepada tuhan Jiwa yang cekal harus bertahan Sedia menghadap semua rusuhan Janganlah jadi emas sepuhan Bila ditanya mana setangginya? Tepuklah dada itu tempatnya.
Ada satu babak yang betul-betul menarik perhatian aku:
PADERI: Perempuan ni bernama Megda; menjual sayur, di pasar. Tetapi dia menghias dirinya sebegitu molek. Bijak beramah mesra apabila laki-laki datang membeli. Senyum simpul, suara merdu, jelingan manja; sikapnya membuatkan jualannya habis selalu. Katanya, dia seorang janda. Patutlah. Tadi ada orang nampak. seorang lelaki setengah umur turun dari rumahnya, Perempuan ni memerlukan kampung kita.
MEGDA: Bohong. Semua tu fitnah. Orang iri hati sebab jualan saya laku.
IRIAM: Siapa dia laki-laki yang turun dari rumah Megda?
PADERI: Itu kami tak boleh bagi tahu.
IRIAM: Mengapa?
PADERI: Tak boleh bagi tahulah.
IRIAM: Mengapa tak tangkap laki-laki tu sama?
PADERI: Mana boleh?
IRIAM: Mengapa?
PADERI: Tak boleh.
IRIAM: Kakak-kakak, adik-adik dan abang-abang sekalian. Siapa yang nampak laki-laki yang setengah umur tu? (Semua diam belaka). Jadi, sekarang nak dibuat apa dengan Megda?
PADERI: Kami nak rejam dia dengan batu. Dia berdosa.
IRIAM: Baiklah. Sesiapa antara kita yang tidak pernah membuat disa, biarlah orang itu merejam batu pertama. (Sejenak). Ada sesiapa? (Semua diam; MEGDA dibebaskan).
Dengan skrip yang mengkagumkan, aku mengharapkan pementasannya juga begitu. Tetapi harapan aku meleset. Istana Budaya cuba 'menjual' adegan terbang pelakon teater. Orang yang membeli tiket sudah tentu mahu melihat adegan stunt, sekurang-kurangnya seperti yang dipentaskan di Genting Highlands dalam beberapa pementasan yang dibuat di Kota Peranginan itu. Lagi pun, teknologi terbang yang dibuat dibawa secara langsung daripada Hall Associates Flying Effects, Amerika Syarikat.
"Hidup hidup, Melayu kena tipu", kata aku dalam hati.
Ucapan aluan pengerusi berbunyi, " Anda bersedia dengan adegan terbang?"
Aku: Wah! Kalah Puteri Gunung Ledang (The Musical)
Adegan terbang sebenarnya di kalangan tiga penari yang melakonkan watak pari-pari yang tergantung dari siling pentas, itu sahaja. Pari-pari tu tergantung-gantung sahaja sambil menggerakkan tangan (seolah-olah sedang terbang) dan membuang serbuk kilat yang nampak kelihatan magis. Langsung hilang mood aku.
Ianya dimulakan dengan adegan tarian oleh beberapa penari lelaki dan semuanya berterabur. Padahal aku hadir lima hari ianya sudah dipentaskan dan aku jangka selepas lima hari langkah tarian penari-penari bertambah baik.
Pengarah teater kanak-kanak, Zaifri Husin memperlihatkan skrip Sasterawan Negara itu seperti sebuah pementasan kanak-kanak.
Zafri juga cuba membayangkan keadaan dalam salah satu babak berkaitan dengan keadaan di mana salah seorang anak nelayan, Subat yang nampak dua ekor biawak gergasi menatang bayi yang dicampak ke dalam sungai agar bayi itu tidak tenggelam.
Apa yang Zafril tonjolkan ialah tayangan layar di belakang pentas dengan gambar biawak yang aku rasa diambil dari siri National Geographic. Aku malu.
Seperti tajuknya, pementasan ini memang tiada setangginya. Ianya dipentaskan sehingga 21 Jun berharga RM30, RM50, RM70 dan RM100.
Teater ini dijayakan oleh Sabrina Ali, Tony Eusoff, Shaharuddin Thamby, Azizah Mahzan dan Iqbal Taufik.
Labels: Istana Budaya, mana setangginya, noordin hassan